Monday, July 13, 2009

ISTIKARAHLAH DEMI RAKYAT MANEK URAI

Bagi yang mengundi esok, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta mereka buat (solat) istikharah. “Tidak salah memilih BN kerana BN mampu (membawa perubahan dan pembangunan)" .

Timbalan Perdana Menteri semalam turut mengulangi cabaran kepada kerajaan negeri pimpinan PAS untuk menyatakan apa yang mereka lakukan untuk pembangunan Islam dan ummah di negeri yang diperintahnya sejak 1990.
"BN kalah pun kita tetap bina 564 buah masjid di seluruh Kelantan," katanya. Kerajaan Persekutuan juga membina banyak kemudahan lain seperti sekolah, hospital untuk kemudahan rakyat.

Beliau meminta rakyat supaya tidak terlalu emosional dan terlalu mengagung-agungkan Nik Abdul Aziz kerana dia gagal menjalankan tugas sebagai seorang pemimpin negeri.

Bagi yang tidak mengundi, horey, horey esok cuti di Kelantan. Jom pergi ke Manek Urai ramai-ramai. Lihat apa yang berlaku di sana.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengisytiharkan esok sebagai cuti umum bagi semua penjawat awam yang bekerja di Kelantan.

Langkah itu diambil selepas mengambil kira kepentingan umum, memandangkan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai akan berlangsung esok.

Beliau berkata pihaknya melihat bahawa hari mengundi yang ditetapkan esok boleh menimbulkan banyak kesulitan kepada pengundi kerana ia diadakan pada hari bekerja.

"Saya isytihar esok 14 Julai (Selasa) sebagai cuti umum bagi seluruh negeri Kelantan, diambil atas sebab 'Cuti Peristiwa'. Dalam semangat pro demokrasi, kami mesti mengutamakan kepentingan rakyat dan mendahulukan pencapaian," katanya.

Esok merupakan hari mengundi pilihan raya kecil DUN Manik Urai yang diadakan ekoran kematian Anggota Dewan Undangan Negeri dari PAS Ismail Yaakob pada 22 Mei lepas.
Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat, 39, dan calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah, 50.

Sehingga ini PAS tidak mengumumkan secara jelas apa yang akan dilakukannya di Manek Urai jika memenangi pilihan raya itu. Seperti biasa, PAS menekankan soal Islam yang dibawanya.

Yang penting bagi PAS – Islam akan ditegakkan – soal mencari rezeki atau ‘untuk hidup’, pandai-pandailah rakyat menentukan nasib mereka.

Dakyah pembangkang yang mengatakan rakyat di kawasan itu tidak mementingkan pembangunan adalah tidak benar kerana rata-rata rakyat yang ditemui beliau dalam tempoh kempen pilihan raya kecil itu mengemukakan pelbagai permohonan projek pembangunan.

Biarpun mendapat semua ‘kemudahan asas’, penduduk Manik Urai Lama dan Manik Urai Baru tetap mahukan wakil rakyat baru yang bakal dipilih esok memastikan kemudahan sedia ada itu dinaik taraf.

Sebut saja semua ada, api (elektrik) ada, air ada, jalan ada, sekolah ada, pasar ada, klinik ada, masjid ada sehinggalah stesen kereta api pun ada di Manek Urai.
Namun, bagi penduduk di Manek Urai, ia tidak cukup hanya memastikan kemudahan itu sekadar ada tetapi tidak berbuat sesuatu untuk menaik taraf apa yang telah ada itu.

Ada yang mahu melebarkan jambatan sempit ke kampung ini termasuk membesarkan jalan kampung.
Selain itu, mereka juga mahu memastikan keadaan Pasar Manik Urai Lama dinaik taraf bagi menjamin keselesaan pengunjung pasar itu setiap hari.

Mereka juga mahukan tandas awam dan tempat meletak kenderaan yang agak banyak. Juga mereka mahukan jalan kampung yang ada diperbaiki kerana banyak yang rosak.

Ia juga perlu diperbesarkan kerana ia sangat sempit dan hanya boleh dilalui oleh sebuah kenderaan pada satu-satu masa.

Kenapa PAS ketika berkempen tidak menyebut soal pembangunan tetapi lebih kepada mengkritik kerajaan dan menyalahkan dasar-dasar yang ada.

PAS tidak mampu menawarkan pembangunan kerana mereka tidak mampu melaksanakannya, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya BN berjanji akan menjadikan Manek Urai sebagai kota agropolitan moden sekiranya parti itu mendapat mandat daripada rakyat, Selasa ini.

Muhyiddin berkata bagi membuktikan komitmen BN, sebuah jambatan baru akan dibina menggantikan jambatan lama di Kampung Manik Urai Lama, sejurus BN memenangi kawasan itu.

"JKR sudah mentaksirkan kos membina jambatan baru itu nanti adalah sebanyak RM7 juta... Kita (BN) janji jambatan baru itu akan dibina sehari (selepas) kita menang.

"Janji capai kejayaan dulu," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Kebangsaan Manik Urai, semalam.

Jambatan sempit, yang hanya boleh memuatkan sebuah kenderaan pada satu-satu masa berusia lebih 40 tahun, menimbulkan kesulitan kepada penduduk kerana tiada sebarang tindakan diambil bagi memperbaikinya oleh kerajaan negeri.

Pembinaan jambatan yang amat diperlukan penduduk serta tawaran menjadikan Manek Urai sebagai kota agropolitan dilihat sebagai kesungguhan Kerajaan Pusat untuk membawa Manek Urai dalam arus pembangunan negara.

Oleh kerana kawasan Manek Urai mempunyai ramai penduduk yang terbabit dalam bidang pertanian seperti penoreh getah dan pekebun kecil, kerajaan Pusat berharap pembangunan pertanian akan dilakukan secara lebih tersusun dan sistematik serta bantuan-bantuan berkaitan boleh disalurkan dengan lebih efektif.

Kerajaan Pusat membuat tawaran itu kerana sedar kerajaan negeri tidak mampu berbuat demikian dan pada masa yang sama rakyat Manek Urai memerlukan pembelaan.