Tuesday, March 17, 2009

MOHD ALI JADI KORBAN?

Tan Sri Isa Samad, bekas Naib Presiden Umno yang pernah digantung kerana kesalahan politik wang, mengulas hukuman yang dikenakan terhadap Mohd Ali berkata : "Pengalaman digantung daripada Umno tak dapat nak digambarkan dalam bentuk perkataan mahupun lukisan".

Mungkin mudah bagi pemimpin UMNO lain meminta mereka yang dikenakan tindakan bersabar tetapi tanyalah mereka yang pernah dikenakan tindakan umpamanya Isa atau Datuk Tajuddin Rahman, Ahli Parlimen Pasir Salak.

Selain itu, Datuk A Kadir Jasin pula bertanya apakah hanya dua ekor tupai sahaja yang gedebuk ke bumi?

Bagaimana dengan tupai-tupai lain yang juga menebuk buah (UMNO) dan merosakkannya?
Apakah akan ada lagi tupai-tupai yang akan ditembak di ranting UMNO yang semakin kering kini sebelum pemilihan UMNO minggu depan.

Jika tiada bermakna, Mohd Ali benar-benar dijadikan korban.

Persoalannya, apakah benar imej UMNO akan bersih dengan dua calon utama pertandingan Majlis Tertinggi Umno hujung bulan ini didapati bersalah mengamalkan politik wang (rasuah) dan melanggar disiplin parti oleh Lembaga Disiplin Umno?

Mana lagi tupai-tupai yang jelas menabur duit di atas dahan dan dapat dilihat dengan jelas, biarpun dari bawah?

Juga apa agaknya kesan keputusan lembaga berkenaan terhadap pilihan raya kecil Parlimen dan Dun yang akan diadakan tidak lama lagi.

Kini sudah ada suara supaya mereka ini meletakkan jawatan. Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mendesak agar Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat serta semua jawatan mereka dalam kerajaan.

Apakah Ketua Menteri Melaka yang dicalonkan untuk jawatan Timbalan Presiden yang diharamkan bertanding jawatan berkenaan menjadi ‘kambing hitam’?

Beliau dikatakan tidak melakukan kesalahan itu secara terus tetapi melalui kerana tindak tanduk pegawai-pegawai yang berkempen bagi pihaknya.

Akibat daripada itu Setiausaha Politiknya, Saadun Basirun dan dua pemimpin UMNO Bahagian Bukit Katil digantung keahlian UMNO selama tiga tahun kerana didapati bersalah melanggar Tataetika Ahli UMNO.

Saadun yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bukit Katil serta dua lagi pemimpin UMNO bahagian tersebut didapati bersalah di bawah Perkara 5.1.2, 5.5.1, 5.5.2 dan 5.6.1 Tataetika Ahli UMNO yang berkait dengan rasuah atau sogokan politik.

Dua lagi pemimpin terlibat ialah Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bukit Katil, Rosli Hassan dan Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Bukit Katil, Zalina Ismail.

Lembaga Disiplin UMNO mendapati ketiga-tiga mereka telah melanggar Tataetika Ahli UMNO ketika berkempen untuk Mohd Ali yang akan bertanding jawatan Timbalan Presiden parti.
Ekoran itu Mohd. Ali juga bersalah di bawah Tataetika Ahli UMNO mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO dan dilarang daripada bertanding atau dipilih ke jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti hujung bulan ini.- Utusan.

Lagi satu yang pelik ialah kesalahan sama turut dilakukan Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, calon Ketua Pemuda namun dia hanya diberikan amaran tetapi tidak diharamkan daripada bertanding.

Bagus juga Mohd Ali tidak membuat reaksi spontan. Beliau akan membuat kenyataan penuh di Melaka esok berhubung keputusan Lembaga Disiplin UMNO melarangnya bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Beliau enggan mengulas lanjut kerana perlu meneliti dan mengesahkan keputusan berkenaan terlebih dahulu.

Calon Ketua Pemuda Umno, Dr Mohamad Khir Toyo, berharap Mohd Ali akan segera mengemukakan rayuannya terhadap keputusan itu dan terpulang kepada jawatankuasa rayuan untuk menimbangnya.

"Badan disiplin ada tiga peringkat...pertamanya yang menyiasat, yang kedua yang mengadili, dan yang ketiga yang merayu. Jadi kita harap Datuk Seri Ali akan merayu dan harap rayuannya akan diterima," katanya.

