Thursday, January 26, 2012

BERTINDAKLAH TERHADAP YANG MENCEMARKAN NAMA ROSMAH

Hairan juga Malaysiakini menyiarkan penafian berita dari Australia mengenai perbelanjaan sakan Datin Sri Rosmah Mansor dengan mempertahankan bahawa "Rosmah ada Membeli".

Apa agenda Malaysiakini terhadap Rosmah dan kenapa akhbar elektronik ini terlalu 'bencikan' Rosmah? Salahkah membeli dan Rosmah membeli secara berkumpulan yang besar, bukan persaorangan!

Malah, Malaysiakini menyiarkan perdebatan mengenai kolumnis, Andrew Hornery yang dianggap oleh blogger proUMNO sebagai gay yang dikatakan lebih beretika.

Baca apa yang disiarkan di Malaysiakini: "One thing is certain - the worst journalist in Australia has more journalism ethics and standards than the best journalist in the Malaysian mainstream media."

Wah teruknya wartawan Malaysia, termasuk wartawan terkemuka di negara ini.

Menurut blog pisau.net, kolumnis berkenaan, Hornery merupakan penulis kolum gosip dan bukannya wartawan berita.

Menurut blog berkenaan lagi, Hornery disenaraikan di dalam satu laman web yang mengumpulkan "wartawan paling teruk" Australia – www.australiasworstjournalist.com.au. pisau.net antara lainnya mendakwa Hornery tidak menulis semula fakta dengan tepat dalam tulisannya.

Apapun, semalam pereka Australia menafikan beliau mendedahkan perbelanjaan Rosmah.

Pereka berkenaan Carl Kapp semalam (25 Januari 2012) membuat penjelasan mengenai dakwaan bahawa Rosmah membelanjakan A$100,000 (kira-kira RM325, 000) di Sydney semasa lawatannya ke sana baru-baru ini dengan 'kumpulan yang agak besar'.

Kapp menerusi kenyataannya menjelaskan, pembelian yang dibuat oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak itu dibuat bersama kumpulannya termasuk mereka yang terlibat dengan Festival Fesyen Islamik di mana beliau menjadi penaungnya.

"Saya ingin menjelaskan mengenai kenyataan saya berhubung kunjungan klien saya ini, saya tidak pernah nyatakan jumlah sebenar yang dibelanjakan di kedai saya. Pihak Datin Seri Rosmah datang ke kedai kami dalam kumpulan yang besar dan semasa kunjungannya, pihak beliau termasuk kenalannyan, pengerusi dan penganjur Festival Fesyen Islamik telah membuat pembelian berasingan dan pelbagai. Saya percaya Datin Seri Rosmah adalah penaung kepada festival fesyen itu," katanya menerusi kenyataan kepada Malaysiakini.

Penjelasan ini bagaimanapun tidak disiarkan secara penuh dalam edisi Bahasa Inggeris Malaysiakini dan tiada dalam edisi Bahasa Melayu akhbar elektronik itu!

Rosmah sebelum ini telah menafikan dakwaan bahawa beliau seorang yang boros malah menyifatkan menjadi mangsa kepada kepada tuduhan liar pihak-pihak tertentu.

Dalam pada itu Kapp turut menafikan dakwaan bahawa beliau telah diterbangkan ke Malaysia semata-mata untuk kepentingan Rosmah.

"Perkara ini juga tidak tepat. Lawatan ke beberapa bahagian di Asia termasuk Malaysia dibuat bagi tujuan pemasaran serta untuk mencari material bagi produk terbaru kami. Ia termasuk dalam jadual kerja saya dan ia adalah urusan perniagaan yang biasa.

"Pada pandangan kami adalah tidak adil sebuah artikel memberi gambaran bahawa Carl Kapp sebagai sebuah syarikat yang tidak berhemah malah sedia mendedahkan maklumat peribadi mengenai klien kami," katanya.

Yang cuba ditegakkan 'benang basah' oleh Malaysiakini ialah Rosmah membeli. Malah ada satu banner di Malaysiakini yang bersifat 'merendahkan imej Rosmah' dengan tajuknya 'Rosmah shopping spree hits Aussie Paper.

