Tuesday, October 7, 2008

PAK LAH TIDAK AKAN UNDUR AWAL?

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak akan mengumumkan hari ini mengenai keputusannya sama ada mahu mempertahankan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu Mac depan.
Ramai menaruh harapan ia akan dibuat hari ini.
Kini tumpuan adalah pada Dewan Tertinggi BN yangh akan mengadakan mesyuarat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di Kuala Lumpur, esok.
Perdana Menteri semalam berkata yang beliau akan mengumumkan hari ini atau esok sama ada beliau akan mempertahankan jawatan Presiden Umno.
Banyak pihak berharap ada sesuatu yang konkrit diumumkan oleh Abdullah selepas mesyuarat berkenaan.
Dengan mesyuarat akan hanya bermula kira-kira 4 petang, pengumuman mungkin hanya dibuat kira-kira 6 petang esok.
Banyak pihak meramalkan, walaupun beliau tidak membayangkan apakah keputusannya nanti, Abdullah yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN), dijangka mengumumkan yang beliau tidak akan mempertahankan jawatan itu pada pemilihan parti Mac tahun depan.
Jika beliau membuat keputusan tidak bertanding dan akan terus memegang jawatan Perdana Menteri, bermakna antara Oktober 2008 hingga Mac 2009 akan wujud vacuum dan suasana yang kurang selesa dalam konteks politik dan pelaburan.
Tempoh enam bulan (setengah tahun) amat panjang dan apa-apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh itu dan dengan keadaan Perdana Menteri akan melepaskan kuasanya, suasana tidak tenteram akan berlaku.
Dengan kata lain authoriti melaksanakan kuasa dan perkara-perkara membabitkan pentadbiran negara akan menjadi longgar dan tidak menentu.
Lebih-lebih lagi jika ada pula rancangan baru Pakatan Rakyat untuk mengambil alih pada ketika pemimpin UMNO masing-masing sibuk dengan pemilihan jawatan penting parti.
Kerana itu adalah baik sekiranya Abdullah mahu melepaskan jawatan dalam parti, beliau turut melepaskan jawatan Perdana Menteri.
Cumanya di sini sesiapa sahaja yang akan mengambil alih perlulah menjamin mereka benar-benar berpengaruh dalam UMNO dan BN kerana sokongan padu komponen penting untuk stabilkan BN.
Jika ada yang tidak kena, kemungkinan apa yang diperkatakan oleh Anwar bahawa ada mereka yang akan melompat parti akan benar-benar berlaku.
Pada ketika ini yang akan tersenyum lebar adalah Anwar dan Pakatan Rakyat, walaupun hakikatnya Pakatan Rakyat sendiri menghadapi masalah untuk membentuk kerajaan jika pun mendapat cukup kerusi di Parlimen.
Apapun, Perdana Menteri sudah mengatakan bahawa sebelum menyerahkan kepemimpinan parti dan kerajaan, beliau akan “meneruskan tugas bagi memastikan janji BN kepada rakyat menerusi manifesto pilihan raya umum Mac lalu ditunaikan."
Tidakkah usaha itu akan mengambil masa yang agak lama?
Mungkin menyedari ‘banyak yang perlu dilakukan oleh Abdullah’, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak percaya selagi Abdullah belum membuat sebarang pengumuman.

No comments:

Post a Comment