Friday, September 11, 2009

BENARKAH VAKSIN SELESEMA BABI ADA KESAN SAMPINGAN?

“AWAS!!! Vaksin H1N1 yang bakal tiba oktober ini mempunyai kesan sampingan gangguan otak — Guillain-Barre Syndrome (GBS) dan juga boleh membawa kepada kematian!!!”

Demikian menurut satu e-mail yang dihantar kepada saya dua hari lalu.

Kata e-mail berkenaan, pada 15 Ogos 2009 lepas, akhbar Daily Mail mendedahkan bahawa vaksin H1N1 yang bakal digunakan oleh kebanyakan negara-negara dunia mempunyai kesan sampingan yang berbahaya kepada penerimananya.

Penerima vaksin H1N1 dikhuatiri berhadapan dengan masalah gangguan otak yang dipanggil Guillain-Barre Syndrome (GBS).

Kebimbangan ini saya utarakan kerana kerajaan dijangka akan mengedarkan vaksin berkenaan tidak lama lagi.

Kerajaan dikatakan menempah 400,000 dos vaksin berkenaan bernilai RM14 juta yang dijangka diterima bulan depan dan Januari.
Pada 29 Julai 2009, Prof. Elizibeth Miller, Pengarah Jabatan Imunisasi di bawah Health Protection Agency di Britain telah menulis surat amaran tentang bahaya kesan sampingan dari vaksin H1N1 yang bakal dijual syarikat farmasi gergasi dunia. Surat itu dihantar kepada 600 orang lebih Senior Neurologist di seluruh Britain.

Surat yang bertarikh 29 Julai 2009 lepas itu berjaya merungkaikan betapa teori-teori konspirasi yang dinyatakan sebelum ini benar dan sahih. Walaupun kerajaan Amerika Syarikat cuba berselindung dan berdolak-dalik ketidakterlibatannya dalam isu Selsema Babi (SB), tetapi ada segelintir masyarakat yang sanggup mendedahkan rahsia kerajaan mereka ini.

Vaksin yang dibina oleh syarikat-syarikat farmasi gergasi dunia ini dijangka diedarkan kepada orang ramai pada awal Oktober. Di Amerika sahaja, sebanyak 13 juta rakyat akan disenaraikan untuk menerima suntikan.

Selain daripada bukti surat ini, apa yang boleh mensahihkan konspirasi Selsema Babi inia adalah kenyataan dari salah seorang Senior Neurologist yang ditemu ramah oleh wartawan Jo McFarlane. Menurut Senior Neurologist itu, dia sendiri tidak akan mengambil suntikan vaksin tersebut.

“I would not have swine flu jab because of the GBS risk.”

Menurut neurologist tersebut, mereka percaya vaksin H1N1 hanya akan mengulang kembali tragedi kematian 25 orang rakyat Amerika pada 1976 dulu yang menerima suntikan vaksin H1N1.

Walaupun kecenderungan untuk mati adalah 1 nisbah 80,000 orang. Tetapi kesemua 80,000 tersebut sudah mewarisi kesan kekal GSB seumur hidup. Bagi yang meninggal dunia kemungkinan ketahanan imunisasi badan sudah sedia lemah.

Kenyatan pakar-pakar neurologi antarabangsa tentang H1N1

Dr Rustam Al-Shahi Salman, ahli Association of British Neurologists, mengatakan;
“Following the 1976 programme of vaccination against swine influenza in the US, a retrospective study found a possible eight-fold increase in the incidence of GBS.”

Dr. Thomas Jefferson, koordinator badan bebas penyelidikan vaksin di Britain;
“New vaccines never behave in the way you expect them to. It may be that there is a link to GBS, which is certainly not something I would wish on anybody”

Dr. Richard Halvorsen, penulis buku The Truth About Vaccines, mengatakan;
“For people with serious underlying health problems, the risk of dying from swine flu is probably greater than the risk of side effects from the vaccine.”

Dr. Patrick Chinnery, ahli Association of British Neurologists mengatakan;
“During the last swine flu pandemic, it was observed that there was an increased frequency of cases of GBS. No one knows whether it was the virus or the vaccine that caused this.”