Apa tujuan Malaysiakini melakukan ini semua?

Mungkin Rosmah atau sesiapa yang terlibat dalam isu ini, jika berada di pihak yang benar, ambillah tindakan sewajarnya untuk membersihkan nama baik mereka.

Wednesday, January 25, 2012

SAKIT KENA CERCA AKIBAT 'TUDUHAN' KEPADA ORANG YANG KITA SAYANGI...


Apakah caranya untuk kita memerangi ‘fitnah’ dan tuduhan liar terhadap isteri Perdana Menteri yang dikatakan berbelanja sakan di Australia, baru-baru ini?

Atau apakah kita perlu berdiam diri dan dengan cara itu ‘orang ramai’ atau rakyat akan melupakannya. MELUPAKANNYA?

Atau apakah kita perlu menjawab tetapi hanya dengan 'tembak-tembak' berbekalkan peluru kosong?

Yang ada peluru mungkin mereka yang di keliling Perdana Menteri dan isterinya atau yang dibekalkan peluru. Dan yang tiada peluru wajar berdiam diri melihat isteri Perdana Menteri diserang?

Dan tiga hari Rosmah dituduh sedemikian, namun tiada pun reaksi daripada Pejabat Perdana Menteri atau orang di sekelilinnya?

Apakah berita itu BENAR BELAKA dan TIADA YANG TIDAK BENAR?

Menurut Malaysiakini , kolumnis Sydney Morning Herald Andrew Hornery mempertahankan dakwaannya bahawa isteri perdana menteri Rosmah Mansor membelanjakan lebih RM300,000 semasa lawatannya ke Australia.

"FLOM (wanita pertama Malaysia) dakwa saya membesar-besarkan secara liar lawatan sambil membeli-belahnya di Sydney? Saya tetap pertahankan setiap kata-kata saya. Sumber saya amat kukuh," kata Hornery dalam Twitternya kira-kira sejam lalu. Isteri Datuk Seri Najib Razak semalam menyangkal dakwaan Hornery yang dibuat dalam seksyen 'Private Sydney' harian itu dengan menyifatkannya sebagai "karut, dibesar-besarkan secara liar dan tidak benar", kata Hornery.

Selain perbelanjaan A$100,000 (RM325,000) di sebuah butik, Hornery juga mendakwa Rosmah dan suami menginap di emper (penthouse) bernilai A$20,000 (RM65,100) semalam, meminta "parkir valet untuk limousinnya" dan menerbangkan pereka fesyen ke Malaysia untuk mengenakan pakaian yang ditempahnya.

Tolonglah katakan atau bertindak sesuatu agar rakyat yang sayangkan Perdana Menteri, UMNO dan Barisan Nasional tidak tertekan dan ada peluru untuk menembak balik.


Sakit apabila kita turut dicerca akibat 'tuduhan' kepada orang yang ada mengena dengan kita tetapi dibiarkan tidak berjawab atau sengaja tidak mahu menjawab!

Monday, January 23, 2012

'FIRST LADY OF SHOPPING' ADALAH LIABILITI KEPADA PM, UMNO & BN?

Cara media propembangkang memainkan isu isteri Perdana Menteri, Datin Sri Rosmah Mansor adalah untuk menggambarkan Rosmah sebagai liabliti kepada Perdana Menteri, UMNO dam Barisan Nasional (BN).

Dengan menggambarkan sedemikian, semua pihak, sama ada Datuk Sri Mohd Najib Razak, seluruh kepimpinan dan anggota UMNO serta BN akan merasai tempiasnya.

Bagi pembangkang, isu Rosmah ini adalah isu besar yang boleh menguntungkan mereka.

Ia lebih besar daripada isu NFC, kapal selam atau isu-isu lain yang yang membabitkan dana kerajaan. Rosmah digambarkan betapa keluarga Perdana Menteri adalah keluarga yang suka berbelanja besar dan membazir.

Jika Rosmah dianggap sebagai maha pembazir dan isteri kepada Perdana Menteri, mudah untuk mereka samakan Najib dan Rosmah dengan bekas Presiden Filipina yang digulingkan - Marcos dan Imelda Marcos.

