Perkara berseleheng (bahasa Kelantan bermaksud tidak
bersependapat atau krisis kecil) bukan satu kesalahan besar seperti menentang
atau menderhaka kepada pemimpin.
Cumanya, tiada siapa boleh memberikan sebab sebenar apabila
berlakunya seleheng antara pihak tertentu.
Malah seleheng dikatakan punca pingat ditarik balik oleh pihak istana. Namun ini bukanlah suatu perkara yang boleh dianggap istimewa dan luar biasa.
Ada seseorang mengemukakan pertanyaan “apakah
masih viable dan feasible lagi hasrat Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk
menobatkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri jika dapat menawan Putrajaya melalui pilihan raya, apabila pingat
gelarannya ditarik balik?
Menurut yang sibertanya itu, “dalam keadaan pihak yang
mempunyai budi bicara ke atas perlantikan ini telah memutuskan bahawa beliau (Dr
Mahathir) “ada cukup kesalahan atau dosa” yang membayangkan masa depan bagi bekas Perdana Menteri 22 tahun itu menjadi Perdana Menteri sekali lagi, seakan 'gelap'.
Malah orang itu berhujah : “Adalah diyakini bahawa
penarikan balik Darjah Kerabat kepada Tun Dr Mahathir Mohamad ini bukan
berpunca dari orang politik dan tidak dipengaruhi oleh pertimbangan politik
kerana ia adalah kuasa prerogatif yang tidak didorong oleh mana-mana pihak lain
selaras dengan peruntukan Perkara 45(1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh
Kerajaan Kelantan.
Peruntukan ini menyebut bahawa Kebawah Duli Yang Maha
Mulia Sultan bolehlah menarik balik mana-mana pangkat atau gelaran atau
pingat-pingat kehormatan yang telah dikurniakan kepada mana-mana penerimanya
jika pada pertimbangan Baginda ada cukup kesalahan atau dosa yang telah
dilakukan oleh penerimanya yang mengharuskan diperbuat demikian.”
Orang ini tidak memperkatakan secara khusus apa dosa
atau kesalahan Dr Mahathir tetapi mengemukakan pertanyaan apakah Dr Mahathir ‘masih
boleh dilantik Perdana Menteri’.
Persoalan asas beliau ialah, oleh kerana Yang di-Pertuan
Agong, Baginda mempunyai budi bicara yang luas, termasuk di dalam urusan
perlantikan Perdana Menteri, di mana Perkara 40 (2) (a) Perlembagaan
Persekutuan memperuntukkan secara jelas bahawa “Yang di-Pertuan Agong boleh
bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi melantik seorang
Perdana Menteri”, maka tidakkah nanti akan timbul masalah jika HARAPAN
menguasai Putrajaya?
Sebelum melihat kepada apa kesannya penarikan balik
pingat itu, elok juga jika dilihat kepada tindakan Istana Kelantan berbuat
tindakan terhadap dua individu lain
Ada spekulasi bahawa ia ada kaitan dengan krisis Istana
Kelantan pada 1990-an dan tindakan pemimpin Parti AMANAH ‘kononnya mempoerguna Tengku
Muhammad Petra’ di ceramah mereka sejak beliau menyertai parti itu pada
September 2016.
Malah dikatakan pada satu ceramah, pemimpin AMANAH memperkenalkan
Tengku Muhammad sebagai “bapa saudara Yang di-Pertuan Agong” sebagai
menyokong perjuangan mereka yang menyebabkan Istana Kelantan kurang gembira.
Perbuatan itu dikatakan faktor berlakunya seleheng
antara AMANAH serta pemimpinnya dengan Istana Kelantan.
Sebenarnya, apa yang berlaku kepada Tun Dr Mahathir
Mohamad, Husam Musa atau juga Wan Rahim Wan Abdullah bukan sesuatu asing.
Ini kerana di
Terengganu, ia juga berlaku kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul
Rahman sebelum ini.
Pingat ditarik balik
tetapi sebab-sebabnya sangat berlainan. Di Kelantan kerana faktor
politik tetapi di Terengganu kerana faktor pentadbiran.
Jika di Kelantan, ada pula pihak menganggap tindakan Istana
Kelantan itu kerana ‘kesan pelanggaran Baiah’
oleh Husam dan Wan Rahim kerana keluar dari PAS, bagaimana dengan Dr Mahathir
dan Ahmad Razif?
Sultan yang menganugerah dan Sultan boleh menarik balik
keistimewaan itu. Dalam konteks ini, tiada perkataan malu atau zalim. Yang ada
hanyalah redha.
Di pihak pemberi pula itu haknya dan jika pada waktunya
dirasakan perlu dipulangkan, sudah pasti akan dipulangkan. Namun, jangan lari
daripada semuanya ditetapkan oleh Allah swt.
Seperti dalam kes Ahmad Razif, daripada bergelar Datuk
Seri, beberapa ketika dengan Encik atau Cik gu sahaja dan kini kembali Datuk
Seri.
