Tuesday, November 11, 2008

SHAHRIZAT TETAP ‘LANGGAR’ RAFIDAH?

Pada ketika akhbar-akhbar online dan portal berita Malaysiakini melaporkan Mesyuarat Exco Pergerakan Wanita UMNO semalam sebulat suara bersetuju supaya proses peralihan kuasa kepimpinan pergerakan itu kekal seperti yang dirancangkan pada Jun tahun depan, MStar Online pula pergi jauh sedikit dengan mengatakan kemungkinan akan ada pertandingan dalam pergerakan itu.

Utusan Malaysia Online dan Malaysiakini semalam melaporkan, sudah ada kesepakatan dalam Pergerakan Wanita UMNO dan dengan persetujuan itu bermakna tiada pertandingan untuk dua jawatan utama pergerakan itu pada pemilihan semasa Perhimpunan Agung Umno pada Mac tahun depan.

Tan Sri Rafidah Aziz akan kekal menjadi Ketua Wanita Umno sehingga Jun 2009 dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mendapat pencalonan untuk jawatan Ketua Wanita Umno tidak akan bertanding jawatan berkenaan dan kekal sebagai Naib Ketua Wanita sehingga Jun.

Selepas mesyuarat parti berakhir kelmarin, terdapat dua calon yang melepasi kuota kelayakan untuk bertanding jawatan Naib Ketua Wanita iaitu penyandangnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Kamilia Ibrahim.

Rafidah pada persidangan akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pergerakan Wanita di Menara Dato’ Onn PWTC berkata: “Kita telah berbincang dengan panjang lebar mengenai pencalonan. Exco bersetuju dengan pelan peralihan yang telah diputuskan dan akan berlaku pada bulan Jun, 2009.

Exco juga menegaskan supaya tidak ada pertandingan untuk jawatan ketua dan naib ketua. Ini telahpun dibincangkan dan diputuskan sedemikian untuk menjamin perpaduan dalam Umno. Ia juga untuk membantu dalam proses pemulihan Umno dan untuk kita memberi kekuatan kepada parti dan juga kepada presiden Umno.”

Mesyuarat itu bermula pukul 10.30 pagi dan berlangsung selama kira-kira enam jam.

MStar Online semalam sebaliknya dalam laporannya dengan mengemukakan soalan apakah Shahrizat berubah fikiran dalam soal peralihan kuasa dan saingan merebut kerusi Ketua Wanita?
Selepas mesyuarat Exco Wanita itu Shahrizat berkata, cadangannya supaya pelan peralihan kuasa daripada Rafidah kepada beliau dipercepatkan kepada Mac depan ditolak oleh mesyuarat pergerakan itu hari ini.

"Cadangan mempercepatkan pelan peralihan kepada Mac semasa Perhimpunan Agung Umno tidak diterima (Tan Sri) Rafidah dan exco, tetapi pelan peralihan seperti yang dirancang pada Jun tahun depan dikekalkan," katanya.

Kepada Bernama selepas sidang akhbar itu, Shahrizat berkata, keputusan exco ialah untuk menerima saranan Rafidah seperti asal di samping menentukan tiada pertandingan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua pergerakan itu.

Shahrizat berkata pada masa yang sama, akan ada rundingan secara damai untuk menyelesaikan isu pengisian jawatan dan usaha untuk berunding bersama Datuk Kamilia Ibrahim, exco Wanita Umno yang turut layak bersama beliau untuk bertanding jawatan Naib Ketua.

Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said menunjukkan minatnya untuk bertanding Naib Ketua.

Bagaimanapun, beliau hanya menerima 20 pencalonan, sekali gus gagal melepasi kuota kelayakan 29 pencalonan untuk membolehkannya bertanding jawatan nombor dua pergerakan berkenaan.

Azalina bagaimanapun menyifatkan dirinya tidak gagal walaupun tidak layak bertanding jawatan Naib Ketua Wanita pada pemilihan parti Mac tahun depan. Menurutnya, walaupun tidak layak bertanding, namun Azalina menganggap percubaan kali pertamanya itu sebagai satu ‘kejayaan’ kepada dirinya sambil memberikan pengertian besar kepada Wanita UMNO.

Ditanya langkah beliau seterusnya ekoran penolakan usahanya agar pelan peralihan kuasa dipercepatkan selaras dengan pelan peralihan Umno induk, beliau berkata:
"Saya juga akan mengambil kira suara daripada akar umbi dan berusaha untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk Wanita Umno." "Untuk pelan peralihan ini berjaya, kita perlu ada kerjasama Kamilia, kalau tidak, akan ada pertandingan nanti untuk jawatan Naib Ketua".

Shahrizat berkata, beliau akan berusaha menyelesaikan isu itu secara damai berlandaskan kepada pendirian Rafidah, exco Wanita Umno serta amanah yang diberikan oleh akar umbi.
Kamilia yang juga Ketua Wanita Bahagian Kuala Kangsar, sebelum ini berkata, beliau mahu pelan peralihan itu dipercepatkan bagi mengukuhkan kepimpinan pusat pergerakan itu.Beliau berkata jika tempoh peralihan itu dilaksanakan mengikut perancangan asal, ia akan merugikan pergerakan itu kerana ia akan memberi kekosongan kepada jawatan Ketua Wanita dan melemahkan kepimpinan parti.

Shahrizat, yang turut layak bersama Rafidah bertanding jawatan Ketua Wanita pada pemilihan parti akan datang, bagaimana pun enggan menyatakan sama ada beliau akan membuat keputusan ke arah itu dalam masa terdekat seperti yang digesa oleh akar umbi.

Namun, menurut laporan Utusan Malaysia Online pula, Shahrizat pada persidangan akhbar yang sama berkata beliau menerima keputusan yang telah dibuat pada mesyuarat Exco hari ini.

No comments:

Post a Comment