Thursday, November 20, 2008

KESIAN DENGAN MAT TAIB

Lepas satu, satu.

Apa yang tidak kena dengan Tan Sri Muhammad Muhd Taib?

Minggu lalu ada pihak menuding jari kepadanya apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kehairanannya bagaimana calon yang tertinggal jauh tiba-tiba mendapat kelayakan bertanding Timbalan Presiden UMNO.

Dr Mahathir mengaitkan ‘politik wang’ yang membolehkan seseorang calon yang jauh tertinggal ke belakang tiba-tiba boleh layak bertanding.

Betul atau tidak betul apa yang dikatakan oleh Dr Mahathir tidak penting lagi tetapi Muhammad sudah jadi mangsanya.

Dan kelmarin Muhammad berdepan pula dengan kritikan terbuka di Dewan Rakyat bahawa pegawainya ‘berlagak’.

Betul ke tohmahan itu?

Selain tuduhan pegawainya berlagak, ada yang mengaitkan perlantikan pegawai khas itu ada tujuan politik – membantu menjamin beliau menang untuk pertandingan Timbalan Presiden.
Penggulungan Muhammad berkaitan perbahasan peringkat jawatankuasa untuk Kementerian Luar Bandar dan Wilayah bagi Bajet 2009 di Dewan Rakyat, terhenti beberapa kali apabila beberapa anggota Parlimen dari Sabah membangkitkan isu pegawai khas daripada kementerian itu yang didakwa 'berlagak' seperti anggota Parlimen.

Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) yang mendedahkan perkara itu, meminta penjelasan daripada Muhammad mengapa seorang pegawai khas kementerian itu boleh membuat lawatan ke kampung-kampung dan memberi pandangan tanpa meminta kebenaran wakil rakyat di kawasan itu.

Muhammad berkata pegawai khas itu berasal dari Tenom yang terletak di pedalaman Sabah dan berpendapat beliau hanya menyampaikannya kepada kementerian mengenai apa yang dilihat di kampungnya.

Semasa menjelaskan pertanyaan Datuk Anifah Aman (BN-Kimanis), Muhammad juga menafikan bahawa pelantikan pegawai khas itu mempunyai motif politik untuk mendapat sokongan bagi bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan Mac depan.

"Ia tidak mempunyai kaitan politik. Pegawai khas kementerian bukan saja dari Sabah, tetapi Pahang serta Kelantan pun ada dan pemilihan mereka ini adalah untuk membantu kementerian mengenal pasti masalah serta menyediakan jawapan pada sesi Dewan Rakyat seperti ini," katanya.

Pada penggulangan itu, Muhammad berkata Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mensasarkan bekalan elektrik 100 peratus di kawasan luar bandar di Semenanjung dan 90 peratus di Sabah dan Sarawak menjelang akhir 2010.

Katanya, sebanyak RM642 juta diperuntukkan sepanjang separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi meningkatkan penyediaan kemudahan itu.

Dua kejadian ‘malang’ menimpa Senator itu dalam tempoh tidak sampai seminggu.

Apa pula selepas ini?

No comments:

Post a Comment