Sunday, August 14, 2016

KEPADA PENYOKONG 4M, KAMU JANGAN MUSNAHKAN UMNO...


Bukan  yang sokong Mukhriz sahaja perlu keluar UMNO, yang sokong Muhyiddin mahupun Dr Mahathir juga perlu keluar UMNO dengan segera.

Juga, yang bersimpati dengan Shafie Afdal  cepat-cepat  lakukan perkara yang sama.

Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menegaskan,  keahlian anggota UMNO Kedah akan gugur serta-merta sekiranya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Perkara tersebut berlandaskan perlembagaan UMNO yang anggota parti itu tidak boleh mempunyai dua keahlian parti yang berbeza. 

Namun sejauh ini UMNO tidak boleh bertindak atau melakukan pengguguran secara automatik dan ia tidak akan berlaku kerana parti yang diasaskan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu belum terdaftar secara rasmi.

Ahmad Bashah....program pemutihan
Malah, sejauh ini tiada ahli parti itu yang didaftarkan secara rasmi sehingga parti berkenaan diluluskan pendaftarannya. 

Ahmad Bashah berkata UMNO Kedah akan melakukan  program pemutihan bagi mengesan sekiranya terdapat anggota parti itu mempunyai dua keahlian selain Umno.

UMNO Negeri lain bagaimana?

Malah, Menteri Besar Kedah itu berkata anggota UMNO yang mempunyai jawatan dalam parti itu tidak kira di peringkat cawangan dan bahagian juga akan dipecat daripada jawatan yang disandang mereka jika didapati melakukan kesalahan itu. 

Jika mereka ada jawatan lain seperti Jawatankuasa Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) mereka juga akan dilucutkan jawatan berkuat kuasa serta merta.

Hebat penegasan ini. 

Selepas pembersihan ini, agaknya ada berapa ahli UMNO? Masih kekal lebih tiga juta?

Jadi kepada yang ada hati dengan BERSATU atau berhasrat tinggalkan UMNO, buatlah pendirian supaya KAMU semua jangan dicop  sebagai gunting dalam lipatan dan lebih teruk ‘DURI DALAM DAGING’.

Johari...tidak mahu ada ejen parti lain
Rasanya itu adalah langkah terbaik bagi UMNO, jika mengikut pendapat Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Seri Mohd Johari Baharom.

Johari sekadar menyebut Mukhriz tetapi jika hati sudah berubah dan yang berminat dengan parti baru – BERSATU – adalah lebih baik berundur secara sukarela daripada UMNO.

Soalnya, apakah UMNO juga akan memecat mereka yang diketahui menyokong dan bersimpati dengan perjuangan empat tokoh yang dikenali dengan 4M  –  Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir?

Johari menganggap mereka yang menyokong  salah satu ‘M’ itu akan menjadi perosak parti kerana akan menyalurkan pelbagai maklumat sulit berkaitan UMNO.

Mungkin kerana berucap di Kubang Pasu dan di Kedah, beliau hanya menyebut Mukhriz tetapi yang 3M lagi itu juga ada pengikut mereka.

Johari berkata, UMNO tidak mahu mereka terbabit menjadi ejen kepada parti lain yang akan merosak dan memporak-perandakan keharmonian sesama anggota dan kepimpinan parti.

Walau apapun, krisis yang berlaku dalam parti itu tidak mematahkan semangat perjuangan anggota parti yang ditunjangi Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak.

"Kita mesti patuh kepada pemimpin yang dilantik... sama seperti kita mempertahankan Tun Mahathir suatu ketika dahulu ketika UMNO dilanda krisis besar sehingga beliau (Tun M) menjadi perdana menteri selama 30 tahun," katanya.

Anggota UMNO boleh melupakan pemimpin yang lepas (Mukhriz) serta yang lain dan memberi fokus dalam mempersiapkan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Menteri itu mengingatkan, anggota UMNO yang masih berpihak dan menyokong Mukhriz  boleh keluar daripada parti itu kerana hanya merosakkan perpaduan dalam parti, ibarat gunting dalam lipatan.

