Thursday, October 8, 2009

JAKARTA PERLU DISIPLINKAN RAKYATNYA…

Kalau ikutkan hati, biarkan mereka mati.

Kalau ikutkan rasa, memang jadi binasalah hubungan Jakarta-Kuala Lumpur.

Namun kerajaan dan rakyat kita – Malaysia – tidak melihat kepada kepentingan sekelompok kecil rakyat Indonesia.

Lagipun bukan sedikit yang sedang mencari rezeki dan belajar di negara ini. Kuala Lumpur tidak pernah meminta mereka pulang, kecuali pendatang tanpa izin.

Di Padang pula ketika ini ramai yang memerlukan pertolongan dan bantuan.

Ada laporan mengatakan kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) akan menyerang Malaysia hari ini menerusi kepulauan Borneo.

Tidakkan mereka ini peka terhadap apa yang berlaku di negaranya dan apa yang dilakukan oleh kita untuk rakan senegara mereka?

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata malam semalam, ancaman Bendera yang dikatakan bertekad akan menyerang Malaysia hari ini tidak melibatkan permasalahan berkaitan ketenteraan antara Malaysia dan Indonesia.

Beliau meminta rakyat Malaysia tidak panik atau membuat sebarang andaian negatif berhubung khabar angin berkaitan gerakan itu yang dianggotai oleh sekumpulan kecil yang diupah oleh pihak tertentu.

Walaupun demikian, kita berharap pemerintah Indonesia tahu menguruskan dan mendisiplinkan rakyatnya.

Jakarta tidak wajar buat ‘tidak tahu’. Setitik darah rakyat Malaysia tumpah ke bumi gara-gara Bendera dan buluh runcing, boleh mendatangkan kesan tidak baik antara dua negara.

Disiplinkan mereka itu jangan sampai tentera Malaysia ‘mendisiplinkan ‘ mereka.

Dedahkan cepat siapa yang mengupah dan memprovokasikan mereka. Jika ada ‘kepalanya’ di Malaysia tangkap saja. Jangan jadikan nyawa rakyat sebagai taruhan.

Juga ada laporan pesawat pengangkut C-130 Hercules dilempar batu dan dihalang mendarat oleh segelintir penduduk Padang yang dikatakan masih berang terhadap Malaysia berhubung isu tarian Pendet.

Pesawat itu berlepas dari Pangkalan Udara Subang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau, satu-satunya lapangan terbang komersial yang masih beroperasi di Padang.

Ini adalah cabaran kepada hubungan diplomatik kedua-dua negara ketika Malaysia sedang melaksanakan misi menyelamat dan menghantar bantuan kemanusiaan ke wilayah yang dilanda gempa bumi itu, baru-baru ini.

Tindakan itu boleh dilihat seolah-olah kehadiran pesawat Malaysia kurang disenangi segelintir masyarakat di kawasan terbabit. Namun, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kita tidak terikut-ikut ‘gila’ sebaliknya menerima kejadian itu dengan rasional.

Bagi kita, matlamat dan tujuan kedatangan ke tempat darurat atau bermasalah itu adalah untuk membantu dan tidak mungkin kita mahu menimbulkan lagi masalah lain.

Kalau ikutkan marah dan gila seperti rakyat Indonesia, patut bantuan kemanusiaan ke Padang dihentikan sahaja.

Tetapi lain Padang lain belalang. Padang bukan Jakarta atau pulau Jawa. Yang dok meroyan mengenai Malaysia adalah sebilangan kecil sahaja. Kerana itu apa juga sikap segelintir rakyat Indonesia, kita tidak perlu ‘ambil hati’ walaupun kadangkalanya geram.

Malah, kecenderungan sesetengah pihak di Indonesia membuat kenyataan dan bersikap negatif terhadap Malaysia jelas tidak mempengaruhi Kuala Lumpur untuk bertindak balas. Sebaliknya Malaysia adalah negara pertama yang menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa gempa bumi di Padang.

Bak kata Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, misi bantuan kemanusiaan untuk mangsa gempa bumi di Padang, Indonesia, akan diteruskan walaupun ada segelintir rakyat negara itu masih mempunyai tanggapan negatif terhadap Malaysia.