Pengakuan Penghidap GBS

Hillary Wilkinson, 57 tahun mendedahkan beliau adalah salah seorang penghidap GBS. Menurutnya, selepas dia mengambil vaksin H1N1 pada 2006, beliau mengalami kesukaran bernafas, sakit-sakit sendi dan sukar bercakap. Keadaannya hanya kembali agak sihat setelah 3 tahun selepas itu dan dia bernasib baik tidak mati.

Keuntungan Segera Gergasi Farmasi Dunia

Pada 20 Julai 2009, akhbar online Financial Times UK melaporkan bahawa gergasi-gergasi farmasi dunia yang berkonspirasi mengeluarkan vaksin H1N1 telah membuat keuntungan pusingan pertama dalam pengumuman penjualan vaksin.

Konglomerat farmasi seperti GlaxoSmithKline (GSK), Novartis, Baxter, Sanofi-Avantis dan Roche telah pun mengaut untung sebelum bayar berbilion-bilion dollar berdasarkan tempahan-tempahan dos dari pelbagai negara mengikut kontrak yang ditetapkan oleh World Health Organization (WHO). GSK telah pun memproses 1.5 juta dos vaksin H1N1 untuk dihantar ke seluruh dunia.

Bank pelaburan antarabangsa JPMorgan memberitahu setakat ini kerajaan Britain telah membelanjakan USD4.3 billion dan tempahan untuk dos vaksin dijangka akan meningkat kepada 600 juta dos.

Kandungan berbahaya dalam vaksin H1N1 keluaran GSK

Vaksin H1N1 yang dikeluarkan GSK disyaki mempunyai thiomersal (C9H9HgNaO2S) iaitu sejenis sodium yang mengandungi 49% merkuri yang digunakan untuk antiseptik dan anti-fungus agen. Penggunaan thiomersal walaupun dibenarkan WHO, tetapi masyarakat antarabangsa masih khuatir kerana beberapa kontroversi yang wujud semenjak ia diperkenalkan di dalam pemvaksinan.

Pada Julai 1999, Centre for Disease Control (CDC) dan American Academy of Pediatrics (AAP) telah mengeluarkan kenyataan media mendesak pengilang-pengilang ubat membuang thiomersal dari sebarang vaksin.

Lanjutan dari kenyataan itu juga, CDC dan AAP telah mengarahkan agar semua doktor menangguhkan dahulu suntikan imunisasi Hepatitis B kepada bayi yang baru lahir. Ini kerana seorang kanak-kanak dari Michigan telah meninggal dunia akibat suntikan itu.

Isu ini didedahkan oleh Dr. Paul A.Offit, Ketua Jabatan Jangkitan Penyakit di Hospital Kanak-Kanak, Philadelphia (gambar), di dalam kertas penyelidikannya yang bertajuk Thimerosal and Vaccines - A Cautionary Tale di dalam The New England Journal of Medicine bertarikh 27 September 2007. (Gambar) Dr. Paul A.Offit,

Selain itu, di dalam kertas penyelidikan yang sama Dr. Paul A.Offit juga mendedahkan, thiomersal yang terkandung di dalam vaksin juga disyaki menjadi punca kepada kelahiran anak-anak autisme. Pada Ogos 2005, seorang kanak-kanak autisme berusia 5 tahun telah meninggal dunia kerana mengambil suntikan tahunan yang dijadualkan.

Lanjutan dari isu thiomersal yang dimasukkan dalam vaksin-vaksin itu juga, seorang pakar autisme terkenal Dr. Alison Singer telah mengambil keputusan meletak jawatan dari menjadi Pengarah Autism Speaks yang ditubuhkan pada 2005.

Perletakan jawatan Dr. Alison pada Januari 2009 baru-baru ini adalah sebagai tanda protes kepada pihak kerajaan Britain yang terus membenarkan GlaxoSmithKline menggunakan bahan thiomersal. Dr. Alison juga menegaskan bahawa kisah kebanyakan selebriti terkenal yang semasa kecilnya berpenyakit autisme hanya propaganda media untuk melindungi helah kerajaan.

