Wednesday, December 3, 2008

ZAID IBRAHIM - RAMALANKU BENAR BELAKA

Ramalan saya bahawa Datuk Zahid Ibrahim akan dipecat daripada UMNO pada Majlis Mesyuarat Tertinggi UMNO malam semalam, tepat.

Berkuatkuasa serta merta, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim dipecat daripada Umno ekoran beberapa tindakan beliau, termasuk menghadiri perhimpunan parti pembangkang.

Saya mendapat berita bahawa Zaid akan dipecat daripada sumber di Jakarta dan kini keputusan sudah dibuat.

Sabtu lepas, Zaid menghadiri majlis perasmian Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Shah Alam dan sehari sebelum itu beliau juga dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Pulau Pinang yang turut dihadiri anggota Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang.

Zaid kini berada sebaris dengan mereka yang pernah dipecat UMNO seperti bekas Menteri Kabinet zaman Tunku Abdul Rahman, Abdul Aziz Ishak, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Menteri Besar Selangor dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Harun Idris, Zaharin Mohd Yassin dan beberapa ahli lain yang kurang popular.

Mohd Sayuti Omar melalui blognya msomelayu, berkata ketika MT sedang mengadakan mesyuarat bermula jam 9:00 malam beliau sedang bersama Zaid dalam satu siri pertemuan khas dengan bekas Ketua Bahagian Umno Kota Bharu itu di sebuah hotel di ibu negara.

Menurut Sayuti, ketika pertemuan itu Zaid sudah membayangkan tindakan akan bakal dikenakaan ke atasnya. "Tetapi terus terang saya jelaskan kepada you saya tidak akan merasa apa-apa kalau saya dipecat," katanya, sambil menambah; "saya hairan kenapa ada pemimpin Umno mempersoalkan tindakan saya, padahal siapalah saya," begitulah katanya.

Katanya, tindakan itu mungkin tidak mengejutkan bekas Menteri berkenaan kerana beliau sudah dapat membayangkan apa yang berlaku apabila beberapa hari ini ramai pemimpin Umno memperkatakan dan mempertikaikan mengenai tindakannya mengadakan pendekatan politik dengan pembangkang.

Selepas bertemu Zaid, Sayuti kemudian bersama saya di The Mall seketika sebelum kami beredar ke Coffee House Puteri Pacific. Ramai kawan-kawan berada di coffee house sementara menunggu berakhirnya mesyuarat berkenaan.

Selain isu Zaid, isu lain yang diperkatakan hangat kini ialah pilihan raya kecil Kuala Terengganu.
Dalam kami berbual-bual, muncul Tan Sri Annuar Musa bersama beberapa yang lain seperti Datuk Norza Zakaria serta juga Datuk Ikmal Hisham. Annuar singgah sebentar di meja kami sebelum berbincang dengan Norza.

Sebelum itu saya sempat bertanya apakah Zaid dipecat, Annuar tersenyum dan mengangguk tanpa mengulas panjang.

Saya tidak berapa ingat siapa lagi dipecat daripada UMNO tetapi yang pasti Aziz Ishak dipecat selepas beliau berhenti daripada Kabinet pada tahun 1963 selepas tidak bersetuju dengan Tunku dan bertelingkah dengan rakan Kabinet lain apabila ditukarkan ke Kementerian Kesihatan.

Dr Mahathir pula dipecat pada 12 Julai 1969 berikutan tersebarnya surat beliau kepada Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri waktu itu. Surat itu mengkritik cara Tunku Abdul Rahman menguruskan negara yang dikatakan memberikan kelebihan kepada orang Cina.

Sementara Datuk Harun dipecat dari UMNO pada 1976 kerana tuduhan rasuah.
Terbaru sebelum Zaid yang dipecat ialah “Sang Kelembai’ blogger yang mengkritik keras kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 29hb September 2006 atas dakwaan bahawa telah melanggar peruntukan Fasal 20.8 Perlembagaan Umno dibaca bersama Perkara 1 Tata Etika ahli Umno iaitu berkelakuan dengan tujuan menjejaskan kedudukan parti Umno di dalam kerajaan selain menjatuhkan imej dan nama baik parti.

Menurut Sayuti dalam blogspotnya, apabila ditanya apakah beliau akan menyesal jika beliau diambil tindakan dipecat daripada parti berkenaan, Zaid menjelaskan; "Mungkin untuk saya kata mujur dengan tindakan itu tidak boleh, tetapi yang jelasnya saya tidak merasa apa-apa kalau saya dipecat," katanya.

Bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno malam semalam Abdullah yang juga Presiden Umno berkata tindakan yang dikenakan ke atas Zaid dibuat kerana Umno perlu konsisten dalam tindakannya dan memastikan tidak wujudnya pilih kasih dalam mengambil tindakan displin terhadap anggotanya yang didapati bersalah.

Mengikut perlembagaan parti, anggota yang telah dipecat tidak boleh membuat rayuan, katanya.

"Ada tindakan-tindakan Zaid yang dilihat sebagai perkara yang menyalahi (peraturan) parti," katanya.

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhamad Taib berkata keputusan untuk memecat Zaid daripada Umno adalah berdasarkan prinsip dan mematuhi garis panduan parti.

"Keputusan yang kami ambil adalah berdasarkan prinsip. Dalam Umno dari dulu lagi kami ikut garis panduan dalam parti. Apabila kita melanggari garis panduan parti, kita mesti berdepan tindakan disiplin yang biasa," kata Muhammad kepada pemberita selepas mesyuarat MT itu.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata keputusan terhadap Zaid dicapai sebulat suara.

No comments:

Post a Comment