Adalah tidak wajar mereka kekal dalam UMNO kerana  hanya menyebabkan pecah belah dalam kalangan anggota lain yang taat pada perjuangan parti.

"Sebelum ini ramai yang keluar UMNO apabila menyokong kepimpinan UMNO yang keluar parti dengan menubuhkan parti baru seperti Semangat 46 dan PKR tetapi akhirnya mereka kembali kepada UMNO.

Bukankah mereka ini pernah menjadi pengkhianat dan gunting dalam lipatan?

Kenapa pula mereka diterima malah diberikan jawatan penting dalam kerajaan dan parti?

Apakah kerana mereka sudah insaf atau demi kepentingan pemimpin tertentu?

Muliakah mereka ini berbanding ahli UMNO yang selama ini setia dan kini diminta berundur dari UMNO dan jika degil, mereka akan dipecat?

"UMNO merupakan sebuah parti yang kukuh dan sebagai anggota UMNO kita akan pertahankan kepimpinan kita yang bersilih ganti bagi memastikan parti yang memperjuangkan bangsa Melayu terus utuh pada masa depan," kata Johari.

Beliau menyatakannya  selepas perasmian mesyuarat perwakilan Pemuda UMNO bahagian Kubang Pasu di Jitra semalam.

Memandangkan  UMNO tidak menghalang anggotanya keluar parti disebabkan rasa simpati terhadap Mukhriz dengan menyokong parti baru yang ditubuhkan Dr Mahathir,  adalah elok ramai-ramai berbuat demikian.

Tanpa mereka pun UMNO akan tetap teguh.

Buang dan halau mereka beramai-ramai kerana sekiranya anggota parti yang menyokong 4M dihalang daripada keluar parti,  mereka ini akan merosakkan UMNO.

Mereka akan membusukkan UMNO memandangkan mereka adalah ‘duri dalam daging’.

Ingatkah atau pernahkah anda membaca novel novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad?

Bahaya duri dalam daging ini umpamanya kisah Lahuma yang  terpijak duri nibung dan melarat kesakitan itu ke seluruh tubuhnya lalu dia meninggal dunia.

Apakah UMNO mahu menjadi Jeha sebagai ibu tunggal menggalas tanggungjawab membesarkan ‘anak-anak’ di samping mengusahakan sawah padi demi mencari sesuap nasi setiap hari.

Kita tidak mahu UMNO menjadi Jeha yang dilanda kurang siuman dek terlalu tertekan dan mula merayau-rayau keliling kampung sehinggalah pada suatu hari dia ke rumah Tok Penghulu dengan berkelakuan tidak sopan, yang menyebabkan dia dikurung di rumahnya di dalam sebuah kurungan,  sebelum dihantar ke rumah sakit jiwa di Tanjung Rambutan oleh Tok Penghulu agar dia kembali sembuh.

Kepada yang masih dalam UMNO dan pada ketika yang sama menyokong perjuangan 4M, keluarlah cepat-cepat dari UMNO supaya parti itu ‘tidak sasau’ seperti Jeha.

Juga, dengan tinggalkan UMNO, KAMU tidak dicop sebagai perosak dan pemusnah UMNO.

Malah dengan keluarnya KAMU, duri sudah dicabut daripada daging dan mudah untuk UMNO diubati.

Lagipun, kalaupun UMNO nak musnah, biarlah orang lain yang musnahkannya, bukan kerana KAMU yang selama ini sayang dan memuja UMNO!!!

Friday, August 12, 2016

SURAT TERBUKA TUJUH PEMIMPIN BERSATU - BACA & NILAI



Kami adalah tujuh orang pengasas penubuhan sebuah parti politik baru.

Jawatan-jawatan kami adalah sementara. Apabila parti sudah tertubuh, perwakilan akan pilih pemimpin.

Sementara menunggu kebenaran dari Pendaftaran Pertubuhan, izinkan kami jelaskan kenapa parti ini ditubuh sekarang.

