Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu sudah sah akan diumum Sabtu ini.
Ini disahkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Felda dan Fama mengenai projek Taman Kebun Dapur di Dewan Perdana Felda di Kuala Lumpur pagi ini.
Tetapi yang seronoknya ialah mengenai calon Bebas.
Kalaulah Allahyarham P Ramlee masih hidup, dia tentu akan berkata seperti berikut “Berapa banyak calon bebas ahhh?” yang menggambarkan betapa meriahnya pilihan raya kecil Terengganu kali ini.
Meriahnya bukan sahaja kerana Barisan Nasional (BN) akan mempertahankan kerusinya pada ketika pembangkang nampak begitu gairah dan yakin akan memang tetapi pilihan raya kecil kali ini mungkin memecah rekod dari segi penyertaan calon bebas.
Persoalannya untuk apa calon bebas bertanding? Bebas untuk apa apa? Bolehkah mereka ini berfungsi seperti Datuk Ibrahim Ali, calon Bebas Parlimen Pasir Ma situ?
Atau ada penaja yang meletakkan mereka ini. Matlamatnya memecahkan undi dan bertujuan mengalahkan BN?
Pandangan awal mengatakan kehadiran calon bebas tidak akan menguntungkan UMNO tetapi lebih membantu pembangkang.
Sejauh ini, sudah ada tiga atau empat bakal calon bebas menunjukkan minat untuk menawarkan diri pada ketika Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calonnya tiga hari lagi - Sabtu ini - dan Pakatan Rakyat, atau lebih tepat PAS, sehari selepas itu.
Di pihak BN, sumber berkata Mohd Zuber Embong, 44, iaitu Ketua Sektor (Akademik) Jabatan Pelajaran Terengganu sudah pun meletakkan jawatan bagi membolehkannya bertanding mewakili BN.
Apa pun, esok mungkin saya akan lebih jelas siapa calon BN dengan berpandukan sumber yang lebih rapat dengan BN Terengganu. Tunggulah Insyallah.
PAS pula nampaknya masih belum pasti mengenai calon dan ketiga-tiga bakal calon jelas yakin akan terpilih. Dikatakan persaingan terakhir ialah antara Mustapa Ali dan Dr Syed Azman Syed Nawawi.
Kalau mengikut rakan saya Mohd Sayuti Omar mulanya beliau berkata PAS ada tiga calon yang menjadi sebutan dan sandaran untuk merampas kerusi berkenaan. Tiga nama disebut-sebut akan diletakkan oleh Pas, ialah Naib Presiden, Mohamad Sabu yang juga calon Pas di kerusi berkenaan dalam pilihan raya umum lalu, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mustafa Ali dan seorang ahli perniagaan Prof Khazani Abdullah.
Namun semalam, tinggal dua nama saya itu Dr Khazani dengan Mustafa Ali. Inilah dua nama yang sedang dipertimbangkan oleh Pas Terengganu. Perhatian sekarang ini kepada dua nama ini sahaja, itu kata Sayuit.
Saya sebenarnya lebih merasakan Dr Khazani akan terpilih walaupun Sayuti lebih memilih Mustafa.
Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu akan diadakan 17 Januari depan berikutan kematian Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail.
Pada pilihan raya tersebut Razali menewaskan calon PAS, Mohamad Sabu dengan majoriti 628 undi dan calon Bebas, Maimun Yusof pula mendapat 685 undi.
Terbaru, tidak peduli biar pun hilang wang deposit pada pilihan raya kecil Permatang Pauh pada Ogos lalu, namun Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) tidak serik dan berminat bertanding pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu tidak lama lagi.
Presidennya, Hanafi Mamat berkata, AKIM yakin mendapat sokongan rakyat berdasar prinsip perjuangan membela nasib orang Melayu.
AKIM ditubuh pada 1995 dikatakan mempunyai lebih 10,000 ahli dan dikatakan mendapat sokongan di kalangan tahfiz dan tabligh di Terengganu.
Menurut Hanafi, Akim akan mengadakan mesyuarat membincangkan penyertaan dalam pilihan raya di Kuala Terengganu dalam masa terdekat.
Harakahdaily melaporkan, Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan PAS Kelantan, Drs Zainuddin Awang Hamat menyifatkan penyertaan lain-lain parti seperti Akim dan Bebas sebagai satu perkembangan baru politik tanah air.
Katanya kemunculan mereka pada hakikatnya bukan menentang PAS atau Pakatan Rakyat (PR), sebaliknya melawan Umno.
Kelmarin, peniaga getah, Isma Airfath Hassanuddin, 38, mengumumkan hasratnya untuk bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari depan bagi membersihkan namanya yang tercemar ketika Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12), Mac lalu.
Isma Airfath yang berasal dari Kampung Kok Pauh, Rantau Panjang, Kelantan pernah bertanding sebagai calon bebas menggunakan lambang kepala harimau untuk Parlimen Rantau Panjang pada PRU12 dan kalah kepada calon Pas, Siti Zailah Mohd Yusoff dengan majoriti 4,486 undi.
Walaupun kalah pada PRU12 lalu dan hanya mendapat 320 undi, dia tetap bersemangat dan keazaman tetap ada untuk bertanding selagi termampu.
Dia terpanggil untuk bertanding atas kemahuan sendiri tanpa ditaja oleh sesiapa dan demi membuktikan bahawa proses demokrasi masih berjalan di negara ini.
"Sebelum ini saya pernah dikecam dan difitnah teruk kononnya bertanding atas tajaan sesetengah pihak. Oleh itu, motif utama saya masuk bertanding kali ini adalah untuk membersihkan nama baik saya yang tercemar sebelum ini.
"Saya harap kali ini tidak ada gangguan daripada mana-mana pihak dan saya boleh bertanding dengan aman,"katanya dalam satu sidang media di sebuah resort di sini, semalam.
Isma Airfath yang akan tetap menggunakan lambang kepala harimau kali ini berkata, dia tidak takut mengambil risiko seperti hilang wang pertaruhan pada PRU12 kerana baginya, kejayaan hanya boleh dikecapi apabila seseorang itu berani mengambil risiko.
Ditanya adakah dia yakin mampu menewaskan calon bebas, Maimun Yusof,82 yang turut mengumumkan hasrat untuk bertanding, dia berkata, perkara itu tidak akan menjejaskan semangatnya kerana masing-masing mempunyai peluang tersendiri.
Pada 14 Disember lalu, bekas calon bebas Parlimen Kuala Terengganu, Maimun Yusof, 89, mewujudkan laman blog sendiri bagi mengutip dana untuk digunakan sebagai wang pertaruhan bertanding merebut kerusi itu pada pilihan raya kecil kawasan itu 17 Januari depan.
Maimun yang lebih dikenali sebagai Tok Mun berkata, laman blog yang diwujudkan sejak dua minggu lalu, dijangka dapat membantunya mendapatkan tajaan yang diperlukan. Menurut warga emas itu, laman blog tersebut dihasilkan dengan bantuan seorang penyokongnya yang menawarkan perkhidmatan tersebut secara percuma.
Menurutnya, selepas mendapat berita kematian Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Razali Ismail pada 28 November lepas, dia menyimpan hasrat untuk bertanding sekali lagi selepas berbuat demikian pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lepas.
Tok Mun akan mengupah dua orang untuk menjadi pencadang dan penyokongnya pada hari penamaan calon, 6 Januari depan..
No comments:
Post a Comment