Seorang lagi calon Timbalan Presiden, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, juga berharap Mohd Ali akan mengemukakan rayuannya.

"Kita akur dan hormat kepada keputusan Lembaga Disiplin," katanya.

Reaksi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai keputusan lembaga berkata, beliau percaya Mohd Ali, sebagai seorang anggota parti yang setia, akan menerima keputusan Lembaga Displin dengan hati terbuka dan akan terus memberi sumbangan pada perjuangan parti.

"Ini keputusan Lembaga Displin. Kita hormati apa-apa keputusan mereka. Saya percaya (Mohd) Ali Rustam sebagai seorang ahli parti yang setia pada Umno akan juga menerima dengan hati terbuka (keputusan) dan akan terus memberi sumbangan pada pentadbiran dan perjuangan parti," katanya di Kuala Lumpur.

Mudah untuk meminta mereka yang dikenakan hukuman bersabar atau redha dengan keputusan, namun hakikat sebenar ialah ia memang menyakitkan dan sayu.

Dengan penyingkiran Mohd Ali, pertandingan jawatan Timbalan Presiden adalah antara Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Muhyiddin Yassin dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Muhammad Muhd Taib.

Keputusan terhadap Mohd Ali sudah pasti tidak memuaskan hati penyokong-penyokongnya dan di Melaka esok dijangka aka nada perhimpunan besar.

Pengerusi lembaga, Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail, memberitahu sidang akhbar di Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur yang bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo, bebas daripada segala tuduhan.

Dalam sidang akhbar itu, Tengku Ahmad Rithauddeen mengumumkan hasil penyiasatan membabitkan 29 orang ahli parti.

Sepuluh digantung keahlian selama tiga tahun bermula 12 Mac dan diberikan surat amaran.

Berikut adalah senarai 15 ahli Umno yang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno yang diumumkan hari ini:

* Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (dilarang bertanding atau dipilih ke jawatan timbalan presiden)

* Ketua Pemuda Umno Sabah, Datuk Japlin Akim (digantung 3 tahun)

* Ketua Wanita Bandar Tun Razak, Salmah Pin (digantung 3 tahun)

* Ahli Jawatankuasa (AJK) Umno Bukit Katil, Saadun Basiron (digantung 3 tahun)
* AJK Umno Bukit Katil, Rosli Hasan (digantung 3 tahun)

* Naib Ketua Puteri Umno Bukit Katil, Zalina Ismail (digantung 3 tahun)

* Ketua Pemuda Umno Maran, Mohamad Najuib Mohd Shahaimi (digantung 3 tahun)

* Ketua Bahagian Umno Bandar Tun Razak, Datuk Mokhtar Samad,
(digantung setahun)

* Ahli Umno Paya Besar, Datuk Abd Manan Ismail (digantung setahun)

* Timbalan Ketua Bahagian Kuala Krai, Amran Mat (digantung setahun)

* Ahli Umno Gua Musang, Mohd Zuki Mohd Zin (digantung setahun)

* Timbalan Ketua Bahagian Paya Besar, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah (amaran)

* AJK Umno Bahagian Paya Besar, Mohd Zaili Besar (amaran)

* Naib Ketua Bahagian Paya Besar, Mohd Sohaimi Jusof (amaran)

* Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin (amaran)

ALI RUSTAM KENA GANTUNG TIGA TAHUN?

Siapakah gerangan yang tidak bernasib baik di kalangan anggota UMNO yang bertanding untuk jawatan penting parti itu?

Benarkah akan ada pemimpin kanan UMNO dipanggil menghadap Lembaga Disiplin parti berhubung kesalahan politik wang?

Segala-galanya dikatakan akan ditentukan pada pukul 4 petang ini.

Utusan Malaysia berkata semalam, desas-desus mengaitkan beberapa calon jawatan tertinggi UMNO diarah berbuat demikian mula tersebar luas sejak seminggu lalu.

Hari ini, akhbar itu dengan berani menyebut bahawa Naib Presiden UMNO yang juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dijangka akan digantung.

Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail pula ketika diminta mengesahkan tentang adanya calon jawatan tertinggi dipanggil memberi keterangan hanya berkata:

‘‘Kalau saya tahu pun, saya tak akan beritahu awak.’’

Yang dibimbangi ialah akan ada ‘kambing hitam’ apabila Lembaga Disiplin UMNO membuat keputusan kerana cakap-cakap mengatakan ramai lagi yang disyaki bermain politik wang.