Malaysia setelah merdeka berjaya dibangun oleh rakyat Malaysia dan wakil mereka sehingga terkenal sebagai satu-satunya negara merdeka yang tinggi pembangunannya.

Banyaklah negara-negara dunia ketiga yang anggap Malaysia sebagai negara contoh.

Dimana-mana orang Malaysia pergi, mereka dihormati kerana kejayaan pentadbiran dan pembangunan negara mereka.

Tetapi sekarang kita terkenal sebagai sebuah negara dimana rasuah amat tinggi dengan Menteri Kewangan yang terburuk sekali.

Kita juga mempunyai seorang Perdana Menteri yang sedang disiasat kerana besar kemungkinan terlibat dengan money laundering (pembersihan duit haram) berbilion dollar Amerika Syarikat.

Syarikat 1MDB kehilangan berbilion Ringgit. Di masa yang sama Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Najib mempunyai RM2.6 bilion  dalam akaun peribadinya.


Hutang negara meningkat berbilion ringgit. Walaupun belanjawan negara ternampak tinggi tetapi kementerian-kementerian, institusi dan agensi kerajaan diarah kurangkan perbelanjaan sehingga 30 peratus.

Sementara itu kos sara hidup meningkat tinggi kerana cukai GST, kenaikan cukai tanah, pengurangan subsidi minyak dan penarikan balik status bebas cukai Langkawi dan Labuan.

Demokrasi dan pemerintahan mengikut undang-undang sudah tidak ada lagi.

Pegawai ditukar dan diganti dengan pegawai yang setia kepada Najib supaya sanggup melakukan perkara yang salah apabila diarah.

Jenayah dalam kerajaan dirahsiakan. Yang mendedah jenayah disoal, ditangkap, dipenjara dan dihadapkan ke mahkamah.

Sesungguhnya keadaan dalam negara dan imej di luar negara amatlah buruk.

Di luar negara rakyat malu mengaku sebagai orang Malaysia. Tidak ternampak sebarang usaha untuk menghentikan jenayah dan memulih keadaan.

Yang ditekankan ialah kesetiaan kepada Najib sebagai presiden parti dan perdana menteri. Dan banyaklah lagi keburukan yang dibawa oleh Najib kepada negara tercinta ini.

Kami pengasas parti baru berpendapat masa sudah tiba untuk rakyat menyelamatkan negara ini.
Jika tidak segala-gala yang kita nikmati akan hancur-lebur dan kita dan anak cucu kita akan kembali menderita kemiskinan tanpa maruah.

Parti yang kami tubuh ini bertujuan menjadi alat kepada rakyat yang benar-benar cintakan negara yang bertuah ini.

Hasrat kami ialah untuk berkhidmat memulih semula rakyat dan negara.

Demokrasi dan pemerintahan berasas undang-undang akan kami kembalikan.

Segala kelemahan yang boleh disalahguna oleh pemimpin yang dipilih akan dihapuskan.

Pengurusan kewangan akan tertakluk kepada undang-undang dan aturan-peraturan baru supaya Perdana Menteri atau menteri-menteri tidak boleh sembunyi sebarang perbelanjaan.

Ketelusan dalam semua urusan akan diamalkan.

Didikan dan latihan secara besar-besaran akan diberi kepada semua rakyat dari semua kaum supaya mereka dapat bekerja dengan pendapatan yang setimpal dengan hasil kerja mereka.

Yang termiskin dan kurang upaya akan dibantu dengan mencukupi.

Biasiswa untuk pelajaran sehingga ke peringkat yng tertinggi akan diadakan bagi semua mengikut keperluan mereka.

Kami percaya kami berpengalaman dan memiliki banyak idea untuk pemulihan ekonomi dan politik negara yang kami akan jelaskan dari masa ke semasa.

Oleh itu sertailah parti kami demi kesejahteraan kehidupan kita semua.

Kenyataan ini daripada tujuh orang pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU):

Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Kamarul Azman Habibur Rahman, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, Anina Saadudin dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Wednesday, August 10, 2016

AHMAD SAID – “NAK SURUH BERHENTI, NAK MALUKAN SAYA? OK BUATLAH...”


