Tuesday, April 1, 2014

NAJIB TIDAK SEBUT MH370 TERHEMPAS, TIADA YANG SELAMAT...


Jangan memandai-mandai mahu menuduh kerajaan berdolakdalih dalam isu kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Malah tidak adil menuduh Perdana Menteri , Datuk Seri Mohd Najib Razak menyatakan pesawat Malaysia terhempas atau sebagainya.

Dalam kenyataannya, Najib tidak menyebutpun sama ada pesawat terhempas atau terjunam, malah meletup di ruang udara selatan Lautan Hindi.

Najib juga tidak mengatakan bahawa kesemua 239 penumpang dan anak kapal terbunuh.

Yang menyiarkan berita mengatakan pesawat terhempas termasuklah beberapa agensi berita termasuk Reuters dan di Malaysia beberapa blog, termasuk juga Harakahdaily Online.

Agensi berita antarabangsa Reuters melaporkan satelit British Inmarsat menggunakan satu fenomena gelombang ditemui pada abad ke-19 untuk menganalisis tujuh ping yang berjaya dikesan satelitnya daripada pesawat Malaysia Airlines untuk menentukan destinasi akhir.

"Penemuan terakhir itu mendorong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membuat kesimpulan pada Isnin malam bahawa pesawat berusia 11 tahun itu terhempas beribu batu daripada Malaysia di selatan Lautan Hindi dan menyebabkan semua 239 penumpang dan anak kapal terbunuh.” 

Sementara Harakahdaily membuat kesimpulan dengan tajuk “MH370 Terhempas Di Lautan Hindi”. 


Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam sidang akhbar rutin semalam menegaskan,   Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah menyebut perkataan “terhempas atau tiada yang terselamat” semasa mengumumkan bahawa Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Perkara ini dijelaskan berikutan tuntutan maaf keluarga penumpang warga China daripada kerajaan Malaysia.

Waris penumpang dari China yang mula tiba di negara ini untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut dan untuk mendengar permohonan maaf dari Najib atas pengumuman tersebut.

Ramai waris kepada penumpang dan anak kapal di dalam pesawat itu berang pada pengumuman Najib bahawa berdasarkan analisis data satelit yang terperinci, pesawat itu "hilang di selatan Lautan Hindi".

Menurut Hishamuddin, sebahagian daripada sebab-sebab permohonan itu dibuat berikutan dakwaan bahawa perdana menteri atau kerajaan telah menyatakan bahawa pesawat itu sebenarnya telah terhempas dan tiada yang terselamat.

“Perkara itu benar-benar salah..Tidak disebut terhempas atau tiada yang terselamat,” katanya memetik kenyataan Najib pada 24 Mac.

Ketika membuat pengumuman itu berdasarkan analisis yang belum pernah dibuat sebelum ini oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom dan Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit,

Najib berkata: “Kawasan ini merupakan lokasi terpencil, jauh daripada sebarang tempat pendaratan. Oleh itu saya dengan perasaan amat sedih dan terharu ingin memaklumkan bahawa Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi”.


Sementara itu, Perdana Menteri Australia Tony Abbott mempertahankan pengumuman rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Najib Razak bahawa penerbangan MH370 “berakhir” di Lautan Hindi. 

Pengumuman tersebut, yang dipersoalkan oleh waris penumpang di China, merupakan kesimpulan dari sejumlah besar bukti, kata Abbot seperti dipetik dalam laporan akhbar Telegraph.

"Himpunan bukti menunjukkan pesawat tersebut hilang dan ia hilang di satu tempat di selatan Lautan Hindi. “Itu adalah gelombang bukti yang amat besar dan saya rasa Perdana Menteri Najib Razak amat berhak membuat kesimpulan itu.

“Saya fikir sebaik kesimpulan itu dibuat, beliau bertanggungjawab mengumumkannya,” katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut. Bagi Tony Abbott,kesemua petunjuk yang ditemui menunjukkan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 hilang di selatan Lautan Hindi.


Pada 29 Mac lalu pula, syarikat satelit yang berpangkalan di Britain itu menjelaskan pihaknya tidak terbabit dalam membuat kesimpulan bahawa pesawat MH370 telah "berakhir di Lautan Hindi".

