Wednesday, June 21, 2017

APA UNTUNGNYA TENTUKAN PM, KABINET BAYANGAN PH SEKARANG?

 

Tidak bolehkah parti-parti politik di bawah Pakatan Harapan (PH) mengawal ‘mulut tempayan’, menghentikan membuat kenyataan, laporan dan latar belakang penulisan negatif mengenai pakatan itu di kalangan pemimpin mereka?

Apakah mereka cuba mencari publisiti murahan? Atau memang mulut mereka perlu disumbat agar tidak membuat kenyataan yang memeningkan kepala rakyat, khususnya penyokong PH sendiri?

Baru-baru ini kecoh kenyataan oleh pemimpin PKR mengenai siapa patut menjadi Perdana Menteri, termasuklah menjaja Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘Perdana Menteri ke 7’.

Kemudian akibat daripada ‘mulut tempayan’ juga, timbul isu siapa akan memimpin PH sama ada jawatan Pengerusi, Presiden atau juga Ketua Umum.

Malah ada juga 'mulut tempayan' yang mengatakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sewajarnya mengetuai PH yang menyebabkan timbul perbahasan yang kurang enak.

Kenyataan oleh pemimpin DAP, khususnya oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, pada 14 Jun lalu yang menolak kemungkinan dua jawatan utama Pakatan Harapan diisi tokoh PPBM juga bukan menghasilkan suasana yang harmoni dalam kalangan PH.


Guan Eng menyatakan perkara itu ditanya mengenai kemungkinan kedua-dua jawatan berkenaan - yang belum diketahui kedudukannya - diisi oleh Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad dan presiden parti itu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengapa menyatakan tidak setuju di luar mesyuarat mengenai  jawatan pengerusi dan presiden PH sedangkan ia boleh ditimbulkan dalam mesyuarat. Malah beliau sering diundang untuk hadir dalam mesyuarat PH.

Rakyat melihat dengan meluat gelagat beberapa pemimpin pembangkang yang seolah-oleh bercakaran.

Tidak cukupkah dengan  membiarkan pemimpin Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO membuat berbagai kenyataan spekulasi  akibat kebimbangan mereka terhadap perkembangan PH yang mendapat perhatian rakyat berbanding BN?

Perlukah pemimpin PH ikut terpengaruh dengan tarian dan mainan BN  yang kemudiannya menyebabkan terjadinya perbincangan hangat di media sosial yang kelak merugi PH sendiri?

Kenapa mesti apa-apa keputusan mesyuarat PH boleh begitu cepat pecah di luar?

Kenapa tidak amalkan budaya  ‘biar pecah di perut, jangan pecah di mulut’ di kalangan pemimpin tertentu dalam PH. 

Belajarlah daripada BN umpamanya dalam  isu RUU355, setiap komponen tidak membuat sebarang kenyataan bercanggah dan menunjukkan solidariti mereka selepas bermesyuarat.
Yang baik mengenai pentadbiran BN perlu dipuji dan dijadikan panduan.

Kegilaan mendapatkan publisiti murahan ini akan merugikan PH yang akhirnya menyulitkan usaha menewaskan BN dan menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kelmarin ‘kegilaan mendapatkan publisiti’ terus belaku apabila Datuk Zaid Ibrahim daripada DAP yang sudah berapa banyak parti disertainya sebelum ini membuat spekulasi dan ramalan yang langsung tidak menguntungkan PH dengan kenyataannya berkaitan Perdana Menteri dan Kabinet Bayangan PH.


Memang penulis hormati keupayaan Zaid. Sesiapa pun boleh menyatakan pandangan peribadi tetapi biarlah membawa kepada kebaikan PH, bukan menimbulkan spekulasi  bersifat tidak relevan.

Jangan kerana rapat dengan pemimpin tertinggi parti tertentu Zaid merasakan dia berhak membuat berbagai spekulasi yang melibatkan kepentingan parti lain dalam PH.

Apa hak beliau untuk menyatakan siapa perlu diangkat daripada parti PKR, AMANAH, DAP dan juga PPBM?

Beliau ahli DAP dan tidak wajar cuba menunjuk ajar pemimpin parti lain mengenai siapa yang wakar dilantik, walaupun ia hanya Kabinet Bayangan.

Memanglah pemimpin tertinggi PH tidak ambil pusing mengenai kenyataan Zaid tetapi rakyat di bawah akan jadi keliru. Ramai melihat ada sahaja ‘perkara yang tidak kena’ dalam PH.

Persoalannya siapa Zaifd untuk umum Kabinet Bayangan PH? Difahamkan, beliau tidak terlibat langsung dalam mesyuarat penting PH tetapi  sebaliknya beria-ia mengumumkan siapa layak itu dan ini.

Apa bukti dan alasan Zaid apabila mengatakan pengumumkan senarai Kabinet Bayangan PH akan meredakan perbezaan parti gabungan terhadap jumlah kerusi yang perlu ditandingi.

Apa lesen diberikan oleh PH untuk Zaid menyebut pemimpin PH layak pegang itu dan ini?

Benarkah perbincangan isu pelantikan Kabinet lebih awal akan menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka bersedia membentuk kerajaan?

Tanpa menamakan 'siapa memegang apa' bermakna PH tidak bersedia membentuk kerajaan?


