Monday, October 6, 2008

KERANA POLITIK, RAMADAN TIDAK BERERTI LAGI?

Saya bertanyakan kawan rapat yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pada pertengahan Ramadan: “Tidakkah boleh Anwar tunggu sekejab, sehingga selepas Hari Raya Aidilfitri untuk ‘menjadi Perdana Menteri’?”

“Kenapa mesti ada tarikh yang berubah-ubah dan dalam bulan Ramadan pula?” tanya saya.
Katanya, Anwar tidak boleh ‘tahan-tahan lagi’ untuk ke Putrajaya bagi ‘memulihkan Malaysia’.
Kemudian apabila tidak apa berlaku pada 16 September dan 23 September,dan tarikh baru ditetapkan ialah 1 Oktober 2008, iaitu bersamaan 1 Shawal.
Entahlah, tetapi yang nyata Ramadan dan 1 Shawal sudahmeninggalkan kita beberapa hari lalu.

Seharusnya Ramadan menjadi bulan ‘mengurang persengketaan’ atau ‘bulan aman’ seperti serusn-seruan sebelum ini, termasuk oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tahun lepas, tetapi bukan tahun ini.
Ternyata Ramadan kali ini di Malaysia paling ‘buruk’ kerana wujudnya pertelingakah, tuduh-menuduh di kalangan umat Islam yang berebut kuasa.
Amat menyedihkan apabila umat Islam semakin kerap bersengketa selain berpolemik yang setengahnya ‘entah apa-apa’ pada Ramadan kali ini.
Apa yang berlaku sejak 1 Ramadan lalu menunjukkan iklim politik dan realiti sebenar permainan politik umat Islam di negara ini kerana bukan sahaja polimik yang diutamakan tetapi juga dicampurkan dengan fitnah-fitnah yang menyakitkan.

Persoalannya, apakah mereka yang menggelarkan diri sebagai alim ulama tidak lagi mengambil batasan syarak sebagai keutamaan dan perhitungan ?
Ia berlaku bukan antara pemimpin pembangkang dengan pemimpin BN tetapi juga antara pemimpin UMNO sendiri. Seolah-olah tidak boleh tunggu selepas Ramadan lagi!
Hakikatnya sejak pilihan raya Permatang Pauh dan kemudian pengumuman 916 – keadaan bukan menjadi reda tetapi bertambah kalut - dan diikuti pula oleh tarikh 23 September dan seterusnya, dan seterusnya!
Ironinya, mereka yang terbabit dalam ‘pertelingkahan Ramadan’ kali ini bukan calang-calang, semuanya faham dan mengerti semangat dan mulianya Ramadan.

Alangkah baiknya sekiranya Ramadan menjadi bulan bebas fitnah dan persengketaan seperti yang disarankan sebelum ini.
Tidak bolehkan pemimpin kita menangguhkan dulu perbalahan politik atau Ramadan diisyitharkan sebagai bulan genjatan senjata permusuhan.
Saya sangat bersetuju dengan saranan dan pendapat bahawa Ramadan sepatutnya difokuskan kepada usaha bagi membolehkan umat memfokuskan kepada usaha peningkatan kualiti diri melalui aktiviti-aktiviti ibadah.
Bayangkanlah pemimpin-pemimpin seperti Nik Aziz sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi aktor penting dalam gerakan 916 bukan calang-calang pemimin Islam.

Sementara di pihak UMNO, beberpa pemimpin yang ‘dalam kefahaman mereka dalam Islam’ turut terikut-ikut dengan rentak pembangkang dan pemilihan UMNO yang kini ditangguhkan ke Mac tahun depan.
Kita berharap apa yang berlaku pada Ramadan kali ini tidak akan berlaku lagi pada Ramadan tahun depan dan saya berdoa agar Tuhan mempertautkan hati-hati manusia Melayu-Islam di Malaysia berteraskan iman dan takwa.
Akhirilah segera adu-domba dan fitnah-memfitnah menjelang 1 Shawal dan janganlah ada lagi pemimpin-pemimpin Islam-Melayu yang tidak menghiraukan ‘kesucian Ramadan’.
Kedatangan 1 Shawal lalu diharapkan perbuatan kata-mengata dan ‘buruk-memburukkan’ tidak akan berlaku lagi demi imej Islam itu sendiri.

Selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf jika keterlanjuran!

No comments:

Post a Comment