Saturday, June 4, 2016

PAS & PKR – CINTA SEPARUH JALAN, TERPAKSA BERALIH ARAH?


”PKR perlu pilih mahu bersama PAS atau Pakatan Harapan (PH)?”

Dah gila talak ke apa? 

Sudah terang lagi bersuluh, PKR tidak mahu bersama PAS lagi. Jangan nak bernostalgia lagi!

Kehadiran Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail ke dua pengumuman calon Parti Amanah Negara (AMANAH) untuk Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar,  membuktikan segala-galanya.

Sebaliknya pemimpin PAS, terutamanya kalangan pemuda dan muslimat masih lagi bertanyakan PKR sama ada memilih ‘aku atau dia”? Macam drama tv pulak pemimpin PAS sekarang ini.

Pada 14 September tahun lalu, Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) pada melahirkan rasa terkilan dengan tindakan PKR menerima keahlian wakil rakyatnya yang menyertai parti itu dan menganggapnya sebagai tidak menghormati hubungan sesama rakan dalam Pakatan Rakyat.


Ketuanya Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata tindakan PKR itu jelas bertentangan dengan dasar dipegang PAS dalam PR yang tidak akan menerima keahlian parti rakan sesama pakatan.

Pada 11 September,  anggota Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib memgumumkan mereka keluar daripada PAS dan menyertai PKR.


Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pad Rabu lalu menyatakan bahawa PAS mengambil pendekatan tunggu dan lihat sama ada PKR akan memilih parti itu, mahupun untuk membantu gerak kerja PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

PAS menurutnya, tidak memaksa rakan komponen dalam pakatan  itu untuk membantu mereka di kedua-dua kawasan PRK tersebut.

Kelmarin (2 Jun) dilaporkan, Presidennya, Datuk SeriAbdul Hadi Awang berkata  PAS  tidak akan merajuk sekiranya PKR membantu AMANAH kerana  PAS  adalah parti yang berpengalaman dalam dunia politik negara malah sudah melalui saat jatuh bangun sendiri, lagipun itu adalah pilihan raya parlimen dan bukannya negeri.

“Kita tidak akan merajuk jika PKR bantu Amanah kerana Pas adalah parti yang tahan lasak dan tidak manja,”katanya dalam sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan Pas Ke-62, di Pusat Tarbiyah Islamiah (Putik), Pengkalan Chepa, Kelantan.

Malah Hadi tidak menyentuh soal tahaluf siyasi dengan PKR dalam sesi Amanat Presiden, pada malam sebelum bermulanya muktamar berkenaan. "Itu (tahaluf siyasi dengan PKR) tidak disebut. Itu belum ada," katanya ketika ditemui media selepas majlis tersebut tamat.

Ketiadaan nama besar dari PKR pada perasmian muktamar kali ini turut dikatakan menjelaskan lagi bahawa  hubungan parti Islam itu dengan sekutunya, PKR hanya menunggu  belah secara rasmi selepas Pakatan Rakyat terkubur.

PKR menghantar satu-satunya wakil rakyat mereka di Kelantan, iaitu ADUN Guchil, Mohamad Roslan Puteh menghadiri majlis perasmian Muktamar PAS itu.

Hadi pernah dilaporkan sebagai berkata, hubungan PAS dengan PKR masih baik dan berjalan seperti biasa walaupun wujud beberapa kemelut antara kedua-dua parti itu sejak kebelakangan ini.

Sedikit melegakan PAS dan tidak merasa keseorangan pada muktamar kali ini ialah apabila Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang mewakili Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) hadir pada perasmian muktamar PAS tahun ini.

Malah, kehadiran IKATAN itu adalah penampilan sulungnya selepas bergabung dengan parti Islam itu menerusi pembentukan blok pembangkang kedua pada 16 Mac lalu.

Ternyata kegagalan mengadakan rundingan berhubung peletakan calon di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar menguatkan lagi dakwaan hubungan {KR dan PAS akan berkubur.

Dewan Pemuda PAS kelmarin memberi kata dua kepada sekutunya, PKR untuk menyuarakan pendirian sama ada masih mahu bersama parti Islam itu atau membawa diri bersama Pakatan Harapan (PH).


