Showing posts with label Dr Mahathir. Show all posts
Showing posts with label Dr Mahathir. Show all posts

Saturday, December 15, 2018

TANPA DR MAHATHIR, KERAJAAN HARAPAN AKAN RUNTUH...



Maka berkata-katalah pihak tertentu bahawa ada gerakan mahu menyingkirkan Tun Dr Mahathir Mohamad daripada jawatan Perdana Menteri.

Berdasarkan searangan pemimpin DAP terhadap isu kemasukan pemimpin dan Ahli Parlimen UMNO ke BERSATU akhir-akhir ini seolah-oleh ada gerakan menjatuhkan Dr Mahathir.

Juga kenyataan-kenyataan pemimpin tertentu mengenai perimbangan kuasa dalam politik Malaysia jika tidak berhati-hati boleh menjut Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Apakah terfikir oleh mereka dengan menjatuhkan Dr Mahathir akan turut meranapkan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN)?

Kesannya, akibat tamak dan bersifat mementingkan kuasa dan kaum, kelak akan menjadi anjing yang mengejar bayang dalam air, yang akhirnya semuanya kelak akan kehilangan ‘tulang yang sudahpun digonggong di mulut’.

Pemimpin DAP yang membuat onar mengkritik BERSATU tidak lain dan tidak bukan mulai bimbang terhadap kesan perhimpunan ICERD baru-baru ini selain sokongan orang Melayu/Bumiputera-Islam terhadap ‘parti kecil’ dalam HARAPAN.

Mengharapkan UMNO/ Barisan Nasional?

Mungkin mereka sudah hilang kepercayaan apabila dua pemimpin besar mereka – Presiden dan bekas Presiden UMNO – kini berdepan pendakwaan kes rasuah dan penyelewengan di mahkamah.

Jadi, apa ada lagi harapan untuk mereka? Mengharapkan PAS?

Parti itu tidak akan ke mana-mana walaupun tidak jemu-jemu mengatakan akan memerintah Malaysia.

PAS hanya sebuah parti yang didokong dan disokong oleh mereka yang yakin kepada kepimpinan yang boleh ‘mengubah warna mengikut kepentingan semasa’, bukan gerakan Islam yang boleh diharapkan.

Tinggal kini BERSATU.

Berkaitan perkara ini ada menyifatkan penyertaan anggota Parlimen pembangkang dalam HARAPAN boleh menjadi nilai tambah kepada usaha mengukuhkan kerajaan sedia ada.

Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan situasi itu sekaligus boleh menyumbang kepada penguasaan dua pertiga majoriti oleh HARAPAN dalam Dewan Rakyat.


Dr Mahathir yang mengetuai kerajaan HARAPAN bukan sebarang pemimpin. Beliau dilabelkan’ultra-Melayu’ dan ‘pemimpin Islam berwawasan’ bukan berkhutbah tetapi melaksanakannya.

Jasanya terhadap dasar Ialam di Malaysia tidak boleh dipertikaikan. Sama ada penubuhan dalam konteks institusi kewangan Islam, pendidikan Islam, perundangan Islam atau juga perpaduan Islam.

Ini belum lagi di peringkat antarabangsa.

Meriknya ialah ada yang menyifatkan penyertaan anggota Parlimen pembangkang dalam HARAPAN boleh menjadi nilai tambah kepada usaha mengukuhkan kerajaan sedia ada. Jadi apa masalahnya?

Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berpendapat, situasi itu sekaligus boleh menyumbang untuk dapat penguasaan dua pertiga majoriti oleh HARAPAN dalam Dewan Rakyat.



Jadi, tidak hairan jika ada pemimpin DAP yang gusar dengan kenyataan  Dr Mahathir yang mengalu-alukan pemimpin UMNO yang mahu menyertai HARAPAN, apa lagi BERSATU.

Kerana itu wajar jika Ketua Pimpinan BERSATU Negeri Terengganu, Senator Datuk Razali Idris (kanan mempersoalkan kenapa DAP resah tidak tentu pasal mengenai kemasukan ahli Parlimen UMNO ke dalam BERSATU.

Jika benarlah ada lagi lebih 30 ahli Parlimen yang mahu menyertai HARAPAN dan separuh LEBIH  daripadanya menyertai BERSATU , tidak sukar untuk BERSATU memiliki sekurang-kurang 30 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Mungkin juga semua ‘katak politik’ itu semuanya sertai BERSATU.

Apa ini? Mereka adalah Melayu-Bumiputera-Islam yang pastinya dengan sendirinya akan menenggelamkan pengaruh UMNO dan PAS. Kedua-duanya jika dicampur mungkin tidak sampai pun 40 Ahli Parlimen.

DAP pastinya risau kerana tidak semua Ahli Parlimen PKR akan menyokong mereka dalam isu-isu membabitkan Melayu dan Islam.

Walaupun PKR ialah parti berbagai kaum namun dalam isu Melayu dan Islam, pemimpin PKR Melayu dan Islam pastinya berfikir dua kali untuk menyokong DAP jika mereka menentang perkara yang berkaitan Melayu-Islam.

Sudah pasti AMANAH akan berpihak kepada Tun Dr Mahathir kerana kesemua pemimpin mereka kini mendapat jawatan penting dalam kerajaan, selain pengerusi agensi-agensi tertentu.

Amat nyata, perimbangan kuasa dalam HARAPAN akan bertukar jika BERSATU memiliki lebih 50 Ahli Dewan Rakyat. Ini bermakna penghijrahan Ahli Parlimen UMNO adalah rahmat bagi HARAPAN dan BERSATU, bukan menerima SAMPAH seperti dfisifatkan oleh sesetengah pemimpin DAP.

Lagi pun, Dr Mahathir sudah menyatakan beliau mempertahankan keputusannya menerima bekas pemimpin UMNO untuk menyertai BERSATU meskipun ia dilihat kurang disenangi oleh rakan parti komponen HARAPAN.

Ini kerana  bukan semua ahli Parlimen UMNO itu semuanya SAMPAH. Mereka akan dinilai terlebih dahulu sebelum diterima masuk.

“Orang UMNO ada yang baik, pun ada yang jahat. Yang jahat kita tak terima, yang baik kita terima la. Saya sendiri ahli Umno. Dia orang terima saya. (Penasihat DAP Lim) Kit Siang terima saya,” katanya semalam.


Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut memberi jaminan bahawa pihaknya akan membuat tapisan dan bukan secara semborono menerima pemimpin UMNO ke dalam parti itu.

