Tuesday, June 30, 2009

ISLAM UTAMAKAN MUZAKARAH BERBANDING DEBAT

Islam lebih mengutamakan proses muzakarah atau perbincangan berbanding mujadalah atau berdebat dalam soal perpaduan Ummah, kata Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.

Beliau berkata Islam juga tidak menolak perdebatan untuk berhujah dan berdepan dengan individu atau kumpulan bukan Islam, khususnya dalam soal berkaitan akidah sepertimana ketika Nabi Musa berhadapan dengan Firaun.

"Dalam Islam lebih baik muzakarah (dalam soal perpaduan Ummah). Lebih baik duduk semeja dan berunding daripada berdebat," kata mufti itu ketika dihubungi Bernama semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai cabaran Mursyidul Am PAS, yang juga Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berdebat secara terbuka.

Nik Aziz mencabar Najib berdebat secara terbuka ekoran tindakan Pemuda Umno Kelantan membuat laporan polis terhadap beliau kerana menyamakan Umno dengan komunis dan ajaran sesat.

Sebelum ini, cadangan muzakarah mengenai kerajaan perpaduan yang dicadangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ditolak pakatan pembangkang.

Nik Aziz yang menentang keras idea kerajaan perpaduan dilaporkan berkata debat itu boleh dianggap cara nabi, pada zaman Nabi Musa berdepan dengan Firaun.

"Debat itu wajar kalau hendak hujah dengan bukan Islam contohnya tentang akidah tapi ini untuk mencari jalan kepada perpaduan (sesama Islam)... Jadi lebih baik utamakan muzakarah," kata Harussani.

"Kalau hendak bincang soal polisi bolehlah berdebat tapi ini untuk mencari jalan dalam soal perpaduan," kata Harussani.

Ramai pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta Najib supaya tidak melayan cabaran berdebat dari Nik Aziz itu yang disifatkan sebagai membuang masa dan tidak mendatangkan faedah.

Bagi pensyarah media dan komunikasi Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah, kedua-dua proses muzakarah dan perdebatan adalah penting untuk mencari titik pertemuan dalam sebarang perkara.

"Ianya ibarat dua keretapi berhenti di stesen yang sama," kata Abu Hassan.

Katanya, ia perlu dilihat sebagai proses bersekutu dan bukannya berseteru.

"Tamadun juga dibina atas dua proses ini (perbincangan dan perdebatan). Malah di Parlimen juga berasaskan kepada dua proses ini yang saling melengkapi," kata Abu Hassan.

Namun pensyarah media itu berkata proses itu hanya akan berjaya, jika kedua-dua pihak benar-benar ikhlas untuk mencari titik pertemuan dalam soal perpaduan itu.

Soalnya sejauhmana pihak terbabit terutama PAS melihat kepada kepentingan perpaduan Melayu ini, katanya.

1TERENGGANU – UMNO DIDAHULUKAN, MENANG PILIHAN RAYA DIUTAMAKAN!

Sorry...semua niat dan hasrat perlu ditangguh atau dibuang terus.

Datuk Seri Hishamuddin Hussein tidak akan layan usaha memecahbelahkan UMNO – sama ada daripada UMNO Terengganu sendiri atau pembangkang khususnya PAS.

Kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh, mesej untuk mereka amat jelas – letakkan soal parti sebagai keutamaan dan bergerak bersama-sama dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri.

Ini kerana jika masih ada polemik berkisar kepada isu-isu bahagian dan puak, usaha bergerak ke hadapan tidak akan dapat direalisasikan.

Bagi, Hishamuddin: "Mereka (Idris dan Ahmad Said) pemimpin berjiwa besar - mungkin kami bertiga ini kalau tidak dilaga-lagakan dan kami sendiri tidak benarkan dipengaruhi pihak-pihak lain, saya yakin ia boleh menjadi satu realiti.

"Perlu dibina, dipulih dan dijauhkan syak wasangka. Dengan kehadiran saya dan bimbingan daripada pucuk pimpinan, saya rasa itu dapat bantu mengeratkan semula hubungan antara mereka berdua."

