Thursday, May 22, 2014

GELOMBANG KEDUA DASAR PANDANG KE TIMUR - APA UNTUNGNYA KEPADA MALAYSIA?

Oleh Azlina Aziz 

TOKYO (22 Mei 2014)- Langkah Malaysia untuk mengukuhkan gelombang kedua Dasar Pandang ke Timur, yang memberi tumpuan kepada teknologi tinggi dan pekerja berkemahiran tinggi akan membantu ekonomi meningkatkan rantaian nilai dan seterusnya kepada status berpendapatan tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Bukan sahaja Dasar Pandang Timur diteruskan di bawah kepimpinan saya, tetapi juga selaras dengan program transformasi untuk Malaysia.

Reputasi Jepun bagi kepimpinan ekonomi sudah terkenal dan juga diperakui, kata beliau. Pada awal tahun 1980-an, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Malaysia memulakan dasar 'Pandang ke Timur', beralih ke Jepun dan Korea sebagai inspirasi, membantu untuk melatih generasi akan datang pelajar Malaysia dan pemimpin perniagaan dengan cara Asia Timur.

"Keadaan berbeza ketika itu. Asia sedang meningkat, tetapi pertumbuhan pesat sebenar masih belum berlaku," kata Najib dalam ucap tama di Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-20 mengenai Masa Depan Asia, "Kebangkitan Asia: Mesej Untuk 20 Tahun Akan Datang" yang diadakan di Tokyo, hari ini.

Persidangan itu dianjurkan oleh kumpulan media antarabangsa, Nikkei Inc, Jepun. Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Nikkei Inc, Tsuneo Kita. Ini merupakan penampilan kedua Najib sebagai penceramah utama di persidangan Nikkei.

Kali pertama pada Persidangan Nikkei ke-17 pada 2011.

"Kemunculan ekonomi 'Harimau', dan pembaharuan di China, menunjukkan kepada dunia bahawa ada sesuatu sedang berlaku di Asia. Pada tahun 1980-an frasa 'Abad Asia' dicipta.

Tetapi bagi ramai pemerhati, Asia masih 'satu cerita untuk esok'," kata beliau.

Bagaimanapun, Najib dengan segera menjelaskan berkata 'esok itu telah tiba'. Dari segi ekonomi dan politik, Asia kini menjadi pusat hal ehwal dunia.

Rantau yang paling ramai penduduk ini juga merupakan satu daripada rantau yang paling dinamik. Perdana Menteri menekankan bahawa pembangunan ekonomi yang cemerlang telah menyebabkan dunia memberi tumpuan terhadap prospek Asia.

"Apabila krisis kewangan baru-baru ini menjejaskan keyakinan dalam pasaran kukuh, lebih banyak syarikat dan negara mula 'memandang ke Timur'.

Peningkatan kesedaran momentum ekonomi juga telah menimbulkan kepentingan geopolitik, memandangkan kuasa baru muncul dan kuasa mantap bersaing untuk pengaruh di Asia.

"Trend ini tidak menunjukkan tanda untuk reda. Dalam tempoh 20 tahun, Asia telah bersedia untuk menguasai lebih daripada 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar global, dan 60 peratus daripada kelas pertengahan dunia," kata beliau.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata fasa pertumbuhan ini akan disertai oleh kedudukan, pengaruh dan minat global yang semakin bertambah dan Asia perlu bersedia menghadapi cabaran itu.

"Ekonomi Asia akan kekal menjadi tumpuan, dan dinamik dalaman kita dalam pemerhatian. Zaman pengasingan Asia tidak akan berulang. Kita adalah satu daripada pusat baharu graviti di dunia pelbagai polar yang baharu," kata Najib.

Terdahulu dalam ucapan pembukaan Najib berkata di bawah kepimpinan Perdana Menteri Shinzo Abe, ekonomi Jepun telah kembali pulih dan kini kelihatan bersedia untuk melalui tempoh pertumbuhan mampan, dengan itu menetapkan satu standard baru bagi pembaharuan.

Selain itu, Malaysia mengalu-alukan penyertaan Jepun dalam proses pembidaan antarabangsa projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura yang akan dilaksanakan tidak lama lagi, kata Perdana Menteri.

Kenyataan ini merupakan maklum balas terhadap minat yang ditunjukkan rakan sejawatannya, Shinzo Abe, bagi syarikat-syarikat Jepun mengambil bahagian dalam projek kereta api laju itu dan pada masa yang sama mempelawa Malaysia memanfaatkan teknologi Jepun dan pengetahuan dalam pembangunan prasarana. 


