Saturday, July 30, 2016

CABARAN BESAR MUSTAFAR YANG DITEMPATKAN DI JABATAN 'LUBUK BUAT DUIT'...


"Sebanyak 21 kertas siasatan dibuka oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Pe­nguatkuasaan (EAIC) membabitkan salah laku pegawai penguat kuasa...Jabatan Imigresen tempat kedua di belakang Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu 292 kes dari segi kes siasatan."

Mengalu-alukan Ketua Pengarah Imigresen baru mulai Isnin ini, 1 Ogos 2016, Datuk Seri Mustafar Ali, bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan ikrarnya meneruskan langkah-langkah pencegahan rasuah di mana-mana agensi penguatkuasaan beliau ditempatkan.

Beliau mengakui penempatan itu hanyalah bagi meneruskan legasi pembasmian rasuah di Jabatan Imigresen.

"Penghijrahan merupakan satu pengorbanan, persaudaraan dan perjuangan.Jadi, berhijrah adalah satu tindakan betul yang diambil," katanya, yang telah berkhidmat di SPRM selama 31 tahun.

Saya rasa Mustafar sudah maklum mengenai kedudukan Jabatan Imigresen ketika ini dalam konteks imejnya.

Pelbagai perkara berlaku di jabatan itu termasuk ada individu yang berani menyamar sebagai pegawai Imigresen dengan gelaran 'Datuk Seri' lagi bertujuan menipu. Kenapa ini boleh berlaku?
 
Gambar Hiasan
Ia tidak lain dan tidak bukan kerana Jabatan Imigresen kini dilihat sebagai ‘lubuk buat duit’.


Dengan kes rasuah membabitkan pegawai dan kakitangan jabatan itu yang semakin meningkat, apa sahaja ruang digunakan untuk mendapat wang dengan mudah.

Timbul pula persoalan, sejauh mana perang terhadap rasuah oleh jabatan itu berkesan, atau masalah ini terbiar begitu sahaja?

Pada 3 Jun lalu, dilaporkan polis menahan seorang lelaki berusia 53 tahun dengan gelaran 'Datuk Seri' di kawasan Jalan Bukit Bintang kira-kira pukul 2 petang pada 31 Mei lalu.

Suspek yang siap memakai jaket "Kementerian Dalam Negeri" dengan berani menunjukkan kad nama palsu Jabatan Imigresen yang membawa nama Datuk Seri Chong Kok Man. Dia mendakwa dapat memperbaharui permit pekerja dan akan mengenakan caj antara RM600 dan RM2,000 kepada majikan.

Suspek ini  pernah ditahan kira-kira 24 tahun yang lalu untuk 10 kes yang sama dan dijatuhi hukuman satu tahun penjara dan kegiatan liciknya itu bertujuan menipu majikan pekerja asing.

Selain kes Datuk Seri palsu ini, dua hari sebelum itu dua kes melibatkan pegawai Jabatan Imigresen terbabit rasuah.

Satu kes di Sepang membabitkan tahanan sementara di Ipoh,  mengaitkan pegawai jabatan itu dan pesara tentera dijatuhi hukuman.
  
Apakah Jabatan Imigresen kini benar-benar menjadi lubuk kejadian rasuah?

Gambar Hiasan
Ketika ini sebanyak 21 kertas siasatan dibuka oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Pe­nguatkuasaan (EAIC) membabitkan salah laku pegawai penguat kuasa di negara ini sejak 2012 sehingga Mei tahun ini membabitkan jabatan berkenaan.

Jabatan Imigresen tempat kedua di belakang Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu 292 kes dari segi kes siasatan.

Utusan Malaysia melaporkan, seorang pegawai imigresen di bahagian pentadbiran cawangan penguatkuasaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam diberkas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke­rana dipercayai meminta rasuah.

Lelaki itu dikatakan berbuat demikian selepas mendapat maklumat daripada rakan se­kerja yang bertugas di bahagian siasatan.

Bagaimanapun, suspek berjaya diberkas kira-kira pukul 5.30 petang di KLIA hasil maklumat yang diterima SPRM.

Menurut sumber, lelaki itu ditahan kerana dipercayai me­minta suapan sebanyak RM7,400 daripada ejen kepada dua warga Vietnam yang telah ditahan Jabatan Imigresen pada 24 Mei lalu di KLIA.

“Yang sebenarnya suspek terlebih dahulu mendapat tahu daripada pegawai penyiasat kes bahawa tiada kesalahan untuk menuduh kedua-dua warga asing itu di mahkamah dan mereka sebenarnya akan dihantar pulang ke negara asal tanpa sebarang tindakan.

