Sunday, November 30, 2008

SELAGI NIK AZIZ ADA, PAS BERKUASA

(Bahagian Akhir)

Dalam posting siri kedua mengenai tajuk ini pada 27 November lalu, saya mengatakan PAS tidak sanggup kehilangan Kelantan yang satu-satunya pangkalan bagi parti berkenaan dengan menukar kepimpinan daripada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 78, kepada pemimpin baru, termasuk Nik Ahmad Yaakob atau Nik Mohd Amar Nik Abdullah.

Mengambil kira kepentingan ini, bukan mudah Nik Aziz mahu menyerahkan kuasa lebih-lebih lagi apabila sukarnya untuk beliau membuat pilihan.

Nik Aziz tidak berani melepaskan jawatan ketika ini kalau pun benar ada desakan, bimbang berlakunya perebutan jawatan di kalangan orang kepercayaannya.

Melalui posting pertama saya pada 26 November 2008, saya mengatakan biarpun Nik Aziz tidak sihat dan beliau pun sudah menyatakan hasratnya mahu bersara tetapi nada Nik Aziz ketika ini tidak akan memungkinkan beliau bersara awal.

Saya melihat bahawa isunya bukan ancaman kepada PAS Kelantan kerana ketika ini kedudukan PAS sungguh selesa kerana ia sedang mengecapi ‘majoriti mewah’ di DUN Kelantan - 38 kerusi daripda 45 kerusi. Masalah kerajaan Pas akan tumbang dengan cara berlaku penyemberangan dan pembelian kerusi tidak akan berlaku lagi. Pas dalam keadaan stabil dari segi kerusi pada masa ini.

Bagaimanapun, saya bersetuju dengan kata-kata Mohd Sayuti Omar (MSO) dalam blognya pada 26 November lalu bertajuk ‘Bila lagi Nik Aziz hendak berhenti’ apabila beliau mengatakan di pihak Nik Aziz sendiri, menurut Sayuti, “... tidak baik kalau menjadi MB lama-lama. Alasan beliau mengatakan tidak ada desakan daripada PAS , rasanya kurang tepat. Dengan kapasitinya hari ini siapalah dalam PAS yang berani dan sampai hati nak nasihatkan beliau.

Kata Sayuti: “Ikhlas dikatakan saya bimbang takut terjadi apa-apa kepada Tok Guru seperti terjatuh sewaktu bersyarah atau sedang mengajar baru nak berhenti ia adalah satu keadaan yang tidak seharusnya berlaku. Yakin dan percayalah walaupun tidak menjadi MB beliau tetap akan dipuja dan dihormatinya kerana status beliau bukan saja sebagai tokoh politik tetapi yang lebih penting ialah beliau menjadi seorang tok guru.”

Soalnya apakah Nik Aziz sanggup ‘mendera dirinya’ untuk menduduki kerusi itu sehingga keadaan tenang pada ketika dia masih menyanyangi seseorang, selain Nik Amar dan Ahmad Yaacob?

Gambaran ini tidak baik untuk PAS Kelantan kerana pada ketika Nik Aziz di luar dilihat berminat dengan Nik Amar atau Ahmad Yaacob tetapi di dalam hatinya menyayangi orang lain.

“Nik Aziz mungkin sukar melupakan jasa ‘orang ini’ dan menurut Sayuti, umum sudah tahu bahawa ada orang yang berangan dan disebut-sebut untuk menjadi MB Kelantan. Orang ini sudah membuat persiapan dari semua sudut mental dan fizikal sejak beberapa tahun lalu.

Dia juga sudah membina tapak politik dan kelab penyokong (penyoraknya) sendiri. Masalaah calon tidak timbul lagi kerana tokoh ini sudah ada dan sudah lama bersiap sedia untuk mengambil alih kerusi Tok Guru berkenaan.

“Jadi kalaulah itu masalah semasa yang dimaksudkan, Nik Aziz boleh mengatasinya,” katanya.

Kerana kedudukan ini adalah wajar Nik Aziz cari jalan dan berikhtiar bagaimana akar umbi PAS dapat menyokong orang berkenaan. Nik Aziz sendiri dikatakan berminat dan kagum dengan gerak kerja orang berkenaan. “ Beberapa kali beliau (Nik Aziz) telah terlepas cakap memuji kehebatan dan kepintaran orang itu dalam menjana ekonomi dan membawa pendekatan baru politik Kelantan.” Kata Sayuti.

Lantas Sayuti menutup tulisannya dalam posting berkenaan dengan mengatakan: “Nah tunggu apa lagi. Kalau sudah berkenaan ‘kahwin’ sahaja. Nik Aziz boleh lakukan. Dengan kedudukannya sebagai tok guru dan MB beliau boleh menyihirkan orang Pas Kelantan agar menerima orang itu. Jadi kalau benar mahukan orang itu jadi MB biarkan ketika benihnya subur; semangat dan keinginannya tinggi jangan sesudah orang itu sudah tidak bersemangat lagi.”

Beberapa pemimpin PAS pernah memberitahu saya, jika keadaan seperti ini terus berlaku, sampai ‘mati Nik Azizlah’ baru Kelantan akan berubah kepimpinan.

Tetapi apakah pada ketika itu, ada wasiat khusus daripada beliau?

Tidakkah perebutan kuasa akan tetap berlaku dan akan menimbulkan masalah kepada kepimpinan selepas itu?

Tidak mungkinkan akan berlaku pertelingkahan antara orang yang disayangi Nik Aziz dengan kumpulan Nik Amar dan Ahmad Yaacob.

Apakah Nik Aziz merelakan keadaan sedemikian berlaku di Kelantan?

Bagi UMNO dan Barisan Nasional pula mereka bukan mendoakan perkara itu berlaku tetapi jika pertelingkahan berlaku, ia memberikan advantage kepada mereka.

Apalagi ‘tokoh penyatuan’ iaitu Nik Aziz sendiri sudah tiada!

No comments:

Post a Comment