Ini kerana aspek kemanusiaan seharusnya dilihat dari sudut yang berasingan, justeru konflik yang timbul ketika ini tidak boleh dibiarkan mempengaruhi sebarang usaha baik oleh Malaysia terhadap pihak yang memerlukan.

Apa yang dilakukan oleh Malaysia sebenarnya adalah selepas ada satu lampu hijau - kebenaran dari pihak Indonesia.

"Sedikit sebanyak (pasukan Malaysia) telah membantu keadaan di Padang dan ini dilihat dari sudut hubungan baik kita antara kerajaan dengan kerajaan, dan umumnya antara rakyat dengan rakyat.

"Kita tidak akan melihat kepada satu kelompok, dua kelompok, maksudnya kita bersikap saling bermusuhan atau mengambil langkah balas. Kita tidak begitu, jadi apa pun usaha adalah dari sudut kemanusiaan selagi dikehendaki dan dapat izin dari pihak Indonesia, kita akan lakukan dan itu yang kita buat dulu," kata Muhyiddin.

Muhyiddin berkata, bantuan seumpama itu adalah usaha baik bagi menonjolkan semangat setiakawan dan menilai hubungan akrab antara kedua-dua negara yang terjalin erat selama ini.

Sewajarnya apa saja dalaman seharusnya diserahkan kepada kebijaksanaan pihak pemerintah Indonesia yang lebih mahir menguruskan hal ehwal dalaman negara mereka.

Apapun, saya bersetuju dengan Timbalan Perdana Menteri bahawa Malaysia tetap akan mengambil langkah berjagajaga dan tidak memandang ringan terhadap sebarang bentuk ancaman yang ditimbulkan oleh kelompok tertentu di Indonesia.

Ini kerana walaupun ketegangan itu bukan dicetuskan oleh kerajaan Indonesia namun Malaysia tetap memberi perhatian kerana kesemua isu itu memberi implikasi terhadap hubungan baik keduadua negara.

Berkat kesabaran kita Unit Kesihatan Bergerak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapat sambutan luar biasa apabila tidak putus-putus dikunjungi pesakit dari sekitar Kota Padang.Ketuanya, Kapten Mahamud Tukimin, berkata jumlah pesakit yang datang mendapatkan rawatan bertambah ramai sejak hari pertama ia dibuka kelmarin.

Wednesday, October 7, 2009

KES RM3B : PEMUDA MIC LEBIH JANTAN

Pemuda UMNO cakap sahaja. Kata nak repot tapi tidak buat pun!

Sebaliknya, bekas Ketua Pemuda MIC,S.Vigneswaran yang membuat laporan polis di Ibupejabat Polis Putrajaya hari ini dengan minta polis membuka semula kes dakwaan bekas Penolong Gabenor Bank Negara Datuk Murad ,Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ada simpanan RM 3 billion di luar negara.

Kes yang heboh pada 1999 itu dibangkitkan semula rakan karib Ketua Pembangkang itu, Datuk S. Nallakarupan, kelmarin.

Beliau turut mempersoalkan kenapa kes itu senyap begitu sahaja selepas Abdul Murad menarik balik akuan tersebut.

Vigneswaran yang kini Pengerusi Kelab Penyokong BN diiringi oleh 40 orang penyokongnya tiba untuk buat laporan polis itu jam 4.30 petang.

Bercakap kepada wartawan Vigneswaran menjelaskan mereka buat laporan polis itu bukan atas permintaan Ketua Pemuda UMNO Malaysia Khairy Jamaluddin tetapi atas rasa tanggongjawab setelah membaca kenyataan akhbar yang dibuat oleh bekas rakan Anwar,Datuk Nallakarupan mengenai dakwaan berkenaan.

Hmmm...beginilah sepatutnya, jangan cakap berdegar-degar tapi akhirnya ‘tangan berbau tahi’.

Sebelum ini, Pergerakan Pemuda UMNO dikatakan akan membuat laporan polis meminta pihak berkuasa itu membuka semula siasatan berkenaan.