Maka eloklah pemimpin besar DAP (Kit Siang dan Lim Guan Eng) menasihati ‘anak buah mereka’ yang membuat bising itu supaya menutup mulut kerana kenyataan-kenyataan mereka boleh mengeruhkan suasana dalam DAP.

BERSATU sudah meletakkan syarat bukan menerima membabi-buta. Malah, mereka yang mahu menyertai BERSATU juga perlu bebas daripada sebarang rekod jenayah.

Apakah syarat itu tidak cukup? Persoalannya apakah pemimpin DAP semuanya putih bersih seperti kapas dan tidak mempunyai rekod lampau?

Ingatlah kemenangan HARAPAN dan undi rakyat bukan semata-mata kerana manifesto HARAPAN atau Barisan Nasional terlalu teruk. Memang diakui Datuk Seri Najib Razak teruk.

Tetapi kemenangan HARAPAN juga diakibatkan oleh pejuangan Dr M

Sumbangan Dr Mahathir menenang rasuah, menentang kleptokrasi dan mengumpulkan keyakinan orang Melayu dan bukan Melayu yang mahukan Malaysia Baru adalah faktor penting yang perlu diakui semua.

Menidakkan keupayaan dan faktor peribadi Dr Mahathir adalah sikap dan amalan politik cetek. Sedangkan Dr Mahathir menjadi pencetus penting kenapa DAP dan PKR boleh membentuk kerajaan bersama BERSATU dan AMANAH di Putrajaya.

Tanya diri sendiri. Bermuhasabah. Apa rekod DAP dan PKR dalam memperjuangkan kemenangan pilihan raya umum lalu tanpa kepimpinan  Dr Mahathir menyertai mereka sebelum ini?

Apa pencapaian Kit Siang dan Anwar sebelum ini ketika tidak bergabung dengan Dr Mahathir? Bolehkah mereka mengalahkan BN?

Tanya diri dan SEDARLAH DIRI!

Tuesday, November 20, 2018

DR MAHATHIR, MALAYSIA ISTIQAMAH MENENTANG KEZALIMAN TERHADAP PALESTIN


Dalam menentang keganasan dan kekejaman terhadap dasar dan tindakan Zionis  kerajaan Yahudi Israel, Malaysia dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad - sama ada ketika menjadi Perdana Menteri ke-4 atau sekarang, tidak pernah mengaitkannya dengan  sebab-sebab berkaitan agama.

Penentangan Dr Mahathir dan Kuala Lumpur  adalah terhadap penindasan dan kekejaman terhadap rakyat Arab dan Palestin, khususnya di Tebing Barat.

Dr Mahathir dan Malaysia istiqomah dalam pendirian dan perjuangannya.

Kuala Lumpur tidak menggunakan faktor agama terhadap tekanan yang dinyatakannya  kepada rejim Yahudi Tel Aviv.

Ini berbeza dengan pendekatan pihak lain seperti NGO  dan parti politik tertentu di Malaysia  yang hanya menjuruskan  agama Islam sebagai faktor penting dan penanda aras menentang dasar pentadbiran dan politik Tel Aviv itu.

Dan dalam perkembangan terbaru berkaitan cadangan pemindahan kedutaan-kedutaan negara asing dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, Malaysia jelas membantah dan menentang keputusan  rejim Zionis Israel yang mendapat sokongan Amerika Syarikat.

Kini, Tel Aviv membuat pendirian bahawa Baitulmaqdis -  kota yang dianggap suci oleh penganut agama Islam, Kristian dan Yahudi -  sebagai ibu negaranya buat selama-lamanya.

Bagi Australia, iaitu negara berhampiran kelompok negara majoriti penduduk Islam – Indonesia, Malaysia dan Brunei -  hasratnya memindahkan kedutaannya ke Baitulmaqdis sudah pun disuarakan.

Walaupun keputusan muktamad akan hanya dibuat pada 25 Disember depan, namun Canberaa sudah menyatakan ia bersikap  "terbuka" dalam hal itu.

Pendirian ini menjadikan Australia negara kedua di dunia mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, selepas Amerika Syarikat.


Perdana Menteri Australia, Scott Morrison  membuat kenyataan untuk memindahkan kedutaan Australia di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis ketika  partinya berdepan pilihan raya kecil di Wentworth, Oktober lalu.

Di kawasan itu, parti Morrison berdepan dengan  bilangan pengundi berketurunan Yahudi yang ramai. Namun kini partinya tetap ditolak oleh penduduk di situ untuk kali pertamanya berbanding sebelum ini.

Bukan  sahaja bimbang dengan penduduk Yahudi di Australia, Morrison juga tertekan dengan kenyataan-kenyataan pihak tertentu di negaranya  yang mahukan beliau membuat keputusan bukan berdasarkan tolak ansur dengan negara jiran – khususnya Indonesia dan Malaysia  tetapi demi kepentingan negara dan nilai-nilai negara berkenaan.

Suara yang tidak puas hati dengan Morrison mengemukakan pertanyaan bersifat menyokong rejim  Israel apabila berkata: “Mengapa kita tidak patut tunjukkan solidariti dengan satu-satunya demokrasi plural dan liberal di Timur Tengah, dengan menyokong mereka dan meletakkan kedutaan kita di ibu negara mereka?”

Ketegasan memperjuangkan isu rakyat Arab dan negara Palestin dibuktikan bukan melalui tunjuk perasaan mengangkat sepanduk dan menjerit pada himpunan dalam negeri tetapi menyatakan pendiriannya secara berdepan.

Di Singapura baru-baru ini Dr Mahathir menimbulkan isu berkenaan  dalam pertemuannya dengan rakan sejawatnya  dari Australia itu sambil memberikan peringatan dengan berkata:: “Saya pernah katakan jika kita ingin tangani terorisme, kita perlu tahu sebab-sebabnya. Menambahkan sebab-sebab ke arah terorisme tidak akan membantu.”


Ketegasan Dr Mahathir bukan kali ini sahaja.Ini  kerana sebelum ini beliau juga  mempunyai hubungan tegang dengan Perdana Menteri John Howard berhubung kenyataan Howard bahawa Australia merupakan timbalan sheriff Amerika Syarikat di bahagian rantau ini.

Kemudian pada pada 1993, perdana menteri Australia ketika itu, Paul Keating menggelar  Dr Mahathir sebagai "keras kepala" (recultraint). Ini berikutan  Dr Mahathir memboikot Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Seattle.

