Hari ini bermulalah apa yang dikatakan proses demokrasi dalam UMNO.
Ibu Pejabat UMNO akan menggunakan sistem pemilihan secara 'Electoral College' kali ini sebagai rujukan bagi penambahbaikan untuk proses pemilihan parti akan datang.
Ini merupakan kali pertama anggota akar umbi diberi suara lebih besar dalam pemilihan Umno berikutan pindaan Perlembagaan parti yang dibuat pada 2009 ke arah menjadikan parti itu lebih telus, demokratik serta membasmi gejala politik wang.
Kira-kira 230,000 perwakilan diberi hak memilih pemimpin sayap masing-masing di peringkat bahagian dan pusat berbanding 2,500 perwakilan sebelum ini.
Maklum balas daripada 146,000 anggota perwakilan sayap yang terlibat dalam pemilihan ini pastinya akan memperkukuhkan kedudukan UMNO dan ahli merasa lebih komited kepada parti kerana mereka dibernarkan mengundi secara terus bukan segelintir perwakilan sahaja.
Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil membuang undi di Kepong |
Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh dipetik sebagai berkata: "Saya melihat kaedah serta penyusunan yang dibuat Jawatankuasa Pemilihan Umno bagi melancarkan pemilihan hari ini berjalan dengan baik dan semua prosedur yang diputuskan dari sudut pengagihan kertas undi, peti undi dan tempat mengundi juga diurus dengan baik," katanya kepada pemberita di Alor Gajah, Melaka.
Ab Rauf sebelum itu meninjau perjalanan mesyuarat dan pemilihan Puteri Umno Masjid Tanah di Sekolah Agama JAIM Paya Rumput. "Para perwakilan diharap menjalankan tanggungjawab sebagai anggota parti memilih pucuk pimpinan dengan amanah yang diberikan, maka lakukan yang terbaik untuk parti, agama, bangsa dan negara," katanya.
Beliau berkata calon yang tidak terpilih pula diharap akan menerima keputusan yang dibuat para perwakilan.
Mesyuarat perwakilan dan pemilihan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bermula serentak di 191 bahagian pada 8 pagi ini.
Mesyuarat perwakilan akan ditangguh kemudian untuk memberi laluan kepada proses pemilihan pemimpin di peringkat bahagian dan pusat ketiga-tiga sayap itu.
Ketika proses pengundian itu, setiap perwakilan diberikan dua set kertas undi untuk memilih pemimpin mereka di peringkat bahagian dan pusat
Selepas selesai proses pengundian yang dijangkakan 1 tengah hari tadi, perwakilan akan meneruskan semula mesyuarat mereka sementara proses pengiraan undi dijalankan.
Bagi pergerakan Wanita pula, 51 calon layak bertanding di peringkat pusat dan 6,758 calon di peringkat bahagian. Seramai 35 calon layak bertanding di peringkat pusat dan 4,955 calon di peringkat bahagian pergerakan Puteri.
Ibu pejabat Umno menjangkakan keputusan awal bagi pemilihan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri peringkat pusat diketahui seawal-awalnya pada pukul 8 malam ini.
Mengulas kedudukan anggota Jawatankuasa Bahagian Bukit Katil Haron Abdullah yang namanya terdapat dalam senarai calon layak bertanding merebut jawatan ketua bahagian walaupun telah menarik diri, Ab Rauf berkata ibu pejabat Umno belum menerima surat penarikan diri calon berkenaan.
"Ibu pejabat hanya dimaklumkan menerusi siaran akhbar, saya akan cuba dapatkan maklumat lanjut dari badan perhubungan Umno negeri...kita (Umno) akan lihat dari sudut kesahihan penarikan diri, kalau berlaku dalam tempoh yang dibenarkan, kita akan berikan pertimbangan khas," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Melaka Tan Sri Ahmad Nordin Md Amin dilaporkan berkata pihaknya telah mengesahkan penarikan diri Haron menerusi surat makluman berhubung perkara terbabit yang dihantar ke Ibu pejabat Umno pada 24 Sept.