Cerita 2 R (Rosli dan Roslan) digugurkan tidak penting lagi. Ini kerana sebab pengguguran bukan kerana ada kaitan dengan tuduhan rasuah MRR2. Itu bukan alasan teras.

Cuma Datuk Zuber Embong digugurkan kenapa? Tidak berkesan? Zuber sendiri yang nampaknya ‘memujuk hati sendiri’ mengatakan mungkin beliau tidak berkesan.

Apapun dengan tegas Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata: "Ini cara saya akan pimpin Umno Terengganu dengan bantuan Menteri Besar Datuk Ahmad Said."

Yang penting bagi Hisham ialah mereka yang dilantik perlu pikul tanggungjawab. “(Sebaliknya) mereka yang lepaskan jawatan tak semestinya tugas dan tangungjawab mereka lebih mudah kerana mereka ada tanggungjawab yang harus dipikul.” Kata Hishamuddin.

Semalam di Putrajaya, ketiga sayap Umno, Pemuda, Wanita dan Puteri Umno negeri Terengganu menyatakan kesediaan mereka memikul perjuangan yang lebih besar demi masa depan Umno dan rakyat di negeri itu.

Berikutan itu Hishammuddin yakin bahawa apa yang dibincangkan hari ini tidak berkisar kepada kepentingan kumpulan tertentu.

"Saya boleh beri keyakinan kepada mereka bahawa ketiga-tiga sayap hari ini telah bertekad untuk bersama-sama memikul perjuangan yang lebih besar.

Ketiga-tiga sayap ini juga telah berikrar kepada saya bahawa pertimbangan yang menjadi keutamaan kepada mereka ialah demi masa depan perhubungan umno negeri Terengganu dan rakyat Terengganu," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan ketiga-tiga sayap berkenaan di pejabatnya di Putrajaya.

Namun, segala usaha itu banyak bergantung kepada cara mengatur langkah ke hadapan dan pengisian program yang akan dilaksanakan.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata dengan mengetuai negeri itu pada hari ini, mungkin antara tugasnya ialah untuk merapatkan hubungan antara Menteri Besar Datuk Ahmad Said dan bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh kerana beliau tidak ada masalah bekerja dengan mereka.

"Saya sedar apa yang berlaku sebelum ini di Terengganu menuntut saya sebagai pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri menjadi "jambatan" kepada menteri besar dan bekas menteri besar, dengan syarat mereka meletakkan soal parti sebagai keutamaan dan bergerak bersama-sama dengan saya.

Bagaimanapun, katanya jika masih wujud polemik berkisar kepada isu-isu bahagian dan puak tertentu bermakna usaha untuk bergerak ke hadapan tidak akan dapat direalisasikan.

Hishammuddin tidak bermain politik yang menampakkan beliau seolah-olah cenderung kepada satu pihak sahaja, sebaliknya berkata ia mendapat 'restu' semua pemimpin Umno bahagian.

Dengan kata lain perlantikan olehnya terhadap dua muka baru – Datuk Tengku Putera Tengku Awang sebagai Setiausaha UMNO Negeri dan , Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said pula dilantik Bendahari menggantikan Senator Datuk Roslan Awang Chik.

Jawatan Ketua Penerangan kembali kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek .

Pelantikan pemimpin lain bagi mengisi beberapa jawatan penting akan dibuat selepas ini.
Apa orang lain mahu kata atau membuat andaian tidak penting. Pada sidang media selepas pengumuman itu, tiada lagi soalan daripada pemberita mengenai pertelingkahan atau usaha menyingkirkan Menteri Besar.

Apakah maknanya ini? Hishamuddin member isyarat jelas, Terengganu tidak boleh ada perpecahan.

Seperti 1Malaysia – 1Terengganu - UMNO didahulukan, Menang pilihan raya diutamakan.