Dengan kata lain, hukuman kepada maha pembazir ialah digulingkan. Di Malaysia, ia dilakukan melalui kuasa rakyat - pilihan raya.

Kelmarin, akhbar Australia melapor Rosmah 'berbelanja besar' lagi. Menurut laporan yang dipetik Malaysiakini, tabiat berbelanja besar seorang lagi anggota keluarga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi menarik perhatian media Australia hari ini - kali ini di Sydney.

Dalam seksyen 'Private Sydney' akhbar Australia Sydney Morning Herald, kolumnis Andrew Hornery memanggil Rosmah sebagai "first lady of shopping" kerana dikatakan telah membelanjakan A$100,000 (RM325,000) di sebuah butik di Sydney.

Memetik pereka fesyen Sydney Carl Kapp, kolumnis itu melaporkan bahawa "pelanggan terbesar" Kapp telah membelanjakan jumlah yang mengejutkan sewaktu "percutian peribadi" di sana "sekitar dua minggu lalu".

Menurut kolum tersebut, Rosmah dan Najib, semasa cuti tersebut, menginap di penthouse A$20,000 (RM65,100) satu malam di Hotel Darling.

Dengan tajuk 'Super Kerr Now a Model Citizen', kolum itu turut melaporkan bahawa Rosmah telah meminta "parkir valet untuk limousinnya" dan menerbangkan Kapp ke Malaysia untuk mengenakan pakaian yang ditempahnya.

Oktober lalu, anak perempuan Najib, yang tidak dinamakan, telah dilaporkan oleh akhbar Western Australian telah berbelanja mewah di David Jones di Perth semasa Mesyuarat Ketua-ketua Negara Komanwel (CHOGM).

Akhbar itu kemudiannya membuat pembetulan kepada laporan tersebut, dengan memetik sumber tanpa nama, selepas Najib berkata anak perempuannya tidak berada di Perth pada masa itu.

Di sebalik tuduhan itu, Rosmah hari ini menyangkal dakwaan bahawa beliau berbelanja mewah dalam percutiannya di Sydney, Australia sebelum ini.

"Semua itu karut, dibesar-besarkan secara liar dan tidak benar, Saya selalu menjadi mangsa," kata Rormah dipetik Malaysiakini. Menurut kolum tersebut, Rosmah dan Najib, semasa cuti tersebut,

Menghairankan ialah akhbar-akhbar di Australia bagaikan tidak serik dan bimbang dengan tuntutan minta maaf dan disaman.

Yang penting bagi mereka ialah 'memusnahkan' imej Rosmah terlebih dahulu dan soal lain, 'kaotim' kemudian.

Nampak gayanya Pejabat Perdana Menteri atau Rormah kenalah menafikannya kerana rakyat jangan sampai percaya bahawa Rosmah ialah "first lady of shopping' dan bermewah-mewah dengan harta rakyat.

Dan kalau berbelanja dengan duit sendiri, akan ditanya pula dari mana datangnya wang itu.

Juga pihak yang bertanggungjawab untuk 'membersihkan imej Rosmah' perlu membuat kerja lebih kuat bagi menghapuskan tanggapan bahawa Rosmah kini liabiliti kepada UMNO dan BN.

Jangan berlengah-lengah, pilihan raya umum sedang menghampiri kita

Saturday, January 21, 2012

RAYUAN SAIFUL - APA PULA HELAH BARU ANWAR?

Apakah akan ada helah baru Datuk Seri Anwar Ibrahim serta rakan-rakan yang menyokongnya selepas Pejabat Peguam Negara semalam memfailkan notis rayuan Mohd. Saiful Bukhari terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan beliau 12 hari lalu?

Sehari selepas keputusan Mahkamah Tinggi membebaskannya, Ketua Pembangkang, itu menyatakan beliau tidak risau sama ada pihak pendakwa membuat rayuan atau tidak berhubung pembebasannya daripada pertuduhan liwat.

Sambil menegaskan bahawa rayuan itu bukan urusannya, Anwar yang juga ketua umum PKR berkata, beliau tahu bahawa ia diperuntukkan dalam undang-undang dan perlembagaan.

