Saturday, March 14, 2009

NAJIB BERKESEORANGAN?

(Isu Sabtu)

Saya sebenarnya sudah jemu memperkatakan tajuk “Najib tidak akan menjadi Perdana Menteri”.

Ini kerana orang yang mahu menyerahkan kuasa, Datuk Seri Abdullah Ahmad sendiri pun sudah berulang kali mengatakan beliau akan menyerahkan kuasa kepada timbalannya, apabila tiba masanya.

Tiada apa boleh dikatakan oleh Najib selain meminta semua pihak supaya tidak membuat spekulasi berhubung tarikh penyerahan kuasa oleh Perdana Menteri, kepadanya.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, pengumuman rasmi dari Jabatan Perdana Menteri akan menjawab persoalan berhubung tarikh tersebut.

"Tunggu pengumuman rasmi Jabatan Perdana Menteri," kata Najib ketika ditanya tarikh sebenar peralihan kuasa daripada Abdullah kepada beliau.

Namun, semakin dekat dengan apa yang dikatakan peralihan kuasa, semakin kabur pula tarikhnya.

Persoalannya ialah bila masanya?

Apa lagi tidak semena-mena ada pula berita mengatakan Abdullah mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tengku Razaleigh Hamzah mengenai peralihan kuasa.

Ini pun sudah dinafi. Namun, banyak pihak terus mempersoalkan keikhlasan Abbdullah.

Sementara sesetengah blog dan portal berita terus menerus cuba memburuk dan ‘mendedahkan’ pelbagai perkara mengenai Datuk Seri Mohd Najib Razak dan isterinya.

Isu paling menarik akhir-akhir ini ialah mengenai kaitan Najib dan Altantuya, wanita Mongolia yang dibunuh dengan kejam.

Yang peliknya, penyokong Najib turut membisu seolah-olah ‘terkejut beruk’ dan ‘takut bersuara’. Mereka membisu seribu bahasa dan seolah-olah takut kepada pihak-pihak yang cuba mengaibkan Najib.

Mereka yang dikatakan memainkan peranan penting untuk menjaga imen Najib juga membisu dan akhir-akhir ini semakin sepi apabila ada berita mengatakan Datuk Johan Jaafar akan dilantik sebagai ‘ketua pasukan media Najib’ apabila Najib menjadi Perdana Menteri nanti.

Kesian, Najib bagaikan mempertahankan diri secara bersaorangan. Dia tidak mendapat sokongan pemimpin penting UMNO yang sedang ‘berlari’ bersamanya sebagai pasukan baru menjelang pemilihan UMNO nanti.

Masing-masing nampak sangat cuba membebaskan diri masing-masing agar tidak terikat dengan sesiapa.

Persoalannya apakah pemimpin UMNO sendiri kini tidak yakin Najib akan menjadi Perdana Menteri?

Apakah mereka termakan ‘umpan’ pembangkang bahawa Najib tidak akan menjadi Perdana Menteri?

Juga mungkin menyedari beliau berkesaorangan dan tidak mahu riak, Najib sendiri mengakui apa yang mampu beliau lakukan ialah menanti.

Lebih daripada itu, berserahlah kepada Allah.

Najib bukan tidak tahu dan pernah menyaksikan bagaimana pemimpin sebelumnya yang sudah pun sebelah kaki ‘menjadi Perdana Menteri’, tiba-tiba kecundang.

Pengajaran jelas ialah ada Timbalan Perdana Menteri yang meletakkan jawatan dan ada yang dipecat.

Yang penting, selain sabar menunggu, sewajarnya Najib menilai semula siapa orangnya dan siapa yang sanggup ‘swim & sink’ bersama-samanya. Dengan kata lain pada ketika ini Najib tidak ada pasukan dan terpaksa berperang secara bersendirian.

Tiada kesetiaan atau tiada siapa berani di kalangan pemimpin UMNO untuk secara terang memperjuangkan Najib ketika ini.

Mungkin Bagi mereka, sesiapa sahaja menjadi Perdana Menteri, mungkin juga Tengku Razaleigh Hamzah, mereka akan menerimanya.

Kawan sebenar adalah ketika ‘suasana sukar’ bukan ketika kita sudah selesa.

Mungkin bagus juga buat Najib apabila pelbagai ‘serangan dan cubaan’ sedang menguji beliau. Setidak-tidaknya beliau kenal siapa kawan, sahabat, teman dan penyangak!

Friday, March 13, 2009

UJIAN BUAT AZALINA!

Khabar angin sudah bertiup kencang bahawa beberapa pegawai Menteri Perlancongan akan ditahan.

Biarpun semalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak khabar angin beberapa lagi pegawai kanan Kementerian Pelancongan akan ditahan hari ini bagi membantu siasatan berhubung rasuah politik dan salah guna kuasa dalam pengagihan projek kementerian tersebut, ‘serangan’ SPRM itu antara terbesar sehingga ini.