Menurut Wakil Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadli Shaari , PKR tidak boleh terus menjalin kerjasama dengan kedua-dua pihak, apatah lagi DAP dan AMANAH dalam PH yang merupakan musuh politik parti Islam itu.

Dewan Pemuda PAS mengajak semua untuk menilai hubungan PAS dan PKR, namun biarpun ramai dalam PKR yang sayangkan PAS, ‘mana mungkin cinta ini dapat bertahan’ sekiranya DAP dan PKR masih duduk bersama bahkah menjalinkan hubungan mesra dengan parti satu lagi (AMANAH).

Kelmarin Dewan Muslimat PAS turut menyuarakan nada yang sama apabila menerima usul mendesak parti Islam itu mengkaji semula hubungan tahaluf siyasi dengan PKR, terutama pada pilihan raya umum akan datang.

Dewan itu  mendakwa PKR telah mengkhianati parti itu apabila menjalinkan kerjasama dengan AMANAH dan melemparkan pelbagai tuduhan, fitnah serta dakwaan yang tidak berasas terhadap mereka.

Dewan Muslimat PAS juga mahu semua kerusi dalam pilihan raya ditandingi oleh PAS tanpa bekerjasama dengan parti-parti lain.

Usul itu dikemukakan oleh Dewan Muslimat Kedah dan diterima tanpa bahas.


Naib Ketua De­­wan Muslimat merangkap Pe­nge­rusi Jawatankuasa Penapis Usul Muk­tamar itu, Salamiah Mohd. Noor berkata, bermula dengan Langkah Kajang sehinggalah konspirasi menjatuhkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, pandangan dan pendirian PAS tidak dihormati selain kesucian pembangkang sedia ada dicemari dengan perancangan tertentu di luar pengetahuan parti itu.

“Walaupun ada segelintir pe­mimpin PKR yang menghormati pendirian dan pandangan PAS, rentetan isu sebelum ini memperlihatkan PKR lebih selesa mengambil keputusan tanpa berbincang atau mengambil kira rakan tahalufnya berhubung hal-hal berkaitan,” katanya.

Mungkin sebagai strategi menyejukkan ‘kehangatan pemuda dan muslimat’ Hadi menegaskan parti itu akan meneliti usul memutuskan hubungan dengan PKR sebelum keputusan muktamad dibuat.

Namun agak mengejutkan juga, pada ketika ada pemimpin muda dan muslimat PAS melemparkan kata-kata agak kesat kepada pemimpin PKR, pemimpin tertinggi PAS masih mahu ‘menanam tebu di tepi bibir’.

Semalam,  Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, PAS masih mahu meneruskan tahaluf siyasi bersama PKR walaupun Dewan Muslimat parti itu meluluskan usul supaya hubungan itu dikaji semula.

Menurutnya, usul Dewan Muslimat itu bukan bertujuan untuk memutuskan hubungan tahaluf siyasi, sebaliknya ia lebih kepada mengkaji penambahbaikan kerjasama antara kedua pihak.

"Ia bukan ke arah memutuskan. Bagi kita, ia ke arah penambahbaikan," katanya kepada pemberita selepas berakhir Muktamar Tahunan PAS Ke-62 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) Pengkalan Chepa.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali pula menyifatkan usul itu lebih kepada pandangan Dewan Muslimat dan bukan keputusan PAS Pusat.

"Itu pandangan dari perwakilan Muslimat, kita akan tengok (usul). Kita beri kepada (Majlis) Syura untuk melihat pro dan kontranya. Banyak perkara yang mereka (Dewan Muslimat) masih tak tahu. Mungkin ada pihak yang tak puas hati, tapi ini hanya minor (kecil), bukan masalah besar," katanya.

Dalam konteks ‘cinta dengan PKR’ ini, PAS akan membawa usul ‎penilaian semula kepada Majlis Syura Ulama untuk dikaji dan dinilai.