Jelas dan nyata, UMNO Terengganu berusaha mengatasi kemelut secara sebaik-baiknya.
Juga jelas bahawa Datuk Ahmad Said akan kekal sebagai Menteri Besar setidak-tidaknya sehingga pilihan raya umum akan datang. Lagi pun apa salah beliau? Apakah beliau pernah sabotaj parti, ‘menderhaka kepada Sultan’ atau terbabit dengan rasuah?

Semua Ketua UMNO Bahagian kecuali Besut, Datuk Seri Idris Jusoh hadir dalam mesyuarat pertama yang berlangsung sejam itu.

Ketidakhadiran bekas menteri besar itu yang diibaratkan sebagai petanda bahawa isu Umno negeri masih jauh daripada penyelesaian tidak benar sama sekali.

Hishammuddin menjelaskan Idris berada di London sewaktu mesyuarat dan tidak sempat hadir walaupun menyatakan untuk pulang. "Saya lihat tidak ada isu dengan ketidakhadiran Idris itu. Bila perjumpaan dibuat sebelum ini, ia melibatkan saya, Ahmad Said dan Idris.

"Kalau ada pihak di luar sana cuba melaga-lagakan mereka berdua, jangan harap ia akan berjaya kerana saya berpengalaman dalam hal ini," katanya.

Mesyuarat pertama itu membincangkan beberapa agenda termasuk hala tuju dan program yang bakal diadakan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Yang penting, UMNO Terengganu perlu memastikan barisan kepimpinan yang ada dirapatkan selaras dengan kehendak ahli dan rakyat di peringkat akar umbi yang mahukan jentera parti dimantapkan khusus dalam menghadapi cabaran mendatang.

Bagi Hishamuddin tiada lain atau tiada kompromi lagi hanya perpaduan sesama sendiri perlu kembali utuh kerana apa yang penting sekarang ialah perpaduan dan kekuatan parti dan bukannya memperjuangkan kepentingan individu tertentu.

Monday, June 29, 2009

KALAU DIA SEMUA OK...

Bila Dia Memandai-mandai OK...orang Lain Tidak Boleh!

Itulah perangai Nik Aziz sebenarnya. Kalau orang lain buat perkara seperti itu, sudah pasti ada pula yang akan disuruh keluar PAS, masuk UMNO atau parti lain, asalkan bukan sekutu pakatan pembangkang.

Ternyata kini Musyridul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah terasa ‘besar sangat’ dan tidak memerlukan pendapat orang lain dalam PAS.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini berkata beliau tidak dimaklumkan oleh Nik Aziz berhubung cadangannya untuk berdebat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai isu Pas dan Umno.

Abdul Hadi yang juga Anggota Parlimen Marang, berkata beliau akan menemui Nik Aziz untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Nik Aziz, yang merupakan Mursyidul Am Pas, telah mencabar Najib untuk berdebat secara terbuka ekoran tindakan Pemuda Umno Kelantan membuat laporan polis terhadap beliau kerana menyamakan Umno dengan komunis dan ajaran sesat.

Beberapa pemimpin Umno tidak bersetuju dengan debat itu dan menyifatkannya sebagai membuang masa kerana ia tidak akan membawa sebarang manfaat.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub, pula mencadangkan agar debat itu disiarkan secara langsung melalui televisyen untuk menunjukkan amalan demokrasi tetapi Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin, daripada Parti Keadilan Rakyat, tidak bersetuju debat itu diadakan secara terbuka.

Sebaliknya beliau mencadangkan kedua-dua pihak menggunakan platform lebih sesuai iaitu berbincang untuk mencari kesepakatan Islam dan Melayu.

"Saya lebih suka jika diadakan dialog secara tertutup dan berbincang dalam bentuk kumpulan. Kita akan tahu apa yang menjadi masalah sehingga menimbulkan keadaan tidak senang hati di antara kita semua.

"Dialog secara berkumpulan itu lebih berkesan dari cadangan untuk berdebat yang tidak akan membawa manfaat kepada sesiapapun," katanya.

