Friday, September 30, 2016

KPT DRAF PELAN BANTU PEMINJAM BAYAR PTPTN – SYABAS IDRIS JUSOH!!!


"Saya akan rumuskan versi saya sendiri, pelajar boleh datang berjumpa saya... kami akan draf cara untuk membantu peminjam membayar balik pinjaman PTPTN mereka, saya adalah alternatif mereka."

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyasarkan kutipan balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM3 bilion menjelang akhir tahun ini.

Ia  susulan sasaran bayaran balik pinjaman sebanyak RM2 bilion diunjurkan bagi tahun ini telah dicapai.

Masalah kini ialah  PTPTN tidak lagi boleh memberikan  pinjaman penuh kerana rekod buruk pembayaran balik.

Berikutan itu, PTPTN pada 24 September lalu  mengatakan  kira-kira 1.3 juta peminjam tabung itu  akan disenaraikan di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

Berikutan kenyataan itu, pelbagai pihak memberikan banyak reaksi, malah ada mengatakan ia akan memberikan kesan kepada sokongan politik kepada kerajaan Barisan Nasional.

Sehingga kini hanya RM8 bilion telah berjaya dibayar semula dari RM56.4 bilion yang dikeluarkan sejak 1997.

Setakat Julai tahun ini, terdapat 2.49 juta peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di seluruh negara sejak badan itu ditubuhkan pada 1997.

Namun di sebalik kekecohan itu, apa yang  menarik dan melegakan ialah KPT sedang merumuskan pelan untuk membantu peminjam PTPTN menyelesaikan pinjaman pelajaran mereka.

Usaha ini sewajarnya disokong dan dijayakan bersama sambil kita memuji usaha yang dilakukan Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh.

Isu  PTPTN ini meledak apabila pada 24 September lalu, Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Oeprasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid menegaskan, kira-kira 1.3 juta peminjam tabung itu  akan disenaraikan di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).


Ini akan memberi kesan kepada penarafan kredit jika mereka gagal membayar pinjaman pelajaran pada masa yang ditetapkan.

Sebaik sahaja disenaraikan dalam CCRIS, penarafan kredit seseorang mungkin akan 'jatuh menjunam' apabila seseorang itu dianggap tidak membuat atau menunjukkan rekod pembayaran dengan baik.

Ini boleh membawa kepada institusi kewangan mengambil langkah menafikan pinjaman mereka atau kemudahan kredit lain.

Idris sebelum ini mengingatkan PTPTN agar tidak menganiayai mana-mana peminjam dalam usaha mengutip semula tunggakan pinjaman daripada peminjam.

Menurut Mastura, semua peminjam PTPTN akan disenaraikan dalam CCRIS sebaik sahaja tiba masanya untuk mereka mula membuat pembayaran balik, iaitu enam bulan selepas tamat pengajian.

"Apabila seseorang itu sepatutnya mula membayar balik, kami akan menyenaraikan nama mereka dalam CCRIS," katanya kepada The Star, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Isnin lalu ( 26 September 2016), PTPTN berkata pihaknya  sentiasa membuka ruang rundingan kepada semua peminjamnya yang mempunyai masalah membuat pembayaran.

PTPTN dalam kenyataannya berkata tindakan yang diambil terhadap peminjam bukan bertujuan menekan mereka tetapi demi kepentingan pendidikan negara dalam menyediakan dana secukupnya untuk pelajar lain.


Organisasi itu berkata sebarang tindakan yang diambilnya mengambil kira semua aspek dan tidak dilakukan secara sewenang-wenangnya kerana ia sentiasa berpegang kepada konsep mesra pelanggan dan mempelbagaikan pendekatan dalam mencapai sasaran kutipan balik pinjaman.

Semalam ,menurut Idris, sebelum membantu peminjam, kementerian perlu menilai keadaan mereka bagi mengenal pasti peminjam yang benar-benar menghadapi kesukaran untuk membuat bayaran balik atau mereka yang sengaja enggan berbuat demikian.