Bercakap di sidang akhbar bersama yang diadakan selepas mesyuarat dua hala di Tokyo, semalam, Najib berkata Abe juga telah menyatakan harapannya untuk Malaysia menerima pakai Sistem Shinkansen, dengan menekankan sistem itu mempunyai teknologi canggih dan rekod keselamatan yang baik.

"Terutamanya, bagi projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura, saya mengulangi harapan Malaysia mengguna pakai sistem kereta api laju Jepun, Shinkansen," kata Abe.

Pada tahun 2013, Singapura dan Malaysia telah bersetuju untuk membina landasan kereta api laju menjelang 2020 yang akan mengurangkan masa perjalanan antara Singapura dan ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur kepada 90 minit.

Shinkansen dikenali sebagai 'bullet train' atau kereta berkelajuan tinggi. Ia merupakan satu daripada kereta api terpantas di dunia dan rangkaian kereta api berkelajuan tinggi di seluruh Jepun.

Selain daripada kereta api laju, Malaysia juga menyambut baik kerjasama antara sektor swasta kedua-dua negara dalam pelbagai projek kemudahan prasarana di Malaysia, termasuk teknologi hijau, peralatan pelabuhan, projek kemudahan rawatan air dan pembangunan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand. 

"Saya juga berkongsi dengan Abe bahawa tumpuan seterusnya akan diselaraskan dalam bidang-bidang ini kerana ia akan menyumbang ke arah Wawasan 2020 Malaysia sebagaimana yang ditekankan dalam 12 Bidang Ekonomi Utama Negara kita," kata beliau.

Kedua-dua negara akan terus melaksanakan dasar-dasar mesra pelaburan dan memperkenalkan insentif daya saing untuk terus merangsang aktiviti ekonomi terutamanya oleh sektor swasta, kata Najib.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua perdana menteri itu juga telah membincangkan mengenai cara untuk memperkukuhkan Dasar Pandang ke Timur Gelombang Kedua (LEP 2.0).

"Fasa LEP 2.0 seterusnya akan meningkatkan kerjasama institusi dalam latihan dan pendidikan dengan tumpuan ekonomi yang lebih kukuh ke arah meningkatkan potensi perdagangan dan pelaburan dalam bidang keutamaan kedua-dua negara," kata Najib.

Oleh itu, beberapa projek/program telah dibincangkan yang meliputi pendidikan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D), katanya.

Ini termasuk untuk meningkatkan peranan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia Jepun (MJIIT) dan meningkatkan hubungan perniagaan dengan perniagaan terutamanya dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan memberi tumpuan kepada sektor makanan dan automotif.

Mengenai keselamatan maritim dan penguatkuasaan undang-undang, Najib menegaskan bahawa Malaysia dan Jepun telah mengadakan kerjasama kukuh dalam pembinaan keupayaan dan pembangunan sumber manusia dalam keselamatan maritim.

Berikutan itu, Malaysia ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Jepun terutamanya Pengawal Pantai Jepun (JCG) di atas sumbangan meningkatkan kapasiti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Kami berharap dapat mengukuhkan kerjasama antara APMM dan JCG dalam pembangunan sumer manusia dan keselamatan maritim," katanya.

Mesyuarat itu juga menyentuh mengenai Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2015 dan dalam hal ini, Najib menegaskan bahawa Malaysia akan bekerjasama rapat dengan anggota Asean yang lain dalam merealisasikan Komuniti Asean dan mewujudkan "Asean Yang Mementingkan Rakyat".

"Kita bergantung kepada sokongan dan kerjasama daripada Jepun ke arah mencapai Komuniti Asean menjelang 2015," kata beliau.

Kedua-dua negara juga menekankan kepentingan mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan.

Oleh itu, kedua-dua Perdana Menteri bersetuju bahawa isu-isu berkaitan tuntutan bertindih di Laut China Selatan perlu ditangani secara aman. Ini termasuk dialog dan perbincangan dalam kalangan negara-negara terbabit, tanpa memilih ancaman atau menggunakan kekerasan, sejajar dengan prinsip yang diiktiraf undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS).

Ketika menekankan bahawa mesyuarat itu sangat berhasil dan membina, meliputi pelbagai isu dua hala dan serantau untuk faedah bersama, Najib berkata: "Malaysia bersedia bekerjasama rapat dengan Jepun untuk mengukuhkan lagi hubungan kita secara progresif dan bersemangat ".

Sumber - Bernama