Oleh Azlina Aziz
TOKYO (22 Mei 2014)- Langkah Malaysia untuk mengukuhkan gelombang kedua Dasar Pandang ke Timur, yang memberi tumpuan kepada teknologi tinggi dan pekerja berkemahiran tinggi akan membantu ekonomi meningkatkan rantaian nilai dan seterusnya kepada status berpendapatan tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Bukan sahaja Dasar Pandang Timur diteruskan di bawah kepimpinan saya, tetapi juga selaras dengan program transformasi untuk Malaysia.
Reputasi Jepun bagi kepimpinan ekonomi sudah terkenal dan juga diperakui, kata beliau.
Pada awal tahun 1980-an, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Malaysia memulakan dasar 'Pandang ke Timur', beralih ke Jepun dan Korea sebagai inspirasi, membantu untuk melatih generasi akan datang pelajar Malaysia dan pemimpin perniagaan dengan cara Asia Timur.
"Keadaan berbeza ketika itu. Asia sedang meningkat, tetapi pertumbuhan pesat sebenar masih belum berlaku," kata Najib dalam ucap tama di Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-20 mengenai Masa Depan Asia, "Kebangkitan Asia: Mesej Untuk 20 Tahun Akan Datang" yang diadakan di Tokyo, hari ini.
Persidangan itu dianjurkan oleh kumpulan media antarabangsa, Nikkei Inc, Jepun.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Nikkei Inc, Tsuneo Kita.
Ini merupakan penampilan kedua Najib sebagai penceramah utama di persidangan Nikkei.
Kali pertama pada Persidangan Nikkei ke-17 pada 2011.
"Kemunculan ekonomi 'Harimau', dan pembaharuan di China, menunjukkan kepada dunia bahawa ada sesuatu sedang berlaku di Asia. Pada tahun 1980-an frasa 'Abad Asia' dicipta.
Tetapi bagi ramai pemerhati, Asia masih 'satu cerita untuk esok'," kata beliau.
Bagaimanapun, Najib dengan segera menjelaskan berkata 'esok itu telah tiba'.
Dari segi ekonomi dan politik, Asia kini menjadi pusat hal ehwal dunia.
Rantau yang paling ramai penduduk ini juga merupakan satu daripada rantau yang paling dinamik.
Perdana Menteri menekankan bahawa pembangunan ekonomi yang cemerlang telah menyebabkan dunia memberi tumpuan terhadap prospek Asia.
"Apabila krisis kewangan baru-baru ini menjejaskan keyakinan dalam pasaran kukuh, lebih banyak syarikat dan negara mula 'memandang ke Timur'.
Peningkatan kesedaran momentum ekonomi juga telah menimbulkan kepentingan geopolitik, memandangkan kuasa baru muncul dan kuasa mantap bersaing untuk pengaruh di Asia.
"Trend ini tidak menunjukkan tanda untuk reda. Dalam tempoh 20 tahun, Asia telah bersedia untuk menguasai lebih daripada 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar global, dan 60 peratus daripada kelas pertengahan dunia," kata beliau.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata fasa pertumbuhan ini akan disertai oleh kedudukan, pengaruh dan minat global yang semakin bertambah dan Asia perlu bersedia menghadapi cabaran itu.
"Ekonomi Asia akan kekal menjadi tumpuan, dan dinamik dalaman kita dalam pemerhatian. Zaman pengasingan Asia tidak akan berulang. Kita adalah satu daripada pusat baharu graviti di dunia pelbagai polar yang baharu," kata Najib.
Terdahulu dalam ucapan pembukaan Najib berkata di bawah kepimpinan Perdana Menteri Shinzo Abe, ekonomi Jepun telah kembali pulih dan kini kelihatan bersedia untuk melalui tempoh pertumbuhan mampan, dengan itu menetapkan satu standard baru bagi pembaharuan.
Selain itu, Malaysia mengalu-alukan penyertaan Jepun dalam proses pembidaan antarabangsa projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura yang akan dilaksanakan tidak lama lagi, kata Perdana Menteri.
Kenyataan ini merupakan maklum balas terhadap minat yang ditunjukkan rakan sejawatannya, Shinzo Abe, bagi syarikat-syarikat Jepun mengambil bahagian dalam projek kereta api laju itu dan pada masa yang sama mempelawa Malaysia memanfaatkan teknologi Jepun dan pengetahuan dalam pembangunan prasarana.