Bukan sekadar itu sahaja, Nik Aziz mengeluarkan beberapa istilah bahasa Arab yang bahasa Melayunya juga ada. Namun kalau bunyi Arab itu sedap sikit sebab PAS kan ‘Parti Islam’ sementara “UMNO parti.....”. Kena tanya Nik Aziz apa itu UMNO – Ayah Pin atau Komunis’.

Apabila saya mengatakan perlunya muzakarah antara pemimpin PAS dan UMNO peringkat tertinggi pada posting saya semalam, saya terbaca tulisan Mohd Sayuti Omar, betajuk “Muzakarah, Muqabalah dan Terbaru Mujadalah... Semua Tak Jadilah” mengemukakan pendapat berikut:

“Bahasa Arab atau istilah pertama untuk mendamaikan Umno dengan Pas yang yang didengari sejak lama dulu ialah perkataan MUZAKARAH. Muzakarah ini dicadang oleh pihak Pas. Maksud muzakarah ialah berbincang ataupun berunding dengan Umno bagi mencari jalan penyelesaian antara kedua-dua parti itu untuk kebaikan negara dan rakyat.

Muzakarah ini bermakna duduk berbincang dengan waras, berunding dengan penuh berhemah, terbuka dan penuh semangat ukhwah Islamiyah. Natijah daripada itu akhirnya membuat rumusan bagaimana mencapai jalan penyelesaian untuk kesejahteraan umat dan keamanan negara.

Paling baru istilah muzakarah ini keluar atau menjadi sebutan umum selepas pilihan raya umum ke-13 lalu apabila beberapa pemimpin Pas telah ‘bermuzakarah’ secara sulit dengan pemimpin Umno untuk mengatasi kemelut politik yang dihadapi kedua parti itu kesan pilihan raya umum lalu yang dikatakan mencemaskan!

Malangnya idea itu tidak jadi, dan pemimpin yang bercadang mengadakan muzakarah itu dimarahi dan dituduh dengan pelbagai tuduhan kononnya gilakan pangkat, membelakangkan ahli dan sebagainya. Sebahagian pemimpin Pas yang lain menentang idea berkenaan. Tentangan itu turut melibatkan Mursyidul Am, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dianggap pemimpin bertaraf ulama tertinggi dalam parti itu.

Mulanya Nik Aziz tidak setuju dengan cadangan atas nama muzakarah itu. Beliau lalu mencadangkan supaya Pas tidak mengadakan muzakarah, tetapi hendaklah mengadakan MUQABALAH dengan Umno. Muqabalah juga bemaksud hampir sama denga muzakarah tetapi bezanya ia dibuat tanpa ada syarat dan tanpa ada rumusan atau kata sepakat. Dalam bahasa Melayu berbincang secara lisan saja tanpa ada apa-apa komitment.

Orang sudah faham bila Nik Aziz menukar istilah atau term itu bermakna beliau tidak bersetuju dengan menentang cadangan agar Pas berbaik dan berbincang dengan Umno. Ternyata akhirnya bukan saja muzakarah tidak disetujui, muqabalah juga akhirnya tidak disukai.

Maka tertinggallah dua istilah itu MUZAKRAH dan MUQABALAH dalam karung geram buruk yang kemudian dicampak ke laut!

Dan hari ini terkeluar satu lagi perbendaharan baru berbahasa Arab, MUJADALAH. Ianya disebut dan dicadang oleh Nik Aziz. Mujadalah ertinya berdebat atau dalam bahasa mudah berbalas menggunakan ‘keng’ di tempat terbuka. Kalau ikut hati si pencadang itu mahu diadakan dalam televisyen.

Perkataan atau istilah itu diterbitkan apabila Nik Aziz mengajak untuk bermujadalah dengan Najib Razak selalu presiden Umno. Tujuannya sama bagi menyelesaikan kemelut Pas – Umno yang berlarutan sejak tahun 50-an dulu.