Jurucakap Inmarsat Jonathan Sinnatt berkata Inmarsat hanya menyediakan maklumat dan terpulang kepada kerajaan Malaysia untuk membuat kesimpulan sendiri, laporan China Daily.

Pada malam 24 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan sidang akhbar untuk mengumumkan bahawa pesawat MH370 telah "berakhir di Lautan Hindi" dengan memetik analisis data satelit Inmarsat.

"Kami menyediakan maklumat kita kepada rakyat Malaysia, dan mereka menggabungkannya dengan maklumat yang lain yang mereka ada, yang kita tidak tahu tentangnya, dan kemudian mereka membuat kesimpulan daripadanya dan membuat pengumuman mereka sendiri.

"Kami tidak terbabit dengan apa yang Malaysia umumkan, itu terpulang kepada mereka, kerana mereka melihat gambaran penuh. Kami hanya menyumbang satu set maklumat," jurucakap itu dilaporkan berkata. 

Sepuluh hari sebelum itu, iaitu pada 14 Mac lalu, stesen televisyen ABC News mendedahkan mempunyai "petunjuk" pesawat MH370 mungkin terhempas di Lautan Hindi dan sedang menggerakkan kapal USS Kidd ke kawasan tersebut untuk mencarinya.


Pegawai kanan Pentagon memberitahu stesen televisyen Amerika Syarikat itu pihaknya memerlukan masa 24 jam untuk menggerakkan kapalnya ke kawasan itu.

"Kami ada petunjuk pesawat itu terhempas di Lautan Hindi," kata pegawai kanan berkenaan dipetik berkata mengenai pencarian pesawat Malaysia Airlines yang hilang.

Pegawai itu berkata, mereka ada petunjuk pesawat itu terbang empat atau lima jam selepas hilang daripada radar dan mereka percaya ia terhempas ke dalam laut.

Tetapi pihak berkuasa Malaysia menolak teori itu dengan kedua-dua Malaysia Airlines dan Rolls Royce berkata, data mengenai enjin berakhir pada 1:07 pagi pada Sabtu, kira-kira 20 minit sebelum hilang daripada sistem radar awam.


Kenyataan Najib Mengenai MH370, Isnin Malam
(Diterbitkan: Isnin, 24 Mac 2014 11:51 PM Oleh: BERNAMA)

“Malam ini saya diberi taklimat oleh wakil-wakil dari Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB). Mereka memberitahu saya bahawa Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit meliputi koridor utara dan selatan, telah melakukan pengiraan lanjut terhadap data itu. Dengan mengggunakan kaedah analisis yang belum pernah digunakan dalam sesuatu penyiasatan seumpama ini, mereka telah berjaya membuat pencerahan mengenai laluan penerbangan MH370. Berdasarkan analisis baharu mereka, Inmarsat dan AAIB telah membuat kesimpulan bahawa MH370 terbang melalui koridor selatan, dan kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth. Ini merupakan lokasi yang terpencil, jauh dari sebarang lokasi pendaratan. Justeru itu dengan perasaan sedih dan kesal yang amat sangat, saya perlu memaklumkan anda bahawa menurut data baharu ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi. Kami akan mengadakan sidang akhbar esok untuk memaklumkan butiran lanjut. Sementara itu kami ingin memaklumkan anda mengenai perlembangan terbaharu ini dalam kadar segera. Kami berkongsi maklumat ini atas dasar komitmen kami terhadap keterbukaan dan perasaan hormat kepada seluruh keluarga, dua prinsip yang menjadi panduan penyiasatan ini. Penerbangan Malaysia (MAS) sudah pun memaklumkan kepada semua keluarga penumpang dan anak kapal untuk memberitahu mereka perkembangan ini. Bagi mereka dua minggu yang berlalu cukup memeritkan; saya sedar bahawa berita ini akan lebih sukar lagi. Saya menggesa pihak media supaya menghormati privasi mereka dan memberi mereka ruang menghadapi situasi getir ini."

Berdasarkan apa yang sudah dilakukan oleh Malaysia sebaik mungkin dan kenyataan Najib yang terang lagi bersuluh bahawa beliau hanya menyatakan 'berakhir di selatan Lautan Hindi', tidak wajar membuat kesimpulan bahawa Malaysia berbohong.

Malah tidak wajar jika blog pembangkang mengatakan kerajaan berdolakdalih!