Juga, apakah penarikan pingat itu akan menjejaskan
reputasi politik ketiga-tiga mereka?
Rasanya tidak sebesar mana. Cuma ada spekulasi mengatakan
pintu untuk Husam menjadi Menteri Besar jika Pakatan Harapan (HARAPAN) menang
sudah tertup rapat (rapat jip kata orang Kelantan).
Persoalannya, jika tidak Husam, apakah tiada pemimpin
lain yang layak, khususnya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)?
Malah, dispekulasikan sekiranya Husam menang kerusi Parlimen, beliau juga
tidak akan dipersetujui untuk dilantik Menteri Kabinet. Ini andaian semata-mata
kerana bukan semua perkara mengenai perlantikan Kanibet ada di tangan Yang
DiPertuan Agong (Sultan Muhamad ke V).
Atau spekulasi berkenaan kerana dendam kepada Husam yang
mahu melihat karier politiknya berkubur dan jika hidup pun sekadar ADUN atau
Ahli Parlimen sema-mata.
Berkaitan dengan Dr Mahathir pula bagaimana?
Apakah akan ada lagi penarikan pingat selepas Dr Mahathir
dan isteri memulangkan pingat kepada Istana Selangor pertengahan Disember 2017
lalu dan terbaru oleh Istana Kelantan pada 6 Februari lalu?
Apakah beliau tidak akan diterima menjadi Perdana Menteri
sekiranya HARAPAN menang pilihan raya kesan daripada penarikan pingat berkenaan?
Apakah ‘isu yang berkaitan istana Kelantan’ mahu dibawa ke Pusat hanya kerana Sultan
Muhamad V kini menjadi Yang di-Pertuan Agong?
Tidak wajar dispekulasikan bahawa tindakan Istana
Kelantan menarik balik Darjah Kerabat kepada Dr Mahathir hanya berpunca
daripada pertimbangan pihak istana bahawa ada cukup kesalahan atau dosa yang
telah dilakukan oleh Dr Mahathir yang bertepatan pula dengan sumpah Baginda
untuk memeliharakan Agama Islam dan memerintah secara adil dan aman.
Apakah Dr Mahathir menggugat keamanan dan wujudnya
ketidakadilan sedangkan beliau belum pun memegang kuasa.
Isu ini memerlukan penyelesaian politik dan pentadbiran,
selain mengambil kira kehendak rakyat ramai.
Kebijaksanaan Istana Negara dan Majlis Raja-Raja akan
menentukan perkara ini.
Memandangkan menurut Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan
Persekutuan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik sebagai Perdana Menteri
untuk mempengerusikan Jemaah Menteri “seorang ahli Dewan Rakyat yang pada
hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu”, Istana Negara pastinya akan juga melihat
kepada kehendak rakyat.
Apakah Raja-Raja Melayu termasuk Istana Negara tidak akan
mengambil kira kemahuan rakyat?
Malah, adalah lebih baik untuk rakyat dan negara - jika
benar ada seleheng antara Dr Mahathir dan Istana Kelantan atau mana-mana
istana - diatasi melalui perundingan dan
meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi segala-galanya.
Pemuafakatan baik antara parti yang mendapat majoriti
sokongan rakyat dengan pihak istana,
khususnya Istana Negara perlu diwujudkan demi kesejahteraan rakyat.
Bergantunglah kepada penasihat kedua-dua pihak untuk
mencapai kata sepakat.
Matlamatnya, bukan mencari perbezaan - selepas runtuhnya pemerintahan Najib Razak selepas Pilihan Raya
Umum ke-14 nanti – sebaliknya formula untuk pemerintahan yang adil dan saksama
untuk semua rakyat negara ini.
Inilah antara ujian getir yang perlu difikirkan dan
jangan ada pihak yang cuba menggunakan ‘kerengganan antara pentadbiran negara
dengan Istana’ bagi mengucar-kacirkan keadaan.
Sekiranya jalan keluar yang baik dapat dicapai, rakyat
dan negara yang akan mendapat I,buhan besar daripadanya.
Pada ketika itu, isu penarikan pingat tidak akan timbul
lagi.
Malah kemungkinan pingat dengan darjat lebih tinggi lagi
akan dianugerahkan kembali kepada mereka yang ditarik pingat sebelum ini.
Harapan rakyat adalah untuk melihat institusi pentadbiran
negara dan istana bergandingan rapat demi masa depan, keharmonian serta kesejahteraan semua bukan sebaliknya.
Kerana itu isu penarikan pingat khususnya terhadap Dr
Mahathir biarpun dilihat sebagai suatu ‘krisis kepimpinan politik dan istana’
tetapi hakikatnya ia suatu ‘kocakan kecil dalam sebiji cawan’ yang akan kembali
tenang sekiranya kedua-dua pihak tidak menjadikannya sebagai suatu krisis
berterusan.
Yang pentinf semua pihak perlu berlapang dada dan
meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi segala-galanya.
DAULAT TUANKU!