Thursday, March 16, 2017

KERJASAMA DENGAN PPBM - SIAPA MOHD AMAR BUAT KEPUTUSAN UNTUK PAS?


Suara siapa jadi penentu dalam PAS ketika ini?

PAS sudah bagaikan tiada nakhoda apabila ramai yang berebut-rebut untuk membuat ulasan dalam konteks kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Apakah nakhoda kapal PAS – Datuk Seri Abdul Hadi Awang – kini tidak ada lagi kuasa untuk mengemudikan partinya?

Atau beliau lebih pening memikirkan soal RUU 355 dan saman RM90 juta terhadap Sarawak Report berbanding isu kerjasama dengan PPBM dalam menumbangkan Barisan Nasional (BN) khususnya di Kelantan dan Terengganu?

Apakah kapal PAS kini benar-benar terumbang ambing di lautan dan hanya menunggu masa untuk tenggelam? 

Reaksi spontan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengenai kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semalam menggambarkan suasana ini.

Mohd Amar dilihat memotong kuasa Hadi apabila memberikan reaksi cepat mengenai kenyataan PPBM sebelumnya.

Kenapa wujud kegairahan sedemikian? Bolehkah kenyataan Mohd Amar menggambarkan akan tertutup sama sekali pintu rundingan ke arah kerjasama PAS-PPBM yang diusahakan sebelum ini?

Mohd Amar ‘melompat sepantas kilat’ terhadap kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai hasrat PPBM akan menyertai PH.


Mohd Amar menegaskan PAS tidak lagi berminat berada sepentas dengan PPBM.

Anehnya, Mohd  Amar hanya Naib Presiden dan Timbalan Menteri Besar Kelantan. Namun beliau  membuat keputusan rasmi itu seolah-olah mempunyai kata pemutus apabila mengatakan PAS tidak lagi ada hubungan dengan parti berkenaan.

“Ini kerana PAS sejak awal lagi memaklumkan tidak akan sertai PH,” katanya seperti dilapor Harakahdaily semalam.

‘Kelancangan’ Mohd Amar dibuat pada ketika PPBM dalam keadaan bakal mengemukakan permohonan rasmi untuk menyertai PH dengan harapan ada beberapa aspek perlu diubah suai, termasuk nama pakatan itu serta logo.

Tindakan Mohd Amar kini menyerlahkan lagi betapa PAS menegaskan pendiriannya untuk tidak akan bekerjasama sama sekali dengan DAP dan AMANAH.

Persoalannya apakah Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man bersetuju dengan pendirian Mohd Amar bahawa PAS beranggapan tidak perlu lagi ada sebarang perbincangan untuk bersama-sama menghadapi pilihan raya diadakan di antara parti berkenaan dengan PPBM?

Apa pendirian pemimpin PAS lain dalam isu ini?

Apakah Hadi akan akur dengan kenyataan Mohd Amar ini yang menggambarkan mana-mana pemimpin PAS kini boleh membuat kenyataan apa sahaja, walaupun ia menampakkan ciri-ciri kenegerian yang amat sangat.

Ceramah PH di Kota Bharu semalam.
Apakah Mohd Amar membuat kenyataan itu berasaskan kepentingan kerjasama PAS dengan PPBM umpamanya di Terengganu dan Selangor?

Apakah Mohd Amar hanya menunjukkan kebimbangannya yang amat sangat mengenai kedudukan PAS dalam kerajaan Kelantan yang disifatkan dalam keadaan ‘ telur di hujung tanduk’ akibat asakan UMNO Kelantan dan AMANAH?

Mohd Amar merajuk kerana melihat PPBM kini mesra dengan ‘musuh no 1’ PAS iaitu AMANAH di Kelantan yang dilihat sangat bertenaga melalui kepimpinan Datuk Husam Musa?

Bagaimana pula di Terengganu? Apakah PAS boleh bersendirian untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN)?

Kenyataan Mohd Amar sudah pasti dilihat tidak sesuai dan tidak menyelesakan PAS Terengganu. Ini kerana usaha untuk bekerjasama dengan PPBM yang dilihat paling kuat berbanding PKR dan AMANAH di Terengganu akan membawa untung kepada PAS.

Apakah dengan mengatakan putus hubungan itu PAS akan membuat pusingan U untuk bekerjasama dengan UMNO di Kelantan dan Terengganu?

Apa jaminan UMNO akan memberikan kerjasama dan jika dibentuk kerajaan, apa jaminan PAS akan diberikan jawatan Menteri Besar dan EXCO kanan pada pentadbiran di dua negeri Pantai Timur itu?

Jadi apa perjuangan PAS ketika ini dan di mana Hadi sebagai nakhoda kapal PAS yang hanyut di lautan bagai tidak berkemudi?

Di pihak PPBM, yang nyata ialah, PPBM tetap membuka pintu kepada PAS untuk bekerjasama biarpun ia berhasrat menyertai PPBM.

Dr Mahathir Mohamad berkata di Kota Bharu semalam, PPBM sudah berada dalam sistem politik negara dan PPBM  hanya menyertai untuk melengkapi blok pembangkang itu.

Dengan kedudukan di mana PH sudah ada, wajar untuk PPBM bersatu dengan menyertai pakatan supaya menjadi satu posisi yang sama dan jika PAS menolak kerjasama, PPBM tidak boleh berkata apa-apa.

“... bagaimanapun pintu kita terbuka, bukan sahaja PAS tetapi mana-mana parti yang mahu menyertai PH dialu-alukan.

Di Gemas kelmarin, bekas Perdana Menteri itu, sudah memberi amaran BN berjaya memenangi setiap pilihanraya sehingga membentuk sebuah kerajaan disebabkan pihak pembangkang tidak pernah bersatu.


Dr Mahathir meningatkan parti pembangkang berlawan dengan BN dalam setiap pilihanraya sebagai parti masing-masing, menggunakan simbol masing-masing dan tidak mempunyai perpaduan yang rapat antara mereka.

Mungkin Hadi atau pemimpin PAS lain akan membuat kenyataan mengenai pendirian sebenar PAS hari ini.

Malah, ketika berada di Terengganu pada siang dan mala mini, Dr Mahathir akan turut mendengar pandangan pemimpin PPBM negeri mengenai kemungkinan bekerjasama dengan PAS di Terengganu untuk menumbangkan BN.


Dari jauh kedengaran bahawa kenyataan Mohd Amar itu mungkin hanya dalam konteks Kelantan semata-mata tetapi tidak di Terengganu.