Friday, December 5, 2008

MAT SABU AKAN KEMBALI?

(Bahagian Kedua)

Malam semalam di Tingkat 38, Ibu Pejabat UMNO ada pertemuan antara Timbalan Presiden UMNO - ‘hulubalang UMNO’ – dengan pemimpin dari Terengganu membincangkan beberapa perkara membabitkan pilihan raya kecil Parlimen Terengganu yang dijangka pertengahan Januari nanti.

Datuk Seri Mohd Najib Razak yang berdepan dengan ‘hulubalang PAS iaitu Pengarah pilihanraya PAS peringkat negeri untuk pilihanraya kali ini - Datuk Wan Abdul Mutalib Embong dan pengarah pilihanraya pusat PAS Datuk Mustafa Ali’ malam semalam mendengar dan memberikan pendapat mengenai keadaan semasa sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) di Terengganu.

Sambil itu, pemimpin Terengganu, khususnya Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Ahmad Said pula membawa mesej rakyat dan pemimpin UMNO Terengganu untuk menjamin kemenangan pilihan raya kecil ini.

Hakikat yang perlu diterima ialah kerusi Parlimen Kuala Terengganu sukar untuk dikekalkan jika UMNO dan sekutunya khususunya MCA tidak bekerja kuat.

Ahmad Said sudah pasti tahu dia mesti bekerja kuat bagi menjamin langkah pertamanya tidak sumbang dan Najib pula perlu menjamin pertarungan kali kedua ini tidak ‘terperangkap’ dengan helah pembangkang.

Jangan Permatang Pauh yang penuh dengan sendiwara pemimpin BN sendiri berulang di Kuala Terengganu!

Apapun, . Ketua Umno bahagian itu, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, beliau berkeyakinan BN akan dapat mengekalkan kemenangannya di kerusi Parlimen berkenaan memandangkan Allahyarham Razali telah berkhidmat dengan cemerlang kepada masyarakat di kawasan berkenaan.

"Allahyarham telah tinggalkan platform yang kukuh kepada calon penggantinya selepas ini kerana bagitu banyak perubahan dan kemajuan yang dilakukannya selama empat tahun berkhidmat sebagai ahli Parlimen," katanya.

Tambah beliau lagi laluan untuk calon yang bertanding atas tiket BN itu nanti dilihat lebih mudah kerana prestasi yang begitu memuaskan oleh penyandangnya selama ini.

Jika dirasakan ada pemimpin BN yang boleh merosakkan UMNO-BN di Kuala Terengganu baik sahaja mereka di halang datang berkempen atau menunjuk muka.

Orang BN dan UMNO tahu siapa mereka dan siapa pengundi di Kuala Terengganu marah dan tidak mahu tengok muka mereka!

Najib sendiri sudah pasti mahu menjamin Kuala Terengganu milik BN dan UMNO kerana di sinilah beliau mengumumkan kesediaannya bertanding Presiden UMNO pada Oktober lalu. Juga bermula dengan pengumuman inilah pencalonan mencurah-curah membolehkan beliau menang kerusi Presiden UMNO tanpa bertanding.

Pada pilihan raya umum lalu, undi rosak di Parlimen Kuala Terengganu sebanyak 931 mengatasi undi majoriti yang memberikan kemenangan kepada calon Barisan Nasional (UMNO) sebanyak 628.

Selain itu, agak unik apabila tiga daripada empat Dewan Undangan Negeri dalam kawasan Parlimen itu dimenangi oleh PAS dan hanya satu jatuh kepada UMNO tetapi di Parlimen, BN menang.

Faktor apa agaknya yang menjadikan kedudukan sedemikian?

P36 KUALA TERENGGANU Jumlah Pengundi: 80,325 Peratusan Kaum: M: 88.14% C: 10.94% I: 0.65% L: 0.27% 1. Datuk Razali Ismail (BN) - 32,562 2. Maimun Yusuf (Bebas) - 685 3. Mohamad Sabu (Pas) - 31,934

Majoriti: 628 Jumlah undi: 66,112 Peratus mengundi: 82.31% Undi rosak: 931

Saya tidak pasti kedudukan sebenarnya tetapi yang pasti pada ketika itu UMNO Terengganu belum menghadapi krisis perlantikan Menteri Besar, cantas-mencantas ketika pemilihan cawangan dan bahagian, selain masing-masing ‘hulubalang’ menjaga kawasan masing-masing untuk menjamin kemenangan.

Dengan kata lain, tiada perbuatan sabotaj ketika itu, sementara PAS Terengganu pula dikatakan kurang senang dengan kehadiran calon luar iaitu Mohamad Sabu.
Tetapi bagaimana kali ini?

UMNO belum memutuskan calonnya sehingga ini.

