Sunday, November 16, 2008

MESEJ PENTING DARIPADA NAJIB

Ahli UMNO kini berdepan dengan tiga pilihan dalam menghadapi ujian memilih pemimpin bagi masa depan UMNO.

Ia terpakai dalam semua bidang pemilihan, sama ada peringkat tertinggi parti atau juga bahagian.

Tiga pilihan itu membabitkan ‘kawanku’, ‘poketku’ atau ‘negaraku’.

‘Kawanku’ bermaksud seseorang ahli memilih kerana dia melihat seseorang calon itu rapat atau baik dengannya. Dengan kata lain dia boleh ‘terjah’ bila-bila masa.

‘Poketku’ bermakna ahli memilih pemimpin kerana sebab-sebab ‘ada kira-kira’, wang dan kedudukan atau lebih tepat habuan; dan
“Negaraku’ bermaksud ahli UMNO menolak kedua-dua di atas dan memilih pemimpin yang mampu memberikan sumbangan untuk negara tanpa mengira sama ada ia kenal serta mendapat habuan daripada pemimpin berkenaan.

Masalah politik wang yang diperkatakan sekarang hanya melihatkan ahli dan pemimpin yang memilih kepentingan ‘poketku’.

Dalam Islam disebut bahawa tangan yang memberi lebih mulia daripada tangan yang menerima tetapi dalam politik pertandingan, tangan yang member itu sebenarnya lebih hina daripada yang menadah.

Ini kerana kadangkala, tiada pun ada yang menadah tetapi tangan yang member pula bersikap ‘over’ untuk mendapatkan pencalonan dan sokongan.

Bercakap mengenai tiga pilihan ahli ini saya merasakan wajar sekali kita semua merujuk kepada kenyataan Datuk Seri Mohd Najib Razak kelmarin bahawa, “Tidak ada gunanya kita menang jadi ketua bahagian tetapi semua kerusi DUN dan Parlimen kita tersungkur” hendaklah dijadikan iktibar.

Najib tidak merujuk kepada sesiapa atau bahagian mana tetapi mesejnya jelas bahawa kemenangan merebut jawatan ketua UMNO bahagian tidak berguna jika parti tewas dan terlepas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Perdana Menteri juga menekankan bahawa kedudukan sebagai pemimpin atasan tidak akan membawa sebarang makna jika parti tidak mempunyai kuasa untuk memerintah.
Jelas sekali kenyataan ini juga boleh diterima pakai untuk perebutan jawatan tinggi parti yang akan berlangsung pada pemilihan Mac 2009 akan datang.

Tegas Najib: “Tidak ada maknanya kita jadi pemimpin atasan parti kalau parti kita tidak berkuasa.”

Beliau menyatakan perkara ini pada Perhimpunan Agung Tahunan Kedua Veteran UMNO Malaysia Ipoh malam kelmarin Najib menegaskan, jika UMNO mahu mengembalikan kekuatan dan bangkit daripada kekalahan seperti di Perak, semua pihak mesti kembali kepada asas perjuangan - parti lebih penting daripada perjuangan peribadi.

Tahniah kepada Najib yang berusaha memberikan peringatan itu dalam kedudukan di mana UMNO kini dikatakan parah kerana politik wang dan perkara-perkara berkaitan penyalahgunaan kuasa serta pilih kasih.

Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, perjuangan jujur dan ikhlas sebagaimana yang diamalkan oleh veteran UMNO membawa maksud amat mendalam kerana ia langsung tidak melibatkan sebarang ‘kira-kira’.

Tidak ada sesiapa boleh mempertikaikan perjuangan orang dulu adalah suci kerana sanggup berkorban apa saja untuk kepentingan parti manakala kepentingan diri ditolak ke tepi.
‘‘Jauh sekali pemimpin terdahulu minta apa-apa... yang ada cuma salam perjuangan. Tidak ada istilah salam kosong atau salam bersisi.

‘‘Dulu, tudung Wanita UMNO yang berwarna merah itulah yang dijadikan tempat untuk menadah sumbangan demi perjuangan parti,” ujar beliau.

Kata Najib, walaupun masa dan keadaan sekarang sudah jauh berubah, namun ahli parti mesti terus menghayati nilai perjuangan murni golongan veteran itu demi kebaikan UMNO.
Jelas sekali bahawa pilihan yang ada di tangan ahli UMNO kini hanya ‘negaraku’ dan menolak ‘kawanku’ apalagi ‘poketku’.

Hanya dengan nasihat, berpesan dan menggambarkan betapa hodohnya politik wang oleh pemimpin UMNO dapat menerapkan budaya ‘tolak politik wang’.

Pedulikan sesetengah pemimpin yang enggan bercakap mengenainya kerana mereka berat untuk mengatakannya kerana ‘mengamalkannya’ tetapi yang lain hendaklah tidak henti-henti ‘tarbiyah; kepada ahli UMNO mengenai bahayanya politik wang kepada UMNO.

Juga, tidak salah kalau menggunakan veteran UMNO untuk lebih kehadapan dalam mendidik dan menasihat ahli UMNO menolak politik wang kerana hanya ahli UMNO dapat membersihkan UMNO daripada karat politik wang.

No comments:

Post a Comment