Ada dua isu di sini. Pertama, SPRM datang untuk menyiasat dua kes – rasuah politik dan isu pengangihan projek serta Pempena.

Kedua, kes pertama memungkinkan Datuk Seri Azalina Othman Said terlibat. Saya mengatakan mungkin sahaja. Dan dalam kes kedua, pegawai Kementerian Pelancongan dan Azalina juga mungkin terlibat. Sekali lagi perkataan ‘mungkin’ di sini.

Dalam kes kedua ini, jika pegawai-pegawai terlibat, apakah Azalina juga akan terpalit serta Menteri terdahulu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga akan dipanggil selepas ini khususnya dalam kes Pempena?

Jika Tengku Adnan dipanggil, Setiausaha Agung UMNO itu akan terpalit dengan beberapa siri siasatan dan semestinya akan ada pula serangan baru terhadap UMNO.

Nampaknya kementerian ini menjadi tempat di mana ‘rasuah’ dikatakan berlaku agak berleluasa akhir-akhir ini.

Malah, selain kes terbaru ini, sebelum ini pegawai kanan kementerian berkenaan turut dituduh rasuah dan kes masih berjalan di mahkamah.

Ketika ia diterajui oleh Sabarruddin Chik (Tan Sri) dan Michael Toyad (Datuk), ia sunyi sahaja daripada perkara-perkara seperti ini dan program menarik pelancong asing dan kesannya kepada industry pelancongan besar juga.

Namun kini, jelas penggalakkan yang membabitkan kos begitu besar sedangkan jika diambil peratusan kedatangan pelancong asing tidaklah sebesar mana!

Apapun, saya tabik Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said kerana bersedia memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan kementerian itu.

Beliau bagaimanapun mengesahkan setakat ini masih belum dipanggil oleh SPRM untuk membantu siasatan.

Sebenarnya tiada jawapan lain lebijh diplomatik yang boleh diberikan dalam kes ini selain mengatakan pihaknya akan memberi sepenuh kerjasama terhadap siasatan yang dijalankan oleh SPRM.

Sedikit mengelirukan ialah apabila Azalina tidak tahu jumlah sebenar pegawainya yang disoal siasat dan dokumen kementerian yang diambil SPRM.

Apakah pegawai kanan kementerian itu belum memaklumkan kepada Azalina atau mereka cuba menyorok sesuatu daripada beliau.

Semalam dilaporkan lapan pegawai kanan Azalina disiasat oleh SPRM sejak Rabu lalu sehingga semalam bagi membantu siasatan satu kes rasuah.

Semalam sahaja, dua pegawai kanan menteri terbabit diambil keterangan kira-kira sejam oleh tiga pegawai SPRM yang datang ke pejabat kementerian tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada pukul 11.30 pagi.

Yang pasti dalam kes rasuah politik, jika Azalina terpalit, ia akan memberikan reputasi buruk kepada Azalina dan UMNO.

Dan kalaupun Azalina terlepas ia tetap menjejaskan sedikit reputasinya akibat siasatan ini lebih-lebih lagi ketika pemilihan UMNO semakin hamper.

Tetapi dalam kes kedua, Azalina menunjukkan beliau serius mengenai isu Pampena dan jika tindakan mampu dikenakan kepada mereka yang terbabit, ia akan melonjakkan namanya.

Pertanyaannya ialah, selepas Azalina tidak lagi menjadi Menteri di kementerian berkenaan, apakah akan ada pula aduan ‘rasuah’ terhadap beliau akibat dasar-dasar yang mungkin merugikan kerajaan?

Thursday, March 12, 2009

PEMBOHONGAN POLITIK TERBARU

Apakah Malaysiakini dan Mohd Sayuti Omar (MSO) berbohong?

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menafikan laporan kononnya beliau mengadakan perbincangan dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menghadiri satu majlis keagamaan di Hulu Langat, semalam.

Jika kedua-duanya membuat pembohongan besar dalam politik seperti ini, apakah kita perlu membiarkan terus orang yang sewaktu seperti Malaysiakini dan MSO ini terus melakukan pembohongan?

Sedangkan pembohongan politik seperti ini boleh menjejaskan kestabilan politik negara.

Selain itu ia mendatangkan pelbagai reaksi. Semalam seseorang yang disegani dalam politik negara menelefon saya bertanyakan apakah benar pertemuan Abdullah dan Anwar.
Untuk apa pertemuan itu sedangkan negara akan diambil alih oleh Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam beberapa hari lagi.

Menurut tokoh berkenaan, pertemuan seperti itu tidak bermakna lagi, melainkan jika Abdullah mempunyai agenda lain.

