Friday, July 19, 2013

KEMPEN 16:16 - PAS AKUI TEWAS SEBELUM MEMASUKI GELANGGANG…TAKTIK KOTOR, CETUS HURU HARA!


“Ini hanya taktik kotor PAS yang mahu mengugat kestabilan politik yang telah dibentuk Kerajaan BN. PAS hanya mahu menimbulkan huru-hara dalam negeri jika keadaan politik tidak stabil...,PAS cuba menipu rakyat dengan cara mengadakan isu 16:16 semata-mata untuk menafikan kedudukan BN sebagai Kerajaan Negeri Terengganu yang telah dipilih oleh rakyat berdasarkan Perlembagaan Negara Malaysia,”
 - Datuk Seri Ahmad Said

Datuk Husam Musa mengakui jika kerusi Dewan Undangan (DUN) Terengganu jadi 16:16, ia tidak membawa apa-apa erti untuk PAS berkuasa.

Jadi? Apa tujuan PAS bertanding di Kuala Besut?

Sudah terlanjur menyertai PRK ini...tidak mahu beri kemenangan percuma kepada Barisan Nasional (BN)?

Bagi BN, matlamatnya jelas, mahukan kemenangan untuk kembalikan kedudukan 17:15 selain meningkatkan majoritinya keada 4,000 undi.

Dengan kestabilan sedemikian, akan memudahkan perancangan dan pelaksanaan pembangunan yang sudah dirancang, dilaksanakan dan input-input terbaru yang boleh dilaksanakan demi kesejahteraan penduduk Kuala Besut.

Pada pilihan raya kecil DUN Kuala Besut, PAS meletakkan matlamat untuk mewujudkan situasi 'DUN tergantung' 16:16 iaitu BN dan pakatan pembangkang mempunyai bilangan kerusi sama banyak di DUN.

DUN Terengganu mempunyai 32 kerusi yang menyaksikan BN menguasai 17 kerusi manakala pakatan pembangkang memiliki 15 kerusi (PAS 14, PKR satu) selePAS PRU-13 lalu.


Bagaikan TEWAS sebelum memasuki GELANGGANG, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa semalam mengakui PAS tidak akan berupaya membentuk kerajaan di Terengganu walaupun mempunyai jumlah kerusi yang sama banyak dengan Barisan BN di dalam DUN.

Husam akui walaupun sasaran parti itu untuk mewujudkan 'DUN tergantung' 16:16 tidak akan menggugat penguasaan BN di negeri ini.

"Barisan Nasional tidak perlu bimbang, mereka tetap akan kekal berkuasa (di Terengganu)," katanya pada sidang media di markas parti itu di Kampung Baharu di Kuala Besut semalam.

Helah atau dalih baru PAS sebelas mengakui tidak akan mampu menumbangkan kerajaan BN Terengganu ialah, menerusi moto '16:16 Terengganu Baru' ialah memastikan rakyat di negeri ini mendapat lebih manfaat daripada kerajaan menerusi sistem politik baru.

"Apabila berlakunya jumlah kerusi sama banyak dalam DUN, kerajaan negeri tidak boleh membuat keputusan sesuka hati. BN perlu duduk berbincang bersama-sama PAS sebelum meluluskan sesuatu dalam DUN," katanya.

Selain itu Husam yang juga Pengarah Pilihan PAS bagi pilihan raya kecil DUN Kuala Besut berkata, parti itu juga menyediakan pelan komprehensif jangka panjang meliputi aspek ekonomi dan pembangunan sosial di Terengganu.

"Rasuah dan politik wang yang hanya memberi manfaat kepada segelintir pihak akan berakhir. Rakyat akan diberi pembelaan yang sewajarnya..” katanya.

Rasuah, politik wang, penyalahgunaan kuasa mainan di bibir pemimpin PAS tanpa mencerminkan diri apakah mereka sebenarnya bersih.

Tanpa ada perancangan pembangunan khusus untuk Kuala Besut, PAS berjuang bagaikan tiada sasaran atau hala tuju. Yang penting bagi mereka yang menggelarkan ‘pemimpin Islam ini ialah’ kacau daun dan merosakkan perpaduan antara orang Melayu dan Islam di Kuala Besut melalui kempen mereka kononnya kerajaan yang dipilih majoriti rakyat pada pilihan raya umum lalu, sebagai zalim'.

Bagi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, strategi 16:16 parti itu ialah mencuba merampas kerusi tersebut dengan cara yang kotor dan langkah terdesak PAS untuk kembali berkuasa.

