Wednesday, October 19, 2016

BIMBANG TAK BERTEMPAT - APA SUDAH JADI DENGAN MEDIA PROKERAJAAN?

 

Stesen televisyen swasta tempatan, TV3 dibelasah lagi.

Saya tertarik dengan persoalan yang ditimbulkan oleh Pemuda PAS hari ini iaitu ‘Sampai bila mahu fitnah Abdul Hadi?’

Ia ekoran siaran berita oleh TV3 yang didakwa salah tafsir kenyataan sebenar Presiden PAS di Dewan Rakyat semalam.

Apakah corak pemberitaan dan pengeditan pemberitaan oleh media swasta yang prokerajaan akan melakukan apa sahaja, termasuk ‘mengkhinati rakan’ demi mempertahankan parti yang memerintah?

Apakah cara ini ‘halal’ demi mempertahankan parti pemerintah, bimbang mereka juga akan turur ‘berkubur’ sekiranya UMNO dan Barisan Nasional (BN) berkubur?

Kerana itu tidak peliklah jika rakyat kini semakin menolak media prokerajaan dan jumlah penonton atau pembaca semakin berkurangan.


Saya tidak mahu menyebut gelaran untuk TV3 dan media prokerajaan lain yang tidak sedap didengar kerana sedikit sebanyak masih ada nostalgia terhadap media berkenaan.

Apalagi masih ada rakan dan anak buah di situ yang kini sudah menjadi orang penting dan ramai sudah berpangkat ‘Datuk’ dan sebagainya. Saya yakin mereka sudah ‘dewasa’ dan ‘tahu menilai apa yang sepatutnya’.

Namun?

Amat nyata insiden ini menggambarkan, jika ‘mereka yang akrab dengan UMNO dan Perdana Menteri’ pun boleh digodam dan dikhianati, apa lagi pemimpin dan parti yang terang-terang menentang UMNO, BN dan Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Sebenarnya, bukan TV3 sahaja mealaporkan pertanyaan’ yang dijadikan ‘kenyataan’ Hadi semalam tetapi juga Utusan Online.

Saya turut membaca berita di New Straits Times, The Star, The Sun dan The Malay Mail untuk mengetahui sama ada ada laporan mengatakan Hadi puji GST, namun mereka hanya menyiarkan soalan yang dikemukakan.

Naib Ketua Pemuda PAS, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata hari ini, tindakan stesen televisyen itu yang memberi laporan salah terhadap Abdul Hadi dalam isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) telah membelakangkan prinsip asas pemberitaan yang mementingkan kebenaran dan kebertanggungjawaban.


Amat malang sekali apabila stesen televisyen itu telah memanipulasi pertanyaan Abdul Hadi dengan hanya menyiarkan sekerat sahaja tanpa menyiarkan sepenuhnya soalan tersebut dengan niat untuk menggambarkan kononnya GST disokong oleh Abdul Hadi.

Utusan Online semalam melaporkan: “Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan kerajaan pada 1 April 2015 sebagai cara paling berkesan untuk meningkatkan ekonomi negara.

“Justeru menurut Ahli Parlimen Marang itu, kerajaan perlu memastikan tiada peniaga yang boleh lari daripada membayar cukai ber­kenaan seperti yang berlaku ketika pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“GST merupakan cara paling berkesan untuk meningkatkan ekonomi negara. Adakah kerajaan mempunyai kaedah untuk mengesan peniaga yang cuba lari daripada membayar cukai ini atau mungkin kerajaan ada alternatif lain bagi menggantikan GST,” katanya ketika melontarkan soalan tambahan berkaitan GST kepada Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani pada sidang Dewan Rakyat hari ini (semalam).”

Berikutan itu Pemuda PAS hari ini mengutuk keras pemberitaan stesen televisyen tempatan itu.

“Bukankah ini adalah fitnah yang nyata bagaikan seterang cahaya mentari dengan menyiarkan berita yang dikerat dan digubah sesuka hati bagi memenuhi citarasa tuan empunya mereka?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Dalam sesi soal jawab lisan di Parlimen pada pagi semalam, Abdul Hadi yang merupakan Ahli Parlimen Marang bertanya soalan kepada Menteri Kewangan tentang sejauh mana hasrat kerajaan untuk membatalkan cukai GST yang dikenakan kepada rakyat.