Malah menurutnya, apa yang disebut oleh MSO itu, jika ada kebenaran menyerlahkan lagi peranan Khairi Jamaluddin dalam usahanya menjamin Najib tidak menjadi Perdana Menteri.

Katanya, beliau tahu tujuan MSO membuat spekulasi berkenaan. Yang tepat dan khusus ditujukan kepada Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Lebih jauh ada meramalkan Anwar kini dalam proses ambil alih jawatan Perdana Menteri secara rundingan.

Ini kerana menurut beberapa blog, sejak kejutan pertemuan empat mata yang penuh misteri dan tandatanya antara Abdullah dan Anwar itu, teori pengambilalihan jawatan Perdana Menteri secara rundingan dilihat mendominasi kebanyakan percakapan politik.

Kata mereka Abdullah dilihat sedang berusaha untuk memastikan jawatan Perdana Menteri yang disandangnya tidak dianugerahkan sebegitu mudah kepada kononnya bakal penganti beliau iaitu Najib Razak.

Dalam politik, segalanya mungkin. Tidak ada yang mustahil dalam politik. Mungkinkah benar wujud satu persefahaman dan juga rundingan antara Anwar dan Abdullah berkenaan dengan peralihan kuasa, tanya blog-blog berkenaan.

Apa pun, semalam di Kota Kinabalu, Abdullah yang juga Menteri Pertahanan berkata beliau menghadiri majlis itu atas undangan seorang tokoh agama, Syeikh Mahmud al-Majzub sempena sambutan ke-40 "Ritual Building Strength".

"Saya dijemput dan saya pergilah, dan semasa kami sedang makan tengah hari, Datuk Seri Anwar Ibrahim datang. Beliau dijemput duduk dan menikmati hidangan. Itu saja.
"Tidak ada perbincangan. Syeikh Mahmud ada memberi pandangan kepada saya mengenai pelbagai masalah yang berlaku di dunia sekarang dan menekankan keperluan pemimpin negara ini untuk bersikap adil dan memastikan keamanan.

"Dia(Syeikh Mahmud) cakap dengan saya, dia tak cakap dengan Anwar. Tidak lebih daripada itu," katanya kepada pemberita semasa melawat pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sepanggar, dekat sini.

Ketika ditanya sama ada laporan portal berita Malaysiakini cuba menimbulkan spekulasi mengenai perkara itu, beliau menjawab, "Dia (Malaysiakini) agak-agak aje".
Menurut Malaysiakini semalam, pertemuan Perdana Menteri dengan ketua pembangkang semalam terus menarik minat media untuk menggali lagi apa yang tersirat di sebalik kejutan tersebut.

Malaysiakini semalam difahamkan kedua-duanya bertemu empat mata dengan kehadiran pengasas Madrasah Nurul Iman, Syeikh Mahmud al-Majzub selama 20 minit.
MSO pula melalui blognya berkata sepanjang peristiwa itu Sheikh Mahmud senantiasa berada di tengah manakala Anwar dan Abdullah di sisi.

“Dalam konteks dan suasana hari ini tidak salah kalaupun Anwar mengadakan rundingan dengan Abdullah. Dan jika berlaku mini rundingan itu mestilah berhubung dengan pelan peralihan kuasa yang bakal berlaku dalam Umno selepas Mac nanti.

Anwar berhak menyatakan apa-apa pandangannya kepada Abdullah sebagai sahabat dan atas kapasitinya sebagai ketua pembangkang pada pertemuan seperti itu.

Sebagai ketua pembangkang Anwar tentu mempunyai maklumat-maklumat yang bermanfaat untuk diketahui dan dikongsi oleh Abdullah sebagai perdana menteri untuk kebaikan bangsa dan negara.

Setidak-tidaknya Anwar menasihati Abdullah agar jangan begitu mudah menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Mohd Najib Razak. Sekiranya Anwar meluahkan itu atau membuat rayuan begitu ia juga bukan perkara baru, kerana dalam parlimen Anwar pernah menyatakan kesediaan untuk menyokong Abdullah terhadap apa-apa tindakan dan keputusannya yang memerlukan suara ahli parlimen.

Bahkan Anwar sempat bangun dan meminta rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat ikut bangun menunjukkan menyatakan sokongan kepada Abdullah. Mesej yang ditunjukkan oleh ketua pembangkang itu jelas bagi Abdullah.

Kalaupun Anwar membuat rayuan itu dalam mini prundingan ia berpandukan kepada perkembangan terkini di sekitar Najib. Dan adalah wajar kalau Abdullah mendengar apa yang mungkin disuarakan oleh Anwar pada pertemuan tadi, baik ketika di meja makan ataupun di dalam bilik.”

Kata MSO lagi, “Saya difahamkan sendiri oleh seorang ahli MPT PKR yang turut hadir, (berkedudukan seperti Shamsul di dalam rumah itu) menurutnya ada berlaku pertemuan enam biji mata antara mereka bertiga; Anwar, Abdullah dan Sheikh Mahmud. Pastilah Shekh Mahmud berada ditengah.