Menurut Nik Aziz mujadalah diajar oleh para Nabi dan bukan pandai-pandainya. Katanya Nabi ajar agar berdepan dengan musuh secara bersemuka. Ia bukan baru. Beliau mendomankan kepada Musa yang berdepan dengan Firaun, Nabi Ibrahim dengan Namrud dan Muhammad s.a.w. dengan Abu Jahal. Bagi orang yang faham tektikal politik dan arif dengan sepak terang politik Menteri Besar Kelantan itu tahu ke mana dan mengapa beliau tidak semena-mena ingin berdebat pula dengan Najib.

Apa yang menimbulkan kemusyilan di sini berhubung kata-kata Nik Aziz itu apakah para Nabi tidak mengajar ummahnya berbincang dan berunding secara baik jika berhadapan dengan masalah. Apakah Nabi tidak menganjurkan supaya bermuzakarah atau bermuqabalah? Dan kalau Nabi juga ada menganjurkan begitu kenapa mujadalah yang menjadi pilihan?”

Selepas membaca apa yang dikatakan oleh Sayuti itu, saya semakin faham dengan sikap Nik Aziz.

Ini kerana saya tahu Sayuti memahami dan mengkaji sikap Nik Aziz sejak sekian lama, sebelum pun pemimpin PAS seperti Datuk Husam Musa rapat dengan Nik Aziz.

Ertinya, bagi Nik Aziz kalau terkeluar daripada mulutnya mengenai sesuatu keputusan untuk PAS, ia adalah dasar PAS tetapi kalau daripada orang lain, kalaupun ia dibahas atau dimaklumkan pada Muktamar PAS, ia bukan dasar PAS tetapi pendapat peribadi.

Apakah ajakan Nik Aziz untuk berdebat dengan Perdana Menteri pendapat peribadi atau parti PAS?

Kalau pendapat peribadi, tidak usah layan kerana Perdana Menteri tidak layak melayan kepentingan peribadi.

Kalau ia keputusan parti kenapa Hadi tidak diberitahu. Dalam keadaan ini Najib juga tidak perlu melayannya kerana ia belum dibincangkan di peringkat parti itu, nanti jadi keputusan peribadi sahaja.

Macam kerajaan perpaduan, nanti oleh kerana ia bukan keputusan parti, UMNO dikatakan ‘tergila-gila cuba memujuk PAS’.

Kepada yang menyokong debat, seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pemuda PAS dan Sallehudin, tunggu dulu.

Jangan mendahului keputusan PAS nanti jadi ‘lebih sudu daripada kuah’.

PASUKAN NAJIB TIDAK ADA MASA BERBULAN MADU

Kata Fuad Hassan, bekas orang kuat Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan kini dalam UMNO (tidak ikut Anwar Ibrahim ke PKR), UMNO perlukan ‘blood transfusion’.

Diharap dengan suntikan darah baru dapat memberikan tenaga dan kesegaran untuk beberapa lama lagi sebelum ia menghadapi persaraan wajib. Inilah yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri yang ke enam. Masanya tidak banyak cuma dua tahun.

Untuk itu pasukan Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak ada masa untuk berbulan madu diatas kejayaan lantikan.

Baca pendapat beliau yang dipetik daripada blognya.

UMNO: JANGAN MURUNG TERLALU LAMA Oleh Fuad Hassan (Dakwat & Kertas) ATTACKING IS THE BEST DEFENCE

UMNO perlu melakukan muhasabah diri mengapa ianya kurang mendapat sokongan rakyat dan ini pernah dinyatakan berkali-kali oleh ramai pihak.

Fitrahnya sebagai parti politik tua dan lama berkuasa ia terdedah kepada banyak kelemahan dan kekurangan sehingga jasa besarnya dilupakan.

Langkah dasar keterbukaan Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa menjadi Perdana Menteri – menjadi pemangkin kepada pendedahan nanah UMNO, BN dan kerajaan yang menunggu masa untuk terbongkah keluar.

UMNO perlukan ‘blood transfusion’. Diharap dengan suntikan darah baru dapat memberikan tenaga dan kesegaran untuk beberapa lama lagi sebelum ia menghadapi persaraan wajib.