Apakah Mohd Ali akan menerima nasib seperti Tan Sri Mohd Isa Samad?

Persoalannya, siapa ‘lepas’ dan ‘siapa sangkut’.

Apapun, semalam saya menerima sms daripada seseorang dari Bahagian Tanah Merah, Kelantan mengatakan antara mereka yang akan dipanggil termasuk Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Datuk Seri Mohd Khir Toyo serta ramai lagi.’

Beliau berkata, pemimpin bahagian Tanah Merah turut dipanggil kerana disyaki mengamalkan politik wang.

Malaysiakini yang memetik akhbar berbahasa Cina telah menghantar 'SMS alert' hari ini yang mengatakan bahawa Lembaga Disiplin akan mencadangkan penggantungan keahlian seorang calon jawatan timbalan presiden Umno.

Menurut SMS tersebut, lembaga itu dijangka mencadangkan pemimpin tersebut digantung keahlian selama tiga tahun.

Tiga orang calon bagi jawatan tersebut ialah Naib Presiden Umno - Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam - dan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Muhyiddin merupakan menteri perdagangan antarabangsa dan industri, manakala Muhd Taib adalah menteri kemajuan luar bandar dan wilayah. Mohd Ali adalah ketua menteri Melaka.

Khabar angin yang sama juga heboh diperkatakan di kalangan petugas media di Dewan Rakyat sejak beberapa hari lalu.

Yang pasti Mohd Ali enggan mengulas khabar angin yang mengatakan ada calon timbalan presiden Umno sedang disiasat oleh Lembaga Disiplin Umno.

Mohd Ali juga enggan mengulas sama ada dipanggil mengadap atau menerima sebarang surat dari jawatankuasa itu.

Utusan Malaysia dengan beraninya mengatakan Mohd. Ali disebut-sebut antara pemimpin kanan UMNO yang bakal dikenakan tindakan atas kesalahan politik wang pada mesyuarat Lembaga Disiplin UMNO, hari ini.

Difahamkan Lembaga Disiplin mungkin akan mencadangkan agar Mohd. Ali, yang juga Ketua Menteri Melaka dan Naib Presiden UMNO digantung keahlian setahun atau tiga tahun.

Pengerusi Lembaga Disiplin, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail dijadual mengumumkan perkara itu pada sidang akhbar pukul 4 petang esok di ibu pejabat UMNO di Kuala Lumpur, selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Bagaimanapun Mohd. Ali yang ditemui pemberita pada majlis pertemuan calon Majlis Tertinggi (MT) dan perwakilan di Hotel Bluewave, Shah Alam malam ini, tetap enggan mengulas perkara tersebut.

“Tanyalah Lembaga Disiplin,” katanya sambil menjelaskan pertemuannya dengan ketua-ketua UMNO bahagian di Melaka esok tiada kaitan dengan desas-desus tindakan Lembaga Disiplin itu.

Menurut beliau, pertemuan itu bagi membincangkan persiapan ke Perhimpunan Agung UMNO dari 24 hingga 28 Mac ini.

Ditanya pula jika salah seorang calon Timbalan Presiden yang bakal dikenakan tindakan itu adalah dirinya, Mohd. Ali berkata: “Tak ada... tak ada, kerana itu saya datang (ke majlis bertemu perwakilan malam ini).”

Muhd Taib yang ditemui selepas majlis tersebut, menjawab ringkas: "Tak tahu...belum diumum secara rasmi."

Bagaimanapun, beliau mencadangkan Lembaga Disiplin Umno supaya mengumumkan nama calon yang dikaitkan dengan politik wang sebelum bermulanya pemilihan Umno hujung bulan ini.

"Saya fikir elok diumumkan dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Muhyiddin pula enggan mengulas mengenai perkara itu.

Dalam pada itu, di Shah Alam, calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo tidak mengiya atau menidakkan desas-desus beliau menerima surat tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin.

Beliau enggan mengulas perkara itu, sebaliknya menyerahkan kepada Lembaga Disiplin untuk mengumumkannya.

“Saya tidak cakap pasal ini, kita tunggu pengumuman Lembaga Disiplin esok,” katanya.

Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata kegagalan mengumumkan hasil siasatan sebelum berlangsungnya pemilihan parti akan menyebabkan keadaan kelam kabut yang boleh merosakkan parti.

Beliau yang juga calon Naib Presiden berkata, cara terbaik ialah pengumuman dibuat sebelum pertandingan bagi memastikan keputusan lebih awal dapat diambil jika ada calon terbabit dengan gejala politik wang.

