Wednesday, October 5, 2016

APAKAH UMNO ‘DIPERBODOHKAN’ OLEH PAS DALAM ISU RUU 355?

 

"PAS melakukannya (RUU 355) bagi tujuan  politik iaitu untuk mengelirukan orang yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud (Islam dan bukan Islam) serta memudahkan UMNO menyokongnya."

PAS mengatakan pindaan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian – Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) – hanyalah untuk menaikkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Ia tidak kena mengena dengan agenda hududnya. Benarkah begitu?

Rakyat dan orang ramai sedang memerhati dan menilai untuk mengambil pendirian masing-masing dalam isu RUU 355.

Ada yang masih ragu-ragu dan ada yang sudah membuat tekad untuk sama ada menyokong atau menolak RUU itu.

Cuma apa yang menghairankan dan menjadi pertanyaan  ialah kenapa dua parti PAS dan UMNO yang mendakwa mereka Islam tidak telus menyatakan perkara sebenar.

Atau lebih tepat kesan sebenar pindaan itu.

Selain itu,  apakah pemimpin UMNO membuat keputusan menyokong RUU 355 itu berdasarkan pemahaman yang betul? Kenapa mereka masih belum benar-benar dapat meyakinkan rakyat dan orang ramai? Apakah pendirian mereka tidak terkeliru dan  mengelirukan orang ramai?

Kita faham di pihak pemimpin PAS, mereka yang beria-ia mempertahankannya kerana bukan sahaja RUU menjadi dasar parti tetapi lebih penting ia dibentangkan oleh Presiden mereka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.


Hadi dijangka membentangkan RUU 355 pertengahan bulan ini  bertujuan memberi kuasa kepada mahkamah syariah “menjatuhkan semua hukuman yang dibenarkan oleh hukum syarak (dan fiqh) termasuk hukuman hudud dan qisas”, kecuali hukuman mati.
  
Jangan marahkan PAS kerana mereka diberi peluang.  Mereka akan menggunakan peluang itu. Ini political milage yang tersangat besar untuk mereka.

Jika ada kelemahan dan perkara yang ‘kurang baik ’ berlaku selepas ini, yang akan menanggung beban bukan mereka tetapi UMNO

Dalam soal ini bekas Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan, Tun Abdul Hamid Mohamad melalui tulisannnya “PINDAAN AKTA 355: KESAN SEBENAR” menyingkap akta ini khususnya kesan daripada permainan politik PAS yang disifatkan lebih cerdik berbanding Umno.

Malah menurut beliau, tidak kurang pentingnya juga, ahli-ahli akademik yang membentang kertas kerja di seminar-seminar perlulah memahami isu perundangan dan keperlembagaan dalam perkara ini.

Beliau mengingatkan mereka supaya tidak membawa peserta-peserta seminar-seminar dan menyesatkan mereka dalam hutan belantara “ilmu”.

Apakah pindaan yang dimaksudkan melalui RUU 355 ini?

Menurut Tun Hamid, pindaan itu bertujuan untuk menggantikan seksyen 2 Akta berkenaan dengan seksyen 2 dan 2A baru.

Seksyen 2 baru memperuntukkan:

“2. Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama Islam dan di dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara-perkara yang disenaraikan di dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Undang-Undang Persekutuan.”

Seksyen 2A baru memperuntukkan:

“2A. Dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2 Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan diatas, selain dari hukuman mati.”

Jelas sekali bahawa seksyen 2 baru itu tidak memperuntukkan apa-apa perkara baru. Ia hanya mengulangi undang-undang yang sedia ada.

Tetapi, yang lebih penting ialah seksyen 2A baru yang dicadangkan itu. Perbezaan yang paling ketara antara pindaan yang dicadangkan dengan seksyen 2 yang ada sekarang ialah bahawa undang-undang yang ada sekarang mengandungi syarat (proviso) seperti berikut:

“Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.”

Tun Hamid menegaskan, kesan pemansuhan syarat dalam seksyen 2 yang ada sekarang ialah tidak ada lagi sekatan mengenai jenis dan had hukuman yang Dewan Undangan Negeri boleh peruntukan kepada Mahkamah Syariah. Dewan Undangan Negeri boleh membuat undang-undang memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan semua hukuman yang dibenarkan oleh hukum syarak (dan fiqh) termasuk hukuman hudud dan qisas, kecuali hukuman mati. Itulah kesannya. Tetapi, setakat mana Dewan Undangan Negeri boleh mewujudkan kesalahan-kesalahan untuk dikenakan hukuman-hukuman itu adalah satu perkara lain.