"Saya akan rumuskan versi saya sendiri, pelajar boleh datang berjumpa saya (Idris)... kami akan draf cara untuk membantu mereka (peminjam) membayar balik pinjaman PTPTN mereka, saya adalah alternatif mereka," katanya pada sidang media selepas merasmikan satu seminar di Kuala Lumpur semalam.

Idris, bagaimanapun, menegaskan peminjam pada masa sama perlu terus membuat pembayaran balik pinjaman mereka kepada PTPTN ketika pelan sedang dirumuskan.

Ditanya mengenai jumlah peminjam yang telah menghubungi kementerian setakat ini bagi mendapatkan bantuan, Idris berkata beliau secara peribadi telah menerima kira-kira 30 e-mel daripada peminjam yang berdepan kesukaran untuk membayar balik pinjaman mereka.

Walaupun memberi amaran keras sebelum ini, sebenarnya PTPTN masih belum mengambil jalan keluar dengan menyenaraikan peminjam di sistem persendirian yang dikendalikan Credit Tip Off Services Sdn Bhd (CTOS).

Bergantung kepada kursus dan institusi, jumlah pinjaman maksimum mungkin berbeza, dari RM4,750 ke RM30,000 setahun.

Mastura berkata peminjam sepatutnya mula membayar balik pinjaman enam bulan selepas tamat pengajian walaupun tiada notis dihantar dari PTPTN.

Laman web PTPTN menyatakan bahawa notis itu hanya akan dihantar pada bulan ketujuh selepas tamat pengajian.

Sejak penubuhannya, beliau berkata seramai 1.2 juta peminjam sama ada telah membayar sepenuhnya atau telah membayar pinjaman mereka.

Selain menggunakan CCRIS, PTPTN juga menjejaki peminjam dengan memasukkan nama mereka dalam senarai Jabatan Imigresen orang yang dilarang ke luar negara, yang bermula pada tahun 2008.

Sehingga kini, 111,001 orang telah disekat daripada pergi ke luar negara kerana mereka gagal membuat pembayaran pinjaman PTPTN.

Mastura berkata sejak senarai hitam perjalanan itu dilaksanakan, kira-kira 40 peratus daripada peminjam telah menghubungi PTPTN untuk berunding semula pembayaran balik mereka atau untuk menjelaskan jumlah yang tertunggak.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan peminjam bahawa mereka harus memberikan masa sekurang-kurangnya tujuh hari bekerja untuk PTPTN mengeluarkan nama mereka daripada senarai hitam perjalanan.

PTPTN juga tidak akan mengambil langkah mengheret peminjam ke mahkamah.

Justeru, Mastura menggesa peminjam untuk membayar pinjaman mereka sebaik sahaja mereka menerima gaji pertama mereka.

"Jika gaji anda terlalu rendah, anda boleh datang kepada kami untuk menyusun semula pinjaman anda," katanya.

Bagaimanapun katanya langkah itu hanya akan menjadikan tempoh pembayaran balik menjadi lebih panjang.

Kita gembira dengan pendekatan yang sedang digarapkan oleh KPT dan PTPTN ini demi meringankan beban peminjam termasuk dengan mengadakan rundingan bagi penstrukturan semula pinjaman, membuka pejabat PTPTN negeri dan cawangan, menjalankan operasi pada hujung minggu dan selepas waktu pejabat bagi sesetengah cawangan, serta menyediakan perkhidmatan pembayaran semula dalam talian.

Apapun,  apa juga langkah yang telah diambil oleh PTPTN termasuk penyenaraian peminjam di dalam CCRIS  akan diteruskan.


Menggembirakan sedikit ialah  PTPTN menyatakan bahawa ramai peminjam mula membuat bayaran balik pinjaman berdasarkan kadar peminjam yang tampil membuat rundingan dan jumlah bayaran balik berbanding sebelum ini.