Bercakap di sidang akhbar bersama yang diadakan selepas mesyuarat dua hala di Tokyo, semalam, Najib berkata Abe juga telah menyatakan harapannya untuk Malaysia menerima pakai Sistem Shinkansen, dengan menekankan sistem itu mempunyai teknologi canggih dan rekod keselamatan yang baik.
"Terutamanya, bagi projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura, saya mengulangi harapan Malaysia mengguna pakai sistem kereta api laju Jepun, Shinkansen," kata Abe.
Pada tahun 2013, Singapura dan Malaysia telah bersetuju untuk membina landasan kereta api laju menjelang 2020 yang akan mengurangkan masa perjalanan antara Singapura dan ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur kepada 90 minit.
Shinkansen dikenali sebagai 'bullet train' atau kereta berkelajuan tinggi. Ia merupakan satu daripada kereta api terpantas di dunia dan rangkaian kereta api berkelajuan tinggi di seluruh Jepun.
Selain daripada kereta api laju, Malaysia juga menyambut baik kerjasama antara sektor swasta kedua-dua negara dalam pelbagai projek kemudahan prasarana di Malaysia, termasuk teknologi hijau, peralatan pelabuhan, projek kemudahan rawatan air dan pembangunan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.
"Saya juga berkongsi dengan Abe bahawa tumpuan seterusnya akan diselaraskan dalam bidang-bidang ini kerana ia akan menyumbang ke arah Wawasan 2020 Malaysia sebagaimana yang ditekankan dalam 12 Bidang Ekonomi Utama Negara kita," kata beliau.
Kedua-dua negara akan terus melaksanakan dasar-dasar mesra pelaburan dan memperkenalkan insentif daya saing untuk terus merangsang aktiviti ekonomi terutamanya oleh sektor swasta, kata Najib.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua perdana menteri itu juga telah membincangkan mengenai cara untuk memperkukuhkan Dasar Pandang ke Timur Gelombang Kedua (LEP 2.0).
"Fasa LEP 2.0 seterusnya akan meningkatkan kerjasama institusi dalam latihan dan pendidikan dengan tumpuan ekonomi yang lebih kukuh ke arah meningkatkan potensi perdagangan dan pelaburan dalam bidang keutamaan kedua-dua negara," kata Najib.
Oleh itu, beberapa projek/program telah dibincangkan yang meliputi pendidikan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D), katanya.
Ini termasuk untuk meningkatkan peranan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia Jepun (MJIIT) dan meningkatkan hubungan perniagaan dengan perniagaan terutamanya dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan memberi tumpuan kepada sektor makanan dan automotif.
Mengenai keselamatan maritim dan penguatkuasaan undang-undang, Najib menegaskan bahawa Malaysia dan Jepun telah mengadakan kerjasama kukuh dalam pembinaan keupayaan dan pembangunan sumber manusia dalam keselamatan maritim.
Berikutan itu, Malaysia ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Jepun terutamanya Pengawal Pantai Jepun (JCG) di atas sumbangan meningkatkan kapasiti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
"Kami berharap dapat mengukuhkan kerjasama antara APMM dan JCG dalam pembangunan sumer manusia dan keselamatan maritim," katanya.
Mesyuarat itu juga menyentuh mengenai Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2015 dan dalam hal ini, Najib menegaskan bahawa Malaysia akan bekerjasama rapat dengan anggota Asean yang lain dalam merealisasikan Komuniti Asean dan mewujudkan "Asean Yang Mementingkan Rakyat".
"Kita bergantung kepada sokongan dan kerjasama daripada Jepun ke arah mencapai Komuniti Asean menjelang 2015," kata beliau.
Kedua-dua negara juga menekankan kepentingan mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan.
Oleh itu, kedua-dua Perdana Menteri bersetuju bahawa isu-isu berkaitan tuntutan bertindih di Laut China Selatan perlu ditangani secara aman.
Ini termasuk dialog dan perbincangan dalam kalangan negara-negara terbabit, tanpa memilih ancaman atau menggunakan kekerasan, sejajar dengan prinsip yang diiktiraf undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS).