Yang pastinya, Umno Bahagian Kuala Terengganu akan menyerahkan senarai calon-calon yang akan dicadangkan bertanding bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu selepas mesyuarat persediaan jentera pilihanraya 9 Disember ini.

Ketua Umno bahagian itu, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata Umno bahagiannya akan membuat beberapa cadangan kepada Badan Perhubungan Umno negeri untuk ditapis.

"Ikut prosedurnya, seperti biasa kita akan kemukakan beberapa cadangan (nama) kepada Badan Perhubungan (Umno) negeri untuk ditapis dan barulah Umno negeri akan hantar senarai nama,” katanya

Perkara untuk menentukan calon mana yang layak bertanding bagi kerusi Parlimen berkenaan bukan terletak kepada bidang kuasa Umno bahagiannya dan ia akan menjadi tanggungjawab jawatankuasa Pengurusan BN yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Di pihak PAS pula, selain ‘Abe Mat Sabu’ yang sudah ditonjolkan oleh Datuk Nik Aziz Nik Mat, ada beberapa nama lain yang disebut-sebut akan menjadi pilihan PAS Terengganu.

Mohd Sayuti Omar (MSO), penganalisis dan ‘orang yang tahu dalaman PAS’ menyifatkan pilihan Muhammad Sabu oleh Nik Aziz itu hak peribadi beliau. Beliau berkata tentu ada motif dan tujuan sendiri kenapa begitu cepat memuji Mat Sabu begitu sekali. Semacam ada orang yang menggerakkan lidah Nik Aziz untuk berkata demikian dengan tujuan tertentu, kata Sayuti

Saya mahu tanya - siapa ya? Mungkin saya boleh agak (baju petak ke?) tetapi tidak berani kerana saya bukan tahu sangat hal PAS ini.

Kata Sayuti: “Dalam suasana hari ini Pas harus cari calon yang mampu membawa kemenangan dan bukan saja yang petah dan hebat berpidato atau berlidah lantang. Calon mulut bisa kalau tidak membawa kemenangan ia tidak memberi apa-apa erti.”

Bagi Sayuti, pandangan Setiausaha Agung Pas, Kamaruddin Jaaffar adalah tepat dan munasabah. Apa yang penting Pas perlu meletakkan calon yang dirasakan dapat membawa kemenangan.

Sayuti memilih Musatafa Ali lebih berkemampuan untuk meraih kemenangan kepada Pas berbanding dengan Mohamad Sabu. Ada beberapa kelebihan kepada Mustafa. Bukan kerana kedudukannya sebagai Pesuruhjaya Pas Terengganu, tetapi hubungan kekeluargaan beliau dengan pengundi di Kuala Terengganu itu sendiri.

Mustafa mempunyai keluarga besar di Kuala Terengganu. Sudah pasti rangkaian itu boleh dimaafkan untuk kemenangan Pas. Menurut satu maklumat beliau juga ada mempunyai pertalian persaudaraan dengan Allahyarham Razali Ismail, ahli Parlimen sebelum ini.

Satu perkara lagi perlu disedar, menurut Sayuti, suasana pilihan raya kecil berbeza dengan pilihan raya umum. Pilihan raya kecil biasanya akan mendapat fokus semua orang.

Justeru hal-hal yang tidak sepatutnya diambil kira termasuk isu peribadi turtu akan diperkatakan. Keadaan ini sudah tentu isu orang luar dan orang dalam akan menjadi bahan kempen.

Kata Sayuti: “Sekiranya Mustafa Ali bertanding dan Anwar Ibrahim ikhlas membantu, saya rasa peluang Pas memenanginya lebih 60 peratus. Dan jika ini berlaku juga - Mustafa Ali bertanding dan Anwar membantunya akan selesai sedikit masalah yang timbul di kalangan mereka. Pilihan raya itu boleh dijadikan wadah mengeratkan semula ikatan Pas dengan PKR.

Paling penting pilihan raya ini menginsafkan Mustafa dan kalau ditakdirkan menang maka bolehlah Mustafa bergerak untuk meneruskan semula projek 16 September yang terbangkalai itu.”

Jika demikianlah pendapat Sayuti, PAS pastinya akan melalui jalan ‘sukar sedikit’ menentukan calon dan Mohamad Sabu tidak akan kembali lagi ke Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, untuk menepis pandangan Nik Aziz dan orang yang dikatakan mempengaruhinya menyebut nama Mohamad Sabu itu mungkin memerlukan keberanian dan ketegasan.

Ini hal ehwal PAS Terengganu – wajarkah Nik Aziz dan ‘orang itu’ masuk campur?

Jika PAS dalam suasana sedemikian menentukan calon, bagaimana pula dengan Barisan Nasional, khusunya UMNO.

(Ikuti sambungan esok)

1 comment:

  1. UMNO kalah bukan PAS kuat tetapi aktiviti "menebas dan mencantas" calon .Itu sahaja....

    ReplyDelete