Nallakarupan dalam kenyataan terbaru mendakwa bekas Timbalan Perdana Menteri itu seperti didedahkan Abdul Murad pada 26 Oktober 1999 mengawal 20 akaun induk yang diuruskan kroni-kroninya membabitkan aset, saham dan wang bernilai lebih RM 3 bilion.

Anwar dikatakan menggunakan wang akaun induk itu untuk memajukan cita-cita politiknya.

Menurut Khairy, polis membuat siasatan rapi kerana semua butiran dan maklumat sudah ada seperti akuan berkanun itu.

Anwar kini dilaporkan berada di luar negara dan dijangka turun berkempen untuk calon PAS pada pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang, hujung minggu ini. Ketuanya, Khairy Jamauddin berkata, walaupun itu kes lama tetapi apabila dibangkitkan semula rakan tenis Anwar itu, pasti ada kesahihan hujah dan asas dakwaannya itu.

“Datuk Nalla rakan baik Anwar dulu, pasti beliau apa yang beliau cakap,” katanya pada media seleps melawat bilik gerakan UMNO Kampung Baru Si Rusa, Bagan Pinang, Selasa.

Menurut Khairy, Abdul Murad tidak boleh menarik balik akuan berkenaan sewenang-wenangnya.

“Dengan senario hari ini apabila Barisan Nasional mahupun UMNO dikatakan rasuah, BN patut tentang atau lawan tuduhan pembangkang,” katanya.

Beliau khuatir penangguhan siasatan kes seperti itu membawa kesan buruk dan menyebabkan sokongan rakyat kepada kerajaan merosot seperti pilihanraya umum lalu.

Khairy mahu perkara itu segera disiasat kerana ianya mempunyai kepentingan negara.

Pemuda UMNO berharap pihak polis mengambil tindakan segera terhadap kes itu kerana membabitkan jenayah perdagangan mahupun rasuah.

“Datuk Nallakarupan mendakwa Anwar diketahui mempunyai pelbagai sumbar kewangan yang besar seperti didedahkan Abdul Murad,” ujar beliau.

Kita tunggulah, apakah Pemuda UMNO akan membuat laporan polis atau sebaliknya.

Tuesday, October 6, 2009

BAGAIMANA KALAU KITA PUKUL SALAHUDDIN AYOB PULA

Kenapa? Kerana dia kata mangsa kena pukul bercakap bohong!

Pada 26 September lalu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan oleh akhbar utama, meminta penyokong PAS hormati Aidilfitri – jangan serang peribadi.

Beliau merujuk kepada penceramah PAS yang akan menyertai kempen pilihan raya kecil Bagan Pinang agar mereka hanya merujuk kepada soal dasar, bukan peribadi.

Namun belumpun berceramah dan menyerang peribadi, penyokong PAS sudah menyerang bodi (body) atau badan.

Pengerusi Biro Putera UMNO yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim kini terlantar di Hospital Kuala Lumpur selepas kecederaannya semakin serius.

Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan pada jam 9.30 malam kelmarin, setelah kecederaan di bahagian leher yang dialaminya selepas ditumbuk oleh penyokong PAS.

Kejadian berlaku ketika sedang berjalan kaki menuju ke pusat penamaan calon di dewan Majlis Perbandaran Port Dickson pada Sabtu lalu.

Beliau berkata, kesan daripada serangan itu, bahagian lehernya membengkak dan beliau turut berasa pening serta loya dan dinasihatkan oleh doktor supaya banyak berehat.

Namun agak aneh apabila Pengarah Induk Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang PAS, Salahuddin Ayub menegaskan dakwaan Azeez yang lebam dipukul Pemuda PAS sebagai satu pembohongan.

Laporan Sinar Harian 5 Oktober, 2009 (kelmarin), memetik Salahuddin berkata, pada hari penamaan calon itu, Azeez telah berjumpa dengan beliau dan menunjukkan kesan lebam terbabit tetapi apa yang dilihat tiada langsung kesan lebam malah bajunya turut masih kemas dan bersih.
“Saya pelik bagaimana dakwaan yang dibuat Azeez yang mengatakan beliau dipukul oleh sembilan orang pemuda Pas tetapi datang kepada saya dengan senyuman dan baju yang masih kemas.

