Saturday, October 8, 2016

RASUAH PROJEK RM3.3 BILION - AHLI PARLIMEN UMNO SABAH DESAK SPRM SIASAT SHAFIE?


Sejarah mungkin berulang...

Ahli Parlimen UMNO dari Sabah, Datuk Raime Unggi hari ini menegaskan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu meluaskan siasatan dengan melibatkan kementerian persekutuan dan menteri dalam kes rasuah membabitkan projek infrastruktur air bernilai RM3.3 bilion.

Beliau berkata demikian merujuk kepada tangkapan SPRM ke atas dua pegawai tinggi kerajaan di Jabatan Air Sabah yang menyelia projek dan mengumpul dana RM114.5 juta dalam bentuk tunai dan aset yang telah dirampas.

Kita mahu melihat apakah kali ini menteri atau sesiapa juga di Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah sekali lagi  ‘kojol’ apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM)  menyiasat kes rasuah RM3.3 bilion di Sabah.

Raime...Menteri atau sesiapa juga di Kementerian.
Kes rasuah kementerian ini – dulu dikenali dengan Kementerian Luar Bandar - pernah terbongkar dalam isu ‘Skandal PPRT di Kelantan’ dan diulas dengan begitu meluas oleh Allahyarham Tan Sri Abdullah Ahmad (Dollah Kok Lanas) pada 11 November 2001 dalam Mingguan Malaysia dengan tajuk ‘Skandal PPRT Kelantan - Contoh Klasik Kes Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi’

Ia diikuti oleh rencana pengarang dalam Berita Harian. Dikatakan ia ditulis oleh penulis yang sama kerana beliau orang berpengaruh dalam akhbar tersebut ketika itu.
  
The Star skop semua akhbar lain untuk membuat pendedahan wujudnya skandal PPRT yang menjadi rahsia umum di Kelantan terutamanya telah dibuat oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, ketika itu Datuk Azmi Khalid yang menggantikan menteri terdahulu pada Oktober 2001.

Kes ini berakhir pada 16 November 2005, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur setelah didapati bersalah atas tuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dan penipuan dana Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) membabitkan wang RM9 juta.

Hakim Mohd. Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi tuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dan penjara lima tahun lagi bagi tuduhan penipuan.

Lupakan kes lama itu walaupun ada tidak berpuashati dan bersimpati dengan penjawat awam yang dikenakan hukuman.


Hari ini, Malaysiakini memetik Raime  berkata salah guna kuasa ini berlaku pada tahun 2010 dan adalah wajar untuk SPRM juga menyiasat menteri serta  pegawai kanan kementerian persekutuan yang terlibat.

Sumber SPRM yang tidak dinamakan mendakwa 60 peratus daripada pembiayaan RM3.3 bilion itu telah disalurkan.

Semalam, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga mengetuai Kementerian Pembangunan Infrastruktur negeri berkata, beliau tidak berbabit dalam projek berkenaan.

Beliau mendakwa dana RM3.3 bilion itu adalah pembiayaan Persekutuan yang disalurkan terus daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Putrajaya tanpa melalui beliau.

Siapakah Menteri yang berkhidmat ketika itu?

Malaysiakini menyiarkan kenyataan Raime turut memberikan latar belakang berita berkenaan dengan menyebut bahawa Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkhidmat sebagai menteri di kementerian terbabit dalam tempoh 2009 hingga 2015.

Beliau kemudian digantikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas perselisihan faham dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Raime yang merupakan Ahli Parlimen Tenom berkata, tidak mungkin kedua-dua penjawat awam dapat mengumpul dana dalam jumlah wang yang besar tanpa pengetahuan kementerian Persekutuan.


Mohd Shafie berkata hari ini beliau sedia membantu siasatan berhubung kes salah guna dana projek infrastruktur di Sabah bernilai RM3.3 bilion.

Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, beliau tidak akan memberikan sebarang komen berhubung dakwaan projek berkenaan disalurkan menerusi kementerian di bawahnya sebelum ini kerana tidak mahu menganggu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya lebih daripada bersedia untuk memberi kerjasama dan membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Bagaimanapun Shafie menyifatkan kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang mengaitkan projek berkenaan dengan kementerian di bawahnya sebelum ini adalah tidak wajar berikutan siasatan SPRM masih berjalan. 

“Adalah sesuatu yang lucu dan membingungkan apabila pihak berkuasa negeri dalam keadaan tergesa-gesa membuat pengakuan bahawa mereka tidak bersalah dan meletakkan kesalahan itu ke atas Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah semasa siasatan SPRM masih berjalan.

“Membuat kenyataan seumpama itu secara terbuka menunjukkan pihak berkuasa negeri tidak menghormati mahupun yakin terhadap proses siasatan SPRM,” katanya.

Amat nyata ada persamaan bagaimana kes rasuah dibongkar iaitu apabila datangnya menteri baru ke kementerian berkenaan.

Hairannya, jika kes ini sudah lama berlaku, kenapa serang tiba-tiba meletup?

Yang berbeza dalam kes ini ialah ketika kes lama - menteri yang disyaki terbabit seperti ‘dijaga’ oleh Perdana Menteri ketika itu Tun DR Mahathir Moahamad mungkin kerana kepentingan politik atau apa.

Yang jelas, menteri berkenaan nampak ‘bebas’ daripada campur tangan.

Tetapi kali ini, Shafie mungkin terpaksa menerima ‘bala siasatan’ yang jauh lebih teruk daripada kes 2001 itu kerana beliau ‘tidak seiringan’ dengan Perdana Menteri.

Apa lagi kini beliau dilihat ‘melawan tauke’.