Malah, tidak wajar pemimpin Islam dalam PAS sewenang-wenangnya melakukan perbuatan dan kempen untuk menimbulkan ketidakstabilan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu yang diterajui BN yang dipimpin pemimpin Islam.

“Ini hanya taktik kotor PAS yang mahu mengugat kestabilan politik yang telah dibentuk Kerajaan BN. PAS hanya mahu menimbulkan huru-hara dalam negeri jika keadaan politik tidak stabil...,PAS cuba menipu rakyat dengan cara mengadakan isu 16:16 semata-mata untuk menafikan kedudukan BN sebagai Kerajaan Negeri Terengganu yang telah dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya umum yang lalu secara sah berdasarkan Perlembagaan Negara Malaysia,” katanya petang kelmarin.


Beliau menjelaskan : “Mengikut Undang-Undang Tubuh negeri Terengganu jika ditakdir pun kita (BN) kalah pilihan raya ini kita masih menjadi kerajaan dan pembangkang tetap jadi pembangkang…,” tegasnya.

Setelah mengetahui mereka tidak berpeluang, PAS mengatakan 16:16 penting untuk rakyat dan bakal memberi pulangan yang besar bukan sahaja kepada pengundi Kuala Besut malah rakyat Terengganu amnya.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad, berpendapat kedudukan 16:16 itu akan menyeimbangkan kuasa kerajaan BN negeri ini dari melakukan sesuatu yang tidak menguntungkan rakyat.

Keadaan ini akan menamatkan penafian hak rakyat untuk menikmati kemewahan negeri ini seperti yang berlaku sekarang ini.

Agenda ini akan memberikan kesejahteraan kepada rakyat di mana rakyat akan benar-benar menjadi tuan sekaligus menamatkan penindasan kepada rakyat," katanya pada sidang media di Markas Besar PAS di Kg. Baharu semalam.


Ke situ pula cakap-cakap pemimpin PAS!

Mereka tidak habis-habis mencerca dan memburukkan kerajaan BN negeri dengan menyifatkannya ‘zalim dan menindas rakyat’.

Rakyat Kuala Besut bukan tidak tahu sikap pemimpin PAS yang hanya mendekati mereka ketika pilihan raya dan kerana itu terbukti sejak 2004, mereka menolak PAS dan majoriti besar pada pilihan raya lalu, iaitu 2,434 itu membuktikan segala-galanya.

DUN Kuala Besut mempunyai 17,683 pengundi berdaftar dan pada PRU13, Allahyarham Dr Rahman Mokhtar mendapat majoriti 2,434 undi menewaskan calon PAS, Napisah Ismail.

Benar seperti kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa usaha PAS mewujudkan pentadbiran kerajaan Terengganu yang tergantung menerusi kempen 16:16 tidak akan diterima rakyat.

Tindakan populis bagi meraih perhatian, Naib Presiden Umno itu berkata kempen PAS begitu jelas dan tidak rasional kerana setiap individu dan rakyat di sesuatu kawasan atau negeri tentunya tidak mahu melihat keadaan kucar kacir dalam pentadbiran kerajaan.

"Itu tindakan populis tetapi bagi mereka yang rasional kempen sebegitu adalah tidak masuk akal. Jika inginkan keadaan 16:16, bermakna mereka sengaja inginkan kerajaan tergantung dan visi sebegitu sebenarnya dibawa oleh mereka yang tidak memikirkan masa depan rakyat Terengganu sebagai keutamaan," katanya pada sidang media selepas menyerahkan kunci rumah kepada veteran angkatan tentera di Kampung Beris Pak Abu, Gong Kedak kelmarin.

Hishammuddin berkata selain cubaan menjadikan kerajaan tergantung, tujuan sebenar kempen itu adalah bagi membolehkan pembangkang melakukan fitnah berterusan ke atas apa sahaja bantuan dan perancangan yang dilakukan BN kepada rakyat.

Beliau yang pernah menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO negeri sebelum diserahkan kepada Ahmad Said menegaskan : "Tidak ada pihak yang mahukan sesuatu keadaan yang tidak menentu.”

Kerana itulah semua pemimpin BN amat yakin masyarakat di Kuala Besut tidak akan terikut-ikut dengan kempen sebegitu.

Selain tidak masuk akal, rakyat Kuala Besut tidak akan membenarkan Terengganu berada dalam keadaan tidak stabil, politik yang ‘huru hara’ dan ‘tergantung’, gara-gara permainkan politik kotor oleh PAS.