Saturday, November 8, 2008

TIDAK WAJAR JADIKAN 3 HAKIM JUTAWAN SEGERA

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz mengelirukan Parlimen?
Demikian menurut Anggota Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh yang menyifatkan kenyataan Nazri bahawa hakim-hakim yang terlibat dalam krisis Kehakiman 1988 tidak dipecat tetapi diminta bersara awal, sebagai mengelirukan.

Sinar Harian yang membawa tajuk “3 bekas Hakim Jadi Jutawan” (jutawan segera?) semalam melaporkan, ketika menjawab soalan soalan Wee Choo Keong (PKR-Wangsa Maju) sama ada hakim berkenaan dipecat atau diarahkan berhenti lebih awal, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Azizi berkata, tidak pernah ada tribunal ditubuhkan di mahkamah yang memutuskan memecat mereka.

“Tidak pernah panel dipanggil dan dibentuk untuk memecat...soal pemecatan itu satu hukuman, soal syor berhenti awal juga satu hukuman...tidak ada tribunal dibentuk untuk memecat (mereka),” katanya.

Karpal berkata Nazri mesti menjelaskan mengapa beliau membuat kenyataan secara terbuka di Parlimen yang memberi tafsiran bahawa nama-nama hakim itu telah dibersihkan oleh tribunal, bertentangan dengan hasil siasatan dua buah tribunal berkenaan.

Karpal merujuk kepada Malayan Law Journal (MLJ) bertarikh 28 Okt 1988 yang melaporkan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan hakim-hakim Mahkamah Agung Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawan Teh dan Datuk George Edward Seah dipecat dari jawatan selepas tribunal mendapati mereka bersalah kerana salah laku.

Mereka bagaimanapun, menerima pencen penuh.

Tiga hakim lain, Tan Sri Datuk Mohd Azmi Kamaruddin, allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcader dan Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh telah digantung tugas tetapi dikembalikan jawatan mereka.

Bagi Karpal, ketika membuat kenyataan di Istana Kehakiman di Kuala Lumpur semalam katanya, bagi mengembalikan penghormatan dan digniti hakim-hakim yang dipecat itu, Kerajaan sepatutnya telah menubuhkan dua tribunal untuk membersihkan mereka daripada tindakan yang telah diambil terhadap mereka dan bukan memberikan bayaran ex-gratia.

"Apa yang sepatutnya telah dilakukan ialah bukan membayar ex-gratia kepada hakim-hakim itu tetapi mengadakan sebuah lagi tribunal bagi membersihkan nama mereka.

Ini masih boleh dilakukan. Membayar ex-gratia kepada mereka tidak membersihkan mereka daripada didapati bersalah kerana salah laku," kata beliau.

Karpal berkata bayaran ex-gratia itu malahan bererti yang Kerajaan berpendapat bahawa mereka (hakim-hakim itu) sebenarnya tidak bersalah.

Karpal berkata beliau akan membawa usul mengemukakan Nazri di bawah Peraturan Tetap 36 (12) kerana mengelirukan Parlimen Isnin lalu dimana beliau kemudian akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak Istimewa untuk tindakan diambil.

Jadi daripada apa yang dikatakan oleh Karpal itu, menjadikan tiga bekas hakim itu sebagai jutawan (jutawan segera) tidak wajar?

Apakah ini bermakna ‘buta-buta’ sahaja hakim-hakim berkenaan mendapat sejumlah RM10.5 juta itu?

Wang siapa itu? Jika Karpal berpendapat tidak perlu membayar untuk membersihkan kesemua mereka, cukup dengan ditubuhkan dua tribunal membersihkan nama mereka, kenapa keputusan ‘memberi duit’ berkenaan dibuat?

Bagaimana kerajaan boleh memilih cara ‘membayar ex-gratia’ berbanding tribunal yang lebih telus?

Siapa mahu bertanggungjawab kepada soal ini? Datuk Zaid Ibrahim sudah berhenti menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Mungkin Nazri terpaksa pikul beban ini?

Kerajaan baru-baru ini membayar ex-gratia sebanyak RM10.5 juta kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Salleh Abas dan lima lagi bekas Hakim Kanan.

Bayaran kepada Mohd Salleh melibatkan RM5 juta, Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh (RM2 juta) dan Tan Sri George Edward Seah Kim Seng juga RM2 juta.

Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer dan Tan Sri Azmi Kamaruddin pula masing-masing menerima bayaran berjumlah RM500,000, katanya.

Nazri berkata, keputusan secara dasar telah dibuat Jemaah Menteri sama ada untuk membayar atau tidak ex-gratia kepada hakim berkenaan.

“Kita memutuskan untuk membayar dan soal menentukan berapa, perkara itu dilakukan oleh pihak ibu pejabat kewangan untuk tentukan berapa nilainya.

Kita cuma berikan bayaran ex-gratia tapi jumlahnya ditentukan (diluluskan) oleh Kabinet,” kata Nazri ketika sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2008 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat di sini, semalam.

Selain bayaran ex-gratia, beliau berkata, lima bekas hakim itu turut menerima pencen bulanan iaitu Mohd Salleh sebanyak RM5,102.16, Wan Suleiman (RM4,815), Eusoffe (RM4,815), Wan Hamzah (RM6,508.59) dan Azmi (RM5,916.90).

1 comment:

  1. Bila pemimpin kerajaan cari kuasa untuk kaya raya - apa salahnya sesekali beri orang jadi kaya!

    http://rp-semantan.blogspot.com

    ReplyDelete