Saya tidak pasti kesahihan mengenai bahaya vaksin ini.

Kementerian Kesihatan sudah pasti mempunyai pakar untuk menjelaskannya selain menghapuskan sebarang keraguan atau unsure-unsur fitnah terhadap penyelidik, firma atau juga pengeluar vaksin berkenaan.


APABILA TUN DR M TERHERET SAMA

Datuk Seri S Samy Vellu hangin (naik angin) dibuatnya.

Mana tidak hanginnya kalau beliau diminta supaya disingkirkan kerana tidak memberikan peluang kepada orang muda.

Juga Samy Vellu dikaitkan dengan kekalahan Barisan Nasional apabila masyarakat India menolak MIC kerana kepimpinannya.

Ini gara-gara calon timbalan presiden Datuk S Subramaniam dikatakan mendapatkan bantuan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk masuk campur dalam pemilihan parti itu.

Subramaniam akan bertanding jawatan timbalan presiden MIC, Sabtu ini.

Manakala pasukan Presiden 2009 pula terdiri daripada timbalan presiden Datuk G Palanivel, yang mempertahankan jawatan itu, dan gandingan tiga serangkai Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S K Devamany dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk M Saravanan, yang akan bersaing bagi tiga jawatan Naib Presiden.

Samy Vellu turut merestui 27 daripada 63 calon yang akan berentap bagi mengisi 23 tempat dalam jawatankuasa kerja pusat parti.

Seorang lagi calon timbalan presiden ialah Datuk S Sothinathan.

Menurut Samy Vellu, Subramaniam telah mengaibkan MIC dengan mendapatkan bantuan Dr Mahathir.

Laporan muka depan Makkal Osai, akhbar Tamil yang dikaitkan dengan Subramaniam, menyebut bekas perdana menteri itu memuji Subramaniam sebagai seorang pemimpn yang baik, dan mengkritik kepimpinan Samy Vellu.

Akhbar itu menyiarkan wawancara dengan Dr Mahathir sebagai berita muka depan di mana antara lain, Dr Mahathir dilaporkan berkata, kerana marahkan Samy Vellu, masyarakat India mengundi pembangkang dalam pilihan raya umum lalu.

Bekas Perdana Menteri itu menyifatkan Samy Vellu sudah terlalu lama dan tidak pernah memberi peluang kepada pemimpin lain untuk menerajui parti itu.

"Jika masyarakat India mahu kemajuan dan melangkah ke hadapan, mereka mesti singkirkan Samy Vellu," katanya.

Difahamkan, wawancara dengan Dr Mahathir itu dibuat sebulan lalu.

Mantan perdana menteri itu bercakap mengenai banyak isu mengenai masyarakat India, tetapi akhbar berkenaan menyimpan ulasannya mengenai perkara Subramanian dan Samy Vellu sehingga hari ini.

Laporan Makkal Osai semalam disiarkan sehari selepas Samy Vellu memberitahu Malaysiakini bahawa pihak luar, termasuk Umno, tidak seharusnya campur tangan dalam hal-ehwal MIC.
Menyifatkan tindakannya sebagai "sengaja membawa masuk campur tangan luar", Samy Vellu berkata, banyak cawangan dan bahagian MIC menghubunginya untuk menyuarakan rasa marah mereka terhadap tindakan Subramaniam itu.

Thursday, September 10, 2009

AHMAD SAID MAHU DIHUMBAN KE PUSAT?

“Sebagai ulasan kepada catatan blogger di atas, Editor beharap beliau dapat berjumpa dengan seorang Exco kerajaan negeri Terengganu yang tinggal di Kemaman untuk penjelasan lanjut isu Ahmad said ditawarkan menjadi Menteri Pusat”.

Demikian ulasan dalam sebuah blog pro-PAS terhadap entri blog http://teganuku.blogspot.com semalam dengan tajuk “Spin Bodoh, Tidak Masuk Akal oleh Laman Pembangkang”.

Entri http://teganuku.blogspot.com itu menjawab tulisan melalui sebuah blog pro-PAS berkenaan bertajuk ‘Ahmad Said Tolak Tawaran Menjadi ‘Menteri Pusat’ .

