Monday, September 14, 2009

MELAYU YANG SOPAN, SABAR DAN ISLAM…BAGAIMANA BOLEH BERPECAH?

Terkejut juga saya apabila dibisikkan oleh Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar Terengganu, Wan Ahmad Wan Muda ketika berbuka puasa di Kuala Lumpur kelmarin bahawa ada seseorang dari Arab Saudi mahu berjumpa saya di pejabat Menteri Besar.

Saya tanya beliau siapa, namun Wan Ahmad hanya tersenyum. Katanya, dia ini membaca blog saya dan menetap di Mekah.

Saya membayang-bayangkan rakan lama – wartawan, diplomat atau juga kenalan ‘kebetulan’ seperti dalam kapal terbang, kereta api dan sebagainya.

Bagaimana saya boleh ada kawan di sana? Atau mungkin kenalan ketika menghadiri sidang kemuncak OIC yang beberapa kali pernah saya hadiri. Atau mungkin juga dari Bank Pembangunan Islam (IDB).

Dari Libya dan Lebanon yang sering saya lawati? Tidak mungkin.

Saya tidak menemui jawapannya.

Tengah hari tadi saya ke tingkat 16 Wisma Darul Iman kerana orang Arab ini akan menemui Menteri Besar.

Sementara dia dipanggil masuk, saya sempat menjengahnya. Terkejut besar saya kerana dia memang Arab tetapi keturunan Arab. Sudah tinggal di Arab Saudi sejak hampir 30 tahun lalu. Dia berhijrah ke negara berkenaan pada 1980.

Seorang ahli perniagaan, Sheikh Halim Al-Kahiri berasal dari Terengganu dan kini adalah tuan punya Kumpulan Bin Nagi (Bin Nagi Group).

“Saya gembira jumpa Hambali….saya baca blog saudara di Mekah,” katanya dalam bahasa Melayu dengan sedikit pelat Teranggu.

“Saya berjumpa saudara untuk menyatakan kerisauan saya mengenai perpecahan orang Melayu dan Islam,” katanya.

Lantas beliau menggembalikan era 80-an apabila ketika itu Malaysia kurang dikenali. Katanya, jika di luar negara apabila ditunjuk passport, selalunya polis atau kakitangan imigresen di negara asing akan bertanya, ada dari Afrika? Atau anda dari Indonesia? Dan yang agak mengetahui sedikit rantau Asia akan tanya “Malaysia dekat Singapore ke?”

Namun menurut Sheikh Halim, segala-galanya berubah apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri. Malaysia bukan sahaja dikenali tetapi rakyat Malaysia mula diiktiraf kepakaran mereka dan tidak pelik kini ada lebih 50 pakar pelbagai bidang Malaysia di Arab Saudi sahaja.

Kata-katanya projek yang dilaksanakan oleh orang Malaysia di Arab Saudi diiktiraf baik dan bermutu.

Malah, menurutnya kerajaan Arab Saudi begitu menghormati tetamu dari Malaysia, termasuklah jemaah haji.

Baginya, kebimbangan mengenai perpecahan ini bukan semata-mata kerana kepentingan politik.
Beliau hairan bagaimana orang Melayu dan Islam di Malaysia yang lemah lembut, penyabar, bersopan dan beradab boleh memaki-hamun, mencerca sehingga turun ke jalan raya menunjuk perasaan.

Menurutnya sikap pemarah, pendendam dan melakukan pelbagai perangai yang memalukan bukan tradisi dan budaya Melayu.

Lantas katanya, mesti ada pihak yang mengajar atau menanamkan perangai buruk sedemikian yang menyebabkan ia menjadi ikutan.

Bagi Shekih Halim, orang Melayu dan Islam sewajarnya bertaut kembali kerana kekuatan Malaysia akan terjejas jika orang Melayu bertelingkah sesame sendiri.

“Saya harap melalui tulisan saudara, mesej boleh disampaikan kepada pemimpin dan orang biasa bahawa perpecahan Melayu akan menyebabkan perpecahan Islam.

“Jika orang Islam berpecah, kita tidak akan lagi dihormati. Belajarlah dari kejadian di Palestin, Somalia dan beberapa negara Islam lain,” tegasnya.