Inilah yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri yang ke 6. Masanya tidak banyak cuma dua tahun. Untuk itu pasukan DS Najib tidak ada masa untuk berbulan madu diatas kejayaan lantikan.

Disamping pasukan ini bekerja kuat untuk rakyat, mereka perlu sedar bahawa mereka sebenarnya dalam pertempuran persaingan dan permainan untuk menakluk kuasa. Adalah menjadi tanggungjawab utama mereka untuk mempengaruhi fikiran, perasaan, sikap dan perlakuan rakyat agar kembali menyokong perjuangan parti dan negara dalam pilihanraya yang ke 13.

Pendekatan defensif atau mempertahankan diri tidak akan membawa kemenangan. Yang penting cepat sedar terhadap kelemahan dan memperbaikinya segera dan bukannya bersugul-sugul untuk sekian lama tetapi tidak mengambil apa-apa tindakan. Sekali kalah pilihanraya yang ke 12 sudah seperti negara di langgar garuda !!. Sepi dalam moral yang rendah dan tidak kurang yang cuba main selamat.

Ini masanya UMNO dan BN melakukan pendekatan aggresif. Mereka belum kalah total. ‘Attacking is the best defence’. Kerana ini adalah permainan politik untuk merampas atau mengekal kuasa kerana cita-cita seorang yang ingin menjadi Perdana Menteri yang tak kesampaian.

PKR dan PAS telah meletakkan prinsip bangsa dan agamanya di pintu belakang kerana ingin mengambil hati orang-orang bukan Melayu. Melalui Pakatan Rakyat mereka berjaya mencipta matlamat bersama dan hanya satu – tumbangkan BN.

Strategi mereka ternyata berkesan sebab mereka menyerang dan terus menyerang dari semua posisi dan sudut. UMNO tidak bernafas untuk menjawab. Semua institusi-institusi penting negara seperti Kehakiman, Polis dan SPR sudah dikunci mati oleh Anwar melalui menghilangkan kepercayaan rakyat kepadanya. Bukan semua tuduhan betul, tapi rakyat mempercayainya. Inilah politik.

Bertabur rentak langkah dan tari komponen BN kerana serangan dan fitnah separuh benar daripada PR. Sebenarnya BN memerlukan pahlawan muda dan berani untuk menghadapi serangan ini.

Belumpun lama PKR berkuasa, terlalu banyak kes-kes nyata di kalangan wakil-wakil rakyat mereka yang menyebabkan pilihanraya-pilihanraya kecil yang menyusahkan rakyat terpaksa diadakan. Tetapi nampaknya ini tidak dieksploit dengan kemas oleh BN dan isu-isu ini berlalu begitu sahaja tanpa dilihat sebagai satu kesalahan.

Dalam beberapa minggu lalu terlalu banyak ‘political drama’ yang kita tonton sehinggakan rakyat sudah mulai rasa muak dan jijik.

Dalam sejarah negara tidak pernah kita melihat kaum India yang hanya merupakan 1.8 juta penduduk negara ini 'naik minyak' sampai begitu rupa sehingga sanggup memaki hamun pasukan keselamatan negara dan pimpinan yang diistilahkan oleh Hindraf sebagai 'kerajaan Melayu-Muslim'.

Jika saya diminta menyebut satu usaha positif DS Najib maka ianya adalah kegigihan beliau menangani krisis ekonomi negara dan sudah ada tanda-tanda positif kearah tersebut. Saya percaya jika usaha ini berjaya rakyat akan membuat penilaian semula terhadap tanggapan salah mereka sebelum ini.

Pendekatan beliau untuk tidak melayan provokasi-provokasi Anwar telah menobatkan beliau sebagai PM yang ke 6 lebih awal daripada sepatutnya. Ketenangan beliau yang bersahajalah yang membawa kerajaan Perak tumbang kepada BN berbanding kehebohan Anwar melalui Rancangan 16 September yang gagal.

Kita selalunya merancang, tetapi kita selalu lupa rancangan Allah kepada kita.