Menurut laman itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Ahmad Said berkeras mahu mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Besar negeri Terengganu dan menolak jawatan ’lumayan’ sebagai Menteri Pusat.

Sumber dalaman memberitahu, Ahmad akan dilantik sebagai Senator dan kemudian ’menteri penuh’ sebagai ’pertukaran’ supaya beliau mengosongkan kerusi Menteri Besar Terengganu.
Isu ini diperkatakan di Terengganu ketika ini dan turut ditanya oleh wartawan pada sidang media Ahmad Said selepas mesyuarat mingguan Exco semalam dan beliau menafikan pernah menerima tawaran itu.

Katanya berita itu mempunyai unsur fitnah dan spekulasi daripada pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Melihat kepada ulasan blog berkenaan, bermakna bahawa sumber mengatakan Ahmad Said ditawarkan menjadi menteri pusat datang daripada kalangan UMNO sendiri. Lebih hebat ia daripada Exco.

Kalau Exco dari Kemaman, tidak ada orang lainlah selain Datuk Mohamed Awang Tera (Chukai) iaitu Exco.

Tetapi benarkah sumber blog pro-PAS ini benar?

Apakah blog itu mahu menyatakan bahawa Awang Tera yang menjaja cerita ini? Apa tujuan beliau melakukannya?

Apapun sejauh mana benarnya Exco berkenaan sanggup berbuat demikian?
Ura-ura untuk melantik Ahmad sebagai menteri telah mula didedahkan oleh Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Haji Hanafiah Mat@Ramly dalam laman blognya.

Persoalan juga ialah, apakah Hanafiah mendapat sumber daripada Awang Tera?

Banyak persoalan di sini namun ada kemungkinan pihak di luar UMNO sengaja mencipta cerita untuk melaga-lagakan pemimpin UMNO.

The Malaysian Insider pula dengan tajuk ‘Ahmad Said tolak tawaran jadi menteri ‘ kelmarin turut membincangkan perkara ini kelmarin apabila melaporkan bahawa Ahmad Said menolak tawaran untuk menjadi Menteri Pusat bagi membolehkan beliau meletakkan jawatannya di Terengganu.

Tawaran ini adalah sebagai salahsatu usaha yang dibuat Umno untuk menyelesaikan krisis di Terengganu sekarang. Ia dibuat oleh kepimpinan Umno untuk membolehkan Ahmad Said digantikan oleh pemimpin Umno yang lain di Terengganu untuk menyelesaikan krisis.
Mengikut pelan itu, Ahmad akan dilantik menjadi senator dan seterusnya dilantik sebagai menteri penuh.

Dengan penolakan ini, bermakna UMNO Terengganu akan terus bergolak, kata Malaysian Insider. Yang terakhir, majlis Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyidin Yassin diboikot oleh kebanyakan Adun Terengganu yang tidak menyokong Ahmad Said.

Tidak diketahui siapakah yang mencadangkan Ahmad Said di“buang” dari Terengganu melalui cara itu. Ini kerana sudah menjadi kebiasaan, mana-mana pemimpin yang bermasalah akan di“buang” dari kawasannya.

Kata The Malaysian Insider, Tan Sri Wan Mokhtar, bekas MB Terengganu telah dilantik menjadi duta Malaysia ke Arab Saudi selepas Terengganu jatuh ke tangan PAS pada tahun 1999.
Datuk Seri Jamaludin Jarjis juga di“buang” dari Pahang ke Amerika Syarikat apabila tidak dilantik sebagai menteri lagi.

Jika mengikut lojik ini, bukan Ahmad Said sepatutnya dibuang. Wan Mokhtar dibuang supaya tidak mengganggu Datuk Seri Idris Jusoh.

Jadi sepatutnya The Malaysian Insider mencadangkan dibuang bukan Ahmad Said tetapi Idris. Ini kerana masalah yang belaku dan mengganggu Ahmad Said ialah kumpulan Idris.
Bukankah ikan buruknya bermula di kepala?

PENSABOTAJ KERAJAAN – WAJARKAH DIBAYAR HABUAN?