Ketua Penerangannya, Nasruddin Hassan berkata usul tahaluf siyasi tersebut meminta supaya Majlis Syura Ulama membuat penilaian kembali terhadap kedudukan kerjasama antara PAS dan PKR.

Usul adalah daripada PAS kawasan Pontian, Balik Pulau, Kuala Kedah dan Muslimat PAS Malaysia yang mahukan tahaluf siyasi antara PAS dan PKR dinilai semua atas beberapa perkara berbangkit termasuk apakah masih ada keuntungan kepada Islam yang diperjuangkan oleh PAS atau sebaliknya.

Menyampaikan taklimat usul pada muktamar itu beliau yang juga pengerusi jawatankuasa usul bagi muktamar itu berkata, usul tersebut juga meminta jika masih ada keuntungan (boleh) diteruskan dan jika tiada Majlis Syura Ulama berhak membuat apa saja keputusan.

Jika ada keuntungan kepada PAS?


Kalaupun marah atau sudah pudar ‘berkasih sayang’ PAS perlu ingat bahawa ia mempunyai wakil dalam Kerajaan Selangor yang diterajui oleh PKR dan DAP.

Jangan terlalu hilang pertimbangan hingga marahkan nyamuk, bakar kelambu kerana yang berada dalam dilema ialah Ahli Dewan Undangan Negeri PAS di Selangor serta penyokong mereka.

PAS tidak boleh main wayang dengan menghentam PKR di muktamar tetapi di Selangor terpaksa menelan atau menjilat ludah sendiri.

Mana politik ‘matang dan sederhana’ yang diuar-uarkan oleh PAS jika terus memainkan politik menikam belakang di samping bermuka-muka apabila sesuatu keadaan itu dilihat berpihak atau memberikan keuntungan kepada pihaknya.

Terjemahkan ‘Islam’ dan setiakawan itu dalam hubungan PAS dengan parti pembangkang lain terutamanya PKR untuk PAS dihormati dan disegani.


Jika tidak, bukan ‘cinta PAS’ sahaja yang akan beralih arah, PKR juga tidak mampu mempertahankan cintanya kepada PAS kerana ‘cemburu melampau’, mementingkan diri selain enggan bertolak-ansur dengan meletakkan kepentingan dirinya melebihi segala-galanya!

Friday, June 3, 2016

PEDOFIL...RAKYAT MALAYSIA KETAHUINYA MELALUI ‘SEEKOR MAT SALLEH’


Bukan Kak Ani (Datuk Seri Rohani Abdul Karim) seorang sahaja yang terkejut. Di Malaysia ni kalau sebut pedofil, ramai orang tidak tahu.

Pedofil atau penderaan seksual terhadap kanak-kanak di negara ini  masih dianggap sesuatu yang rahsia dan baru untuk diketengahkan oleh seseorang, penjaga atau sesuatu keluarga.

Bimbang mendapat malu atau menganggap ia kes terpencil, walaupun mungkin sudah bertapak lama, adalah punca ia dirahsiakan.

Selain itu silap haribulan, ibu bapa atau penjaga yang akan menerima hukuman kerana lalai atau tidak melindungi kanak-kanak yang terbabit penderaan berkenaan.

Jesteru itu ia cuba disorok dan tidak dilaporkan.

Namun kerana ada ‘seekor Mat Salleh muda’ yang kini mendapat perhatian di seluruh Uited Kingdom dan berita mengenainya disiarkan pelbagai media, khususnya oleh televisyen di seluruh negara itu, tiba-tiba nama Malaysia terpalit.

Media British melaporkan bahawa jurugambar bebas Richard Huckle, 30, dari Ashford di Kent,  mungkin telah mencabul hingga 200 kanak-kanak berusia antara enam bulan dan 12 tahun dari tahun 2006 hingga 2014.

BBC dan Sky News melaporkan bahawa prosiding untuk menjatuh hukum terhadapnya bermula di Old Bailey, London pada Rabu dan dijangka selesai hari ini (Jumaat).


Huckle berdepan 91 pertuduhan termasuk terhadap 23 kanak-kanak di Kuala Lumpur, lokasi dia dilaporkan bekerja sebagai guru Bahasa Inggeris. Dia mengaku 71 daripada pertuduhan tersebut.