Mungkin juga ada tekanan daripada kalangan Yahudi di Australia apabila Dr Mahathir membuat kenyataan-kenyataan yang menimbulkan rasa tidak senang di kalangan pihak tertentu termasuk kenyataan menteri kewangan Australia Josh Frydenberg yang mengingatkan Mahathir memang mempunyai reputasi berkaitan pendirian dalam isu berkaitan Palestin dan Israel.

Reuters melaporkan dalam satu temubaul melalui radio, Frydenberg berang apabila Dr Mahathir mengatakan ‘orang Yahudi hidung besar’. “Dia persoal jumlah orang yang terbunuh dalam peristiwa Holocaust.”

Persoalan kini ialah dalam kedudukannya sekarang yang lebih rapat dengan negara Asia, apakah Canberra masih meletak dan melihat negara mereka dalam posisi yang masih terlalu rapat dengan Washington?

Apakah ia akan  terus mengikut telunjuk Amerika Syarikat dan memenuhi tuntutan puak Yahudi di Australia?

Morrison mengakui Dr Mahathir membangkitkan isu ini  kepadanya di Singapura tetapi menegaskan dasar luar mereka tidak akan ditentukan negara luar.

Kita menghormati pendirian Australia itu. Namun, dalam memainkan perananya di Indo-Pasifik, apakah pendirian Australia dalam sesuatu isu seperti mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel ini ditentukan oleh kuatnya pengaruh dan kepentingan Washington terhadap Canberra?

Memanglah sukar untuk memisahkan dengan lobi Yahudi di negara itu umpamanya apabila bekas Perdana Menteri, Tony Abott memuji Israel sebagai “saudara demokrasi plural” sambil menggesa Canberra mengabaikan amaran Dr Mahathir tetapi apakah ia juga akan mengabaikan amaran Indonesia?


Tidak pelik jika ada pertanyaan apakah hak Indonesia atau Malaysia untuk menentukan dasar-dasar negaranya? Namun apakah Morrison berani mengambil risiko jika Jakarta melakukan sesuatu yang akan merugikan negaranya?
Jakarta dengan jelas sudah pun menyatakan penentangannya terhadap sebarang langkah mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Malah, amaran Jakarta juga ialah, ia  akan mengganggu rancangan perjanjian dagangan bebas dengan Australia.

Kerajaan Indonesia menolak cadangan Australia untuk setuju dengan hasrat Tel Aviv itu  dengan alasan majoriti Islam konservatif di negara tersebut tidak mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Di sebalik kritikan terhadap Dr Mahathir, Parti Buruh Australia sudah menyatakan pihaknya  mahu Perdana Menteri mereka  membatalkan rancangannya memindahkan kedutaan negara itu di Israel ke Baitulmaqdis.

Jurucakap Hal Ehwal Luar parti pembangkang itu Penny Wong baru-baru ini mengingatkan, langkah memindahkan kedutaan Australia dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis tidak perlu kerana ia boleh membahayakan hubungan Australia dengan Indonesia.

Amat nyata pendirian Malaysia dan Indonesia itu turut mendapat sokongan pihak dalaman Australia. Kini jelas, keputusan di tangan Perdana Menteri Australia dan partinya.

Masa ada sebulan lagi untuk Canberra membuat keputusan. Sempena Maulidur Rasul ini marilah kita berdoa agar rakyat Arab (walau apa anutan agama mereka) yang diancam bahaya dan penindasan oleh rejim Israel, bebas dan  diselamatkan oleh Allah s.w.t.

Sokonglah pendirian Kuala Lumpur dalam menyuarakan sikap dan dasar diplomasi kita mengenai kepentingan rakyat Arab dan Palestin khususnya di Tebung Barat dalam ‘peperangan mereka menentang kezaliman dan penaklukan Zionis’ hasil dasar Tel Aviv yang bersifat penakluk hendaklah dihentikan segera.

Saturday, November 17, 2018

KETEGASAN DR MAHATHIR TERHADAP KRISIS ROHINGA BUKAN MATA ASEAN...



Tidak diketahui sama ada kanak-kanak yang berpelukan ini masih  hidup atau sudah meninggal. Malah,  mungkin juga mereka sudah berada di Malaysia sekarang ini.

Gambar ini saya rakamkan 26 tahun lalu di kem pelarian Rohingya yang  tidak jauh dari bandar di selatan Bangladesh – Cox’s’s Bazar - pada 1992.

Kini, di Malaysia sendiri, dikatakan ada lebih 100,000 pelarian Rohingya. Mereka ‘menumpang berteduh’ dan meneruskan kehidupan, namun tidak semua mereka berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNCHR).

Dilaporkan ada  lebih satu juta penduduk minoriti Islam Rohingya terpaksa  lari mencari perlindungan di negara jiran Bangladesh dan beberapa negara lain berdekatan sejak kekejaman rejim tentera Myanmar yang disifatkan oleh PBB  sebagai langkah ‘penghapusan etnik’.

Saya ingin menyatakan kegembiraan dan mengalu-alukan langkah Malaysia, khususnya Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang memperkatakan isu ini dengan tegas, selain mengkritik kepimpinan Myanmar dalam krisis Rohingya ini.

Terbaru pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-33  di Singapura beberapa hari lalu, Malaysia menunjukkan ketegasan dan komitmen teguh agar masalah dan krisis yang diakibatkan oleh rejim Yangoon ini diberikan perhatian mendalam oleh ASEAN dan dunia seluruhnya.

Malah di Sidang Kemuncak ASEAN Singapura itu juga, untuk kali pertamanya, Malaysia mengambil langkah menyatakan secara terbuka kepada pemimpin Yangoon agar menyelesaikan krisis ini, biarpun ia sudah menjadi pengetahuan pemimpin dan rakyat Malaysia sejak 1992.


Bukan mahu mendabik dada tetapi laporan bersiri dalam Berita Harian yang saya lakukan pada wal 1992 hasil tinjauan di beberapa kem pelarian Rohingya di Bangladesh, khususnya berhampiran Cox’s Baazar pada awalnya  lebih banyak dijadikan ‘alat dan kepentingan politik’ oleh pihak tertentu – bukan berusaha mengatasi isu ini secara bersungguh-sungguh.

