Thursday, October 14, 2010

KONSPIRASI KAITKAN NAJIB, ROSMAH...

Kenapalah begitu terdesak sekali pihak pembangkang mahu kaitkan Perdana Menteri dan isteri dalam kes liwat Anwar Ibrahim?

Apakah tidak ada cara 'bersih' untuk menjatuhkan seseorang? Jangan kerana pemimpin parti yang kita dokong kotor maka kita mahu 'mengotorkan' orang lain juga!

Kini apa lagi mahu dikatakan oleh mereka?

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong (gambar kiri) mendedahkan wujudnya konspirasi oleh pihak tertentu untuk mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes liwat ketua umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Apa kata pemimpin PAS seperti Datuk Mahfuz Omar, Datuk Husam Musa, Datuk Salahuddin Ayob dan kumpulan yang sering memperkatakan isu ini terhadap pendedahan Wee?

Tidak benar? Konspirasi?

Menurut Wee, jelas terbukti apabila kandungan surat akuan bersumpah (SD) pertama yang ditandatangani bekas setiausaha sulit Anwar, Muhamad Rahimi Osman pada 29 Jun 2008, langsung tidak mengaitkan sesiapapun (Najib ataupun Rosmah) sebagai terlibat dalam laporan polis bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, berhubung kes liwat berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, SD kedua yang ditandatangani Rahimi, kandungannya telah dipinda dan cuba mengaitkan Najib dan Rosmah dalam kes itu.

"Saya telah diminta menjadi 'pesuruhjaya sumpah' pada SD pertama Muhamad Rahimi, dan saya boleh mengatakan 100 peratus dalam surat pertama yang dikatakan oleh pihak tertentu telah hilang, kandungannya tidak menuduh sesiapapun (Najib ataupun Rosmah) terlibat dalam laporan polis Saiful," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Ketika ditanya mengenai SD kedua, Wee menafikan ia ditandatangani pada hari yang sama dengan SD pertama, sebaliknya beberapa hari kemudian, tanpa kehadiran beliau.

Sehubungan itu, Wee yang juga seorang peguam menegaskan, beliau langsung tiada kaitan dengan SD kedua Rahimi sebagaimana yang didakwa oleh ketua penerangan parti PKR Latheefa Koya dan ketua Pemuda PKR Kedah Saiful Izham Ramli.

Bagaimanapun, ketika ditanya siapa yang merancang konspirasi itu, beliau enggan mengulas lanjut.

Wee, yang juga bekas anggota majlis tertinggi PKR, tetapi keluar daripada parti itu Mei lepas kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinannya, berkata demikian sebagai respons kepada cubaan Latheefa dan Saiful Izham untuk mengaitkan beliau dengan skandal tersebut, dalam keterangan mereka di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Bukit Aman semalam.

Baru-baru ini, Rahimi mendakwa beliau dipaksa menandatangani dua SD pada 2008 bagi mempertahankan Anwar daripada pertuduhan liwat serta mengaitkan Najib dan isterinya dalam kes itu.

Semalam, seorang lagi bekas pembantu am kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam berhubung satu Akuan Bersumpah yang ditandatanganinya pada 2008.

Rasid Rosdi, 31, dalam satu kenyataan yang dihantarkannya kepada Bernama melalui e-mel berkata, beliau membuat laporan polis itu kerana mendakwa akuan bersumpah yang ditandatanganinya itu dilakukan secara paksaan dan dalam keadaan tertekan.

Rasid yang merupakan bekas banduan dan mengaku mengenali Anwar semasa dalam penjara berkata, pada malam 28 Jun, 2008, selepas Mohd Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis berhubung dakwaan diliwat Anwar, dirinya telah dipanggil ke sebuah hotel di Shah Alam dan ditahan serta dikawal rapi selama beberapa hari.

"Saya dipaksa oleh Latheefa Koya (Ketua Penerangan PKR) untuk menandatangani satu akuan bersumpah sedangkan saya tidak pernah mengarang atau membuat akuan bersumpah tersebut.

"Saya juga tidak bersetuju dengan kandungan akuan bersumpah tersebut dan Latheefa tidak pernah menceritakan kepada saya mengenainya serta saya tidak memahaminya seratus-peratus," dakwanya.

Rasid mendakwa beliau menurunkan tandatangan pada akuan bersumpah itu kerana bimbang akan keselamatan diri dan keluarganya.

Beliau berkata, langkah membuat laporan polis itu diambil selepas melihat bekas pembantu kepada Anwar, Rahimi Osman yang terlebih dahulu membuat tindakan sama di IPD Klang Selatan pada 6 Oktober lepas.

"Selepas melihat Rahimi saya terpanggil untuk membetulkan keadaan. Saya juga telah membuat satu akuan bersumpah yang baru bagi menceritakan perkara yang sebenar.
"Namun saya tidak boleh mendedahkannya kerana saya juga risau jika ianya boleh menganggu perbicaraan mana-mana kes di mahkamah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada Rasid dan berkata laporan itu akan dirujuk ke Bukit Aman.