Friday, December 19, 2008

KINI TIDAK PASTI PULA!

Hari itu beria-ia benar, kini tidak pasti pula.

Demikianlah sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai keputusan merombak Kabinet.

Katanya, beliau belum membuat keputusan sama ada akan membuat rombakan Kabinet sekarang.

Ketika di Ashgabat pada 19 November lalu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak menolak kemungkinan akan membuat satu rombakan Kabinet yang melibatkan perubahan dan pengubahsuaian portfolio dalam masa terdekat.

"Kemungkinan sentiasa ada," kata Perdana Menteri kepada wartawan Malaysia.
Akibatnya ramai tertanya-tanya bilakah Abdullah akan menggunakan prerogatifnya merombak Kabinet dengan perlantikan baru, pengguran atau juga pengekalan portfolio Menteri-Menteri dan Timbalan Menteri.

Ramai juga tertanya-tanya siapakah yang akan jadi mangsa kali ini.
Banyak mata melihat kepada calon Timbalan Presiden UMNO, khususnya Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang lantang menyuaran pelan peralinan kuasa dipercepatkan dari Jun 2010.

Ada ramalan mengatakan Muhyiddin akan menerima ‘penangan Pak Lah’ kerana suara-suaranya yang lantang. Malah Perdana Menteri turut menjawab perkara-perkara yang ditimbulkan Muhyiddin ketika di Kota Kinabalu baru-baru ini.

Ada juga yang meramalkan Muhyiddin akan digugurkan daripada Kabinet, namun ramai juga mengatakan ia tidak akan terjadi kerana ia akan memberikan kelebihan kepada Muhyiddin.

Orang UMNO akan bersimpati kepadanya jika beliau digugurkan.

Malah pengumuman itu menyebabkan ada spekulasi bahawa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai menteri kepada Presiden MCA, Datuk Ong Tee Kiat.

Bernama yang memetik sumber sebagai berkata, Ka Chuan menyerahkan surat peletakan jawatan tanpa tarikh ekoran kekalahannya dalam pemilihan parti 18 Oktober lalu.

Ka Chuan tewas kepada bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam saingan merebut jawatan Timbalan Presiden MCA. Isu perletakan jawatan itu dikatakan tidak wujud pun.

Kata Abdullah rombakan dicadangkan sebelum ini tidak semestinya hanya bagi mengisi jawatan yang dikosongkan wakil MCA.

"Itu bukanlah rombakan. Rombakan itu ada tukar portfolio atau membuat adjustment (pengubahsuaian) kepada portfolio," katanya.

Ditanya mengenai Ka Chuan, Abdullah berkata, beliau menghormati pendiriannya jika pemimpin MCA itu hendak meletak jawatan dari Kabinet atas sebab kukuh tetapi sejauh ini Menteri itu masih dalam Kabinetnya.

Berikutan itu, beberapa blog agak nakal, umpamanya Tranungkite 22 November lalu mengatakan kononnya orang kanan Datuk Seri Mohd Najib Razak mengesahkan bahawa Datuk Nasir Ibrahim , Dr.Puad Zakashi dan Datuk Tajuddin Rahman akan dilantik sebagai Timbalan Menteri pada rombakan kabinet ini.

Datuk Tajuddin yang sebelum ini dikatakan akan memegang jawatan Timbalan Menteri Pelancongan, Dr.Puad jawatan Timbalan Menteri Luar, dan Datuk Nasir akan dilantik sebagai Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri(Kewangan).

Ini adalah bagi persediaan mereka untuk dilantik sebagai menteri penuh apabila Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri nanti,katanya mereka akan memegang jawatan Menteri yang mereka sandang sebagai Timbalan itu.

Jadi apabila Perdana Menteri Perdana Menteri pada sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini ketika diminta mengulas perkara itu kelmarin. mengatakan “Belum pasti hendak buat atau tidak. Saya tidak dapat nak kata apa-apa pada waktu ini,"

Aneh juga, selalunya apabila kenyataan menyatakan rombakan akan dibuat, ia mesti berlaku. Dan tempoh antara kenyataan akan merombak dengan pengumuman itu tidak lama. Tapi kini rasanya dah lebih sebulan.

Atau apakah Abdullah akan menunggu sehingga Mac depan untuk membolehkan Perdana Menteri baru mengumumkannya?

Abdullah dijangka menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Najib pada Mac depan mengikut perjanjian pelan peralihan kuasa yang dicapai dalam Umno.

Lagipun tinggal tiga bulan sahaja lagi untuk Kabinet ini diteruskan. Lainlah kalau ada keperluan mendesak atau mahu menjamin seseorang kalah atau menang.

Apapun, dalam asa tiga bulan, apa yang boleh dilakukan oleh menteri atau timbalan menteri baru khususnya daripada UMNO?

Mungkin boleh ialah menawarkan tender, kontrak atau kerja-kerja tertentu untuk meraih sokongan.

Jawapnya akan makin banyaklah rasuah berlaku dan semakin punah-ranahlah UMNO!

No comments:

Post a Comment