Rencana saya memperkatakan sikap Malaysia yang turut memetik pandangan Dr Mahathir pada Sidang Kemuncak OIC di Kuwait City pada 1987.
Bahagian Pertama
Selepas lebih lima tahun tidak mendengar ceramah bekas Tun Dr Mahathir Mohamad, saya benar-benar teruja dengan patah-patah perkataan dan rasional yang digunakan oleh bekas Perdana Menteri itu mengenai ‘Cabaran Umat Islam Masa Kini’.
Pada Ceramah Perdana anjuran Terengganu Development Institute (TDI) dengan kerjasama Aagensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) di Dewan Berlian, Kemaman semalam, Dr Mahathir konsisten dalam mengemukakan pendapatnya.
Seingat saya inilah ceramah pertama sejak beliau uzur ketika berada di Australia dan terpaksa dimasukkan ke hospital di Melbourne.
Apapun, Dr Mahathir nampak bersemangat pada ceramahnya semalam dan berterima kasih kepada kerajaan Terengganu serta Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Said.
Bagi Ahmad Said pula beliau berharap Dr Mahathir yang akan dijemput ke setiap daerah di Terengganu menerima pelawaan berkenaan demi menyedarkan orang ramai, khususnya umat Islam mengenai cabaran sebenar kepada mereka ketika ini.
Walaupun banyak perkara yang diperkatakan oleh beliau sudah banyak saya dengar ketika meliputi beberapa Sidang Kemuncak Pertubuhan Islam (OIC) sejak 1987, termasuk Sidang Kemuncak OIC di Putrajaya pada 16–17 Oktober, 2003, Dr Mahathir menggunakan kes-kes yang berlaku di dalam dan luar negara untuk digarapkan dengan suasana semasa yang menjadi cabaran kepada umat Islam di Malaysia ketika ini.
Beliau mempergunakan ceramahnya selama kira-kira 40 minit itu untuk mengajak umat Islam merenung beberapa perkara.
Ini termasuk penggunaan ilmu bagi memaju dan mempertahankan aqidah dan kestabilan masyarakat dan negara Islam; eksploitasi bijak pandai Islam, termasuk ulama terhadap umat Islam untuk kepentingan diri dan siasahnya; memahami ajaran Islam melalui bahasa ibunda serta suasana di Malaysia yang beliau terpaksa uruskan ketika menjadi Perdana Menteri.
Berdepan dengan audien yang bukan kalangan cendikiawan, pemikir atau juga orang politik – orang biasa serta kakitangan kerajaan – Dr Mahathir terpaksa menggunakan analogi dan rasional mudah. Matlamat beliau ialah biar rakyat ‘buka mata’ dan tidak terkongkong dengan fahaman sempit yang meletakkan kepentingan individu dan parti segala-galanya walaupun terpaksa menggadaikan Islam.
Dalam konteks ilmu – perkara ini banyak kali diulang dan ada sebabnya beliau menyatakannya berulangi kali. Dr Mahathir berpendapat, kegagalan umat Islam mempelajari dan mengaplikasikan ilmu menjadikan mereka mundur.
Bukan sahaja mereka menjadi masyarakat yang miskin, ketinggalan dan terpaksa menyerah nasib kepada Barat dan bangsa serta agama lain yang berpengaruh – umat Islam juga ternyata diancam kepupusan ajaran dan umatnya.
Dengan kata lain, jika orang bukan Islam mampu melawan, menakluki dan memerangi Islam – kerana tiada ilmu umat Islam ditindas dan mudah untuk dimalukan.
Beliau memberi contoh bagaimana Canselor Jerman, Angela Merkel (baju biru) pada 8 September lalu menyanjung dan memberikan anugerah untuk seorang kartunis Denmark, Kurt Westergaard (kot hitam) yang melukis karikatur Nabi Muhammad memakai serban menyerupai bom.
Lukisan kartunis itu adalah antara 12 karikatur Nabi Muhammad yang mencetuskan protes umat Islam di seluruh dunia sehingga menyebabkan 50 orang maut lima tahun lalu. Tokoh Islam di Jerman mengkritik Merkel kerana memberi penghormatan kepada kartunis tersebut. Namun apa yang boleh kita buat?
Menurut Dr Mahathir, paling kuat pun tunjuk perasaan di hadapan kedutaan wakil asing di negara ini yang langsung tidak dihiraukan oleh mereka.
Dr Mahathir mengingatkan masyarakat Islam, khususnya di Malaysia, jika terus ketinggalan dalam ilmu teknologi, peperangan, ekonomi dan yang berkaitan kehidupan untuk kemakmuran duniawi, selain ibadah untuk akhirat, umat Islam akan mudah diporak-peranda dan dihapuskan.
Lalu beliau kaitkan ilmu dengan bahasa. Asasnya memahami al-Quran. Menurut Dr Mahathir, apabila mempelajari agama kita diajar dalam bahasa Melayu tetapi apabila membaca al-Quran yang memang ditulis dalam bahasa Arab, ramai orang Melayu tidak memahaminya.
Lantas beliau bertanya, bagaimana kita mahu mengambil ilmu dan ajaran Islam melalui al-Quran jika kita tidak memahaminya. Beliau tidak mempersoalkan al-Quran ditulis dalam bahasa Arab. Kerana itu menurut beliau, sewajarnya orang Islam di Malaysia yang kebanyakannya Melayu, sepatutnya turut membaca terjemahannya untuk memahami apa yang diperkatakan dalam al-Quran.
Di sebalik itu, terjemahannya juga perlu diteliti sama ada dilakukan oleh orang yang berkepentingan tertentu atau yang memang menterjemah al-Quran secara tidak berpihak dan neutral. Hal seperti ini nampak remeh tetapi menurut Dr Mahathir, kefahaman dan mengerti apa yang diperkata dan diperintah Allah melalui bahasa yang difahami adalah jauh lebih baik daripada membaca al-Quran tetapi tidak memahami apa-apa.
Bersambung Esok
No comments:
Post a Comment