Ketika menekankan bahawa mesyuarat itu sangat berhasil dan membina, meliputi pelbagai isu dua hala dan serantau untuk faedah bersama, Najib berkata: "Malaysia bersedia bekerjasama rapat dengan Jepun untuk mengukuhkan lagi hubungan kita secara progresif dan bersemangat ".
Sumber - Bernama
Thursday, May 22, 2014
Wednesday, May 21, 2014
AHMAD RAZIF ATAU AHMAD SHABERY TIDAK PENTING, YANG PENTING MENANG PRU-14
"Saya tak ada masalah, kita sebagai ahli parti yang setia, kita pulangkan keputusan itu secara bijaksana untuk ditentukan oleh Presiden parti dan saya tidak ada masalah langsung dalam hal ini...yang mustahak semua bersatu untuk memperjuangkan parti dan tidak timbul siapa yang bakal dipilih menerajui UMNO Terengganu."
- Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman
Apakah Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman malam kelmarin sudah beri bayangan bahawa beliau tidak akan dilantik sebagai Pengerusi UMNO Terengganu?
Beberapa kenyataan, termasuk oleh Menteri Besar Terengganu itu , kolumnis Mingguan Malaysia, Awang Selamat serta Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek membayangkan banyak perkara mengenai mengenai perkara ini.Menurut Bisik-Bisik Awang Selamat: “Siapakah akan menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu berikutan peralihan teraju kepimpinan negeri itu? Memandangkan Ahmad Razif masih baharu menjadi Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Ahmad Said, adalah lebih sesuai jawatan tersebut disandang sementara oleh pemimpin UMNO lain bagi meredakan suhu politik yang masih tinggi. Awang melihat antara calon yang sesuai ialah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Ahmad Shabery Cheek yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kemaman. Walaupun bukan Ketua UMNO bahagian, beliau mempunyai kedudukan dalam Kabinet, berpengalaman luas dan disegani. Lebih daripada itu, Shabery boleh diterima oleh semua pihak yang berbeza haluan. Awang percaya beliau mampu membawa kestabilan politik kepada UMNO Terengganu. Meskipun kemelut peralihan Menteri Besar yang menggemparkan politik tanah air telah selesai, ia tidak boleh diambil ringan. Cabarannya, bersedialah menjangkakan apa lagi dugaan, juga kejutan selepas ini.”

Jangan perkecilkan buah fikiran melalui kolumnya berkenaan kerana Awang Selamat jugalah yang membuka cerita akan pertukaran Menteri Besar Terengganu tempoh hari.
Sebaliknya Ahmad Shabery pula dalam kenyataannya pada 18 Mei 2014 berkata: “…perjalanan politik di sesebuah negeri akan tempang sekiranya jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri tidak dipegang oleh Menteri Besar. Menteri Besar tidak dapat menjalankan tugas dengan baik jika dia tidak mempunyai 'kuasa memerintah' dari segi mengarah, mengawal dan membangunkan visinya sekiranya tiada pegangan pada politik. Begitu juga yang pegang Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, jika dia tiada kedudukan dalam kerajaan sedangkan kerajaan itu adalah Barisan Nasional, dia juga tidak dapat menjalankan tugas dengan baik."
Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman dan Menteri Komunikasi dan Multimedia menegaskan, menjadi kelaziman menteri besar juga memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.
Suatu perkara yang perlu juga diambil kira ialah Majlis Tertinggi UMNO sudah membuat keputusan supaya semua menteri besar dijemput untuk turut hadir dalam mesyuarat MT kerana mereka ada kuasa sebagai menteri besar dan pengerusi perhubungan negeri.
Ini amalan sudah berlaku sebelum ini. Jadi, apakah sekiranya tidak memegangpun jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Ahmad Razif akan menghadiri mesyuarat MT?
Isu Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri ini kini hangat diperkatakan khususnya di peringkat bahagian apabila ada bahagian dikatakan ‘enggan menerima Ahmad Razif’.
Sementara jika pelantikan dibuat terhadap Ahmad Shabery, ini bermakna sejarah berulang apabila Menteri Besar Terengganu terpaksa menjadi orang nombor dua di negeri sendiri.
Perkara ini pernah berlaku kepada Ahmad Said pada 24 April 2009 apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa beliau hanya menjadi Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO sahaja sedangkan selepas menjadi Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh, beliau diumumkan menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu pada 14 Jun 2008.Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu mulai tarikh itu ialah Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.