Apa untunganya membuat dakwaan ada video dan gambar bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said terlibat adegan seks dengan seorang wanita?

Lagipun dakwaan ini bukan cerita baru, ia pernah ditimbulkan sekitar 2009.

Apa untungnya kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan menimbulkan isu ini.

Beberapa hari ini, kemelut politik Terengganu dilihat reda. Dengan mencipta atau mengitar semula cerita seks ini akan menyebabkan politik Terengganu akan kembali panas.

Baikkah untuk UMNO dan BN Terengganu? Juga baikkah untuk kedudukan Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman?
  
Apakah cara ini baik untuk UMNO Terengganu melaksanakan ‘damage control’ akibat kekecohan baru-baru ini?


Penguasaan BN di Terengganu tidak kukuh susulan hanya mempunyai 17 kerusi DUN berbanding pembangkang dengan 15 kerusi.

Jika Ahmad Said berpaling tadah dan berjaya menarik hanya seorang lagi wakil BN dalam DUN, BN boleh hilang kerajaan di negeri Pantai Timur itu.

Yang peliknya, dakwaan terhadap Ahmad Said yang  berkhidmat sebagai menteri besar Terengganu sejak 2008 sebelum digantikan secara kontroversi dengan Ahmad Razif pada 2013, tidak ada rekod seburuk itu.

Juga pelik, laporan itu beberapa blog itu muncul semalam, sehari selepas spekulasi usul tidak percaya akan dibuat sekali lagi oleh Ahmad Said  terhadap menteri besar dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang bersidang pada Isnin.

Semalam The Star Online melaporkan, wujud dakwaan video dan gambar seks melibatkan seorang ahli politik kanan Terengganu.

Ahli politik yang tidak dinamakan itu dikatakan yang memberikan sebuah projek pembalakan kepada seorang wanita dan sebagai balasan, mendapat habuan seks pada 2009.

Ahmad Said dipetik Malaysiakini hari ini  menasihatkan masyarakat supaya berhenti membuat fitnah, lebih-lebih lagi perkara yang melibatkan maruah seseorang.


"Saya tak takut. (Kalau) orang serang saya, saya serang balik. Nak suruh saya berhenti? Nak malukan saya? Umno tak untung apa-apa. Kalau sanggup pilihan raya negeri, OK buatlah,” tegasnya.

"Ini maruah orang. Kalau dulu, fitnah mulut ke mulut. Hari ini (boleh) fitnah orang dengan pelbagai cara. Lepas itu, maruah orang, kita nak tanggung dosa orang?

"Tuhan dah beritahu, kalau kita jaga maruah orang, tuhan jaga maruah kita. Apa faedah yang dapat (dengan fitnah)?" ujarnya lagi.

Ahmad Said ditakrifkan sebagai seorang pemimpin lantang Umno, beberapa kali kelihatan dalam acara bersama Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengkritik utama kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ahmad Said hari ini enggan melayan 'serangan' terhadap dirinya termasuk dakwaan terdapat video dan gambar seks melibatkannya.

Antara blog yang menyiarkan laporan mengenai
kononnya wujud skandal ini.
Menyifatkan fitnah kini berlaku dengan pelbagai cara, beliau berharap perkara itu tidak akan berpanjangan.

"Itu saya tak mahu komen. Saya malaslah. Sekarang dah mula keluar macam-macam. Tak apa, saya tak mahu komen.

“Kalau kita panjangkan (isu ini) ia akan berpanjangan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kemaman, Terengganu.

Ditanya sama ada beliau takut dengan 'ugutan' berhubung video itu, anggota Dewan Undangan (ADUN) Kijal berkata beliau kini mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak teragak-agak untuk membuat serangan balas sekiranya perlu.

Pendirian inilah yang kita tidak mahu dibuat oleh Ahmad Said.

Kenapa yang sudah reda cuba digelombangkan semula?

Kali ini dibimbangi ‘ribu dalam cawan’ akan melimpah dan menjadi satu tsunami kepada politik Terengganu dalam masa terdekat.