“Politik wang wujud dalam banyak parti politik, bezanya Umno dengan parti lain ialah tindakannya dilakukan secara terbuka lebih-lebih lagi dalam suasana perhimpunan agung.

“Siasatan dilakukan Lembaga Disiplin parti tidak seharusnya mendatangkan kemudaratan pada parti,” katanya.

Saturday, March 14, 2009

NAJIB BERKESEORANGAN?

(Isu Sabtu)

Saya sebenarnya sudah jemu memperkatakan tajuk “Najib tidak akan menjadi Perdana Menteri”.

Ini kerana orang yang mahu menyerahkan kuasa, Datuk Seri Abdullah Ahmad sendiri pun sudah berulang kali mengatakan beliau akan menyerahkan kuasa kepada timbalannya, apabila tiba masanya.

Tiada apa boleh dikatakan oleh Najib selain meminta semua pihak supaya tidak membuat spekulasi berhubung tarikh penyerahan kuasa oleh Perdana Menteri, kepadanya.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, pengumuman rasmi dari Jabatan Perdana Menteri akan menjawab persoalan berhubung tarikh tersebut.

"Tunggu pengumuman rasmi Jabatan Perdana Menteri," kata Najib ketika ditanya tarikh sebenar peralihan kuasa daripada Abdullah kepada beliau.

Namun, semakin dekat dengan apa yang dikatakan peralihan kuasa, semakin kabur pula tarikhnya.

Persoalannya ialah bila masanya?

Apa lagi tidak semena-mena ada pula berita mengatakan Abdullah mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tengku Razaleigh Hamzah mengenai peralihan kuasa.

Ini pun sudah dinafi. Namun, banyak pihak terus mempersoalkan keikhlasan Abbdullah.

Sementara sesetengah blog dan portal berita terus menerus cuba memburuk dan ‘mendedahkan’ pelbagai perkara mengenai Datuk Seri Mohd Najib Razak dan isterinya.

Isu paling menarik akhir-akhir ini ialah mengenai kaitan Najib dan Altantuya, wanita Mongolia yang dibunuh dengan kejam.

Yang peliknya, penyokong Najib turut membisu seolah-olah ‘terkejut beruk’ dan ‘takut bersuara’. Mereka membisu seribu bahasa dan seolah-olah takut kepada pihak-pihak yang cuba mengaibkan Najib.

Mereka yang dikatakan memainkan peranan penting untuk menjaga imen Najib juga membisu dan akhir-akhir ini semakin sepi apabila ada berita mengatakan Datuk Johan Jaafar akan dilantik sebagai ‘ketua pasukan media Najib’ apabila Najib menjadi Perdana Menteri nanti.

Kesian, Najib bagaikan mempertahankan diri secara bersaorangan. Dia tidak mendapat sokongan pemimpin penting UMNO yang sedang ‘berlari’ bersamanya sebagai pasukan baru menjelang pemilihan UMNO nanti.

Masing-masing nampak sangat cuba membebaskan diri masing-masing agar tidak terikat dengan sesiapa.

Persoalannya apakah pemimpin UMNO sendiri kini tidak yakin Najib akan menjadi Perdana Menteri?

Apakah mereka termakan ‘umpan’ pembangkang bahawa Najib tidak akan menjadi Perdana Menteri?

Juga mungkin menyedari beliau berkesaorangan dan tidak mahu riak, Najib sendiri mengakui apa yang mampu beliau lakukan ialah menanti.

Lebih daripada itu, berserahlah kepada Allah.

Najib bukan tidak tahu dan pernah menyaksikan bagaimana pemimpin sebelumnya yang sudah pun sebelah kaki ‘menjadi Perdana Menteri’, tiba-tiba kecundang.

Pengajaran jelas ialah ada Timbalan Perdana Menteri yang meletakkan jawatan dan ada yang dipecat.

Yang penting, selain sabar menunggu, sewajarnya Najib menilai semula siapa orangnya dan siapa yang sanggup ‘swim & sink’ bersama-samanya. Dengan kata lain pada ketika ini Najib tidak ada pasukan dan terpaksa berperang secara bersendirian.

Tiada kesetiaan atau tiada siapa berani di kalangan pemimpin UMNO untuk secara terang memperjuangkan Najib ketika ini.

Mungkin Bagi mereka, sesiapa sahaja menjadi Perdana Menteri, mungkin juga Tengku Razaleigh Hamzah, mereka akan menerimanya.

