Dengan berbaki 50 UMNO Bahagian yang belum bermesyuarat, banyak orang bercakap mengenai apakah pertandingan jawatan nombor dua menjadi satu lawan satu atau tiga penjuru iaitu antara Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam serta Tan Sri Muhammad Muhd Taib?
Minggu lalu, selepas 23 UMNO bahagian selesai mengadakan mesyuarat Muhyiddin tetap jauh di depan dengan 78 pencalonan diikuti oleh Ali sebanyak 32 manakala Muhammad dengan 30.
Berdasarkan kuota kelayakan 39 pencalonan , Ketua Menteri Melaka itu memerlukan hanya tujuh pencalonan manakala Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sebanyak 10 pencalonan lagi untuk layak bertanding.
Kemudian siapa pula akan memenangi tiga Naib Presiden.
Di sebalik semua itu yang wajar diperkatakan ialah Datuk Seri Mohd Najib Razak mempunyai tugas berat jika menjadi Perdana Menteri.
Beliau mengambil alih jawatan ketika ekonomi negara dan dunia dilanda kesuraman yang memerlukan pendekatan baru mengatasi kemelesetan ekonomi, pertumbuhan perlahan dan krisis kewangan yang belum boleh dipastikan bila akan berakhir.
Najib sendiri sudah meminta rakyat supaya bersedia untuk berhadapan dengan tahun 2009 yang diramal menjadi tempoh sukar berbanding dengan apa yang dilalui tahun ini.
Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan itu berkata, dengan kekuatan ekonomi dalaman yang ada, kerajaan tetap berkeyakinan bahawa ekonomi negara mampu mengelak daripada kemelesetan.
Menurut Najib, pada masa yang sama keyakinan itu bukanlah bermakna yang kerajaan terlalu optimis kerana Malaysia juga tidak dapat lari daripada menerima bahang atau tempias krisis ekonomi global.
Pada 16 Oktober lalu, Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi tahun depan kepada 3.4 peratus berbanding unjuran awal lima peratus sambil menyifatkannya angka terbaru itu sebagai lebih realistik.
Bagi tahun ini, unjurannya juga disemak semula kepada 5.3 peratus berbanding unjuran awal pada 4.6 peratus . Unjuran itu dianggap bersesuaian dengan keadaan semasa berikutan negara turut menerima impak daripada krisis kewangan global.
Sehari sebelum itu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini dijangka berada antara lima hingga 5.5 peratus, unjuran yang lebih rendah berbanding 5.7 peratus sebelum ini, manakala tahun depan pula disasarkan berkembang pada angka yang lebih kecil iaitu sebanyak empat peratus.
Mengulas lanjut, Mohamed Ariff menjelaskan, unjuran KDNK lebih rendah pada tahun depan dibuat berdasarkan kepada pendapatan kerajaan yang diramalkan terjejas secara serius kerana penurunan harga minyak di pasaran global.
Mohamed Ariff yakin, ekonomi negara akan pulih dan kembali pada landasan yang asal menjelang tahun 2011.
Sementara Najib juga berdepan dengan kancah senario politik yang semakin menghapuskan pengaruh Barisan Nasional (BN) dan jika lambat memulihkannya, ia akan menjadi semakin parah.
Kesannya jika dibiarkan, akan dapat dilihat pada pilihan raya umum akan datang di mana sepatutnya boleh diadakan lebih awal bagi mengesahkan kedudukan beliau.
Berdasarkan unjuran MIER dan Bank Negara itu, jika berdasarkan faktor ekonomi pilihan raya hanya wajar diadakan selepas 2011.
Apakah Najib mampu menunggu sehingga 2012 untuk pilihan raya mendapatkan mandat baru?
Tun Dr Mahathir Mohamd mengesahkan penerimaan rakyat serta mandat terhadapnya hanya Sembilan bulan selepas memegang jawatan Perdana Menteri pada 16 Julai 1981 dan mengadakan pilihan raya umum pada 22 April 1982.
Manakala Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut melakukan perkara yang sama apabila mengambil alih pada 1 November 2003 dan mengadakan pilihan raya empat bulan kemudian pada 21 Mac 2004.
Persoalannya, beranikah Najib melakukan pilihan raya pada awal 2010 untuk mandat baru jika keadaan ekonomi terus-terusan perlahan dan imej kerajaan BN semakin tercalar?
Inilah menjadi tanda tanya bagaimana Najib akan melaksanakan usaha memulih dan memperteguhkan kembali ekonomi negara dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN)?
Siapakah pembantu dan pasukan yang akan diwujudkan oleh beliau daripada kalangan UMNO bagi tujuan itu?
Nampak gayanya tidak akan kiu atau petunjuk siapa yang dimahukan Najib menjadi Timbalan Presiden serta Naib dan jawatan-jawatan Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri melalui Mesyuarat UMNO Bahagian Kepala Batas dan Pekan yang dijadualkan bersidang hujung minggu ini.
Ini kerana tidak akan ada sebarang pencalonan untuk pemilihan parti Mac depan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata 5 November lalu, kedua-dua bahagian tersebut telah mengemukakan permohonan agar dikecualikan daripada membuat pencalonan. Permohonan itu juga telah diluluskan oleh Majlis Tertinggi (MT).
“Perlembagaan UMNO tidak menghalang bahagian yang diketuai oleh Presiden dan Timbalan Presiden daripada membuat pencalonan. Bagaimanapun, kedua dua bahagian itu sudah mengemukakan permohonan supaya diberi pengecualian dan ia telah diluluskan oleh MT,” katanya.
Oleh kerana tidak ada pertunjuk, ramnai merujuk kepada mesyuarat UMNO Bahagian Pagoh pada 12 Oktober lalu yang mencalonkan Najib serta Ketua UMNO Bahagian itu, Muhyiddin sendiri untuk bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pemilihan parti Mac tahun depan.
UMNO Bahagian tersebut turut mencalonkan Datuk Seri Hishmmuddin Tun Hussein, Datuk Seri Rais Yatim dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal untuk bertanding jawatan Naib Presiden.
Dengan tiadanya petunjuk sedemikian apakah bermakna Najib tidak mahu menunjukkan siapa yang akan bergandingan dengannya?
Apakah dengan bersikap demikian, Najib boleh menerima sesiapa sahaja selain Muhyiddin yang kini layak bertanding atau Mohd Ali dan Muhammad yang hampir layak untuk bertanding?
Memang kali ini tiada pasukan dalam pertandingan jawatan tinggi UMNO tetapi Najib atau ‘Perdana Menteri Yang Sedang Dalam Pembikinan’ sudah pasti sudah mengenal pasti siapa yang akan menjadi pembantu beliau.
Pemilihan ini mengingatkan kembali kepada pertandingan antara Musa Hitam (Tun) dan Tengku Razaleigh Hamzah untuk menjadi orang nombor dua kepada Perdana Menteri.
Ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad ‘tunjuk dengan jelas’ beliau mahukan Musa. Musa memang kerana ahli UMNO menyokong gandingan 2M yang bakal menerajui negara pada awal 80an.
Sebaliknya, sehingga kini masih belum jelas siapa yang Najib mahukan untuk menjadi pembantunya, selain tiga Naib Presiden yang dianggap antara paling penting dalam hiraki UMNO.
Bilakah atau bagaimanakah Najib akan membuka mulut atau member isyarat siapa yang beliau mahu di kalangan calon bertanding untuk jawatan Timbalan, Naib dan Majlis Tertinggi, selain wanita, pemuda dan puteri?
Rasanya dia akan tanya Rosmah dulu!
ReplyDeletehttp://rp-semantan.blogspot.com