Seperti kata Ahmad Said, beliau mengambil pendekatan tunggu dan lihat dan kita juga ‘tunggu dan lihat’ perkembangan seterusnya.


Tuesday, August 9, 2016

BUDAYA APA & KE MANA HALUAN PARTI BAHARU PIMPINAN MUHYIDDIN?


Jika sebelum ini ada tuduhan UMNO adalah ‘Parti Najib’,  parti baharu ini jangan pula dikawal atau dimiliki oleh seseorang atau kalangan tertentu sahaja...juga apakah pemimpinnya akan tunduk selama-lamanya kepada percaturan ‘Godfather’ mereka iaitu  Dr Mahathir?”

Wujudnya parti baharu memang  lebih meriah. Ia  menawarkan pilihan kepada rakyat khususnya orang Melayu dan Bumiputera memilih wadah perjuangan baharu yang mereka kehendakli.

Namun, apakah pilihan yang dibuat itu akan mendatangkan kekuatan dan kepaduan dalam perjuangan untuk mencapai cita-cita dan kepentingan orang Melayu?

Ini antara persoalan apabila petang ini, parti baharu yang mungkin dikenali dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia didaftarkan secara sah.

Parti ini akan didaftarkan oleh Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin selepas ditunggu penubuhannya secara rasmi sejak beberapa bulan yang lalu.

Ramai tidak sabar dan teruja untuk mengetahui apa perjuangan sebenar parti Melayu dan Bumiputera ini. Apakah perjuangannya berbeza atau bertindan dengan perjuangan parti Melayu yang sudah ada atau yang sudah berkubur sebelum ini.

Memanglah akan ada yang mahu mencuba ‘rasa dan nikmat politik baharu’ selain akibat merajuk atau kecewa atas sebab-sebab tertentu, ada yang  memilih untuk menikmati ‘resepi baru.’

Malah, mungkin  kerana teruja atau mahu menguji, mereka mungkin menterjemahkan sikap mereka dengan memberi undi kepada parti baharu dalam pilihan raya umum akan datang.


Persoalannya ialah, apakah parti baharu akan dibayangi oleh budaya politik UMNO kerana hampir keseluruahnya ia bakal diterajui oleh bekas pemimpin tertinggi UMNO sebelum ini.

Sekiranya cara pentadbiran dan budaya perjuangan adalah celupan (duplication) daripada Umno, tidak ada sebab untuk rakyat menyertai parti baru. Lebih baik mereka kekal atau yang baru, sertai sahaja UMNO.

Rakyat memerhatikan  jati diri pemimpin-pemimpin parti baharu. Paling utama, apa sahaja buitran kritikan yang dilemparkan kepada pemimpin UMNO, pemimpin parti baharu mesti melakukan sesuatu yang bertentangan. Yang paling utama mereka hendaklah  mengamalkan budaya politik BERSIH, dilihat BERSIH serta memiliki rekod BERSIH.

Memang ramai teruja pada peringkat permulaan ini tetapi bagaimana jika ia tidak mampu mengekalkan momentum perjuangan dan wujud pemimpin yang boleh dipersoalkan kredibiliti mereka?

Jika sebelum ini ada tuduhan UMNO adalah ‘Parti Najib’ maka parti baharu ini jangan dijadikan atau menjadi yang dikawal atau nampak dimiliki oleh seseorang atau kalangan tertentu sahaja.

Apa juga tindakan dan keputusan sewajarnya adalah keputusan semua pihak.menjadi milik eksklusif sesetengan pemimpin sahaja.


Yang paling utama, apakah pemimpin parti baharu ini akan tunduk selama-lamanya kepada pandangan dan pendirian ‘Godfather’ mereka iaitu Tun Dr Mahathir mohamad?

Persoalan juga dari mana lagi mahu dicari lagi ahli kepada parti baru ini?

Yang ada pun sudah terhad, kecuali golongan muda yang masih belum menyertai parti politik. Yang sudah berusia, kebanyakannya sudah menetapkan pendirian mereka.

