Sunday, December 28, 2008

POLITIK WANG ¬ - CEGAH BUKAN MENGHUKUM



Saya menunggu lebih dua bulan untuk melepaskan beberapa perkara dalam posting ini yang merujuk kepada politik wang dalam UMNO.

Dan apabila Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata, anggota UMNO yang meminta sogokan untuk diri sendiri bagi menyokong calon jawatan parti masih boleh terlepas daripada tindakan disiplin akibat kelemahan Tataetika Ahli Umno walaupun peraturan itu baru saja dipinda Mac lepas, ia membuka peluang untuk mengemukakan pandangan.

Apakah lembaga kini ‘angkat bendera putih’ apabila mencadangkan agar tataetika itu dipinda sekali lagi?

Menurut Tengku Rithauddeen, ketika ini tidak ada peruntukan bahawa ahli yang meminta imbuhan, sama ada dalam bentuk kewangan ataupun lain-lain sebagai bayaran bagi undi atau sokongan, dikenakan tindakan.

Perkara 5 tataetika itu, yang dipinda pada Mac lalu, menetapkan bahawa salah laku berkaitan rasuah/sogokan politik dibahagikan kepada tiga kategori.

• Menyalahguna kuasa secara langsung atau tidak langsung sama ada secara sendiri atau melalui orang lain bagi pihaknya, untuk mendorong atau memaksa orang mengundi atau tidak mengundi mana-mana orang dalam mana-mana pemilihan parti, sama ada bagi pihaknya atau bagi pihak lain;

• Memberi, meminjam, meminta atau bersetuju untuk memberi, meminjam, meminta atau menawarkan, menjanjikan atau berjanji untuk mendapatkan wang atau apa-apa balasan bernilai bagi seseorang anggota parti atau orang lain dengan tujuan mendorong anggota supaya mengundi atau tidak mengundi pada mana-mana pemilihan parti bagi pihaknya sendiri atau bagi pihak lain; dan

• Memberi atau menerima, atau membenarkan anggota keluarganya atau mana- mana orang untuk memberi atau menerima bagi pihaknya secara langsung atau tidak langsung kepada atau daripada mana-mana anggota Umno hadiah, benda atau faedah sama ada secara zahir atau sebaliknya, bagi mendorong seseorang anggota parti supaya mengundi atau tidak mengundi pada mana-mana pemilihan parti bagi pihaknya sendiri atau pihak lain.

Tun Dr Mahathir Mohamad dalam salah satu postingnya menulis: “Jika UMNO hendak dipulih semula, pemimpin yang telah kotorkannya sehingga kalah perlu diganti dengan yang dianggap bersih oleh masyarakat dan ahli parti yang tidak tercemar dan masih berpegang kepada prinsip perjuangan UMNO.”

Bagaimanapun Tun sendiri bertanya-tanya siapa yang layak?

Saya pun ingin bertanya siapa yang layak? Saya tidak fikir semuanya ‘busuk’ dalam setandang kelapa yang bernama UMNO itu.

Memperkatakan isu ini saya merasakan ada sesuatu yang kurang pada syarat dan etika pemilihan kali ini.

Kebetulan, Pengerusi lembaga disiplin sendiri mengakui ada kelemahan pada tataetika, dan seharusnya mekanisme menahan gejala rasuah berlaku cukup penting.

Menurut Utusan Malaysia semalam, beberapa pegawai kanan UMNO mengesahkan bahawa pihak yang dimaksudkan dalam salah laku ini ialah calon dan ejen bagi pihak calon atau bagi pihak perwakilan dan bukan merujuk kepada ahli yang meminta sogokan untuk diri sendiri.

Pemerhati politik berpendapat pindaan yang dicadangkan itu adalah relevan kerana ramai anggota peringkat akar umbi mendakwa perbuatan ahli meminta sogokan untuk diri sendiri menjadi semakin berleluasa semasa mesyuarat agung cawangan dan bahagian UMNO baru-baru ini.

Penasihat Undang-undang UMNO, Datuk Mohd. Hafarizam Harun dalam satu temu bual dengan Bernama bulan lepas turut mengakui mendengar dakwaan semakin ramai anggota yang mendekati bakal-bakal calon meminta sogokan jika mahukan undi mereka.

Perkembangan ini, katanya, telah meletakkan sebahagian daripada bakal calon dalam keadaan serba salah dalam usaha mereka mendapatkan pencalonan yang mencukupi untuk melayakkan diri bertanding jawatan parti.