Langkah itu difahamkan akibat ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) membuat aduan dinafikan peranan mereka dalam pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Pengerusi Penyelaras DUN dan Unit Bestari.
Dengan tertubuhnya organisasi parti UMNO yang baru, Ahmad Said mudah untuk ‘diturunkan pangkat’ sebelum dilantik semula menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, pada 1 Januari 2011 sehingga Pilihan Raya Umum ke 13 dengan Idris sebagai timbalan.
Ahmad Said sekali lagi diumumkan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO pada 22 Nov 2013 tetapi kali ini Timbalan Pengerusinya ialah Datuk Jailani Johari.
Sebelum itu pada 7 Mei 2013, Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Terengganu, Fakhrul Azman Abu Bakar meminta Ahmad Said melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu kepada pemimpin baharu berikutan pencapaian buruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 di negeri itu.
Menurut Perkasa Terengganu, langkah tersebut perlu diambil memandangkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 itu berkemungkinan disebabkan rakyat menolak cara pentadbiran Ahmad Said. “Sebagai ketua yang bertanggungjawab, adalah lebih manis jika Ahmad melepaskan jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri kepada orang baharu yang dirasakan sesuai.”
Sehubungan itu, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu membuat keputusan bijak demi kelangsungan pemerintahan di negeri tersebut.
"Buat masa sekarang, Ahmad perlu menjalankan siasatan berhubung kemerosotan kerusi Parlimen dan DUN di negeri itu mencakupi beberapa aspek termasuk faktor peribadi calon yang ditonjolkan tidak sesuai dengan keadaan setempat," demikian ditegaskan oleh Perkasa Terengganu pada tarikh tersebut.
Mungkin selepas meneliti perkembangan politik sejak 2008 hinggalah ke detik beliau dilantik menjadi Menteri Besar, Ahmad Razif lebih selesa menyerahkan kedudukannya dalam Perhubungan UMNO Terengganu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bagi Menteri Besar itu keputusan Najib wajar diterima dengan tangan terbuka kerana apa yang penting ialah kebersamaan dalam memperjuangkan parti.
Selain itu, Ahmad Razif turut menyatakan kesediaannya bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang bakal dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.
"Saya tak ada masalah, kita sebagai ahli parti yang setia, kita pulangkan keputusan itu secara bijaksana untuk ditentukan oleh Presiden parti dan saya tidak ada masalah langsung dalam hal ini," katanya.
Yang mustahak bagi Ahmad Razif ialah, semua bersatu untuk memperjuangkan parti dan tidak timbul siapa yang bakal dipilih menerajui UMNO Terengganu.
Benar seperti kata Razif, yang penting ialah perpaduan dalam parti.
Selain itu, dalam saat-saat begini yang perlu diberikan keutamaan ialah kedudukan Terengganu sekarang di mana Barisan Nasional menduduki 17 kerusi Dewan Undangan Negeri sementara pembangkang 15.
Jelas sudah, yang penting difahami oleh seluruh ahli dan pemimpin UMNO Terengganu ialah perpaduan, persefahaman dan perjuangan yang seiring amat penting.
Pilihan raya umum ke 14 sedang menunggu dan UMNO perlu menjamin ia mengekalkan kuasa di negeri berkenaan dengan jumlah kerusi yang jauh lebih baik daripada keputusan PRU -13.
Jika menang dengan kedudukan yang serupa atau lebih teruk sekiranya kalah, perubahan kepimpinan UMNO negeri yang dibuat baru-baru ini ternyata silap.
Kali ini bolehlah diletakkan segala kesalahan bukan sahaja di bahu Pengerusi Perhubungan UMNO tetapi juga Najib sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN yang melantik Razif!
Thursday, May 15, 2014
U-TURN TIDAK SALAH, IA TINDAKAN MULIA '3 STOOGES' YANG WAJAR DIHARGAI…
"Hargailah keputusan mereka dan jangan diungkit-ungkit lagi perkara
yang sudah!
U-Turn yang dilakukan oleh tiga ADUN itu adalah tindakan untuk
menyelamat...kesan daripada U-Turn mereka kelmarin dan semalam
mahal harganya."