Jarang yang mahu berubah.

Tumpuan kepada orang muda penting bukan sahaja mereka lebih terbuka dan sangat hampir dengan media baharu tetapi lebih penting mereka kumpulan terbesar pengundi pada pilihan raya umum nanti.

Ada kebenarannya apabila kelmarin (7 Ogos),  Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO,  Datuk Seri Mahdzir Khalid mengatakan dalam konteks Melayu, sudah banyak parti dan mahu ambil siapa lagi sebagai ahli?

Mahu tidak mahu, ambil Melayu jugalah sedangkan parti utama pembangkang seperti PAS, AMANAH dan PKR turut mensasarkan penyertaan Melayu dalam parti masing-masing.

Selain itu, Menteri Pendidikan itu  yakin bahawa ahli Umno tidak akan menyertai parti baru yang akan ditubuhkan Dr Mahathir.

“Saya tak nampak ahli UMNO akan pergi (parti baru), sebab yakin dengannya (apa yang ada dalam Umno),” sambil menyeru agar semua ahli di setiap peringkat memberikan sokongan terhadap Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak.

Selain itu persoalan juga apakah ia boleh bertahan?

Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Abdul Muati Ahmad berpendapat, penubuhan parti-parti baharu dari serpihan parti berteraskan Melayu, UMNO dan PAS selalunya tidak boleh bertahan lama atau sekadar hanya membabitkan satu atau dua pilihan raya umum sahaja.

Beliau mengambil contoh apa yang berlaku kepada Parti Negara dan Semangat 46 dan mengaitkannya dengan pengumuman penubuhan parti baru oleh Dr Mahathir itu.

“Kalau kita tengok pada sejarah yang lepas-lepas, parti-parti serpihan daripada parti arus perdana parti berasaskan orang Melayu cuma dua sahaja, UMNO dan PAS. Dalam sejarah UMNO pun pernah pecah parti serpihan umpamanya dulu Datuk Onn menubuhkan Parti Negara kemudiannya Semangat 46, diikuti PKR.

“PAS pun ada Berjasa, HAMIM dan sebagainya, tapi paling lama pun parti-parti serpihan ini boleh bertahan cuma satu atau dua pilihan raya dan selepas itu akan hilang dan berkubur,” ujarnya, menurut laporan UMNO Online.

Selain itu,  parti baharu ini sudah menghadapi ujian besar apabila pada Ahad lalu, bekas  Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengakui beliau hanya mengiktiraf kepimpinan Dr Mahathir berbanding pemimpin lain di negara ini.

Pengakuan terbuka itu sekaligus memberi penjelasan kepada sikap dinginnya terhadap penubuhan parti baharu yang bakal dipimpin bekas Timbalan Perdana Menteri berkenaan.

Malah dua hari sebelum itu, Khairuddin menegaskan beliau tidak berminat untuk menyertai parti baharu yang turut diusahakan Dr Mahathir sebaliknya mahu berjuang menentang rasuah atas platform peribadi.


Selain itu, bekas naib presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang dilihat rapat dengan gerakan ‘Deklarasi Rakyat’ tajaan Dr Mahathir sebelum ini menolak tawaran daripada Muhyiddin untuk menjadi timbalan presiden dalam parti baharu.

Anggota parlimen Semporna itu, menegaskan: "Sudah tiba masa saya balik kampung. Saya perlu bantu orang saya," pada majlis sambutan hari raya bersama penyokongnya di Kota Belud, Sabah pada hari Ahad yang lalu.

Apapun, dengan jaminan Mohd Shafie akan bekerjasama dengan parti baharu ini, ia akan menjadi lebih kukuh.

Malah dengan sinergi melalui kerjasama dengan parti pembangkang, jika 'kena caranya' ia akan memberikan persaingan yang kuat kepada UMNO selain BN sendiri, apa lagi jika mendapat sokongan golongan muda yang dahagakan wadah perjuangan yang memahami dan meletakkan kepentingan mereka antara perjuangan utama.