Difahamkan, setelah soalan asal dijawab oleh menteri, Abdul Hadi berdiri pada sidang Dewan Rakyat yang sama sekali lagi untuk mengemukakan soalan tambahan.

Jelas Khairil lagi, Abdul Hadi sebenarnya bersuara memperjuangkan isu rakyat di Parlimen dengan mendesak kerajaan agar menilai kembali pelaksanaan GST yang begitu membebankan rakyat di semua peringkat dan bukannya menyokong GST seperti yang didakwa oleh stesen penyiaran berkenaan.

“Kami menuntut permohonan maaf daripada  pihak berkenaan kepada Abdul Hadi atas berita fitnah yang telah mencemarkan imej dan reputasi beliau di mata rakyat.

“Kami juga menyeru pihak berkenaan bertaubatlah daripada meneruskan kerja penyebaran adu domba dan fitnah ini,” katanya lagi.

Datuk Johari Abdul Ghani menjawab soalan Hadi Dewan Rakyat semalam.
Di wall Facebook Presiden PAS itu pula sebuah artikel bertajuk ‘BULETIN TV3: MASIH AMAL PEMBERITAAN KUNO?’ oleh Izwan Abdul Halim turut mengkritik TV3 mnyebut, “..masih ada pihak yang mungkin merasa juara dapat melakukan manipulasi, persepsi atau sensasi ke atas maklumat atau pihak tertentu. Ia sengaja dilakukan untuk menimbulkan salah tanggapan, kekeliruan dan polemik sebagai adu domba, mengampu atau keuntungan untuk pihak tertentu.”

Katanya, kaedah negatif seperti itu rupanya belum dibebaskan daripada  profesionalisme pemberitaan oleh stesen TV3. “Dalam siaran Buletin Utama jam 8:00 malam tadi (Selasa, 18 Oktober 2016) melaporkan kononnya Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Ahli Parlimen Marang telah mengakui keberkesanan GST.”

Menurutnya, stesen media elektronik itu dalam siaran tersebut memetik sebutan Ahli Parlimen Marang iaitu _*“GST merupakan percukaian murah oleh kerajaan, khusus terhadap mereka yang melarikan diri daripada cukai, cara yang berkesan tanpa dinafikan”*_ bersama _‘tagline’_ bertulis “GST: Terbukti Berkesan – Presiden PAS”.

“Mustahil Unit Berita TV3 tidak memahami perkara yang dilaporkan itu melainkan mempunyai motif untuk mencemarkan. Laporan diutarakan seolah-olah ayat disebut Presiden PAS itu sebagai satu _*‘penyataan’*_ sedangkan hakikat sebenar ianya adalah _*‘pertanyaan’*_.

“Perkara tersebut berlangsung pada sesi Jawapan-Jawapan Lisan Bagi Pertanyaan-Pertanyaan, Dewan Rakyat, Parlimen Ketiga Belas, penggal Keempat, Mesyuarat Ketiga, pagi Selasa 18 Oktober 2016. Berikut perincian dari pertanyaan bertulis dikemukakan serta pertanyaan lisan tersebut: Presiden PAS selaku Ahli Parlimen Marang bangun dan menyebut “Tan Sri Yang Dipertua, soalan saya yang kedua”.”

Menurut Izwan, ini jelas ia dalam rangka _*‘pertanyaan’*_ di mana ungkapan yang dipetik TV3 adalah dirujuk kepentingan atau keuntungannya kepada pihak Kerajaan.

Ia bukan *'penyataan’*_ atau perakuan oleh Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS sebagai pendirian mengesahkan GST diterima atau dituntut kelangsungan pelaksanaannya.

Jika demikian, mengapa tidak TV3 mengambil pertanyaan yang menyebut “membatalkan” sebagai penyataan?

Maka, secara nyata, TV3 sebenarnya telah melapor secara konteks yang salah dengan sengaja membawa kepada maksud dan motif tertentu.

Masih tidak terlambat untuk membuat pembetulan dan ralat, katanya.

Mengaku dan membuat pembetulan?

Mana mungkin? Dan kalau mungkin pun apabila mahjatuhkan hukuman bahawa mereka membuat khilaf dan fitnah.


Denda terpaksa dibayar dengan permohonan maaf sekali. Baru BEREH.