Ada kalangan kakitangan kerajaan yang bersikap membenci kerajaan dan ada yang sanggup menyertai perarakan anjuran pembangkang.

Setengahnya juga ada yang membantah secara diam dengan mengundi pembangkang. Namun, apabila kerajaan membayar bonus atau sebarang sagu hati mereka tidak menolaknya.

Malah, saya yakin ada kalangan mereka yang turut mendesak untuk mendapatkan bonus atau saguhati lain.

Apakah bagi mereka ‘halal’ mengambil bantuan itu sedangkan mereka menentang dan mensabotaj pelbagai usaha kerajaan bagi memajukan rakyat?

Apakah mereka menyumbang kepada kerajaan apabila menjadi penentang dan berusaha menggagalkan sebarang usaha kerajaan?

Seramai 860,000 kakitangan awam kumpulan sokongan akan mendapat bantuan khas kewangan membantu mereka menghadapi Aidilfitri dan sesi persekolahan akan datang.

Kerajaan mengumumkan semalam, pembayaran bantuan khas kewangan itu sebanyak RM500.
Bayaran itu akan dibuat dua kali iaitu RM250 sebelum Aidilfitri dan bakinya pada Disember ini.

Saya mempersoalkan perkara ini kerana dalam sistem pembayaran bonus atau sagu hati, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mempersoalkan sama ada seseorang itu menentang atau menyokong kerajaan.

Sedangkan dalam syarikat swasta, pembayaran bonus dan ex-gratia dibayar mengikut pencapaian seseorang, kecuali bonus yang ditetapkan melalui perjanjian bersama. Yang kurang menyumbang kepada syarikat pastilah mendapat pembayaran kurang.

Tetapi tidak dengan kerajaan. Yang malas, ponteng, berniaga di luar, sakit berpanjangan dan yang menentang kerajaan pun mendapat habuan yang sama.

Tahun lepas, 2 juta kakitangan awam negara ini menerima bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000 dalam pembentangan Bajet 2009 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataannya di Kuala Lumpur semalam menegaskan implikasi kewangan kepada 860,000 kerajaan bagi bayaran tersebut adalah sebanyak RM430 juta.

Keputusan itu diambil setelah mengambil kira kebajikan kakitangan awam dalam kumpulan itu terutama bagi meringankan beban kos persediaan musim perayaan dan persediaan persekolahan hujung tahun ini.

Melihat kepada apa yang dilakukan oleh kerajaan ini, wajarkah kerajaan dilihat zalim dan tidak adil?

Baru-baru ini, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) merayu kerajaan menimbangkan ‘duit raya’ atau bonus kepada penjawat awam dalam pengumuman Bajet, Oktober ini.

Menurut presidennya, Omar Osman, pihaknya bersetuju jika Elaun Sara Hidup (COLA) tidak dapat dinaikkan memandangkan keadaan ekonomi yang lembap ketika ini.

“Tetapi tetapi kita harap biarlah dalam musim perayaan nanti kira-kira 1.2 juta penjawat awam di negara ini menikmati ’duit raya’,” katanya.

Malah, Omar dilaporkan memberitahu, perbincangan mengenai bonus itu telah diadakan menerusi dalam mesyuarat tertinggi kongres tersebut dan dibincangkan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Jadi kepada penjawat kerajaan khususnya kepala penentang kerajaan, wajar mereka berfikir sejenak, apakah adil mereka menerima bantuan berkenaan?

Memanglah tidak akan nada perkataan terima kasih daripada mereka. Seperti biasa mereka akan mengatakan itu tugas kerajaan untuk menjaga kepentingan kakitangannya.

Juga apakah ‘rezeki mereka halal’ apabila mengambil habuan berkenaan?

Sedangkan hakikatnya mereka tidak menyumbang secara maksimum malah ada yang mensabotaj pula kepada usaha kerajaan memaju dan menstabilkan negara.

Tetapi bagaimana dengan kerajaan negeri yang diperintah pembangkang, apakah mereka juga akan memberikan habuan seperti ini?

Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang – apakah mereka akan melakukan sama?