Masih ingat dengan jelas, Menteri Luar ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) tidak begitu melihat isu ini secara serius, walaupun ada kenyataan dibuat pada 8 Mac 1992 bertajuk ‘Malaysia Gesa Jangan Tindas’ (Utusan Malaysia) mungkin kerana isu berkaitan Bosnia-Herzegovina menjadi tumpuan utama,  sementara krisis pelarian Rohingya ke Bangladesh ketika itu masiah baharu.

Malah, bekas Menteri Besar Selangor, Muhammad Mohd Taib (Tan Sri) pula menggunakan isu Rohingya pada 1994 untuk kepentingan kempennya bagi menyertai Kem Wawasan pada pemilihan UMNO 1995, diketuai oleh Anwar Ibrahim (Datuk Seri) ketika itu.

Walaupun pada 7 Mac 1992, Dr Mahathir mengatakan ‘Kerajaan Malaysia Buat Pendirian Tegas’ (Mingguan Malaysia 8 Mac 1992) tetapi Perdana Menteri ke-34 itu tidak dilihat meletakkan isu ini sebagai keutamaan pada beberapa sidang antarabangsa mungkin kerana pelarian Rohingya  ketika itu hanya 100,000 tetapi kini kini sudah melebihi satu juta orang dan membebankan beberapa negara anggota ASEAN sendiri.

Pada kedudukan di mana krisis Rohingya tidak mendapat tempat pada Sidang Kemuncak ASEAN ke- 4 di Singapura pada Januari 1992, saya berusaha untuk menjadikan isu ini sebagai yang perlu dijadikan tumpuan.

Selepas beberapa hari kembali ke Kuala Lumpur daripada membuat liputan sidang kemuncak ASEAN ke-4 itu, saya senyap-senyap ‘terbang ke Dhaka’ untuk membuat tinjauan ke kem pelarian Rohingya.

Saya menghargai pendirian tegas Malaysia mengenai krisis Rohingya ketika ini. Malah, ingin saya ucapkan setinggi  terima kasih kepada bekas Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Berita Harian pada awal 1990-an - Yunus Said - kerana menerima cadangan saya untuk membuat tinjauan ke kem Rohingya berkenaan.

Tanpa sokongan beliau selain sokongan di bahagian penyunting Berita Harian, Kementerian Luar, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka dan beberapa rakan wartawan di Bangladesh dan luar negara, laporan tinjauan dan JEJAK ROHINGYA tidak akan pernah tersiar selama tiga minggu di Berita Harian antara Februari dan Mac 1992.

Bersyukur kerana Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh ketika itu memahami tugas saya sebagai wartawan, menjadkan perjalanan saya ke Cox’s Bazar menjadi mudah.
Di sana saya ditemani wartawan sambilan di Cox’s Bazaar, Munayeem Khan untuk keluar masuk kem pelarian tanya gangguan, walapun terpaksa membayar wang ' kepada pihak tertentu.

Namun, apa nasib pelarian Rohingya  sejak tarikh itu hingga sekarang sama ada yang masih berada di Myanmar, di kem pelarian di Bangladesh dan juga di Malaysia untuk masa-masa mendatang?

Jadi apabila Dr Mahathir pada 14 November 2018 dengan tegas membangkitkan  krisis yang dihadapi etnik Rohingya kepada pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi di Singapura, ia dilakukan secara terbuka dan tidak lagi teragak-agak dan berlapit seperti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum ini - beberapa tahun kebelakangan ini – krisis Rohingya dijadikan ‘alat politik’ oleh UMNO dan PAS bagi merapatkan dua pemimpin atasan mereka agar dapat ‘duduk di pentas yang sama’ selain melaungkan slogan yang sama. Tetapi ia  hanya di Kuala Lumpur  – yang akhirnya tidak ke mana-mana.

Demi political milage semata-mata

Ternyata tindakan mereka  hanya gimik politik  murahan  dan menjengkelkan demi  penonjolan diri kononnya pejuang yang menyuarakan ‘nasib pelarian Rohingya’.

Sedangkan hakikatnya untuk menarik perhatian rakyat kononnya kedua-dua pemimpin berkenaan mempejuangkan kepentingan umat Islam.

Sebaliknya kenyataan Dr Mahathir lebih bersifat kemanusiaan dan menentang kekejaman tanpa merujuk ia sebagai ‘perjuangan umat Islam’ sebaliknya sebagai menentang kezaliman dan penghapusan etnik di Rakhnie.

Ketegasan  Dr Mahathir menyampaikan suara hati keseksaan etnik itu kepada Suu Kyi pada pertemuan mereka selain  menggesa usaha dilakukan bagi membetulkan salah laku rejim Myanmar itu.


“Di Myanmar, umat Islam di Rakhine dibunuh, rumah mereka dibakar serta jutaan pelarian telah dipaksa untuk melarikan diri hingga lemas di lautan, tinggal di pondok sementara, tanpa air dan makanan, tanpa sistem sanitasi yang sempirna.

“Bagaimanapun, pihak berkuasa Myanmar termasuk penerima Anugerah Nobel Keamaan Laureate menafikan perkara ini berlaku,” tegas Dr Mahathir.

Sebelum ini pun Dr Mahathir menyuarakan pendirian tegasnya beberapa kali secara lantang mengenai nasib umat Islam Rohingya termasuk pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada September lalu.

Dalam kedudukan Perdana Menteri sedar bahawa Suu Kyi adalah ‘Kauselor Negara’ tetapi peluang untuk menyatakan  pendirian pada sidang kemuncak ASEAN itu sangat penting.
Dengan reputsainya sebagai pemimpin tegas di arena antarabangsa, Dr Mahathir yang tidak diselubungi dengan isu-isu seperti rasuah dan kleptokrasi antarabangsa, pastinya beliau bebas menyatakan pendirian negara.

Menjawab soalan sama ada beliau (dr Mahathir), sebagai Perdana Menteri Malaysia, akan terus mengkritik Myanmar dan Suu Kyi berhubung layanan yang diberi kepada masyarakat Rohingya sekiranya tiada langkah diambil dalam masa beberapa bulan lagi, Dr Mahathir berkata: "Saya rasa beliau benar-benar tahu tentang pandangan saya dan pandangan kerajaan."

Dr Mahathir turut mendedahkan beliau  mengutus sepucuk surat kepada Suu Kyi tetapi ‘Kaunselor Negara’ Rohingya itu tidak mengaku menerima surat berkenaan. Perdana Menteri memberitahu beliau langsung tidak bertanya Suu Kyi mengenai surat itu sama ada beliau menerimanya atau tidak.