U-Turn tidak salah, asalkan melakukannya di tempat yang dibenarkan dan selamat.
Yang menjadi masalah kepada U-Turn ialah melakukannya tergesa-gesa, tempat yang dilarang dan membahayakan diri dan orang lain.
Melakukan U-Turn tidak wajar dipersoalkan, apalagi jika pemandunya merasakan terlajak kerana pemanduan bukan seperti mengayuh perahu apabila ‘ia boleh diundur’.
Tindakan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO mengisytihar keluar parti dan menyertai Bebas dan kembali semua kepada UMNO tidak wajar dipersoalkan, khususnya kesetiaan mereka.
Lagipun tindakan itu tidak sampai 48 jam. Hargailah keputusan mereka dan jangan diungkit-ungkit lagi perkara yang sudah! U-Turn yang dilakukan oleh tiga ADUN itu adalah tindakan untuk menyelamat dan tidak kiralah ia dilakukan di tempat dibenarkan atau ‘pakai langgar’.
Jika sebelum ini mereka keluar UMNO ‘pakai langgar’ tetapi kesan daripada U-Turn mereka kelmarin dan semalam mahal harganya. Saya ulangi, `mahal harganya’.
UMNO ada pengalaman apabila pemimpin penting serta pengikut keluar parti itu beramai-ramai menyertai Parti Semangat 46 (sebelum itu dikenali dengan Parti Melayu Semangat 46).
Kesemua mereka menjadi pembangkang bertahun-tahun dan menjadi penyebab kepada kejatuhan Kelantan kepada PAS sehingga hari ini.
Inilah dosa paling besar parti berkenaan. Namun kini parti berkenaan sudah berkubur apabila kembalinya pemimpin dan ahli parti berkenaan kepada UMNO namun Kelantan tetap tidak dapat ditawan.
Dosa lain parti berkenaan ialah mereka yang kecewa dengan UMNO dan Parti Semangat 46 ramai yang kemudian menyertai PAS.
Namun tindakan tiga ADUN UMNO dari Kijal, Bukit Besi dan Ajil ‘keluar sekejab’ dan masuk kembali adalah ‘ribut dalam secawan kopi’. Mereka tidak menyebabkan BN runtuh seperti 'tindakan lompat anggota PAS' kepada Perikatan pada 1961.
Tindakan 'Three Stooges' itu bukan seperti ADUN PAS, Ahmad Azam Napiah serta 2 ADUN PAS yang melompat masuk UMNO serta '3 Tooges' Parti Negara iaitu Wan Daud Mohamad (Ladang), Mohamad Abd Rahman (Bukit Besar) dan Haji Mutalib Salleh (Batu Buruk).yang melompat selepas bertemu Allahyarham Tun Razak di Kuala Lumpur.
Untuk yang tidak mengetahui cerita ini, pada pilihan raya umum Tanah Melayu 1959, DUN Terengganu dimenangi oleh PAS dengan majoriti kecil apabila ia mendapat 13 kerusi, UMNO 7 kerusi dan Parti Negara (PN) 4 kerusi.
PAS berjaya memujuk Adun PN Langkap (Ismail Abbas) menyokong mereka. UMNO pula berusaha mendapat sokongan 3 lagi Adun PN.
Pada 24 Julai 1961 satu undi tidak percaya terhadap kerajaan PAS dibawa oleh seorang Adun PN Bukit Besar, Mohamad Abd Rahman. Undi tersebut gagal kerana PAS mendapat (12 undi) UMNO + PN (11 undi). Seorang wakil PAS berkecuali iaitu Ahmad Azam Napiah. Ahmad Azam kecewa kerana tidak diberi jawatan Menteri Besar Terengganu atau pun Speaker (kerana berasal dari Perak bukan anak jati Terengganu. Beliau kemudiannya mengisytihar sebagai Adun Bebas.
Kegawatan DUN Terengganu berlarutan apabila UMNO berjaya menarik dua Adun PAS - Mohamad Ismail dan Husin Jusoh. Kemudian, Umno juga dapat memujuk 3 Adun PN apabila mereka bertemu Tun Abdul Razak di Kuala Lumpur.