Malaysia terpalit gara-gara dia pernah datang ke negara ini dan disyaki melakukan ‘aktiviti gilanya’ terhadap kanak-kanak dari keluarga miskin di sekitar Kuala Lumpur.

Beliau  melawat Malaysia untuk program penempatan mengajar kwtika dia berusia 18 atau 19 tahun sebelum dia melatih kanak-kanak untuk seks ketika melakukan kerja sukarela di Kuala Lumpur.

AFP melaporkan bahawa penyiasat menjumpai lebih 20,000 gambar lucah dalam komputer Huckle.

Suspek menjadikan bayi berusia antara enam bulan dan 12 tahun sebagai mangsa serta kesalahan dan dilaporkan mengambil gambar dan rakaman video dirinya mendera kanak-kanak yang kemudiannya dimuat naik dalam laman web gelap.

Hucker, jurufoto sambilan ditahan oleh pegawai  Agensi Banteras Jenayah Kebangsaan (National Crime Agency) Britain pada Disember 2014 ketika pulang untuk bercuti Krismas.

Sikap menyalahkan polis juga tidak wajar kerana sudah pasti dengan isu atau kesalahan yang ‘jarang-jarang’ dan ;kadang-kadang’ ini boleh menyebabkan polis terlepas pandang atau tidak mengesyaki berlakunya kejadian sedemikian.

Apalagi Jabatan Imigresen Malaysia yang diketahui ramai mengenai masalah yang dihadapi olehnya (tidak perlu diperkatakan di sini) sukar mengesan manusia licik seperti ini.

Maklumat grafik mengenai puluhan kesalahan seksual oleh Huckle muncul buat kali pertama pada Rabu ketika sesi pendengaran bermula di London.

Tidak adil bagi Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching mempersoalkan polis dengan mengatakan bagaimana tidak menyedari kehadiran suspek pedofil itu.

Dengan mengatakan “Walaupun saya bersyukur kerana dia kini dibawa ke muka pengadilan oleh pihak berkuasa UK, saya menuntut penjelasan daripada Polis Diraja Malaysia sama ada sebarang laporan polis dibuat terhadap Huckle ketika berada di Malaysia di antara tahun 2006 dan 2014.

"Jika benar laporan polis oleh keluarga mangsa telah dibuat terhadap Huckle, maka soalan seterusnya apa yang polis lakukan berikutan laporan itu?", Teo sepatutnya mendapatkan reaksi daripada  pihak polis dan kementerian.
  

Jangan menuduh sembarangan kerana kejadian atau suspek  melakukan perbuatan terhadap mangsa berusia antara enam bulan dan 12 tahun di Malaysia antara pada 2006 hingga 2014.

Teo juga berandaian apabila mengatakan : "Jika laporan polis telah dibuat dan tindakan sewajarnya telah diambil, pasti kita boleh mencegah ramai kanak-kanak daripada menjadi mangsa," katanya.

Mungkin benar kemungkinan ada laporan dibuat, namun untuk mengaitkan dengan seseorang bukan warga negara Malaysia agak sukar.

Selain itu,  dengan mengatakan lelaki British itu dipercayai mendera sehingga 200 kanak-kanak dan tidak sepatutnya polis tidak sedar dengan kejadian itu juga boleh dipersoalkan.

Di Britain, isu ini mendapat respon baik daripada keluarga tetapi di Malaysia mungkin ada keluarga yang cuba menyoroknya.

Lagipun rahsia jegiatan Huckle baru terbongkat walaupun dipercayai melakukan penderaan seksual kepada sekurang-kurangnya 23 kanak-kanak terutamanya golongan miskin di Kuala Lumpur.

Kejadian ini kecoh hanya selepas  pihak berkuasa United Kingdom mengenakan 91 tuduhan terhadap Huckle.

Semalam, Kak Ani, iaitu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyatakan terkejut serta kesal dengan perlakuan jenayah tersebut khususnya apabila individu berkenaan berselindung di sebalik kerja kebajikan dan sukarela terhadap kanak-kanak.