Menurut ahli MPT itu Sheikh Mahmud ada mengatakan sesutau yang penting untuk kedua pemimpin itu. Tidak terniat untuk saya mencatatkan antara dialog Sheikh Mahmud dalam bilik itu seperti mana dituturkan oleh ahli MPT berkenaan, tetapi cukuplah kalau dikatakan ia sangat menarik. Ia sangat menarik.”

Membaca dan memahami penafian Abdullah memberikan makna bahawa politik Malaysia hari ini semakin kusut dan sesiapa sahaja boleh membuat spekulasi biarpun ia akan membawa keburukan kepada negara.

Apapun, pembohongan tidak akan dapat dilakukan jika tidak ada ‘pengarah’ atau ‘tok dalang’.

Bagi saya Malaysiakini dan MSO bairpun sedikit bersalah dalam melakukan pembohongan politik seperti ini tetapi yang perlu dicari sebenarnya ialah ‘tok dalang’ yang cuba mengkelam-kabutkan politik Malaysia ketika ini.

Dan orang ini sepatutnya dikuburkan segera agar politik Malaysia kembali pulih!

APA NAK BUAT, MELUAT SAHAJALAH

Anwar Ibrahim sudah pasti marah.

Kalau tidak masakan beliau meluahkan perkataan ‘meluat’.

Ketua Umum Pakatan itu 'meluat' dengan hasil laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mendapati Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tidak bersalah memalsukan bukti siasatan kes mata lebam beliau kira-kira 10 tahun lalu.

Selepas ini, tidak perlulah lagi Anwar menimbulkan kes ini kerana ternyata apa yang cuba dibangkitkan oleh beliau itu tidak berasas jika berpandukan kepada hasil laporan polis dan suruhan jaya berkenaan.

Anwar membuat laporan sebanyak dua kali sebelum ini iaitu pada 1 Julai 2008 dan 21 Februari 2009 terhadap Abdul Gani dan Musa dengan mendakwa kedua-dua individu terbabit memalsukan bukti siasatan kes mata lebam beliau kira-kira 10 tahun lalu.

Bagaimanapun, Abdul Gani dan Musa menafikan dakwaan itu. Musa sudah memfailkan saman fitnah terhadap Anwar, manakala Abdul Gani juga turut menyuarakan hasratnya untuk menyaman Anwar.

"Saya rasa ia sesuatu yang mengecewakan bagi kes ini memandangkan terdapat bukti yang kukuh," kata Datuk Seri Anwar di Parlimen semalam.

Anwar berkata, beliau menghantar semua bukti yang ada kepada ahli-ahli panel penyiasat.
"Adalah sesuatu perkara yang biasa bagaimana mereka menguruskan sistem (siasatan) ini," katanya," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz semalam berkata, Abdul Gani dan Musa didapati tidak bersalah dalam memalsukan bukti siasatan kes mata lebam Anwar 10 tahun lalu berdasarkan siasatan yang dijalankan pihak polis dan SPRM.

Katanya, SPRM telah melantik tiga panel bebas yang terdiri daripada bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman dan Datuk Mohamad Noor Abdullah serta bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Wira Mohd Noor Ahmad bagi mengkaji dan membuat perakuan terhadap kes tersebut.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan menjelaskan tidak wujud sebarang kes jenayah terhadap kedua-dua individu tersebut.

Kata beliau, memandangkan kes ini amat sensitif, berprofil tinggi dan berkepentingan awam dan mengambil kira tanggapan dan persepsi negatif yang mungkin timbul, SPRM telah mencadangkan tiga orang ahli panel bebas dilantik sebagai timbalan pendakwa raya untuk mengkaji dan membuat perakuan.

"Setelah mengkaji dengan teliti dan mendalam, majoriti ahli panel memperakukan bahawa Abdul Gani dan Musa tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah sepertimana yang didakwa oleh Anwar.

"SPRM juga berpendapat tidak wujud sebarang kes jenayah terhadap kedua-dua pihak yang disiasat," kata beliau dalam kenyataan.

Kata beliau, siasatan yang dijalankan telah merakam percakapan saksi-saksi termasuklah Anwar sendiri yang dibuat secara teratur melalui peguamnya.

"Oleh yang demikian tidak timbul isu suruhanjaya ini tidak mengambil tindakan siasatan berkaitan aduannya itu," kata beliau lagi.

Biasalah bagi Anwar, apabila sesuatu keputusan tidak menyebelahinya beliau akan meluat dan sebagainya.

Apapun, itulah hakikatnya. Bilakah agaknya masa Anwar akan dapat menerima dengan dada terbuka pelbagai ‘ujian terhadapnya’?