Adun PN yang terbabit adalah Wan Daud Mohamad (Ladang), Mohamad Abd Rahman (Bukit Besar) dan Haji Mutalib Salleh (Batu Buruk). Keadaan tersebut membawa kepada undi tidak percaya kali kedua dibawa dan akhirnya kerajaan PAS tewas.
Sebaliknya tiga ADUN UMNO yang mengisytiharkan bebas tetap menyokong kerajaan BN sebelum mereka kembali ke pangkuan UMNO.
Namun tindakan itu membawa makna dan pengajaran paling penting bagi pihak-pihak yang terlibat atau menyebabkan peristiwa itu berlaku.
1. Elakkan perbuatan yang menggambarkan wujudnya ‘cabaran kepada pemimpin’ atau kepada ahli;
2. Berfikir secara matang dan tidak melakukan perbuatan tergesa-gesa kerana sedikit sebanyak akan mendapat ‘malu’ kelak;
3. Tindakan sedikit sebanyak mencemarkan imej kedua-dua pihak akan wujud syak-wasangka yang ‘tidak perlukan’ di kalangan pengikut;
4. Bebaik sangka dan merundingkan ketegangan dan salah faham dengan segara adalah jalan paling selamat dan ubat mujarab mengatasi krisis;
5. Pemimpin berani menolak ‘nasihat’ yang membawa kepada perpecahan dan ketegangan kerana ada pengikut yang suka melihat kepada perpecahan dan krisis; serta
6.Berpeganglah kepada ajaran Islam bahawa tiada masalah tidak boleh diselesaikan dan selesaikan ia dengan ciri-ciri yang disebut sebagai ‘tali Allah’.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.”
Berbalik kepada isu U-Turn ini, ia tidak menyebabkan runtuhnya kerajaan BN walaupun seketika berada dalam keadaan terumbang-ambing.
Jadi semua pihak perlu merenung kembali kesilapan dan kelemahan masing-masing dan dengan kesemua mereka dapat menerima kepimpinan baharu, wajarlah semua pihak kembali bertenang dan merapatkan barisan untuk menjamin kemenangan UMNO dan BN pada pilihan raya umum akan datang.
Usah dilayan apa kata pemimpin PAS atau pihak-pihak dalam UMNO yang masih menyuarakan kesalahan tiga ADUN UMNO ini. Perkara yang berlaku sudah berlaku dan perkembangan terbaru mendatangkan kedudukan positif kepada parti dan pentadbiran Terengganu.
Jadi, ambillah kejadian baru-baru ini sebagai rujukan dan renungan. Jangan ulangi kejadian serupa dan elakkan ketegagan kerana orang Melayu sudah meluat dengan pertelingkahan dan permusuhan sesama pemimpin dan pengikut.
UMNO perlu belajar daripada kes di Kelantan (1990), Kedah (2008), Perak (2008), Selangor (2008) dan Terengganu sendiri pada (1999).
Persefahaman, menghormati orang bawahan, perundingan dan pemimpin yang tidak mementingkan kepentingan diri dan UMNO yang meletakkan kepentingan ahli melebihi ketua atau pemimpin akan pasti kekal lama.
Jika wujud cara menerajui parti mengikut selera sendiri, ia akan menjahanamkan UMNO dan payung orang Melayu akan tertutup dengan sendirinya apabila tiba ketikanya nanti.
Wednesday, May 14, 2014
PAS KECEWA, BN KEKAL MEMERINTAH DENGAN MB BAHARU…
"Situasi antara kedua-dua buah negeri (Terengganu dan Perak) berbeza kerana apa yang
berlaku adalah pengumuman secara lisan oleh bekas Menteri Besar
Terengganu, ADUN Ajil, dan ADUN Bukit Besi,
bahawa mereka telah keluar daripada UMNO dan menjadi ADUN Bebas."
- Pakar Perlembagaan, Datuk Mohd. Hafarizam Harun
Hanya selepas Datuk Seri Ahmad Said meletak jawatan sebagai menteri besar kelmarin, barulah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengangkat sumpah sebagai menteri besar yang baharu malam kelmarin.
Ini bermakna proses pertukaran Menteri Besar berlaku dengan baik namun tiba-tiba selepas itu, kemelut politik berlaku apabila tiga ADUN UMNO isytihar keluar parti dan menjadi ADUN Bebas.
Ramai pemimpin dan penyokong PAS berharap kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu dapat ditumbangkan akibat tindakan tiga ADUN berkenaan.