Berikutan itu  KPWKM akan mendapatkan maklumat rasmi daripada agensi terlibat sebelum tindakan tegas diambil selaras dengan undang-undang Malaysia. KPWKM juga menyediakan Talian KASIH 15999 untuk orang ramai menyalurkan apa-apa maklumat berkaitan kes berkenaan.


Polis juga sudah mengatakan pihaknya sedang mengambil langkah untuk mengenal pasti mangsa pedofil warga British itu.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak D11 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ACP Ong Chin Lan, Bukit Aman telah pun meminta agensi jenayah berpejabat di London, National Crime Agency (NCA), untuk menyerahkan butiran kes berkenaan.

Menurutnya, setakat ini mangsa belum dikenal pasti dan pihak NCA cuma maklumkan mengenai kejadian ini kira-kira sebulan lepas, tetapi tidak memberikan maklumat kerana kes masih dalam perbicaraan.

Apa yang diharapkan, selepas keputusan mahkamah hari ini, United Kindom dapat memberikan polis Malaysia lebih banyak maklumat.

Di Malaysia, ada peruntukan di mana penjaga juga boleh  dikenakan hukuman melalui Seksyen 21 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000, penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya bagi mana-mana orang yang menyebabkan kanak-kanak di bawah jagaan mereka didera kerana cuai.

Sementara penalti terus meningkat kepada RM50,000 dan 20 tahun di bawah Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016 yang diluluskan di Dewan Raykat pada 7 April 2016.

Selain itu menurut Rohani, dengan pelaksanaan Rang Undang-undang Kanak-Kanak (Pindaan) 2015 kelak, satu daftar akan diwujudkan mengandungi maklumat pesalah yang telah disabitkan dengan kesalahan jenayah, termasuk kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak.

Walaupun tidak akan dibicarakan di Malaysia kerana hukuman (yang bakal dijatuhkan) di United Kingdom itu adalah atas kesalahan yang dilakukan di Malaysia (tidak boleh hukum dua kali), kita mengharapkan Huckle dijatuhi hukuman setimpal kerana kebejatannya.

SUARA ORANG MUDA...SYED SADDIQ PERSOAL MCA, MIC, SUPP & GERAKAN...


Oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman 
Jurucakap Gerakan CHALLENGER
  
Semenjak Tuan Guru Hadi Awang membentangkan Rang Undang-undang (RU) persendirian mengenai hudud baru baru ini, suasana politik negara makin hangat.

Yang Berhormat-Yang Berhormat (YB) dengan cepat mengeluarkan kenyataan menolak RUU tersebut dan pelaksanaanya. Malahan, YB mengugut untuk meletakkan jawatan seandainya Hudud dilaksanakan. Itu memang hak YB untuk membantah.

Masalah nya,

Begitu pantas reaksi YB sedangkan RUU itu belum lagi dibentang secara rasmi di peringkat pertama. Ia belum lagi dibahaskan. Ia juga belum lagi diluluskan oleh Parlimen dan belum lagi diluluskan oleh mana-mana DUN. Katanya kerana pelaksanaan RUU tersebut akan menyalahi Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai rakyat yang prihatin, saya mohon YB jawab persoalan saya, sekiranya benar YB ingin melindungi kedaulatan undang undang negara.

Di manakah YB ketika Perlembagaan Persekutuan yang menjadi payung undang undang Malaysia dicabul?

Ketika Peguam Negara (AG) diberhentikan tanpa sebarang sebab yang munasabah?

Ketika SOSMA disalahgunakan untuk menghukum mereka yang berlainan pendapat?

Ketika cadangan dari SPRM dan Bank Negara diketepikan dan ditolak bulat-bulat?
Di manakah YB ketika kegawatan politik dan isu 1MDB merobek maruah negara dan menjejaskan masa depan negara?


Di manakah YB ketika laporan Ketua Audit Negara berkenaan isu 1MDB dirahsiakan dan disorok dari pengetahuan rakyat?