Namun di sebalik itu, Perdana Menteri berpendapat: "Tapi, beliau tentu tahu benar bahawa ketika beliau hidup dalam tahanan, kami beri sokongan penuh kepadanya. Kami berusaha dengan sedaya upaya; kami berbincang dengan (Jeneral Kanan) Than Shwe agar beliau dibebaskan dan sebagainya. Saya pun pernah sebut bahawa orang yang pernah hidup sebagai tahanan sepatutnya faham tentang penderitaan orang yang dilayan dengan teruk.”

Yang nyata, Dr Mahathir dengan tegas membuat pendirian bahawa  pemimpin Myanmar itu cuba "mempertahankan yang tidak dapat dipertahankan" dalam mewajarkan keganasan dilakukan pasukan keselamatan negara itu terhadap penduduk Islam Rohingya khususnya  di Rakhine.

Berikutan sikap tegas dan kritikal beliau  terhadap rejim Myanmar, khsuusnya Suu Kyi, rakan Myanmar dalam ASEAN yang mempunyai 10 anggota itu turut mengkritik secara langsung selain "prihatin" terhadap isu Rohingya.

Pemimpin berkenaan berharap orang Rohingya akan dapat kembali ke kampung halaman mereka di Myanmar dengan selamat.

Ketegasan pemimpin ASEAN mengkritik sikap Yanggon dan Suu Kyi memang dinanti-nantikan dan sebelum ini tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada Najib dan Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Forum ASEAN, apa lagi UNGA, tidak dijadikan medan untuk menyuarakan hasrat ini secara serius.

Sebaliknya Najib khususnya bercakap krisis Rohingya hanya di dalam negara yang menggambarkan betapa beliau hanya menggunakan krisis Rohingya untuk kepentingan politik peribadinya, menggunakan platform UMNO/Barisan Nasional dalam usaha berbaik-baik dan bekerjasama dengan PAS yang turut menggunakan isu ini – kononnya bersimpati dengan masalah yang dihadapi etnik Rohingya – gara dapat duduk sepentas dengan Najib.


Namun di sebalik semua ini, kembali ke tahun 1993, pencalonan siri berita dan rencana saya mengenai krisis Rohingya ke Institut Akhbar Malaysia untuk Anugerah Kajai 1993 terpaksa ‘ditolak-ansurkan’. Ia bagi membolehkan wartawan Harian Metro, akhbar yang masih baru kertika itu memenanginya.

Saya masih ingat kata-kata Allahyarham Tan Sri A Samad Ismail di luar majlis penganugerahan berkenaan di Kuala Lumpur:  “Kamu Hambali sudah menang sekali, berilah pula peluang kepada orang lain pula memang. Lagipun Harian Metro daripada kumpulan akhbar kita’.

Saya amat faham tujuannya!

Walaupun tidak mendapat anugerah, saya berpuashati kerana laporan mengenai krisis Rohinga itu mendapat perhatian mendalam banyak pihak sejak disiarkan oleh Berita Harian antara Februari dan Mac 1992 itu.

Harapan ialah dapat menjejak kaki sekali lagi ke kem pelarian Rohingya yang kini jauh tersusun berbanding ketika saya mula menjejakinya pada 1992.

Sunday, May 13, 2018

BIARKAN ‘KATAK PEMBELOT’ JATUH KE LONGKANG, BIARKAN-BIARKAN.......


Bukan mahu mengajar Perdana Menteri atau pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) mengenai penghijrahan beramai-ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen ke dalam HARAPAN.

Sekadar mahu mengingatkan bahawa politik di Semenanjung, khususnya di Putrajaya,  bukan seperti apa yang sering berlaku di Sabah.

Juga bukan sekali-kali berniat menghina pemimpin politik di Sabah. Namun isu ‘katak’ - katak kecil atau katak besar di Sabah - hendaknya jangan menjadi ikutan di Semenanjung.

Mungkin bagi negeri seperti Perak dan Kedah, kedatangan dua atau tiga ADUN ke HARAPAN tersangat penting untuk membentuk kerajaan negeri.

Namun untuk membuka pintu penghijrahan beramai-ramai perlu diteliti apakah penghijrahan ADUN atau Ahli Parlimen itu mendatangkan lebih banyak kebaikan daripada keburukan.

Jaminan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa HARAPAN tidak akan mudah menerima ‘pembelot’ sesuatu yang sangat-sangat dihargai.


Bagi yang bekerja kuat dan bersungguh-sungguh menegakkan ‘bendera HARAPAN’ bagi membolehkan ia mencapai ‘kemenangan luar biasa’ akan kecewa jika ‘pendatang’ diterima dengan begitu mudah.

Apalagi, pendatang dan ‘katak’ yang datang itu bukannya kawan kerana sebelum ini mereka adalah musuh ketat, terutamanya daripada Barisan Nasional yang menyokong kepimpinan kleptokrat.

Bukan mudah untuk melupakan segala pengorbanan sama ada tenaga atau wang ringgit untuk membolehkan HARAPAN menang.

Tiba-tiba berduyun-duyun pula datang meminta ihsan dan menunjukkan tanda sokongan kepada HARAPAN (bekas musuh mereka). Pastinya banyak pihak melihat gerakan nini dengan penuh berhati-hati.

Yand di dalam PKR, DAP, AMANAH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia pastinya akan memerhati kedatangan mereka itu dengan berhati-hati.

Benar seperti kata Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh (kanan) yang mahukan HARAPAN tidak sewenang-wenangnya menerima wakil rakyat bn yang 'melompat'.

Memang benar pendapat bahawa kemasukan mereka akan menguatkan sokongan kepada HARAPAN.

Namun hakikat yang perlu dinyatakan dengan jelas ialah mereka kini melompat ke ‘bahtera yang sedang belayar megah’, sedangkan bahtera mereka (BN) sudah karam dan tenggelam.

HARAPAN tidak memerlukan pemimpin yang menyokong bekas pemimpin yang membuat banyak kesilapan dalam pengurusan negara – aset, harta, rakyat, pentadbiran dan sebagainya – kerana yang nyata,  yang sedang melompat adalah kumpulan yang baru terjaga daripada tidur mereka.

HARAPAN bertanggungjawab kepada penyokong dan pengundi. Apakah mereka di bawah gembira dengan ‘katak-katak’ berkenaan?

Jangan dikompromikan pembaharian dan hasrat melakukan reformasi dalam banyak perkara membabitkan pentadbiran hanya kerana memerlukan kemasukan ADUN dan Ahli Parlimen BN itu.