Malah ada beberapa blogger meramalkan Ahmad Razif akan menjadi Menteri Besar 'sementara' dan paling singkat kerana kerajaan negeri pimpinannya akan ditumbangkan oleh PAS.
Namun pastinya ramai yang kecewa kerana PAS tidak boleh mengambil alih tampuk pentadbiran Terengganu kerana 15 ADUN pembangkang, termasuk seorang daripada PKR belum menghadap Sultan Terengganu.
Soalan juga apakah Sultan Terengganu sudah berpuas hati bahawa kerajaan BN telah hilang majoriti?
Paling penting apakah Baginda berkenan melantik Menteri Besar baharu daripada PAS?Juga ramai yang kecewa dan marah apabila Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Mohd. Zubir Embong (kanan) semalam menafikan khabar angin kononnya dewan undangan negeri dibubarkan berikutan perkembangan politik terbaru di negeri ini.
Khabar angin tersebar luas melalui SMS dan aplikasi Whatsapp kononnya DUN Terengganu dibubarkan secara rasmi hari ini dan pilihan raya negeri Terengganu akan diadakan dalam masa 60 hari.
Bagi yang tahu, Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya boleh dibubarkan selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.
Namun bagi yang tidak tahu akan merapu dan menyebarkan khabar angina kononnya DUN sudah terbubar dan keadaan Terengganu kini dikawal oleh pembangkang.
Selain DUN tidak terbubar, hakikat yang wajar diketahui ialah Ahmad Razif yang baharu mengangkat sumpah pelantikan malam kelmarin tetap kekal sebagai Menteri Besar Terengganu yang sah.
Biarpun tiga wakil rakyat daripada UMNO (kini tinggal dua) mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil Bebas, namun Ahmad Razif kekal sebagai Menteri Besar (ini bukan berita seperti dilaporkan Datuk Rahman Bakar atau Nik Dir Nik Wan Ku baru-baru ini kononnya Ahmad Said kekal Menteri Besar selepas pengesahan Ibu Pejabat UMNO dan Putrajaya).
Pakar Perlembagaan, Datuk Mohd. Hafarizam Harun menjelaskan menerusi siaran langsung Buletin 12 Awani di saluran Astro Awani 502 semalam, kedudukan itu berdasarkan beberapa faktor iaitu:
1. Selagi kedudukan Ahmad Razif tidak dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk diambil undi tidak percaya, maka Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir itu adalah Menteri Besar Terengganu yang sah;
2. Selagi tiada permintaan untuk membubarkan DUN oleh Ahmad Razif selaku Menteri Besar, maka DUN sedia ada masih lagi berterusan dan beliau masih lagi memegang jawatan Menteri Besar; dan,
3.Selagi tiada pelantikan Menteri Besar baharu oleh Sultan Terengganu atas sebab baginda telah mendapati Ahmad Razif telah hilang kepercayaan ADUN-ADUN, beliau masih kekal sebagai Menteri Besar Terengganu.
Malah, seperti yang turut ditegaskan Mohd Zuber, Ahmad Razif mesti menghadap Tuanku Sultan untuk memperkenankan pembubaran DUN Terengganu dan setakat ini ia masih belum berlaku.
“Bagaimana nak bubarkan DUN, sedangkan saya sebagai Speaker DUN pun masih belum terima sebarang surat untuk membubarkannya," katanya.
Mohd. Zuber turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Kita berterima kasih kepada Polis Terengganu kerana mengeluarkan amaran selain meminta orang ramai menghentikan penyebaran berita tidak sahih menerusi media baharu berhubung situasi politik di negeri itu bagi mengelakkan kekeliruan dan kekecohan.
Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata mereka yang didapati berbuat demikian akan dikenakan tindakan menurut undang-undang sedia ada.
"Saya lihat aktiviti penyebaran ini semakin berleluasa dan antara berita terbabit ialah pembubaran dewan undangan negeri, beberapa ADUN (anggota dewan undangan negeri) bakal keluar parti, perhimpunan serta perarakan, namun semua itu tidak benar," katanya dalam sidang media di Kuala Terengganu, semalam.