Sedangkan laporan seperti itu amat penting dikongsi secara meluas bagi memastikan ketelusan dan kejujuran dalam pentadbiran.

Di manakah YB bila 1MDB menanggung liabiliti sebanyak RM53 Billion yang datang dari poket rakyat Malaysia?

Sedangkan wang sebanyak itu mampu digunakan untuk membiaya kos penuh bagi lebih daripada 1 ribu mahasiswa ke universiti universiti terhebat dunia.

Sedangkan wang sebanyak itu mampu menjamin pembanguan negara yang lebih pesat.
Sedangkan wang sebanyak itu mampu meningkatkan taraf hidup rakyat lebih lebih lagi bagi mereka yang hidup dalam kemiskinan.

Di manakah YB ketika lebih kurang RM4.2 juta disalurkan ke syarikat Good Star Limited yang dimiliki oleh Jho Low?

Sedangkan YB sudah sedia maklum tentang hubungan persahabatan antara YAB PM dengan Jho Low yang kini sedang disiasat oleh kerajaan Amerika berkenaan pembelian harta menggunakan sumber yang mencurigakan.


Di manakah YB ketika BSI, sebuah Bank yang berpusat di Switzerland ditutup oleh Kerajaan Singapura kerana penglibatan dalam isu 1MDB?

Sedangkan sudah jelas dalam laporan MAS bahawa BSI terlibat dengan penyalahgunaan wang yang sangat serius.

Di manakah YB ketika semua ini yang sememangnya menyalahi undang-undang dan menconteng arang ke atas nama baik negara terjadi? Mengapa YB duduk berdiam diri, mendiam seribu bahasa?

Sedangkan perbuatan YB boleh mencetus satu tanggapan bahawa tidak kira apa jua yang berlaku, sebesar mana pun kesalahan yang dibuat, ahli-ahli politik yang mentadbir negara akan terselamat dari sebarang liabiliti.

Sekali lagi, juga sebagai rakyat yang prihatin, saya memohon kepada YB.

Sekiranya YB mampu bersuara lantang "memperjuangkan rakyat", menentang RUU yang belum lagi dibahaskan, mengapa tidak bersama kami memperjuangkan kebenaran, menuntut ketelusan dalam pentadbiran negara.


Sekiranya YB mampu, kenapa pilih untuk membisu?

Thursday, June 2, 2016

NAK BERBUDI DENGAN PAS KONON – ISLAM KINI TERDEDAH KUTUKAN


UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang  ambil langkah salah perlu bertanggungjawab. Lihat apa sudah jadi dengan cercaan terhadap RUU 355 dan Hudud.

Jika Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Akta 355 (Bidang Kuasa Mahkamah Syariah) atau RUU 335 tersangat penting, kenapa pula beri Presiden PAS, Abdul Hadi Awang untuk mengusulkannya di Dewan Rakyat?

Sedangkan hakikatnya, usaha meminda Akta 355 itu adalah usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh UMNO untuk memperkasakan bidang perundangan Syariah sedia ada.

Ia diharap akan berubah  kepada sistem yang selari dengan perkembangan semasa dan berakar kukuh kepada sumber-sumber perundangan syariah yang diiktiraf di dalam Islam.

Usaha ini wajar disokong dan sudah pasti selain menegakkan Islam, ia membawa kelebihan atau milage kepada UMNO selepas menjelaskan tujuan murni itu kepada parti komponen Barisan Nasional.


Sebaliknya, kenapa pula UMNO mahu menghadiahkan milage itu kepada PAS dan Hadi?

Umno bukan sahaja terlepas peluang baik sebaliknya menghulurkan lehernya untuk dijerut dan disembelih,  bukan sahaja oleh parti komponen BN, sebaliknya juga oleh PAS.

Politik baik hati, berbudi dan bekerjasama konon! Dalam ungkapan orang kampung, disebut ‘bodoh tak habis-habis’.

Untuk rekod, usul mengenai RUU itu dibacakan buat kali pertama selepas dicadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dan disokong Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Melalui cadangan pindaan usul persendirian itu, ia hanya terpakai kepada orang-orang Islam di negara ini dan tidak memberi kesan langsung kepada golongan bukan Islam, selagi hak beragama yang diamalkan bersikap aman dan damai terhadap Islam.