Diulangi di sini, PAS mengatakan bahawa pindaan itu hanyalah untuk menaikkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan tidak kena mengena dengan agenda hududnya.

Bagi Tun Hamid,  PAS melakukannya bagi tujuan  politik iaitu untuk mengelirukan orang yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud (Islam dan bukan Islam) serta memudahkan UMNO menyokongnya.

Bagaimana mereka melakukannya?

1.      Sebenarnya pemimpin-pemimpin PAS faham dan tahu kesan pindaan yang dicadangkan oleh mereka itu.

Apapun ada dua keadaan di sini - Pertama, pimpinan PAS sendiri tidak faham kesan pindaan yang dicadangkan itu dan kedua, mereka faham dan tahu kesan sebenarnya tetapi kenyataan kepada bukan ahli PAS itu bertujuan politik semata-mata kerana tujuan politik, iaitu:

a)      untuk mengelirukan orang yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud (Islam dan bukan Islam) dan memudahkan UMNO menyokongnya;

b)      kepada ahli PAS, semestinya mereka akan mengatakan tujuan sebenar pindaan itu dan kesannya.


Bagi Tun Hamid,  pemimpin PAS bukan bodoh, malah dalam isu hudud itu, dari segi politik, PAS lebih cerdik daripada UMNO.

Tun Hamid mendakwa  PAS lebih ke hadapan dalam kempen ‘pindaan hudud’ berbanding UMNO.

2.      Pemimpin-pemimpin UMNO juga turut melaungkan (echoing) apa yang dikatakan oleh pemimpin-pemimpin PAS itu.

Tun Hamid percaya, ada pemimpin UMNO yang tidak faham dan turut mengulangi apa yang dikatakan oleh pemimpin-pemimpin PAS. Ini  kerana mereka tidak mahu UMNO dilihat sebagai “menentang hudud”. Ini satu lagi salah anggapan.

Mereka sebenarnya termasuk ke dalam perangkap PAS sekali lagi.

Selain itu Tun Hamid yakin ada pemimpin UMNO yang faham kesannya yang sebenar, tetapi mereka juga ingin berada dalam arus utama.

Akibatnya, mereka juga turut melaungkan kenyataan yang sama,  dengan harapan ia akan memuaskan semua pihak.

3.      Ada  mengatakan bahawa pindaan itu hanya akan melibat negeri Kelantan sahaja.

Ini juga tidak betul. Akta 355 adalah undang-undang Persekutuan. Ia terpakai di seluruh Malaysia. Usul tersebut tidak berkata ia hanya akan terpakai di Kelantan sahaja.

Apa yang PAS boleh buat jika pindaan itu diluluskan?

Sekiranya pindaan diluluskan, Kerajaan Kelantan pimpinan PAS boleh mengerakkan Dewan Undangan Negeri untuk meluluskan undang-undang yang memperuntukkan hukuman untuk kesalahan hudud.

Kesalahan hudud yang dimaksudkan – zina, qazaf (membuat tuduhan zina yang tidak betul terhadap seseorang), syrub (minum arak) dan irtidad atau riddah (murtad) – terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS).

Apapun menurut Tun Hamid, undang-undang itu hanya terpakai kepada orang Islam sahaja.

Beliau menegaskan, memanjangkannya kepada kesalahan-kesalahan undang-undang jenayah yang terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan dan juga kepada orang bukan Islam akan menjadikan peruntukan-peruntukan berkenaan tak keperlembagaan, tak sah dan batal. (Perlu diingati bahawa, negeri-negeri lain juga boleh melakukan perkara yang sama).

Tun Hamid jelas tidak cuba mempengaruhi atau campurtangan mengenai pendirian yang diambil oleh PAS dan UMNO mengenai pindaan itu atau mengenai pelaksanaan hudud.

Apa yang penting baginya ialah pemimpin memahami, menceritakan kepada orang ramai pendirian masing-masing yang sebenar. Beliau tidak mahu pemimpin terkeliru dan mengelirukan orang ramai.


Akhirnya, terserahlah kepada orang ramai untuk menilainya dan mengambil pendirian masing-masing, katanya.