Monday, March 13, 2017

BAGAIMANA ANCAMAN LUAR MEMENANGKAN PARTI PEMERINTAH MALAYSIA???


Kini heboh diperkatakan mengenai Korea Utara (KU) yang seolah-olah mengancam rakyat dan negara ini.

Apakah keamanan dan kedaulatan negara kita tergugat akibat kes pembunuhan rakyat Korea yang dikaitkan dengan pemimpin negara itu di KLIA2?

Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Mac lalu berkata kekuatan sesebuah negara boleh diukur dengan melihat kepada kebersatuan rakyat ketika menghadapi krisis atau ancaman dari luar.

"Sekiranya kita bersatu-padu ketika menghadapi sebarang masalah atau ancaman, musuh dari luar tidak akan mampu meruntuhkan segala yang kita bina selama ini," katanya menerusi entri terbaru blog najibrazak.com.

Malah, tersangat kelakarlah apabila Datuk Ibrahim Mat Zin (bomoh) bersama pengikutnya mengadakan upacara untuk melindungi Malaysia daripada ancaman negara asing, khususnya KU. Antara peralatan berkenaan berupa buluh kecil yang dijadikan teropong, dua biji kelapa dan lima meriam buluh.

Apakah ancaman KU lebih hebat daripada ancaman China yang membina pangkalan tentera dan kehadiran berpuluh-puluh kapal selam di Laut China Selatan yang lebih dekat dengan sempadan negara?

Kapal selam KU sudah hampir dengan perairan kita?
Pemimpin kerajaan menggambarkan ancaman KU ini sangat dibimbangi dan boleh menggugat keamanan dan kedaulatan negara.

Benarkah demikian?

Apakah ini suatu taktik menakut-nakutkan rakyat ketika pilihan raya umum (PRU) semakin hampir? Bukankah ‘ancaman KU’ mahu dijadikan faktor ke arah ‘penyatuan’ rakyat menggunakan external threats?

Sama ada ancaman luar ini asli atau dibuat-buat tetapi ia akan tetap menjadi suatu strategi penting dan propaganda yang akan menjadikan rakyat, terutamanya yang tidak tahu kejadian sebenar untuk membuta tuli menyokong kerajaan.

Lebih hebat, apabila solat sunat diadakan di seluruh negara yang menggambarkan betapa negara sedang dalam kedudukan ‘bahaya digugat dari luar’ dan rakyat perlu menyokong kerajaan mempertahankan negara.

Penulis tidak mengatakan solat sunat itu tidak baik tetapi apakah ancaman KU seperti ancaman bah, kemarau, banjir atau tekanan ekonomi yang memerlukan yang memang menggugat kesejahteraan, keamanan dan kestabilan negara?

Ada ulasan menarik mengenai Konfrontasi.
Apakah Barisan Nasional (BN) boleh menggunakan isu ini dengan berkesan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang?

Lantas penulis teringat kepada kejadian pada 1964 di mana Konfrontasi adalah kejadian sebenar - bukan yang diada-adakan -  malah  mampu memberikan kemenangan besar kepada Perikatan (UMNO, MCA dan MIC) ketika itu.

Peristiwa sejarah ini perlu kita toleh kembali di mana pada ketika PRU 1964 ini diadakan, negara sedang diancam oleh Indonesia dan kerajaan mengenakan undang-undang darurat yang membolehkan penangkapan pemimpin pembangkang tanpa bicara.

Peristiwa ini digarapkan dalam beberapa buku antaranya oleh Allahyarham Asri Muda (bekas Presiden PAS) iaitu ‘Memoir POLITIK ASRI, Meniti Arus (UKM 1993).

Tan Sri Asri melalui memoirnya itu mengakui bahawa konfrontasi menjadi ‘faktor penting’ membantu Perikatan memenangni PRU1964.

Malah, Gordon P Means, melalui bukunya MALAYSIAN POLITICS, Hodder and Stroughton Limited, London (1970) pada mukasurat 335-338 turut memperkatakan mengenai faktor Konfrontasi dalam perkara Malaysian Eelections of 1964.

Soal Konfrontasi yang turut mempengaruhi pilihan raya 1964 turut diperkatakan oleh Harold Crouch melalui bukunya GOVERNMENT & SOCIETY IN MALAYSIA, Cornell University Press (1996).

Sebagai rekod, PRU 1964 merupakan pilihan raya umum yang pertama selepas penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 dan dengan menggunakan isu Konmfrontasi, Parti Perikatan menang besar.

Isu ancaman luar daripada Insonesia membolehkan Perikatan berjaya mengekalkan majority besar di Dewan rakyat yang ketika itu bilangan kerusi keseluruhannya 104.

Parti Perikatan memenangi 89 kerusi dalam Dewan Rakyat yang merupakan  majoriti sebanyak 85.6% walaupun parti campuran ini hanya memperoleh 58.5% daripada jumlah undi.

Ia kenaikan  yang amat besar, iaitu sebanyak 20.3% berbanding PRU 1959. Pencapaian 85.6% ini melebihi majoriti dua pertiga yang diperlukan oleh Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk kerajaan.

Sementara parti pembangkang pada keseluruhannya memperoleh 41.5% daripada jumlah undi, mereka hanya memenangi 15 kerusi yang tinggal, berbanding 30 kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya 1959.

Selepas 35 tahun, pada PRU 1999, sekali lagi faktor luaran menjadi pembantu kepada parti pemerintah untuk menang dengan selesa.

Ancaman terhadap ekonomi negara selain Malaysia sebagai ‘Harimau Asia’ yang digugat oleh serangan spekulator mata wang dan negara maju yang cuba meranapkan saingan terhadap mereka dari negara Asia, Malaysia turut terjerumus dan kancah ‘krisis mata wang Asia 1997’.