Ia juga tidak ada kena mengena dengan Enakmen Jenayah Syariah II Negeri Kelantan yang pernah dicadangkan di dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom sendiri mengakui usaha ini. Pindaan ini akan meningkatkan jumlah hukuman di Mahkamah Syariah yang telah begitu lama tidak dipertingkatkan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap usul itu akan dapat memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam menjatuhkan hukuman jenayah mengikut ketetapan syariah dan tidak sesekali melangkaui bidang kuasa Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan.

Usul itu adalah untuk dibahas dan dipinda bagi membolehkan Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman berkaitan dengan zina, qazaf, minum arak dan murtad melebihi kuasa sedia ada sebelum ini.

Usul berkenaan bertujuan meminda Seksyen 2 bagi menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas penganut agama Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam butiran 1 Senarai Negeri, di bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.

Ia juga bagi memasukkan seksyen 2A iaitu dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah seksyen 2, Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan, selain hukuman mati.

Jika demikian, bukankah pelik apabila Hadi yang memang ‘berwajah Hudud’ diberikan ruang untuk membentangkan usul berkenaan, apalagi ia bukanlah  bertujuan untuk mewujudkan undang-undang baharu berkaitan Hudud.

Tidak ada Menteri dalam kerajaan yang berupaya membentangkan usul ini? Di atas nasihat siapakah boleh Perdana Menteri atau pemimpin tertinggi kerajaan bersetuju dengan cadangan ini?

Kerananya, timbul berbagai  tuduhan, termasuk oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga peguam terkenal Datuk Zaid Ibrahim bahawa Presiden PAS itu mengubah suai undang-undang hudud bagi memenuhi keperluan politiknya, sebahagiannya untuk mengekalkan sokongan pengundi Cina.

"Hudud, versi asal undang-undang Allah Taala, pastinya meliputi semua orang dan jika hukuman membawa kepada kematian, biarlah. Itu hukum Allah, tetapi Abdul Hadi mengubah suai untuk memenuhi agenda politiknya. Beliau hanya menjadikan undang-undang itu tertakluk kepada orang Islam, jadi beliau boleh kekalkan undi Cina," kata bekas menteri  baru-baru ini.

Gara-gara Hadi membentangkan usul itu, pelbagai kekecohan dan keributan berlaku, malah Hadi sendiripun ‘sudah menghukum’ pihak-pihak tertentu sebagai ‘anti-islam’ dan sebagainya.
  
Zaid berkata, menerusi RUU itu, Presiden PAS mahu mahkamah syariah diberikan kuasa tanpa had dalam mengenakan hukuman. Ini adalah sebahagian daripada helah penipuan oleh Abdul Hadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dan UMNO.

Berikutan itu, adalah baik untuk meneliti dan menilai cadangan oleh IKRAM Malaysia (IKRAM) yang berpendirian bahawa pihak kerajaan perlu melihat kembali cara pindaan undang-undang ini dikendalikan dan membuat pembetulan dengan kerajaan sendiri mengambil inisiatif melalui proses dan tatacara yang sepatutnya dalam meminda mana-mana undang-undang yang berkaitan dengan Agama Islam.

"Ini adalah usaha bagi kepentingan Agama Islam dan tidak harus dipolitikkan oleh mana-mana pihak," kata IKRAM.

Malah IKRAM berharap agar semua pihak bertindak secara rasional, objektif dan tidak mengikut emosi dalam membincangkan perkara ini serta mengelakkan daripada menjatuhkan sebarang hukum terhadap golongan yang berbeza pendapat.

Ambillah pengajaran ini agar apa sahaja berkaitan Islam, kerajaan hendaklah mengambil inisiatif utama sesuai dengan kuasa dan fungsinya menjamin Islam dimartabatkan dan tidak diperlekehkan sesuka hati.