“Oleh itu, saya berpendapat beliau telah berbohong kepada media dan rakyat Bagan Pinang di mana beliau telah mencari satu publisiti murahan,” kata Salahuddin di Markas Tarbiah Pas di Port Dickson kelmarin.

Bagaimana kalau Pemuda UMNO jika terserempak Salahuddin, pukul pula beliau kerana mendakwa Azeez berbohong.

Pukulan jangan kuat tetapi secukup rasa, bukan kerana membalas pukulan terhadap Azeez tetapi pukulan kerana mendakwa Aziz berbohong.

Jangan ada parut atau luka seperti dia mengatakan terhadap Azeez tetapi biar rasanya seperti yang Azeez rasa, mungkin membengkak di dalam.

Kenapa wajar berbuat demikian? Jawapannya kerana pada ketika beliau mengatakan Azeez berbohong, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri menyifatkan kejadian serangan pada hari penamaan calon pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang mencemarkan imej Islam.

Pada ketika Nik Aziz me nasihatkan supaya mereka berbaik semula, Salehuddin bagaikan mahu menyemarakkan lagi kemarahan orang UMNO apabila mendakwa Azeez berbohong sedangkan Azeez terlantar di hospital.

Nik Aziz berkata: “Kalau boleh jangan lanjutkan (teruskan) bukan sahaja masa mengundi, tetapi sampai bila-bila. Itu bukan kita berpolitik dan ia bukan cara Islam pun…sebagai pemimpin PAS saya minta mereka berdamai. Minta maaf dan jangan teruskan lagi. Kita kena guna akal fikiran sebab akal fikiran ini tak menentu. Kita hala tujukan (pemikiran) ke arah Islam.”

Jenis pemimpin PAS apakah Salahuddin ini?

Sepatutnya pada bulan mulia ini – Syawal – Salahuddin mengajak mereka yang terbabit berbaik-baik dan bermaaf-maafan, bukan menuduh orang yang menjadi mangsa sebahagai ‘pembohong’.

Sikap Salahuddin – bekas Ketua Pemuda PAS – tidak wajar dijadikan contoh. Sikap angkuh beliau menggambarkan betapa berbezanya dengan pemimpin lama yang mengambil pendekatan berdamai jika berlaku perselisihan.

Sewajarnya Salahuddin mencari mereka yang melakukan ‘perbuatan melampau’ itu dan mendamaikannya dengan Azeez serta beberapa ahli UMNO yang lain kerana dengan cara itu PAS akan dilihat menekankan keamanan bukan perselisihan.

Kalaupun tidak mahu membawa mereka yang terbabit, Salahuddin boleh memohon maaf bagi pihak mereka, bukannya menuduh Azeez berbohong.

Pakailah nasihat Nik Aziz agar “berbaik semula, lebih-lebih lagi kalau bertumbuk sesama Melayu, makin lagi mencemarkan imej Islam dan orang Melayu. Saya harap mereka yang melakukannya dapat meminta maaf.’

Malah Nik Aziz berharap “kalau boleh jangan lanjutkan (teruskan) bukan sahaja masa mengundi, tetapi sampai bila-bila. Itu bukan kita berpolitik dan ia bukan cara Islam pun.”

Ternyata berdasarkan saranan Nik Aziz, Salahuddin bukan mengambil pendekatan Islam walaupun dia pemimpin yang mendakwa partinya Islam.

Salahuddin lebih berminat kepada ‘perselisihan’ dan ‘permusuhan’.

Wajarkah orang Melayu dan Islam menyokong dan menyanjung pemimpin seperti ini?

TAHNIAH UNTUK SEMUA DI UMNO LARUT

Bukan untuk Raja Ahmad sahaja, tetapi juga Hamzah Zainuddin dan juga Mohd Daud.

Paling penting, Zamry sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perak berjaya mengatasi ‘perang Larut’ hampir 11 bulan.

Padanlah Raja Ahmad berdiam diri sahaja dan tidak lagi bersuara mengenai ‘masalah bahagiannya’. Rupa-rupanya semua sudah beres!

RAJA Ahmad (tengah) diapit Hamzah (kanan) dan Mohd Daud (kiri) berkompromi demi parti sambil disaksikan Muhyiddin dan Zambry pada perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Larut di Selama, kelmarin.