Mungkin benar juga apa yang dilakukan oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang melalui teknik 'anti lompat parti' yang diperkenalkan pada tahun  2012.

Usaha itu memperuntukkan mana-mana ADUN mesti mengosongkan kerusi jika dia meletak jawatan, dipecat atau berhenti menjadi ahli parti (dengan beberapa pengecualian).

Apapun, dengan jaminan bahawa hanya mereka yang “bebas daripada  sebarang pertuduhan” akan dilayan membawa sedikit kelegaan.

Janji Dr Mahathir juga ialah HARAPAN juga akan mengkaji  setiap satu-satu kes selain penglibatan mereka dalam kerajaan terdahulu.

Soalnya apakah jika bekas Exco menjadi ‘katak’ mereka akan diberikan tempat istimewa seperti sebelumnya?

Rasanya tidak. Dan sekiranya sekadar untuk mencukupkan bilangan bagi membentuk sesebuah kerajaan negeri, mungkin tidak akan menimbulkan masalah untuk menerima mereka.

Cumanya perlu beringat, sekiranya sekali menjadi ‘pembelot’ dia atau mereka mungkin boleh menjadi pembelot sekali lagi. Pastinya jika itu berlaku, pastinya akan menyusahkan HARAPAN.

Jika mahu mengelakkan ia benar-benar berlaku, maka baik dibiarkan ‘katak-katak’ itu melompat ke longkangdaripada jatuh ke halaman kita yang sudahpun terbina dengan indah dan jayanya!

Sunday, April 8, 2018

ADA RAHMAT DI SEBALIK TEKANAN ROS, BARISAN NASIONAL TERHADAP PH...



Penggunaan satu logo – PKR – oleh Pakatan Harapan (PH)  bukan sahaja bersejarah. Ia tidak seperti ketika  Pakatan Rakyat sebelum ini di mana parti-parti yang bertanding seperti ‘enau alam belukar, melonjakkan pucuk masing-masing’.

Kali ini semua pihak perlu melonjakkan satu nama sahaja – PKR – sama ada dalam konteks logo, bendera atau parti yang diwakili mereka berdepan dalam pilihan raya.

Biarpun PH melalui PKR akan melalui beberapa penyesuaian termasuk dalam konteks pentadbiran, watikah untuk calon, logistik dan sebagainya, namun tempoh yang ada dipercayai mampu untuk membolehkah PKR mengorak langkah sewajarnya.

Persetan dengan pandangan mengatakan akan wujud banyak masalah dalaman PH berikutan penggunaan logo PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)  nanti.

Kata-kata itu  dibuat berasaskan kononnya wujud perbezaan ideologi dan sikap menegakkan kepentingan masing-masing yang ada pada pemimpin dan penyokong parti, yang diramalkan memang sukar untuk menerima satu logo.

Ada juga pandangan, keputusan menerima satu logo itu akan mengelirukan ahli.

Malah ada meramalkan akan wujud perbalahan sesama penyokong.

Namun sejauh ini logo PKR diterima baik oleh semua pihak. yang penting semua pihak berkorban demi menentang Barisan Nasional (BN) dan menumbangkan kerajaan pimpinan Najib Razak.

Malah, dalam persetujuan dan penetapan penggunaan satu logo ini  - biarlah rakyat menilai.

Dalam meraikan kejayaan dan persetujuan menggunakan logo PKR ini, rasanya tidak lengkap jika tidak direnung kembali bagaimana semua peristiwa berlaku sebelum ini mempunyai hikmahnya yang tersendiri.

Hakikatnya adalah suatu ‘blessing in disguise’ kepada semua pertelingkahan yang berlaku dan usaha kerajaan melalui Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang cuba melenyapkan Parti Pribumii Bersatu Malaysia (PPBM) dan PH sebaliknya perkara lain yang memeranjatkan pemimpin BN/UMNO dan Najib Razak pula yang berlaku.

Kejayaan RoS bagi  menggagalkan pendaftaran PH,  selain pertelingkahan dalaman PH mengenai penggunaan logo di negeri-negeri tertentu sebenarnya adalah suatu rahmat besar bagi mereka yang menentang kerajaan pimpinan Najib.


Secara logik akal, ramai tertanya-tanya bagaimana boleh keadaan di mana pada suatu ketika, logo PBM yang dicadangkan digunakan untuk beberapa negeri tetapi kini semuanya berubah kepada logo PKR?

Pertikaian mengenai penggunaan logo PPBM di negeri-negeri seperti Kelantan dan Terengganu agak hangat.

Maka terkeluarlah suara-suara supaya di sesetengah negeri logo AMANAH sewajarnya digunakan. Bukan sahaja di Kelantan dan Terengganu logo AMANAH dikatakan wajar digunakan, tetapi juga di Kedah.

Keadaan menjadi semakin hangat apabila semuanya  tidak menjadi bagi PPBM apabila RoS mengancam akan menggagalkan pendaftaran parti PPBM.

Akibatnya, harapan penyokong  AMANAH semakin tinggi khususnya di Kelantan dan Terengganu bahawa logo mereka pasti akan digunakan.
Sesetengahnya menjadikan isu logo AMANAH ini  sebagai tular utama di Kumpulan WhatsApp.

Sebelum itu  isu logo PH turut menjadi kemelut penting dalam pakatan itu selepas semua parti bersetuju untuk menggunakannya.

Maka gegak gempitalah seluruh Malaysia kononnya logo PH akan menjadi simbol perjuangan mereka dalam menentang BN dan rejim kleptokrasi.

Ia bagaimanapun tidak diluluskan.

RoS bagi pihak kerajaan BN menolak kelulusan PH itu dan seterusnya secara automatik logo mereka turut tidak diluluskan.

Maka banyak pihak mempersendakan bahawa DAP akan memainkan peranan utama dalam  PH apa lagi Tun Dr Mahathir Mohamad secara sinis mengatakan akan mengguakan logo DAP.

Riuh rendahlah para penyokong BN mempersendakan Dr Mahathir dan PH kononnya DAP sudah mengetuai PH untuk pilihan raya. Seterusnya DAP juga dikatakan akan menguasai Putrajaya dan  memerintah Malaysia.


Di sebalik kedudukan ini, AMANAH berusaha  menonjolkan logo mereka sekali lagi selepas RoS kelihatan cuba menyusahkan PPBM untuk tujuan pendaftaran parti dan penggunaan logonya.