Kawan sebenar adalah ketika ‘suasana sukar’ bukan ketika kita sudah selesa.

Mungkin bagus juga buat Najib apabila pelbagai ‘serangan dan cubaan’ sedang menguji beliau. Setidak-tidaknya beliau kenal siapa kawan, sahabat, teman dan penyangak!

Friday, March 13, 2009

UJIAN BUAT AZALINA!

Khabar angin sudah bertiup kencang bahawa beberapa pegawai Menteri Perlancongan akan ditahan.

Biarpun semalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak khabar angin beberapa lagi pegawai kanan Kementerian Pelancongan akan ditahan hari ini bagi membantu siasatan berhubung rasuah politik dan salah guna kuasa dalam pengagihan projek kementerian tersebut, ‘serangan’ SPRM itu antara terbesar sehingga ini.

Ada dua isu di sini. Pertama, SPRM datang untuk menyiasat dua kes – rasuah politik dan isu pengangihan projek serta Pempena.

Kedua, kes pertama memungkinkan Datuk Seri Azalina Othman Said terlibat. Saya mengatakan mungkin sahaja. Dan dalam kes kedua, pegawai Kementerian Pelancongan dan Azalina juga mungkin terlibat. Sekali lagi perkataan ‘mungkin’ di sini.

Dalam kes kedua ini, jika pegawai-pegawai terlibat, apakah Azalina juga akan terpalit serta Menteri terdahulu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga akan dipanggil selepas ini khususnya dalam kes Pempena?

Jika Tengku Adnan dipanggil, Setiausaha Agung UMNO itu akan terpalit dengan beberapa siri siasatan dan semestinya akan ada pula serangan baru terhadap UMNO.

Nampaknya kementerian ini menjadi tempat di mana ‘rasuah’ dikatakan berlaku agak berleluasa akhir-akhir ini.

Malah, selain kes terbaru ini, sebelum ini pegawai kanan kementerian berkenaan turut dituduh rasuah dan kes masih berjalan di mahkamah.

Ketika ia diterajui oleh Sabarruddin Chik (Tan Sri) dan Michael Toyad (Datuk), ia sunyi sahaja daripada perkara-perkara seperti ini dan program menarik pelancong asing dan kesannya kepada industry pelancongan besar juga.

Namun kini, jelas penggalakkan yang membabitkan kos begitu besar sedangkan jika diambil peratusan kedatangan pelancong asing tidaklah sebesar mana!

Apapun, saya tabik Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said kerana bersedia memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan kementerian itu.

Beliau bagaimanapun mengesahkan setakat ini masih belum dipanggil oleh SPRM untuk membantu siasatan.

Sebenarnya tiada jawapan lain lebijh diplomatik yang boleh diberikan dalam kes ini selain mengatakan pihaknya akan memberi sepenuh kerjasama terhadap siasatan yang dijalankan oleh SPRM.

Sedikit mengelirukan ialah apabila Azalina tidak tahu jumlah sebenar pegawainya yang disoal siasat dan dokumen kementerian yang diambil SPRM.

Apakah pegawai kanan kementerian itu belum memaklumkan kepada Azalina atau mereka cuba menyorok sesuatu daripada beliau.

Semalam dilaporkan lapan pegawai kanan Azalina disiasat oleh SPRM sejak Rabu lalu sehingga semalam bagi membantu siasatan satu kes rasuah.

Semalam sahaja, dua pegawai kanan menteri terbabit diambil keterangan kira-kira sejam oleh tiga pegawai SPRM yang datang ke pejabat kementerian tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada pukul 11.30 pagi.

Yang pasti dalam kes rasuah politik, jika Azalina terpalit, ia akan memberikan reputasi buruk kepada Azalina dan UMNO.

Dan kalaupun Azalina terlepas ia tetap menjejaskan sedikit reputasinya akibat siasatan ini lebih-lebih lagi ketika pemilihan UMNO semakin hamper.

Tetapi dalam kes kedua, Azalina menunjukkan beliau serius mengenai isu Pampena dan jika tindakan mampu dikenakan kepada mereka yang terbabit, ia akan melonjakkan namanya.

Pertanyaannya ialah, selepas Azalina tidak lagi menjadi Menteri di kementerian berkenaan, apakah akan ada pula aduan ‘rasuah’ terhadap beliau akibat dasar-dasar yang mungkin merugikan kerajaan?