Beliau berharap tidak akan ada campurtangan jika Peguam Negara membuat rayuan. Campur tangan siapa agaknya yang dimaksudkan Anwar.

Apakah isu campurtangan ini akan menjadi senjata Anwar mempertahankan dirinya selepas ini setalah pada perbicaraan sebelum ini beliau meminta tangguh dan melakukan ‘pelbagai alasan’ untuk melengah-lengahkan perbicaraan?

Pada 9 Januari lalu, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah memutuskan untuk melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan yang dihadapinya selepas mendapati tiada bukti kukuh Saiful bagi menyokong keterangan.

Mohamad Zabidin berpendapat bahawa adalah tidak selamat untuk mahkamah bergantung kepada bukti asid deoksiribonukleik (DNA).

Selepas meneliti bahan bukti, Mohamad Zabidin berpendapat mahkamah tidak boleh seratus peratus pasti bahawa integriti sampel DNA yang diambil daripada saksi pendakwa pertama, Saiful tidak terjejas.

Di peringkat pembelaan bagi kesalahan seksual, mahkamah keberatan untuk menyabitkan tertuduh hanya berdasarkan kepada keterangan Mohd. Saiful Bukhari tanpa bukti sokongan lain.

Apa yang dapat dilihat sejauh ini, peguam utama kepada Anwar, Karpal Singh dan Majlis Peguam sudah menggesa Peguam Negara agar tidak memfail rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu.

Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu berkata sebagai peguambela beliau juga berhak, berdasarkan keterangan, menggesa AG agar tidak membuat rayuan.

Sekalipun rayuan dibuat bapa Saiful, Azlan Mohd Lazim supaya AG mengemukakan rayuan, Karpal Singh berkata sebagai peguambela beliau juga mempunyai hak menggesa AG supaya tidak berbuat demikian.

"Cukup malang perkara berkenaan telah berlarutan hingga ke peringkat ini buat Saiful, tetapi sebaiknya negara dan semua terlibat menghentikan penghinaan terhadap Anwar dan keluarganya dan terus bergerak menangani isu-isu politik yang lebih penting yang menyentuh setiap orang," katanya.

"Perbicaraan ini dipanggil ibu segala perbicaraan di Malaysia dan saya kira tiga tahun (perbicaraan) adalah cukup lama dan ia perlu dihentikan demi kebaikan semua," katanya di rumahnya semasa pesta Pongal di George Town baru-baru ini.

Ternyata apa yang cuba disekat dan dihalang bagi membolehkan Saiful merayu tidak berjaya dan di sebalik keputusan pembebasan dan pelepasan Ketua Pembangkang, Jabatan Peguam Negara semalam tetap memfailkan notis rayuan Saiful berdasarkan keterangan dan undang-undang, malah tidak mengikut emosi atau pengaruh mana-mana pihak.

"Keputusan memfailkan notis rayuan ini membolehkan jabatan ini memperolehi penghakiman bertulis Yang Arif Hakim dan rekod prosiding perbicaraan daripada Mahkamah Tinggi. Ini seterusnya mengetahui dengan jelas alasan-alasan penuh keputusan yang Arif Hakim," kata jabatan itu.

Saiful sudah pasti menyambut baik tindakan Peguam Negara itu dan berharap laporan pada tahun 2008 didengar dan melalui proses keadilan sehingga ke peringkat mahkamah tertinggi menurut undang-undang akan terlaksana.

"Saya dan keluarga saya juga ingin menyatakan disini bahawa dengan pemfailan Notis Rayuan tersebut, hak untuk aduan saya sebagaimana laporan polis yang saya buat pada tahun 2008 didengar dan melalui proses keadilan sehingga ke peringkat Mahkamah yang tertinggi menurut undang-undang adalah terlaksana," katanya melalui laman blog yang disiarkan pada pukul 5.54 petang semalam.

Kepada Mohd Saiful dan keluarganya, masih ramai rakyat Malaysia yang berharap beliau akan mendapat pembelaan sewajarnya.

Dan proses pembelaan itu sudah bermula mulai semalam, Jumaat 20 Januari 2012.

Kita berdoa Allah akan menunjukkan siapa benar dan siapa berbohong dalam kes liwat Anwar terhadap Saiful ini.