Di sebalik kepayahan ini, ada pemimpin PPBM begitu marah apabila ada pihak menyarankan agar dibuat strategi supaya bersiap sedia dengan langkah seterusnya sekiranya ‘Logo Bunga’ tidak diluluskan.

Sehingga ke hari  terakhir ‘hayat PPBM’, pemimpin PPBM tetap berharap logo mereka dapat digunakan. Di sebalik itu, AMANAH pula semakin menionjolkan dirinya agar logo mereka digunakan sekurang-kurangnnya di dua negeri.

Sementara PKR pula kelihatan tenang setenangnya.

Sesuai dengan kedudukannya sebagai antara parti pembangkang tertua bersama-sama DAP – PKR ‘cool’ dalam kerenah perebutan pengunaan logo antara PPBM dan AMANAH.

Akhirnya, selepas PPBM ‘dibubarkan sementara’ oleh RoS, Majlis Presiden mmbayangkan akan membuat keputusan mengenai penggunaan satu logo.

Rahmat Allah swt yang datang itu tidak ada siapa menjangkakan apabila logo PKR diberitakan akan dipersetujui untuk digunakan pada ketika  ada serangan daripada penyokong AMANAH di Terengganu untuk menolak usaha itu.
Caci dan maki hamun kepada pemimpin PKR dilemparkan selepas ada berita bahawa Dr Mahathir, Lim Guan Eng dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersetuju agar logo PKR digunakan.

Apabila pengumuman logo PKR digunakan, jelas sekali semua pihak menerimanya kecuali beberapa kerat yang tetap mahukan logo parti mereka tetap digunakan.

Kini, yang penting selepas pemimpin tertinggi PH sudah mengumum dan menerima logo PKR,  semua pihak wajar menerimanya dengan hati terbuka.

Tuduhan bahawa penggunaan logo PKR sebagai cara  untuk menutup ‘agenda DAP dalam PH” hanya kata-kata pihak yang terlalu bimbang dengan solidariti yang begitu terserlah di kalangan rakyat yang menyokong pembangkang.

Penggunaan logo PKR yang tidak pernah difikir atau terfikir sebelum ini sebenarnya sangat simbolik dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih dipenjara.

Menariknya, yang  mengetuai barisan menegakkan logo dan bendera PKR  ini pula ialah Dr Mahathir – pernah bermusuh dengan Anwar sebelum ini.

Jelas sekali persahabatan mereka  membawa satu rahmat yang besar - perpaduan dalam PH kini tidak boleh dikhuatiri dan dipertikaikan lagi.
PH kini adalah suatu pakaran yang begiru padu.

Untuk kali pertamanya dalam sejarah pilihan raya di Malaysia, pakatan pembangkang akan bertanding di bawah satu logo.

Ia akan berdepan dengan BN yang semakin gogah dengan krisis dalaman khususnya pererbutan kerusi antara komponenannya.

Rakyat turut mengasak kerajaan BN dengan isu-isu besar seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa, isu moral pemimpinnya, kleptoktasi dan kerajaan yang tidak memahami kehendak dan naluri rakyat.

Ternyata, sebagai masyarakat beragama di Malaysia, kita kena ingat, apa sahaja helah dan usaha BN untuk melemahkan lawan mereka – PH - tidak akan berlaku jika tidak diizinkan Tuhan.

Manusia merancang, namun Tuhan menentukan segala-galanya!

Wednesday, February 14, 2018

BERSELEHENG - DR MAHATHIR TIDAK BOLEH JADI PERDANA MENTERI?



Perkara berseleheng (bahasa Kelantan bermaksud tidak bersependapat atau krisis kecil) bukan satu kesalahan besar seperti menentang atau menderhaka kepada pemimpin.

Cumanya, tiada siapa boleh memberikan sebab sebenar apabila  berlakunya seleheng antara pihak tertentu.

Malah seleheng dikatakan punca pingat ditarik balik oleh pihak istana. Namun ini bukanlah suatu perkara yang boleh dianggap istimewa dan luar biasa.

Ada seseorang mengemukakan pertanyaan  “apakah masih viable dan feasible lagi hasrat Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk menobatkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri jika dapat menawan Putrajaya melalui pilihan raya, apabila pingat gelarannya ditarik balik?

Menurut yang sibertanya itu, “dalam keadaan pihak yang mempunyai budi bicara ke atas perlantikan ini telah memutuskan bahawa beliau (Dr Mahathir) “ada cukup kesalahan atau dosa” yang membayangkan masa depan bagi bekas Perdana Menteri 22 tahun itu menjadi Perdana Menteri sekali lagi, seakan 'gelap'.

Malah orang itu berhujah : “Adalah diyakini bahawa penarikan balik Darjah Kerabat kepada Tun Dr Mahathir Mohamad ini bukan berpunca dari orang politik dan tidak dipengaruhi oleh pertimbangan politik kerana ia adalah kuasa prerogatif yang tidak didorong oleh mana-mana pihak lain selaras dengan peruntukan Perkara 45(1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

Peruntukan ini menyebut bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan bolehlah menarik balik mana-mana pangkat atau gelaran atau pingat-pingat kehormatan yang telah dikurniakan kepada mana-mana penerimanya jika pada pertimbangan Baginda ada cukup kesalahan atau dosa yang telah dilakukan oleh penerimanya yang mengharuskan diperbuat demikian.”

Orang ini tidak memperkatakan secara khusus apa dosa atau kesalahan Dr Mahathir tetapi mengemukakan pertanyaan apakah Dr Mahathir ‘masih boleh dilantik Perdana Menteri’.

Persoalan asas beliau ialah,  oleh kerana Yang di-Pertuan Agong, Baginda mempunyai budi bicara yang luas, termasuk di dalam urusan perlantikan Perdana Menteri, di mana Perkara 40 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan secara jelas bahawa “Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi melantik seorang Perdana Menteri”, maka tidakkah nanti akan timbul masalah jika HARAPAN menguasai Putrajaya?

Sebelum melihat kepada apa kesannya penarikan balik pingat itu, elok juga jika dilihat kepada tindakan Istana Kelantan berbuat tindakan terhadap dua individu lain

Ada spekulasi bahawa ia ada kaitan dengan krisis Istana Kelantan pada 1990-an dan tindakan pemimpin Parti AMANAH ‘kononnya mempoerguna Tengku Muhammad Petra’ di ceramah mereka sejak beliau menyertai parti itu pada September 2016.

