Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan beliau akan menyertai semula UMNO.
Ini semangat dan kemenangan moral kepada Najib dan saf kepimpinan UMNO, kecuali bagi

Juga hari ini secara rasmi Datuk Seri Abdullah Badawi mengumumkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mendapat perkenan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Najib Razak pada 2 April ini.
Segala-galanya berlaku dalam keadaan yang akan menguntungkan UMNO dan akan menutup mulut pemimpin pembangkang yang sebelum ini mengatakan UMNO dilanda krisis dan sebagainya.
Respon kepada dua perkembangan ini, Najib mengatakan Dr Mahathir dan Abdullah ada peranan untuk UMNO.
Presiden Umno baru itu bagaimanapun belum membuat keputusan peranan yang boleh dimainkan Dr Mahathir dan Abdullah dalam kepimpinannya.
"Saya belum buat keputusan lagi, tapi ada peranan untuk mereka. Tunggu sehingga saya masuk pejabat dulu," katanya pada sidang media selepas berakhirnya Perhimpunan Agung Umno 2008 di Kuala Lumpur, hari ini.
Juga menarik daripada perkembangan terbaru dalam UMNO ialah Abdullah secara terbuka menyatakan beliau sama sekali tidak marah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencetuskan idea supaya disegerakan perubahan kepimpinan UMNO untuk membolehkan parti itu terus diterima orang Melayu dan rakyat.
Menurut Perdana Menteri, beliau mahu bersara dengan rasa senang hati dan tidak mahu ada perasaan-perasaan yang tidak baik dibawanya selepas ini.
``Saya ingin nyatakan di depan semua yang ada, saya sebenarnya tidak pernah marah pada dia (Muhyiddin) sebab itu saya tidak pernah balas apa yang dia cakap.
``Saya maafkan saudara, kepada kawan-kawan yang lain kita mahu persahabatan kita terus berkekalan,’’ kata Abdullah semasa berucap pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO ke-59 hari ini.
Dengan kata lain kini, UMNO hamper pulih sepenuhnya dari segi kesepakatan kepimpinan dan ini sewajarnya diteladani oleh mereka di peringkat bahagian dan cawangan.
Biar apapun yang berlaku sebelum ini, hendaknya semua ahli UMNO kembali ke pangkal jalan. Perhimpunan dan pertandingan selesai maka pertarungan dan perselisihan pun selesai.
Adalah penting bagai Pengurusan UMNO dan Ibu Pejabat UMNO menyelesaikan mana-mana kes tertunggak khususnya dalam meleraikan masalah-masalah bahagian umpamanya Bahagian Larut.
Pada perhimpunan kali ini, perwakilan Larut dibiarkan ‘merempat’ tanpa adanya tempat khusus untuk mereka – kalau pun tidak boleh mengundi.
Pada masa hadapan, di harapkan kejadian seperti ini tidak berlaku dan sewajarnya ada tempat – sebagai pemerhati khas – bukan duduk merata-rata sebagai pemerhati biasa.
Muhyiddin yang dijangka mengetuai Pengurusan UMNO wajar melihat kepada masalah ini dan kalau sekiranya perlu ada ‘pembersihan’ di Ibu Pejabat UMNO, lakukan segera bagi menjamin UMNO mantap.
Elakkan Ibu Pejabat UMNO dianggap tempat di mana ada percaturan dan permainan politik tertentu. Jika ia berterusan, peranan UMNO tidak akan dapat menyatu dan meyakinkan ahli.
Dengan ikrar Muhyiddin bahawa beliau akan menjadi seorang timbalan yang setia kepada Presiden Umno seperti yang dilakukan Najib kepada Abdullah, akan memperkukuhkan kedudukan Najib.
Ini kerana banyak pihak mengatakan Muhyiddin ‘akan langgar’ Najib seperti yang dilakukan oleh beliau terhadap Abdullah.
Muhyiddin, yang memenangi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti Khamis lalu, berkata beliau akan memberi sokongan tanpa berbelah-bahagi kepada Najib untuk memimpin parti dan menjayakan agenda perubahan Umno.
"Saya insaf, sebagai timbalan saya adalah orang nombor dua. Orang nombor dua harus jadi seperti orang nombor dua, bukan (orang) nombor satu.
Kalau berkelakuan seperti orang nombor satu, nanti akhirnya semuanya akan musnah,” katanya.
Yang penting sekarang ialah setiap pihak mengambil berat pesanan Abdullah supaya anggota parti agar memelihara perpaduan dan menghidupkan semangat kekeluargaan.
Beliau meminta mereka agar tidak sekali-kali mengkhianati parti dan berhenti daripada memfitnah pemimpin.
Menekankan semangat setiakawan, Abdullah berkata hanya dengan cara itu kekuatan parti dapat dipertingkat.
“Ini adalah penting. Kita mahu supaya kekuatan parti akan dapat diteguhkan lagi, akan dapat ditingkatkan lagi. Kita mesti terus menjadi penyokong, penyokong yang kuat bukan saja kepada pemimpin, tapi kita sebenarnya menyokong parti kita melalui pemimpin-pemimpin kita.
Hakikatnya setiap ahli UMNO perlu menjadi penyokong dan kawan setia, kawan pada masa susah, kawan pada masa senang.
Inilah ertinya setiakawan, inilah ertinya keluarga dalamUMNO.