Tuesday, December 30, 2008

SIAPA PILIHAN PENGUNDI CINA?

Apakah yang boleh ditawarkan oleh Pas untuk pengundi di P.36 Kuala Terengganu?

Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui bahawa sumber-sumber parti itu adalah terhad kerana ia tidak lagi mentadbir Terengganu.

Ditanya mengenai perubahan yang mahu dibawa PAS untuk penduduk Kuala Terengganu jika menang dalam pilihanraya kecil 17 Januari depan, Hadi berkata: "...saya berharap pengundi akan menghantar satu isyarat yang jelas - bahawa mereka menolak Barisan Nasional dan Umno," katanya.

Bolehkah dengan isyarat sahaja akan memuaskan hati pengundi di Kuala Terengganu, khususnya di kalangan pengundi Cina?

Jelas PAS tidak mempunyai sebarang cadangan dan dengan mengatakan ia tidak lagi mentadbir Terengganu, bukan sesuatu yang diharapkan oleh pengundi Cina di Kuala Terengganu.

Parlimen Kuala Terengganu mempunyai 80,326 pengundi dengan majoritinya kaum Melayu iaitu 87.4 peratus, Cina (11.6 peratus), India (0.7 peratus) dan yang lain (0.3 peratus).
Walaupun hanya 11.6 peratus undi Cina di kawasan itu, ia dilihat penting untuk mengubah keputusan pilihan raya kecil Kuala Terengganu 17 Januari depan.

Calon BN bagi Parlimen Kuala Terengganu, DatukWan Ahmad Farid Wan Salleh berkata sokongan pengundi Cina di kawasan Parlimen Kuala Terengganu penting bagi menentukan kemenangan BN.

Baginya, setiap undi itu amat mustahak dan pengundi Cina di kawasan ini amat penting diberikan perhatian. Beliau sudah memulakan sesi perjumpaan dengan pengundi Cina dan mendapati sambutan diberi sangat baik dan memberangsangkan.

Bagi Hadi pula, beliau yakin pengundi Cina akan menyokong parti itu dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu bulan depan kerana mereka mendapat faedah sewaktu pentadbiran PAS selama empat tahun sebelum ini.

Presiden Pas itu berkata, ketika beliau menjadi menteri besar, kerajaan negeri telah menghapuskan cukai taksiran untuk pemilik hartanah.

Bagaimanapun, kata presiden PAS itu, apabila Umno kembali memerintah, cukai taksiran itu dikenakan semula.

Katanya, daripada maklumbalas yang diterima, pengundi Cina tidak suka dengan tindakan Umno itu dan berharap mereka akan mengundi PAS dalam pilihanraya kecil tersebut.

Minggu lalu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said meluluskan pembinaan Dewan Komuniti Cina Kuala Terengganu yang akan dibina di Bukit Kecil dengan kos RM3.3 juta.

Ia akan dibina tahun depan, selain memberikan peruntukan tambahan RM2.8 juta bagi kerja menaik taraf kemudahan dan infrastruktur dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hwa Wei Sin di Kuala Terengganu.

Wan Farid yakin pengundi Cina bersama-sama dengan saya bagi menentukan kemenangan BN pada pilihan raya 17 Januari depan.

Wan Ahmad Farid yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata beliau akan cuba menemui semua pihak bagi menghadapi pilihan raya ini nanti.

Pada ketika kedua-dua pihak sedang berusaha mempengaruhi pengundi Cina, Pengerusi DAP cawangan Kuala Terengganu, Ng Chai Hing mengingatkan pengundi Cina agar tidak termakan ‘umpan’ dana khas kerajaan Persekutuan yang kini mula diagihkan sebagai ‘Ang Pau’.

“Ang Pau’ ini yang diberikan kepada orang Cina setiap tahun oleh kerajaan Persekutuan kini dilihat dalam konteks politik oleh DAP.

Beliau berkata pembahagian duit ‘Ang Pau’ yang digunakan dari peruntukkan dana khas sedang giat diagih-agihkan kepada penduduk di Bandar Kuala Terengganu.

Katanya, pemberian tersebut berselindung atas nama sempena Tahun Baru Cina diagih-agihkan kepada penduduk berketurunan Tionghua.

“Saya harap rakyat boleh ambil duit sahaja tetapi undi dalam Pilihan Raya Kecil pada 17 Januari 2009 depan kita (pengundi) tidak gadai hanya kerana ‘habuan’ RM300 sahaja,” katanya.

Malah beliau turut menaja slogan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik, “Orang (BN) bagi duit ambil, orang bagi kain pakai, orang bagi gula kacau, tetapi tiba masa mengundi kita (rakyat) tolak BN undi PAS.”

Sementara Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali yang juga disebut-sebut akan bertanding sebagai calon PAS untuk Kuala Terengganu mengingatkan masyarakat Tionghua supaya tidak mudah termakan 'umpan' pilihan raya dengan penyaluran bantuan dana berjumlah RM6.1 juta oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

PAS Terengganu menyifatkan pemberian peruntukan tersebut sebagai satu tindakan yang bermotifkan politik kerana berlaku disaat Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu bakal diadakan pada 17 Januari depan.

Sebaliknya menurut beliau, PAS tidak mempunyai 'halangan' jika kerajaan benar-benar menyediakan peruntukkan demi kepentingan dan kebaikan rakyat.

Namun begitu, katanya pengagihan peruntukkan yang berlaku pada waktu ini (pilihan raya kecil) sudah tentu mempunyai hubungkait dengan tujuan politik.

"Dia (kerajaan) hendak bantu, kita (PAS) tiada halangan kerana itu adalah tanggungjawab kerajaan negeri untuk masyarakat .

"Tetapi dia (kerajaan) pilih waktu ini sudah tentu ia ada tujuan politik dan kita (PAS) harap masyarakat Tionghua faham bantuan itu bermotif politik," ujar beliau ketika dihubungi.

Menurutnya, PAS tidak menghalang sebarang peruntukkan yang disalurkan oleh kerajaan BN tetapi melihat perkara tersebut sebagai 'umpan' pilihan raya.

Katanya, setiap kali menjelang pilihan raya umum atau pilihan raya kecil pelbagai peruntukkan
dan bantuan diagihkan kepada rakyat yang menjadi amalan parti pemerintah.

Hakikatnya apa yang dikatakan oleh Chai Hing dan Mustapa mengenai ‘Ang Pau’ ini kurang tepat kerana ia sudah diberikan setiap tahun dan hanya kebetulan apabila Tahun Baru Cina disambut pada Januari ini yang turut menjadi bulan kempen untuk pilihan raya.

Kalaupun tidak kerana ada pilihan raya, kerajaan negeri memang mempunyai rancangan membantu orang Cina dan kalau benar jumlah sebanyak RM6.1 juta akan diagihkan, ia wajar dibuat kerana perayaan tahun baru Cina akan disambut akhir Januari depan.

Selain itu orang Cina di Kuala Terengganu boleh menilai sendiri apakah kerajaan negeri pimpinan BN tidak berusaha menyelesaikan masalah bandar yang ditimbulkan oleh DAP termasuk kesesakan jalan, kekurangan parkir kereta, longkang tersumbat, banjir kilat dan pembangunan tidak seimbang.

PAS dan DAP sewajarnya tidak menjadikan bantuan kepada orang Cina sebagai isu kerana ia memang dasar kerajaan negeri pada setiap masa.

No comments:

Post a Comment