Malah dikatakan  pada satu ceramah, pemimpin AMANAH memperkenalkan Tengku Muhammad sebagai “bapa saudara Yang di-Pertuan Agong” sebagai menyokong perjuangan mereka yang menyebabkan Istana Kelantan kurang gembira.

Perbuatan itu dikatakan faktor berlakunya seleheng antara AMANAH serta pemimpinnya dengan Istana Kelantan.


Sebenarnya, apa yang berlaku kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Husam Musa atau juga Wan Rahim Wan Abdullah bukan sesuatu asing.

Ini  kerana di Terengganu, ia juga berlaku kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman sebelum ini.

Pingat ditarik balik  tetapi sebab-sebabnya sangat berlainan. Di Kelantan kerana faktor politik tetapi di Terengganu kerana faktor pentadbiran.

Jika di Kelantan, ada pula pihak menganggap tindakan Istana Kelantan  itu kerana ‘kesan pelanggaran Baiah’ oleh Husam dan Wan Rahim kerana keluar dari PAS, bagaimana dengan Dr Mahathir dan Ahmad Razif?

Sultan yang menganugerah dan Sultan boleh menarik balik keistimewaan itu. Dalam konteks ini, tiada perkataan malu atau zalim. Yang ada hanyalah redha.

Di pihak pemberi pula itu haknya dan jika pada waktunya dirasakan perlu dipulangkan, sudah pasti akan dipulangkan. Namun, jangan lari daripada semuanya ditetapkan oleh Allah swt.

Seperti dalam kes Ahmad Razif, daripada bergelar Datuk Seri, beberapa ketika dengan Encik atau Cik gu sahaja dan kini kembali Datuk Seri.

Juga, apakah penarikan pingat itu akan menjejaskan reputasi politik ketiga-tiga mereka?

Rasanya tidak sebesar mana. Cuma ada spekulasi mengatakan pintu untuk Husam menjadi Menteri Besar jika Pakatan Harapan (HARAPAN) menang sudah tertup rapat (rapat jip kata orang Kelantan).


Persoalannya, jika tidak Husam, apakah tiada pemimpin lain yang layak, khususnya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)? 

Malah, dispekulasikan sekiranya  Husam menang kerusi Parlimen, beliau juga tidak akan dipersetujui untuk dilantik Menteri Kabinet. Ini andaian semata-mata kerana bukan semua perkara mengenai perlantikan Kanibet ada di tangan Yang DiPertuan Agong (Sultan Muhamad ke V).

Atau spekulasi berkenaan kerana dendam kepada Husam yang mahu melihat karier politiknya berkubur dan jika hidup pun sekadar ADUN atau Ahli Parlimen sema-mata.

Berkaitan dengan  Dr Mahathir pula bagaimana?

Apakah akan ada lagi penarikan pingat selepas Dr Mahathir dan isteri memulangkan pingat kepada Istana Selangor pertengahan Disember 2017 lalu dan terbaru oleh Istana Kelantan pada 6 Februari lalu?

Apakah beliau tidak akan diterima menjadi Perdana Menteri sekiranya HARAPAN menang pilihan raya kesan daripada penarikan pingat berkenaan?

Apakah ‘isu yang berkaitan istana Kelantan’  mahu dibawa ke Pusat hanya kerana Sultan Muhamad V kini menjadi Yang di-Pertuan Agong?

Tidak wajar dispekulasikan bahawa tindakan Istana Kelantan menarik balik Darjah Kerabat kepada Dr Mahathir hanya berpunca daripada pertimbangan pihak istana bahawa ada cukup kesalahan atau dosa yang telah dilakukan oleh Dr Mahathir yang bertepatan pula dengan sumpah Baginda untuk memeliharakan Agama Islam dan memerintah secara adil dan aman.

Apakah Dr Mahathir menggugat keamanan dan wujudnya ketidakadilan sedangkan beliau belum pun memegang kuasa.


Isu ini memerlukan penyelesaian politik dan pentadbiran, selain mengambil kira kehendak rakyat ramai.

Kebijaksanaan Istana Negara dan Majlis Raja-Raja akan menentukan perkara ini.

Memandangkan menurut Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri “seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu”,  Istana Negara pastinya akan juga melihat kepada kehendak rakyat.

Apakah Raja-Raja Melayu termasuk Istana Negara tidak akan mengambil kira kemahuan rakyat?

Malah, adalah lebih baik untuk rakyat dan negara - jika benar ada seleheng antara Dr Mahathir dan Istana Kelantan atau mana-mana istana -  diatasi melalui perundingan dan meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi segala-galanya.

Pemuafakatan baik antara parti yang mendapat majoriti sokongan rakyat  dengan pihak istana, khususnya Istana Negara perlu diwujudkan demi kesejahteraan rakyat.

Bergantunglah kepada penasihat kedua-dua pihak untuk mencapai kata sepakat.

Matlamatnya, bukan mencari perbezaan -  selepas runtuhnya  pemerintahan Najib Razak selepas Pilihan Raya Umum ke-14 nanti – sebaliknya formula untuk pemerintahan yang adil dan saksama untuk semua rakyat negara ini.

Inilah antara ujian getir yang perlu difikirkan dan jangan ada pihak yang cuba menggunakan ‘kerengganan antara pentadbiran negara dengan Istana’ bagi mengucar-kacirkan keadaan.

Sekiranya jalan keluar yang baik dapat dicapai, rakyat dan negara yang akan mendapat I,buhan besar daripadanya.

Pada ketika itu, isu penarikan pingat tidak akan timbul lagi.

Malah kemungkinan pingat dengan darjat lebih tinggi lagi akan dianugerahkan kembali kepada mereka yang ditarik pingat sebelum ini.

Harapan rakyat adalah untuk melihat institusi pentadbiran negara dan istana bergandingan rapat demi masa depan, keharmonian  serta  kesejahteraan semua bukan  sebaliknya.

Kerana itu isu penarikan pingat khususnya terhadap Dr Mahathir biarpun dilihat sebagai suatu ‘krisis kepimpinan politik dan istana’ tetapi hakikatnya ia suatu ‘kocakan kecil dalam sebiji cawan’ yang akan kembali tenang sekiranya kedua-dua pihak tidak menjadikannya sebagai suatu krisis berterusan.

Yang pentinf semua pihak perlu berlapang dada dan meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi segala-galanya.

DAULAT TUANKU!