Saturday, October 24, 2015

PEMBANGKANG DAH JADIKAN DEWAN RAKYAT ‘SARKAS’ & ‘PASAR’?


"Tindakan pembangkang bukan sahaja tidak menghormati Perdana Menteri tetapi juga Dewan Rakyat...Kita bukan sahaja mesti mematuhi kod pakaian di Parlimen tetapi menjaga etika berkelakuan juga. Jangan jadikan Parlimen sebagai sarkas."
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak

Tahun lalu pembangkang mengangkat Buku Jingga selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selesai membentangkan belanjawan di Dewan Rakyat.

Kali ini (semalam 23 Oktober 2015), tidak cukup dengan kenyataan, pembangkang angkat sepanduk dalam Dewan Rakyat.


Tanda persefahaman di kalangan pembangkang atau mereka kehabisan modal?

Kalau ikut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tindakan pembangkang mempamerkan plakad 'mana 2.6 bilion?' selepas pembentangan Belanjawan 2016 dilihat sebagai "kehabisan modal".

Berkaitan isu ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mendakwa bajet yang dibentangkan oleh Datuk Seri Najib Razak petang ini adalah untuk menutup pelbagai skandal yang dihadapi oleh kerajaan.

Beliau yang juga ahli parlimen Bagan mendakwa langkah yang diumumkan kerajaan tidak akan memberi kesan jangka panjang kepada rakyat termasuk menyelesaikan skandal 1MDB dan menjawab derma RM2.6 yang didepositkan ke akan peribadinya.

SetiausahaAgung DAP itu  berkata Najib sepatutnya menjawab skandal yang dihadapinya demi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang dipimpinnya termasuk mengukuhkan nilai ringgit yang jatuh yang anggap sebagai "kerugian yang sebenarnya".

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua kata Perdana Menteri gagal menangani isu yang membawa kepada kehilangan keyakinan rakyat dalam pentadbiran beliau, iaitu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan "derma" RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya, dalam pembentangan Bajet 2016 beliau semalam.

Bajet 2016 memperuntukkan RM267.2 bilion berbanding RM260.7 bilion peruntukan sebelum dipinda pada tahun sebelumnya.

Malah, Datuk Seri Najib Razak walaupun dilihat menunjukkan keyakinan tinggi ketika membentangkan Bajet 2016 dengan "bahasa berlagak berani", kegagalan perdana menteri menangani isu itu akan menggoncang keyakinan pelabur tempatan dan antarabangsa.

Najib pada pembentangan Bajet 2016 semalam langsung tidak menyentuh dua isu kontroversi tersebut yang dikatakan menyumbang kepada kejatuhan mata wang negara dan hilang keyakinan pelabur.

Gabungan pembangkang baharu, Pakatan Harapan semasa membentangkan bajet alternatif mereka juga memberi fokus kepada 1MDB untuk menyelesaikan kemelut yang melanda syarikat yang menanggung hutang RM42 bilion itu.

Mereka turut mencadangkan 1MDB ditutup sebagai langkah memulihkan keyakinan pasaran.

"Untuk semua bahasa berlagak berani yang memenuhi seluruh ucapan Bajet itu, Najib gagal untuk menangani isu utama yang menghancurkan keyakinan domestik dan antarabangsa terhadap pentadbiran beliau," katanya dalam satu kenyataan selepas ucapan Bajet.

Itu tanggapan Tony Pua dan bukan sesuatu yang mengejutkan.

Menyokong kata-katanya, Setiausaha publisiti DAP itu menegaskan: “Perdana menteri tidak nampak perlunya menangani satu masalah besar yang cuba beliau elakkan, iaitu skandal RM42 bilion 1MDB dan kononnya 'derma' RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadi beliau yang turut melibatkan anak syarikat Kementerian Kewangan, SRC International Sdn Bhd."

Selanjutnya beliau mendakwa,  Putrajaya memasukkan wang kecemasan RM975 juta awal tahun ini, surat sokongan untuk mendapatkan pinjaman AS$150 juta dan membayar ganti rugi International Petroleum Investment Corporation (IPIC) dengan  wang pendahuluan AS$1 bilion kepada 1MDB.

“Disebabkan kegagalan menangani tuduhan berat yang dilemparkan terhadap 1MDB dan menyediakan pelan yang boleh dipercayai untuk kerajaan terhadap semua perkara luar jangka berhubung 1MDB, Bajet 2016 akan bukan sahaja gagal mengangkat keyakinan pelabur tempatan dan antarabangsa, ia akan menjadi satu lagi keadaan yang hanya akan dibayangi oleh skandal berbilion ringgit pentadbiran Najib,” katanya.

Bukan sekadar memberikan pendapat, Ahli Parlimen pembangkang turut bangkit memegang sepanduk bertulis "Mana RM2.6 bilion" selepas Perdana Menteri selesai membentangkan Bajet 2016 di Dewan Rakyat petang semalam.

Menurut TheMalaysian Insider, tindakan itu dipercayai menyebabkan kamera di dalam dewan yang membuat liputan langsung tidak dihalakan ke arah tempat duduk pembangkang dan siaran langsung ditamatkan segera.

Gambar mereka memegang sepanduk tersebut dikongsi Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menerusi akaun Twitter dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menerusi kumpulan WhatsApp beliau dan petugas media.

Namun, bukan semua Ahli Parlimen pembangkang melakukan sedemikian.

Didapati beberapa ahli Parlimen PAS seperti Nik Mohd Abduh Nik Aziz (Pasir Mas) dan Datuk Dr Khairuddin Aman Razali (Kuala Nerus) tidak turut sama berdiri memegang sepanduk itu. Mereka duduk pada ketika Ahli Parlimen pembangkang lain berdiri.

Malah, kelibat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang merupakan ahli Parlimen Marang tidak kelihatan langsung sejak awal pembentangan Bajet 2016 bermula,  sehinggalah ahli-ahli Parlimen pembangkang ditemubual wartawan selepas pembentangan selesai.

Rekasi kepada kenyataan Tony Phua dan tindakan Ahli Parlimen pembangkang mengangkat sepanduk, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menjelaskan, isu 1MDB tidak ada kaitan dengan Bajet 2016 yang dibentangkan semalam.

Menteri Kewangan Kedua itu menjelaskan,  kerana sebab-sebab sedemikian, Najib tidak menyentuh isu berkaitan syarikat sarat hutang itu.

"Ini bajet, tidak ada kena-mengena dengan 1MDB. Apa kaitan 1MDB dengan bajet? Ia tidak menggunakan bajet kerajaan," kata Husni yang ditemui di lobi Parlimen semalam.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak menyifatkan tindakan Ahli Parlimen pembangkang itu seperti budak-budak yang tidak matang.

Katanya, tindakan pembangkang bukan sahaja tidak menghormati Najib tetapi juga Dewan Rakyat yang mulia.

"Kita bukan sahaja mesti mematuhi kod pakaian di Parlimen tetapi menjaga etika berkelakuan juga. Jangan jadikan Parlimen sebagai sarkas," katanya.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata walaupun tidak salah untuk bertanya soalan berkenaan tetapi ada cara yang betul untuk melakukannya.


“Tak salah tanya. Saya yakin ramai bangkitkan dalam perbahasan minggu depan. Tapi ini bukan caranya. Parlimen bukan pasar,” tulisnya di twiter.