Percakapan mengenai politik wang, salah laku, tumbuk rusuk dan sebagainya yang buruk dan busuk itu kerana UMNO lebih berminat menghukum bukan mencegah.

Lembaga Disiplin ditubuhkan adalah untuk memutuskan bentuk hukuman, bukan menggariskan syarat dan arahan kepada calon-calon sebelum mereka bertanding.

Rasanya, jika diletakkan syarat tertentu untuk calon MENILAI DIRI SENDIRI – bukan sahaja kuota – UMNO akan lebih terjamin daripada rasuah politik atau politik wang.

Contohnya, Majlis Tertinggi boleh mensyaratkan seseorang yang mahu bertanding jawatan tinggi UMNO mestilah memiliki antara perkara-perkara berikut:

1. Menjadi ahli UMNO berterusan lebih 10 tahun;
2. Tidak pernah dipecat daripada parti;
3. Tidak pernah mendapat amaran keras daripada parti;
4. Tidak pernah dituduh dan disabitkan rasuah;
5. Tidak pernah dituduh dan disabitkan dengan skandal - seks, penyelewengan kuasa, penyelahgunaan kuasa dan sebagainya;
6. Tidak pernah dituduh dan disabitkan melakukan perbuatan yang memalukan UMNO dan negara;
7. Tidak pernah mensabotaj UMNO dalam pilihan raya; selain
8. Cemerlang sebagai ahli UMNO;
9. Cemerlang sebagai Ketua Cawangan atau Bahagian;
10. Cemerlang sebagai penjawat awam – Menteri ,Timbalan Menteri, Menteri Besar & Ketua Menteri.
11. Bebas apabila tapisan dibuat umpamanya oleh Badan Pencegah Rasuah dan lain-lain untuk menjamin pemimpin bermoral tinggi.

Prasyarat ini adala sekadar cadangan dan cara-cara boleh menghalang mereka yang berminat menjadi calon yang sewenang-wenangnya menawarkan diri.

Majlis Tertinggi boleh melakukan kempen anti-rasuah dalam UMNO dengan poster-poster berbunyi “ Anda bebas Rasuah, Anda Bersih? Jika demikian anda layak menjadi calon MT atau Naib Presiden”.

Cara yang dilakukan sekarang, mana-mana pemimpin sahaja sama ada yang pernah dikenakan tindakan disiplin oleh UMNO pun boleh bertanding.

Lebih jijik, mereka yang pernah memburuk-burukkan UMNO, meludah dan membenci UMNO berlumba-lumba menjadi calon.

Apa jaminan mereka ini tidak akan melakukan perkara yang boleh membawa kepada perbuatan rasuah ketika berkempen dan bertanding?

Dengan meletakkan syarat, akan ramai pemimpin UMNO berfikir dua atau tiga kali untuk menawarkan diri, apa lagi jika mereka memang ‘kotor’.

Hakikatnya mencegah lebih baik daripada merawat dan beginilah jadinya apabila cara kedua dipilih, iaitu mengubat dengan menghukum.

Benar sekali kebimbangan yang disebut oleh Ketua Pemuda UMNO Johor, Datuk Razali Ibrahim bahawa apabila banyak sangat kenyataan nak buat macam-macam, tapi bila orang tak nampak tindakan, mereka akan mencemuh. Selain itu kenyataan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin ini juga membawa persepsi seolah-olah gejala rasuah politik berleluasa dalam UMNO.

Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee yang bersetuju dengan pandangan itu berpendapat, lembaga disiplin sepatutnya menumpukan perhatian untuk menyelesaikan setiap aduan salah laku disiplin dengan lebih cepat dan telus.

“Saya tak ada masalah dengan cadangan itu jika ia membawa kebaikan kepada UMNO,” katanya.

Cuma yang dibimbangi, yang melakukan perbuatan rasuah hanya sekelumit tetapi dengan menggambarkan seolah-olah UMNO parti korup, UMNO akan dibenci, dan segala-galanya punah-ranah gara-gara kenyataan Lembaga Disiplin bahawa UMNO berdepan dengan politik wang.

Saya ingin tegaskan, pencegahan lebih baik daripada mencegah, apalagi dengan memiliki Lembaga Disiplin yang banyak kekurangannya!

No comments:

Post a Comment