Saturday, March 10, 2012

'MOOD' RAKYAT SOKONG PERDANA MENTERI TERUS MENINGKAT

“Angka ini hasil usaha (kerajaan) memperbaiki 'mood' rakyat berhubung keadaan ekonomi secara umum dan pengagihan dana Bantuan Rakyat 1Malaysia untuk mengatasi beban ekonomi keluarga miskin...Peningkatan kembali populariti adalah ekoran inisiatif-inisiatif mesra rakyat dan langkah mahu memperbaiki amalan demokrasi, antara memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti dan pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Pilihan Raya….” – Merdeka Centre

Rating sokongan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meningkat ke 69 peratus dari 59 peratus pada Ogos 2011, demikian menurut Merdeka Centre for Opinion Research.

Pusat tinjauan pendapat itu berkata, ini disebabkan mood orang ramai yang lebih senang dengan keadaan ekonomi umum dan pengagihan dana bagi meringankan beban ekonomi keluarga berpendapatan rendah.

Hasil tinjauan juga menunjukkan sebanyak satu pertiga daripada responden yang mirip kepada Pakatan Rakyat, selaku pembangkang, melahirkan rasa puas hati dengan perdana menteri.

Pusat itu berkata tinjauannya mendapati antara 10 dan 23 Feb, sokongan terhadap perdana menteri paling tinggi, pada 78 peratus, di kalangan keluarga dengan pendapatan di bawah RM1,500 sebulan, dengan responden India pada 80 peratus dan responden Melayu 74 peratus.

Populariti Najib, hasil kajian berkala Merdeka Center, telah menurun ke paras 59 peratus pada Ogos lalu selepas mencatat paras paling tinggi iaitu 72 peratus pada Mei 2010.

Kajian Ogos lalu dikendalikan kira-kira sebulan selepas Perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara. Bagaimanapun, sejak itu Najib mengumumkan beberapa pembaharuan sosiopolitik. Populariti 69 peratus kali ini sama dengan paras yang direkodkan pada Mac 2010 iaitu 14 bulan selepas menjadi Perdana Menteri.

Pada Mei 2009, lebih sebulan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri yang keenam, populariti Najib adalah sekitar 45 peratus.

"Angka ini hasil usaha (kerajaan) memperbaiki 'mood' rakyat berhubung keadaan ekonomi secara umum dan pengagihan dana Bantuan Rakyat 1Malaysia untuk mengatasi beban ekonomi keluarga miskin," kata Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian dalam satu kenyataan.

Menurut Ibrahim, sokongan ke atas kepimpinan Najib sangat tinggi di kalangan isi rumah berpendapatan di bawah RM1,500 sebulan iaitu sekitar 78 peratus.

Seramai 80 peratus masyarakat India dan 74 peratus kaum Melayu dalam kumpulan pendapatan itu memberi sokongan positif ke atas kepimpinan Najib, yang juga Menteri Kewangan dan Presiden Umno. Najib juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Kajian terbaru Merdeka Center kali ini juga menunjukkan bahawa rasa puas hati sangat tinggi di kalangan responden yang berusia 50 tahun dan ke atas. Seramai 73 peratus responden berusia 50 tahun dan ke atas berpuas hati dengan pendekatan Najib berbanding hanya 64 peratus di kalangan mereka berusia 21 hingga 30 tahun.

 "Hasil kajian juga menunjukkan bahawa sehingga satu pertiga responden yang condong ke arah Pakatan Rakyat dilihat berpuas hati dengan Perdana Menteri - yang menunjukkan bahawa sokongan sedemikian tidak semestinya akan diterjemahkan dalam bentuk undi kepada parti pemerintah (Barisan Nasional)," kata beliau lagi.

Dalam ulasannya juga, Ibrahim berkata, pihaknya berpendapat bahawa peningkatan kembali populariti adalah ekoran inisiatif-inisiatif mesra rakyat dan langkah mahu memperbaiki amalan demokrasi, antara memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti dan pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Pilihan Raya.

Meskipun kadar puas hati ke atas Perdana Menteri tinggi, kata Ibrahim, kajian yang sama menunjukkan bahawa pengundi masa was-was dengan kerajaan persekutuan.

"Hanya 48 peratus responden berkata mereka gembira dengan kerajaan," kata beliau. "Kajian juga menunjukkan bahawa pandangan positif terhadap kerajaan sangat tinggi di kalangan pengundi berusia tetapi rendah di kalangan pengundi muda, dengan hanya 39 peratus pengundi di bawah 30 tahun gembira dengan kerajaan berbanding 54 peratus di kalangan mereka berusia 60 tahun dan ke atas," katanya.

No comments:

Post a Comment