Sehubungan itu katanya polis kini bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi memantau media baharu. "...kita minta pemimpin politik menasihati penyokong agar tidak melakukan provokasi, perarakan dan sebagainya yang boleh mencetuskan kekecohan sebaliknya mengunakan saluran yang betul untuk tujuan itu," katanya.
Khabar angin tersebar selepas bekas menteri besar Terengganu dan anggota DUN Kijal serta dua lagi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dari UMNO - Ghazali Taib (Ajil) dan Roslee Daud (Bukit Besi) mengisytiharkan keluar daripada parti dan menjadi wakil Bebas.
Bagaimanapun Roslee kini kembali ke pangkuan UMNO.
Dengan perkembangan terbaru politik itu, wakil BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) kini tinggal 15, PAS (14), PKR (1) dan Bebas (2).
Jadi tidak kena sama sekali jika ada pihak yang menyamakan keadaan yang berlaku di Perak pada 2009 apabila tiga ADUN pakatan pembangkang mengumumkan keluar parti.
Mohd Hafarizam sebaliknya menjelaskan, ini kerana tiga ADUN di Perak berkenaan bukan sahaja keluar daripada parti masing-masing menjadi ADUN Bebas tetapi turut menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN).
Disebabkan itu, Sultan Perak selepas menemuduga 31 ADUN termasuk tiga ADUN Bebas yang memberi sokongan kepada BN telah berkenan melantik Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menjadi Menteri Besar baharu,'' ujarnya.
Situasi antara kedua-dua buah negeri itu juga berbeza kerana apa yang berlaku adalah pengumuman secara lisan oleh bekas Menteri Besar Terengganu, ADUN Ajil, Ghazali Taib dan ADUN Bukit Besi, Roslee Daud bahawa mereka telah keluar daripada UMNO dan menjadi ADUN Bebas.
Beberapa persoalan timbul iaitu apakah surat mengenai keputusan itu diterima oleh Pejabat Setiausaha Agung UMNO secara rasmi dan apakah dimaklumkan kepada Speaker DUN Terengganu. Sehingga petang semalam, Speaker mengesahkan tidak menerima sebarang surat dan mungkin ada surat dihantar hari ini.
Jika diambil kira pengumuman secara lisan oleh ketiga-tiga ADUN ini, mereka hanya menyatakan keluar daripada UMNO tetapi mereka tidak menyatakan menyokong PAS.
Ini berbeza dengan situasi di Perak kerana sokongan tiga ADUN Bebas telah diberikan kepada BN.
Berikutan kedudukaan terkini, rakyat Terengganu tidak perlu gusar bahawa kerajaan BN Terengganu telah tumbang kerana Ahmad Razif masih Menteri Besar.
Ini cerita benar bukan seperti cerita yang dibawa beberapa pemimpin UMNO Terengganu yang mengatakan ‘Tiada MB Baru’
Beliau yang memulakan tugas hari ini mempunyai tanggungjawab besar dan harapan yang ting¬gi terletak di bahu beliau.
Malah semalam juga penasihat undang-undang negeri, Datuk Azhar Abdul Hamid menjelaskan BN masih kekal memerintah Terengganu walaupun tiga wakil rakyatnya dari Umno mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil Bebas.
Beliau berkata, walaupun bilangan wakil rakyat BN berkurangan daripada 17 kepada 15 dan pembangkang mempunyai 15 anggota dalam dewan undangan negeri, speaker juga dikira sebagai wakil kepada kerajaan negeri yang memerintah dengan kedudukan kerusi 16:15:2.
Azhar ketika dihubungi Bernama, berkata speaker DUN turut dikira bersama 15 Adun BN yang masih tinggal dan dengan itu kerajaan BN masih kekal memerintah negeri ini.
Azhar berkata, pihaknya kini sedang meneliti beberapa undang-undang negeri untuk dirujuk berhubung perkembangan politik di Terengganu ketika ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berharap Ahmad Razif dapat memberikan kepemimpinan yang terbaik untuk Terengganu kerana BN mempunyai kelebihan yang kecil dari segi kerusi Dewan Undangan Negeri.
“Terdapat tanggungjawab yang terlalu besar memandangkan harapan tinggi bukan sahaja oleh rakyat tetapi juga oleh kepemimpinan parti kepada beliau," tegas Zahid.
Subscribe to:
Posts (Atom)










.jpg)
