Wednesday, September 16, 2009

UMNO TERENGGANU BERTAUT KEMBALI…

Carek-carek bulu ayam…akhirnya Hishamuddin got the last laugh…
Benarlah ramalan saya pada entri kelmarin (Ahad) bahawa kemelut politik Terengganu akan terlerai sebelum Aidilfitri.

Setidak-tidaknya kini enam daripada ‘Geng 10’ sudah kembali semula ke arus perdana politik Terengganu.

Mereka ialah, Datuk Din Adam (Bukit Besi), Muhammad Ramli Noh (Tepoh), Ramlan Ali (Jabi), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Pehemi Yusoff (Kota Putera) dan Nawi Mohamad (Hulu Besut).

Seorang lagi ADUN yang hadir tetapi bukan daripada kumpulan 10 ialah Wan Hakim Tan Sri Wan Mokhtar (ADUN Air Putih).

Soal sokong Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar bukan yang terpenting tetapi soal utama ialah sama-sama mendokong UMNO dan kepimpinan negeri yang berketuakan Datuk Seri Hishamuddin Hussein menjadi perkara utama.

Saya dan semestinya semua rakyat Terengganu yang mahu melihat kiambang bertaut amat lega kerana tujuh ADUN selain empat yang terus menyepi – Datuk Rosol Wahid (Ajil), Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang),Alias Abdullah (Alor Limbat) dan Zakaria Abdullah (Paka) – tengah hari semalam membuat ikrar di hadapan Hisham untuk memperkukuhkan parti.

Ini sangat penting kerana sekiranya kemelut berlarutan, ia akan menjejaskan peluang UMNO untuk menang besar dalam pilihan raya umum akan datang.

Berkaitan Datuk Idris Jusoh (Adun Jerteh), beliau sudah menyatakan kepada Presiden parti, Datuk Seri Mohd Najib Razak bahawa beliau tidak pernah menentang Ahmad Said.

Tidak apalah, walau apa juga tanggapan orang ramai dan ahli UMNO terhadap Idris, hanya Najib, Hishamuddin dan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetahuinya.

Tengah hari semalam tujuh ADUN berkenaan membuat pertemuan dengan Hishamuddin di Putrajaya untuk menyatakan sikap dan pendirian mereka untuk kembali ke arus perdana politik Terengganu.

Dengan kembalinya mereka bermakna, Ahmad Said ‘diterima’ sebagai Menteri Besar dan apabila menerima Ahmad Said bermakna mengakui keputusan istana melantik Ahmad Said.

Selepas ini tiada persoalan lagi mengenai Menteri Besar atau juga isu perlantikannya.

Din Adam yang menjadi jurucakap ‘Kumpulan Tujuh’ itu sudah menyatakan ikrar mereka kepada Pengerusi Perhubungan Negeri yang dipertikaikan perananya dengan begitu teruk oleh Rosol sebelum ini.

Dengan pendirian sedemikian bermakna apa yang dipertikaikan oleh Rosol seperti Hishamuddin gagal menyatukan UMNO Terengganu dan menjadi orang tengah antara Kumpulan 10 dan Ahmad Said ternyata terpalit kepada muka Rosol sendiri.

Sudah pasti berita ini akan melegakan semua pihak di Terengganu, lebih-lebih lagi yang mahu melihat pemimpin muda di negeri ini memberikan sumbangan yang sewajarnya.

Kesemua mereka ini adalah golongan muda yang mampu ‘bermain politik dan menyumbang tenaga’ untuk tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

Malah, jika mereka terus berada di persimpangan atau di luar lingkungan, peluang mereka untuk meningkat akan tergencat.

Kini bola sudah di tangan mereka. Merekalah yang wakar menentukan ke mana bola akan ditendang.

Bagi saya, potensi beberapa pemimpin muda ini boleh melangkah jauh, bukan sahaja politik bahagian dan negeri tetapi juga pusat.

Dan kepada ADUN yang masih menyepi dan menjauhkan diri, kembalilah segera menyertai rakan mereka yang sudah ‘kembali ke pangkal jalan’.

Letakkan kepentingan perpaduan UMNO sebagai yang terpenting, bukan kesetiaan kepada rakan yang boleh menjahanamkan karier politik sendiri!

KERAJAAN BEBAS 5 TAHNAN ISA

Shukur ke hadrat Allah kerana kerajaan membuat keputusan tepat apabila membebaskan sebahagian lagi tahanan ISA.

Kelima-limanya dibebaskan selepas kementerian mendapati mereka menunjukkan pemulihan yang positif dan tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Mereka ialah:


Menurut laporan media, suami aktivis Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Norlaila Othman bersama empat lagi tahanan dibebaskan dari kem perlindungan Kamunting, Taiping petang ini.

Pada pengumumannya di Putrajaya hari ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Mat Sah Mohd Satray bersama empat lagi tahanan Akta Keselematan Dalam Negeri (ISA) itu dituduh terlibat dengan gerakan pengganas Jemaah Islamiah (JI).

Mat Sah (foto), yang pernah bekerja dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, ditahan pada April 2002 atas tuduhan terlibat dengan gerakan Islam itu.

Turut dibebaskan, Dr Abdullah Daud, seorang pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai yang ditahan 3 Jan 2002.

Tiga lagi yang turut dibebaskan: Mohd Nasir Ismail @ Hassan, Ahmad Kamil Md Hanapiah dan Muhammad Amir Md Hanapiah.

Ketiga-tiganya ditahan di kem Kamunting mulai 30 Mei 2007.

Dalam sidang medianya, menurut Bernama, Hishammuddin menafikan pembebasan mengejut ini ada kaitan dengan pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang yang akan diadakan pada awal bulan depan.

"Pembebasan mereka hari ini untuk memberi mereka peluang menyambut Aidilfitri bersama keluarga masing-masing.

"Ia tidak ada kena-mengena dengan pilihan raya kecil Bagan Pinang," beliau dipetik berkata.

Tambahnya, dengan pembebasan itu, kini tinggal sembilan lagi tahanan ISA - empat rakyat Malaysia dan masing-masing seorang warga Bangladesh, Pakistan, Thailand, Singapura dan Indonesia.

Apabila Datuk Seri Najib Razak mengambil alih jawatan perdana menteri pada 3 April lepas, beliau mengumumkan pembebasan 19 tahanan ISA.

Manakala pada Mei lepas, seramai 13 tahanan termasuk tiga pemimpin pertubuhan haram Hindraf, telah dibebaskan.

Menurut agensi berita itu lagi, terdahulu Hishammuddin mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Persatuan Peguam Syarie mengenai pindaan akta itu.

Beliau dipetik berkata perbincangan menyentuh mengenai ketelusan ISA, tempoh tahanan serta layanan terhadap tahanan.

"Tetapi dalam pertimbangan mengenai keselamatan negara, semua bersetuju bahawa ISA masih lagi diperlukan selagi belum ada akta baru diperkenalkan untuk memansuhkan ISA," kata Hishammuddin lagi.

Sementara itu, sebagai reaksi segera, Norlaila yang terkejut dengan pembebasan Mat Sah tetap menyatakan kesyukurannya.

"Syukur kepada Allah dan (saya) nak berkongsi rasa gembira ini dengan semua rakyat Malaysia yang selama ini menyokong perjuangan saya dan GMI," katanya kepada Malaysiakini melalui mesej SMS.

Beliau yang kini berada di Sabah tidak dimaklumkan lebih awal tentang permbebasan suaminya itu.

Norlaila menambah, beliau berharap akan mengadakan sidang akhbar berhubung perkara tersebut setelah kembali ke Kuala Lumpur malam esok.