Akibatnya? Menteri UMNO Datuk Seri Rahman Dahlan semalam membidas Zaid seperti “terdesak” kerana mendesak Dr Mahathir sekali lagi memegang tampuk kekuasaan dan memimpin negara.

Ahli majlis tertinggi UMNO itu yang disediakan peluru oleh Zaid berjaya menembak bukan sahaja Zaid tetapi menembak PH dengan mengatakan "cadangan meletakkan seorang tua ke kedudukan tinggi itu seolah mengatakan PH tiada pemimpin lain untuk memimpin negara".

Malah, alasan Zaid yang mengatakan pengumuman awal itu akan mengelakkan pertikaian baru daripada meletus di kalangan semua pihak, yang hanya akan melemahkan pakatan rapuh berkenaan,  juga tidak tepat.

PH pun belum bersedia berdepan pilihan raya dengan satu logo dan satu manifesto tetapi sudah mempunyai Kabinet Bayangan?

Memang tidak salah mengucapkan terima kasih kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tidak menawarkan diri sebagai calon Perdana Menteri PH tetapi jangan mengheret kedudukan itu sebagai lesen untuk beliau memandai-mandai  mengumumkan jawatan penting dalam PH.

Sebenarnya sudah cukup perbahasan mengenai cadangan supaya Dr Mahathir sebagai calon layak untuk menduduki jawatan perdana menteri.

Malah kenyataannya bahawa Perdana Menteri yang dilantik perlu memastikan kesemua barisan kabinetnya melakukan kerja dengan betul dan jujur serta memecat mereka jika gagal menjalankan tanggungjawab masing-masing, bagaikan mahu mengajar siapa juga bakal Perdana Menteri yang akan dilantik nanti.

Malah kenyataannya bahawa jawatan timbalan perdana menteri perlu dibiarkan kosong sebagai isyarat kuat kepada Anwar yang kini dalam penjara bahawa jawatan tersebut disimpan untuk beliau,  juga boleh mendatangkan banyak telahan kelak.

Menamakan terus seperti Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai Menteri Pendidikan dan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Menteri Tenaga dan Minyak manakala Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali memegang jawatan Menteri Kewangan juga cadangan yang tidak dibuktikan dengan kesesuaian dan bukan hasil daripada persetujuan rundingan.


Semua itu akan menyulitkan perundingan kemudian hari. Ia juga berkemungkinan akan membawa kepada pertelingkahan sesama parti dalam PH.

Kenapa Zaid tidak sabar dan tidak boleh tunggu keputusan dibuat oleh Majlis Presiden PH atau mesyuarat khusus mengenainya sebelum pilihan raya?.

Zaid berpendapat sementara menunggu pemimpin pembangkang untuk bersetuju siapa yang patut menjadi perdana menteri, mengapa tidak selami senarai beliau mengenai anggota kabinet dalam kerajaan baru.

Soalannya apakah perkara ini lebih penting daripada memantapkan dulu gabungan dan gagasan PH untuk berdepan pilihan raya?

Dalam beliau mengemukakan siapa yang wajar dilantik,kenapa pula beberapa nama tercicir umpamanya di mana kedududkan Guan Eng dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir?

Apa pula peranan  Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam kerajaan PH selepas Pilihan Raya Umum ke-14 nanti?

Apakah mereka tidak penting dalam barisan Kabinet Bayangan Zaid?

Atau mereka memang tidak penting dalam kepimpinan PH ketika ini dan akan datang?

Kerana itu antara perkara penting dalam menjaga keharmonian dalam PH ialah seperti disebut oleh Muhyiddin pada 8 Jun lalu meminta supaya 'Jangan bocorkan rahsia kita'.

Menurut beliau, banyak lebih baik tidak dibincangkan secara terbuka. Kerana ia akan menimbulkan pelbagai salah faham atau kekeliruan.

"Ia akan memberi tanggapan bahawa pembangkang ini tidak bersatu. Mereka (rakyat) nak sokong kita tapi ada tanggapan yang kita ini tidak bersatu. Lebih baik kita duduk dan bincang, jangan bocorkan rahsia kita," katanya.

Malah, sewajarnya cadangan  Lim Kit Siang kelmarin yang mahukan pemimpin pembangkang berhenti bercakap dengan media selama sebulan berkenaan rundingan dan mesyuarat di kalangan anggota Pakatan Harapan, dipatuhi.
Ia suatu moratorium bagi mengelakkan kenyataan negatif dan pemberian maklumat yang boleh dieksploitasi parti musuh.

“Terlalu banyak yang melahirkan rasa tidak yakin dan kecewa masyarakat tentang perubahan politik dan pilihan raya negara," kata Kit Siang.
Sebaik-baiknya Kit Siang juga menegur Zaid jangan membuat kenyataan yang boleh menimbulkan berbagai spekulasi kerana yang penting bagi PH ialah bertindak balas secara positif terhadap rintihan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau kawasan.

Tugas ini akan memudahkan kepimpinan PH merancang untuk mengubah dan memulihkan semula dasar dan arahan pembangunan negara.
Peluang yang terdedah itu jika digunakan sepenuhnya akan meyakinkan rakyat bahawa PHlah sebenarnya yang boleh menggantikan BN di atas faktor dan dasar BN yang lemah dan menyusahkan rakyat ramai ketika ini.