Baca kenyataan Presiden IKRAM Presiden Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad seperti berikut:


31 Mei 2016


Akibat kerajaan membenarkan cara luarbiasa iaitu dikemukakan pembangkang dalam mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Akta 355 (Bidang Kuasa Mahkamah Syariah) di Parlimen maka terjadilah kutukan dan bantahan daripada pelbagai pihak termasuk daripada parti-parti komponen dalam Barisan Nasional sendiri.

Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad berkata kerajaan adalah pihak yang lebih wajar mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Akta 355 (Bidang Kuasa Mahkamah Syariah) di Parlimen bagi mendapatkan kelulusan.

"Berkenaan dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Negeri Kelantan, IKRAM katanya pernah menyatakan pandangan mengenainya pada 11 Mei 2014, yang antara lain menyarankan empat langkah awal bagi menjamin perlaksanaan enakmen ini dapat mencapai matlamatnya, demi menjamin keadilan dan kesejahteraan rakyat, yang merupakan maqasid penting dalam perlaksanaan undang-undang Islam itu sendiri.

"Dalam kenyataan tersebut juga, IKRAM mengalu-alaukan penubuhan Jawatankuasa teknikal antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Kelantan untuk memastikan enakmen ini bertepatan dengan kehendak syariah, mencari pendekatan yang terbaik dan mengelak ia dari dipolitikkan," katanya.

Pada ketika itu juga menurut beliau, IKRAM mengalu-alukan keputusan Presiden PAS untuk menangguhkan dan tidak membentangkan Rang Undang-undang Persendirian dalam Persidangan Dewan Rakyat bulan Jun 2014 kerana ia memberi masa yang lebih kepada Jawatankuasa Teknikal dan rakyat untuk mengemukakan pandangan dan cadangan.

Beliau percaya bahawa Jawatankuasa Teknikal ini telah bekerja keras bagi membuat kajian dan mendapatkan pandangan pelbagai pihak bagi memastikan perlaksanaan undang-undang syariat dapat dilaksanakan secara efektif dan mencapai maqasidnya.

"Kita berpandangan bahawa jawatankuasa ini yang seharusnya berperanan menasihati kerajaan tentang isu berkaitan pindaan Akta 355 ini sebagai sebahagian daripada usaha meluaskan kuasa Mahkamah Syariah. Kerajaan sepatutnya mengurus pindaan ini dengan membawa kepada kabinet, berbincang dengan semua pemegang taruh (stakeholders) dan akhirnya membawa kepada Majlis Raja-raja bagi mendapatkan perkenan sebelum dibawa ke Parlimen," katanya.

Beliau berpendapat, jika ini dapat dilakukan dan semua agensi kerajaan termasuk IKIM, IKSIM, para mufti, jabatan-jabatan agama, NGO-NGO dan universiti-universiti berperanan untuk berbincang, mengemukakan pandangan dan memberi penjelasan kepada rakyat, maka salah faham yang timbul pada hari ini berkaitan RUU 355 ini dapat diminimumkan.

"Oleh kerana proses perundingan ini tidak berjalan dengan baik dan perkenan Majlis Raja-raja juga tidak diperolehi, maka kita lihat bantahan daripada pelbagai pihak sedang berlaku termasuk daripada parti-parti komponen dalam Barisan Nasional," katanya.

IKRAM katanya, tetap dengan pendirian pihak kerajaan perlu melihat kembali cara pindaan undang-undang ini dikendalikan dan membuat pembetulan dengan kerajaan sendiri mengambil inisiatif melalui proses dan tatacara yang sepatutnya dalam meminda mana-mana undang-undang yang berkaitan dengan Agama Islam.

"Ini adalah usaha bagi kepentingan Agama Islam dan tidak harus dipolitikkan oleh mana-mana pihak," katanya.

Beliaumenyeru agar semua pihak bertindak secara rasional, objektif dan tidak mengikut emosi dalam membincangkan perkara ini serta mengelakkan daripada menjatuhkan sebarang hukum terhadap golongan yang berbeza pendapat.

Kenyataan beliau diakhiri dengan terjemahan dua ayat berikut:

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama." (al-Hajj: 78)

"Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan." (Taha: 2)