Melayu ada UMNO dan Melayu ada PAS.
Melayu bersorak dan berjuang demi Ketuanan Melayu dan demi Islam.
Apakah dengan Ketuanan Melayu kita menjadi bangsa mulia?
Apakah dengan memperjuangkan Islam melalui parti yang kita dokong membawa menjadikan orang Melayu yang rata-ratanya Islam bangsa yang berada?
UMNO berjuang membasmi kemiskinan kerana ‘kemiskinan boleh membawa kekufuran?’ PAS pun berjuang sama!
Melayu bergaduh sesama Melayu untuk menyatakan siapa lebih Islam.
Melayu bergaduh sesama Melayu untuk mengatakan siapa lebih Melayu.
Kemudian ada Melayu yang ‘Melayu Mudah Lupa’ menikam sesame kaumnya – orang Melayu.
Baiklah, hari ini kita sama-sama bersorak, “Yei...Kita Bangga’ kerana Melayu paling ramai pendapatan bawah RM1,000 di Malaysia.
Baca berita berikut supaya kita boleh terus berbangga!
Melayu paling ramai pendapatan bawah RM1,000
Oleh WAN SYAMSUL AMLY
(Utusan Malaysia)
KUALA LUMPUR 11 Nov 2008 – Kaum Melayu merupakan kumpulan terbesar dalam senarai penduduk negara ini yang pendapatannya di bawah RM1,000 sebulan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S. K. Devamany berkata, berdasarkan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (HIS) yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun lalu, sebanyak 301,000 isi rumah kaum Melayu memperoleh pendapatan di bawah RM1,000 sebulan.
‘‘Sebanyak 495,500 isi rumah yang mempunyai pendapatan di bawah RM1,000 sebulan secara keseluruhannya.
‘‘Pecahan itu merangkumi 50,900 isi rumah kaum Cina, India (29,000), Kadazan (29,300), Orang Asli (7,500) dan lain-lain (78,800),” katanya semasa menjawab soalan Dr. Micheal Jeyakumar Devraj (PKR- Sungai Siput) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, bagi kumpulan berpendapatan antara RM1,001 hingga RM2,000 pula, keseluruhan bilangan isi rumah ialah 1,695,900 isi rumah dengan 976,500 daripadanya adalah Melayu, 338,300 (Cina), 125,300 (India), 38,800 (Kadazan), 9,800 (Orang Asli) dan 207,200 untuk kaum-kaum lain.
Dalam pada itu katanya, sebanyak 1,144,700 isi rumah memperoleh pendapatan antara RM2,001 hingga RM3,000.
‘‘Seramai 614,700 daripada mereka adalah orang Melayu, 300,800 (Cina), 121,500 (India), 15,300 (Kadazan), 2,500 (Orang Asli) manakala 89,900 isi rumah daripada kaum-kaum lain.
‘‘Bagi pendapatan antara RM3,001 hingga RM4,000 terdapat sebanyak 743,000 isi rumah dengan 380,500 daripadanya adalah Melayu, 234,700 (Cina), 73,300 (India), 8,900 (Kadazan), 1,000 (Orang Asli) dan 44,600 kaum lain.
Katanya, seramai 497,800 isi rumah memperoleh pendapatan antara RM4,001 hingga RM5,000 pula dengan 254,700 daripadanya adalah Melayu, 166,600 (Cina), 44,800 (India), 6,900 (Kadazan), 200 (Orang Asli) dan 24,600 kaum lain.
‘‘Bagi pendapatan antara RM5,001 hingga RM10,000, ia membabitkan seramai 914,200 isi rumah.
‘‘Daripada jumlah itu, 419,200 adalah Melayu, 368,400 (Cina), 76,800 (India), 13,400 (Kadazan) dan 36,500 lain-lain kaum.
‘‘Sebanyak 235,300 isi rumah memperoleh pendapatan antara RM10,001 hingga RM20,000 dengan 85,700 adalah Melayu, 118,700 (Cina), 23,400 (India), 800 (Kadazan) dan 6,700 kaum lain,” jelasnya.
Sementara itu, terdapat 49,500 isi rumah yang memperoleh pendapatan melebihi RM20,000 sebulan dengan 16,500 adalah Melayu, 27,900 (Cina), 3,600 (India) dan 1,500 dari kumpulan etnik lain.
No comments:
Post a Comment