Jika pada 1964, ancaman luar bersifat politik dan dplomasi, ancaman pada 1999 lebih kepada ekonomi dan kewangan negara.

PRU pada 29 November 1999 itu berdepan bantahan rakyat yang besar kesan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Kabinet . PRU ini menyaksikan untuk kali pertamanya  di Malaysia di mana ebuah parti campuran pembangkang menentang keunggulan Barisan Nasional. Barisan Alternatif - iaitu parti campuran daripada PAS, DAP dan Parti Keadilan mencabar BN.

BN mampertahankan pengaruhnya dengan isu  skandal Anwar, ancaman penyangat mata wang dunia George Soros, peranan Yahudi dalam mengamcam kedaulatan negara selain peranan beberapa negara jiran membantu Reformasi, memberikan kemenangan kepada BN, walaupun dianggap pencapaian paling rendah sejak kemerdekaan negara  kecuali pada PRU 1969.

BN mendapat 148 kerusi Parlimen daripada 193 kerusi dipertandingkan, iaitu jatuh 8.6% berbanding 162 kerusi yang diperoleh pada tahun 1995. Pencapaian ini jauh lebih tinggi berbanding 129 kerusi yang diperlukan untuk memperoleh satu majoriti dua pertiga.

Selain itu, BN juga memenangi semua pilihan raya negeri, kecuali Kelantan dan Terengganu.

Walaupun PAS mencapai prestasi yang amat baik, selain mengekalkan negeri Kelantan dan menang di Terengganu dan menambahkan kerusinya dari 7 kerusi (1995) kepada 27 kerusi kali ini, keputusan tidak begitu baik bagi DAP.

Keadilan menang lima (5) kerusi dan Parti Bersatu Sabah sebanyak tiga (3)  kerusi yang menjadikan pembangkang ada 42 kerusi di Dewan Rakyat. Dua pemimpin pentying DAP - Lim Kit Siang dan Karpal Singh tewas di tengah-tengah kemenangan 10 kerusi Parlimen, bertambah satu berbanding PRU 1995.

Selain faktor luaran, kemenangan BN pada tahun 1999 merupakan sokongan terhadap arah pembangunan negara dan kegigihan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (kini Tun) dalam menangani Krisis Kewangan Asia 1957.

Satu lagi ancaman terhadap negara pada ketika hampir PRU ialah pencerobohan di Lahad Datu 2013 -  insiden diplomatik yang berlaku di antara Malaysia dan Filipina sejurus selepas 235 orang Filipina yang sebahagiannya bersenjata mendarat di Kg. Tanduo, Daerah Lahad Datu, Sabah pada 11 Februari 2013.

Angkatan Keselamatan Diraja Kesultanan Sulu dan Borneo Utara yang dihantar oleh Jamalul Kriam III iaitu salah seorang dari pihak-pihak yang menuntut takhta Kesultanan Sulu ialah menuntut kembali wilayah mereka di bahagian timur Sabah iaitu (wilayah bekas Borneo Utara).

The Manila Times menyebut bahawa pencerobohan tersebut berlaku selepas pemimpin pembangkang Datuk Seri  Anwar Ibrahim mengatakan Malaysia akan kehilangan Sabah tidak lama lagi di dalam salah satu ceramah politik yang diadakan oleh parti beliau, Parti Keadilan Rakyat.

Selain Anwar, pemimpin pembangkang lain turut dikaitkan ialah Tian Chua, Naib Presiden PKR dan anak sendiri yang dikaitkan dengan Jacel Kiram, puteri Jamalul Kiram III.


Apa kesannya kepada PRU13?

PRU yang diadakan pada 5 Mei 2013 iaitu tiga bulan selepas ‘ancaman luar’ itu menyaksikan BN menang walaupun mulanya dilihat akan tewas. ‘Ini kalilah’ tidak menjadi kepada pembangkang pada ada awal pagi 6 Mei, BN secara muktamad diumumkan kekal berkuasa.

Biarpun majoriti berkurangan, BN merampas kembali negeri Kedah daripada Pakatan Rakyat. BN mendapat 133 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen di mana kerusi yang selebihnya jatuh kepada gabungan Pakatan Rakyat iaitu sebanyak 89 kerusi.

Persoalan kini ialah, apakah isu KU kali ini akan mampu membantu BN mencapai kemenangan selepas parti dan pemimpinnya diasak dengan berbagai isu keperitan rakyat akibat kenaikan harga barangan keperluan, GST dan sebagainya?

Apakah kerajaan boleh menutup isu 1Malaysia Development Bank (1MDB), ‘rompakan wang negara’, penyelewengan dan pemindahan wang haram, negara kleptokrasi, penyalahgunaan kuasa dan hutang negara menggunakan isu KU ini?

Mungkin PAS terpengaruh apabila diminta sama-sama solat hajat untuk keamanan negara.

Persoalannya apakah kedudukan negara kini seperti ‘telur di hujung tanduk’ seperti ancaman Konfrontasi pada 1964 dan serangan penyangak mata wang dan krisis Negara Asia 1997 pada PRU 1999?

Juga dengan menggunakan isu KU ini apakah BN berharap untuk mendapat majoriti 2/4 di Dewan Rakyat selain mengekalkan kuasanya di negeri-negeri yang sedia ada, selain menawan kembali Selangor dan Kelantan?

Bagaimana jika rakyat tidak mempercayai propaganda kerajaan dan 'solat hajat' yang diadakan itu hanya mainan politik BN dan PAS semata-mata?


Siapa yang akan terkena tembakan peluru berpandu KU pada Pru14???