Kalau dari awal begini kan bagus. Tidak adalah kemelut dan ibu pejabat UMNO pun tidak pening.

Persidangan perwakilan bahagian itu tertangguh beberapa kali selepas berlakunya perbalahan antara Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin dan Datuk Hamzah Zainuddin, yang juga Ahli Parlimen Larut yang dicalonkan merebut jawatan berkenaan.

Mesyuarat yang mulanya dijadualkan 2 November tahun lalu ditangguhkan beberapa kali selepas Raja Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubu Gajah mengumumkan Umno Larut menolak pencalonan Hamzah atas alasan teknikal.

Hamzah bukan sekadar Ahli Parlimen tetapi juga Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi. Jadi eloklah kalau beliau tidak ‘merebut’ Ketua Bahagian. Biarkan sahaja Raja Ahmad menjadi Ketua Bahagian Larut.

Lagipun, dia menyokong dengan laluan mudah kepada Hamzah untuk bertanding sebagai ahli parlimen. Tiada sabotaj pun seperti di sesetengah bahagian.

Sebelum ini Raja Ahmad adalah ahli Parlimen tetapi diturunkan ke kerusi DUN Titi Gajah.

Saya ada menulis beberapa siri rencana ketika kemelut bahagian antara Oktober dan Disember tahun lalu bersama-sama dengan beberapa bahagian lain sebelum pemilihan yang lalu, termasuk bahagian Tanah Merah Kelantan, Seputeh Wilayah Persekutuan dan juga Bahagian Tenom di Sabah.

Kesian juga kepada perwakilian UMNO Larut pada perhimpunan tahun lalu apabila datang sebagai pemerhati dan tidak pun ada tempat untuk mereka di Dewan Merdeka.

Namun Alhamudulliah, kini segalanya-galanya kembali asal dan diharapkan tiga pihak yang ‘bersengketa’ sebelum ini akan melupakan segala-galanya demi UMNO.

Kepada Hamzah, mahu direbutkan apa lagi Ketua bahagian kerana selain menjadi Ahli Parlimen, beliau sibuk dengan tugasnya sebagai Pengerusi Felcra.

Dengan berlangsungnya persidangan perwakilan Umno Bahagian berkenaan selepas tertangguh hampir setahun berikutan kerana kemelut kelayakan calon yang ingin bertanding, kini menjadikan kesemua barisan jawatankuasanya kekal tanpa bertanding.

Mesyuarat perwakilan itu berlangsung dalam suasana mesra dan menyaksikan semua jawatan tidak ditandingi.

"Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana akhirnya Umno Bahagian Larut dapat mengadakan sidangnya setelah tertangguh beberapa kali kerana kemelut yang dihadapi," kata Raja Ahmad.

Bahagian Larut sepatutnya berterima kasih kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, walaupun baru dilantik beberapa bulan lalu tetapi berjaya membuka ruang kepada 385 perwakilan bahagian itu bermesyuarat dalam suasana mesra.

Zambry yang diberi tanggungjawab mencari penyelesaian mengadakan beberapa pertemuan dengan pihak berkaitan termasuk Timbalan Ketua bahagian itu, Datuk Mohd Daud Yusof.

Kumpulan itu akhirnya berjaya meyakinkan Hamzah untuk berkompromi dan menarik diri daripada bertanding, sekali gus memberi laluan kepada Raja Ahmad kekal ketua bahagian, manakala Mohd Daud dengan jawatan yang disandangnya.

Penyelesaian kepada kemelut ini bermakna semua 191 bahagian UMNO sudah bermesyuarat.
Kelmarin, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengucapkan tahniah kepada pemimpin dan ahli Umno Larut serta menyifatkan semua pihak menunjukkan kematangan, tolak ansur selain sayangkan parti sehingga membolehkan Umno bahagian itu mengadakan mesyuarat.

Kemampuan bahagian itu mencapai kata sepakat dan berkompromi juga menunjukkan ahli Umno mempunyai keupayaan menyelesaikan masalah dalaman tanpa membabitkan Majlis Tertinggi (MT) Umno.