“Tetapi dia cuba mengambil kesempatan meminta suapan daripada ejen dua warga asing terbabit dan menyembunyikan perkara sebenar,” katanya.

SPRM telah mendapatkan perintah reman selama tujuh hari terhadap suspek bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Gambar hiasan
Di Ipoh, baru-baru ini Mahkamah Sesyen memerintahkan seorang pesara tentera darat menjalani hukuman penjara sehari dan membayar denda RM15,000 selepas mengaku bersalah memberi rasuah kepada penguat kuasa Imigresen, Mac lepas.

Mahkamah turut  memerintahkan Termizi Mohamad, 69, dikenakan penjara tambahan enam bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman tersebut selepas mengambil kira faktor umur, tahap kesihatan dan ketidakupayaan tertuduh. 

Warga emas itu didakwa memberi suapan wang tunai RM3,000 kepada Penolong Penguasa Imigresen, Abdul Majid Mohamed, di luar perkarangan rumahnya, PT 1235, Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Tekah Baru, Kampung Kepayang, pada 1.30 pagi, 24 Mac lepas.

Ia sebagai dorongan bagi melepaskan pekerja tertuduh yang ditahan kerana berada di Malaysia tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Termizi didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tertuduh telah berkhidmat selama 29 tahun dengan tentera darat. Beliau menerima pencen sebanyak RM1,200 selain menghidap pelbagai penyakit termasuk isterinya.

Tertuduh kini menjaga kedua-dua cucu perempuannya berumur tujuh dan lima tahun kerana anak lelaki tunggal tertuduh meninggal dunia pada 2012 akibat barah otak.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurul Wahida Jalaluddin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berdasarkan fakta kes dan juga pengakuan bersalah tertuduh. Pihak pendakwaan turut meminta mahkamah melucutkan hak wang suapan RM3,000 dalam kes itu kepada SPRM.
  
Di Melaka,  11 Mei lalu, seorang Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Melaka dan isterinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM5,400 pada 2014.

Marzuan Sungep, 56, dan isterinya Norizan Hashim, 40, seorang surirumah didakwa menerima semua suapan itu daripada Helmida Mukhlis kononnya sebagai upah mendapatkan permit kerja sah daripada Jabatan Imigresen.

Kita pastinya akan disajikan dengan pendedahan pelbagai kes lain membabitkan jabatan itu selepas ini berdasarkan kepada jumlah kertas siasatan yang diumumkan.

Berikutan itu, adalah baik jika jabatan berkenaan mengambil perhatian Pengerusi EAIC,  Datuk Yaacob Md. Sam agar membuat penambahbaikan prosedur operasi stan­dard (SOP) supaya lebih komprehensif terutamanya di pintu-pintu masuk negara dalam kadar segera.

Secara umum, kesemua 21 agensi kerajaan mempunyai SOP tersendiri mengenai mengawal, menyelia, penguatkuasaan dan operasi, tetapi persoalannya apakah semua pegawai terutamanya yang berada di lapangan di pintu-pintu masuk negara mengetahui sepenuhnya serta mematuhi kehendak SOP itu.

Katanya, dengan ketiadaan pengawasan pegawai terhadap mereka yang melakukan kerja-kerja di kaunter utama, menyebabkan mudahnya pendatang serta anasir-anasir jahat membolosi sempadan negara dan impak itu mungkin tidak dilihat mereka (pegawai imigresen),” katanya dalam sidang akhbar pada 19 Mei lalu.

Yang nyata, pegawai imigresen memainkan peranan pen­ting dalam menjaga 132 laluan utama di sempadan negara kerana kebocoran itu bukan sahaja menjejaskan sosial ekonomi negara bahkan boleh menghancurkan Malaysia.
  
Kita berharap, apa yang diucapkan Mustafar mengenai penempatannya pada Majlis Paluan Berundur meraikan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull serta beliau di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini menjadi kenyataan.

"Penempatan ini satu tindakan bagi memastikan usaha mencegah dan membasmi rasuah yang dilakukan di SPRM selama ini, dapat diteruskan di agensi penguatkuasaan lain," katanya ketika diminta mengulas mengenai penempatan beliau di Jabatan Imigresen.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa mengumumkan Mustafar ditempatkan sebagai Ketua Pengarah Imigresen mulai 1 Ogos ini bagi menggantikan Datuk Seri Sakib Kusmi yang ditempatkan di Jabatan Perkhidmatan Awam.

Mustafar dilantik sebagai Pegawai Siasatan pada 1985 dan memegang beberapa jawatan, antaranya Pegawai Pendakwa, Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Koordinasi Dasar serta Pengarah Siasatan SPRM sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi pada 2014.