Thursday, March 25, 2010

ZULKIFLI BERSIHKAN IMEJ NAJIB, ROSMAH?

Siapakah yang menawarkan ganjaran besar untuk Zulkifli Nordin(Bebas-Kulim Bandar Baharu)?
Juga siapa itu pihak ketiga? Merekakah yang melakukan mungkar yang dimaksudkan Zulkifli?
Apakah pengakuan tergempar ini mendedahkan Zulkifli kepada siasatan polis?

Apakah apa yang diperkatakan oleh Zulkifli semalam akan membersihkan imej Perdana Menteri dan isteri yang begitu banyak dikaitkan dengan isu Altantuya?

Yang menariknya, Zulkifli di Dewan Rakyat semalam memohon maaf kepada mereka yang menjadi mangsa kepada percaturan politik kotor ini. “Saya berjanji akan berjumpa dengan mereka secara peribadi bagi memperbetulkan keadaan,” katanya.

Siapakah agaknya yang akan ditemui oleh beliau dan akan semakin banyakkah rahsia yang akan terbongkar?

Zulkifli juga mengingatkan kepada pihak tertentu agar tidak meletakkannya dalam keadaan yang memaksanya mendedahkan perlakuan mungkar yang berlaku. “Kalau saya berbuat demikian, letupan besar yang dibuat oleh Yang Berhormat Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim sekadar ‘kentut yang sepi’.

Bagi Zulkifli, begitulah kotornya mainan politik negara masa ini.

Apakah rahsia besar seterusnya yang akan didedahkan beliau? Akan tutupkah mulut mereka yang tidak sudah-sudah memburukkan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional?

Di Dewan Rakyat semalam, Zulkifli mendakwa pernah diberi tawaran lumayan oleh pihak tertentu untuk mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Tanpa mendedahkan pihak terlibat semalam, beliau berkata, antara tugasnya ialah mendapatkan pengakuan bersumpah daripada Perdana Menteri dan isterinya selain diminta membuat surat akuan bersumpah bahawa Najib dan Rosmah terlibat dalam pembunuhan tersebut.

Zulkifli berkata, ganjaran yang ditawarkan memang boleh menggoyahkan iman namun begitu beliau bersyukur kerana Allah melindunginya daripada terlibat dengan fitnah itu.

Zulkifli turut menegaskan, sebagai orang Islam semua pihak harus bersangka baik atau husnuzzan terhadap Perdana Menteri.

“Setahu saya Perdana Menteri telah melakukan sumpah menafikan pembabitan beliau dan setakat ini tidak ada antara kita yang berani bersumpah menafikannya.

“Oleh itu, bersangka baiklah sesama kita dan berpegang teguhlah kepada al-Quran. Bagaimana kita tidak suka difitnah orang, begitu jugalah kita tidak sepatutnya memfitnah orang lain,” ujarnya.

Pastinya aka nada pihak yang akan mengemukakan pendapat seperti ‘berapakah Zulkifli menerima habuan kerana membela Perdana Menteri”.

Namun , jika beliau merasakan itu yang baik, kenapa mahu dipertikaikan?

Dalam pada itu, katanya, beliau sungguh hairan bagaimana segelintir yang mengaku Islam tetapi dengan mudah menuduh seorang Islam lain melakukan pembunuhan tanpa sebarang bukti dan keterangan.

Ternyata genap seminggu Dewan Rakyat digemparkan dengan kejutan pertama oleh oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, semalam giliran Zulkifli Noordin pula membuat pendedahan menggegarkan politik negara.

Membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat semalam Zulkifli berkata: ““Atas sebab ini juga saya menarik diri daripada terus mengendalikan kes berkenaan kerana adanya gangguan daripada pihak ketiga yang menyebabkan mustahil bagi saya untuk terus bertindak secara profesional sebagai peguam membela bagi kes berkenaan.

“Kita perlu ingat takkanlah OKT-OKT (orang kena tuduh) tersebut sanggup dihukum mati di tali gantung kalau benar Perdana Menteri dan isterinya terlibat di dalam kes pembunuhan tersebut kerana saya sangat yakin pasti mereka akan dedahkan perkara itu jika ia benar.”

“Lebih malang lagi fitnah orang bukan Islam boleh diterima sebagai bukti tanpa sebarang soal lagi. Orang seperti P. Balasubramanian telah diterima fitnahnya dengan sekadar membuat surat akuan sumpah dengan bayaran RM4.

Namun begitu fitnah dan tohmahan tidak pernah dibangkitkan Balasubramaniam ketika memberi keterangan di mahkamah dan kepada pihak polis. Bagi saya dia hanya seorang oportunis yang mengambil kesempatan daripada kerakusan syaitan bertopengkan manusia,” tambahnya.

SAIFUDDIN CARI MASALAH LAGI...

Pagi semalam, saya menerima SMS daripada Datuk Ibrahim Ali. SMS itu bersambung-sambung sebanyak tiga frame semuanya.

SMS itu berbunyi: “Saya terperanjat dengan sifat jahat, biadap dan tidak berakhlak langsung tuduhan Saifudin Nasution yang membuat dakwaan saya ada saham saham judi dalam syarikat Ascot Spots kepunyaan Vincent Tan.

“Kenyataannya terbit dalam Malaysiakini yang ditulis oleh Salhan K Ahmad. Penulis dajal ini wujud atau pun tidak atau guna nama samaran,” tulisnya.

Menurut Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, kenyataan berkenaan bertujuan memburukkan namanya kerana kelantangan beliau memperjuangkan agenda Melayu.

“Saya bersumpah dengan nama Allah, wallahi wabillahi dan sedia junjung al-Quran bila-bila masa untuk membuktikan saya tidak ada kaitan, tidak ada saham, langsung atau tidak langsung (menguna proxi) dalam syarikat judi Vincent Tan,” tulisnya lagi.


Beliau juga mencabar supaya semakan dibuat dengan Suruhanjaya Sekuriti bagi membuktikan bahawa dakwaan MP Machang itu tidak benar.

Ibrahim juga berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang dan akan mengarahkan peguamnya untuk bertindak.

Hmm....ternyata Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail yang kelmarin bertelagah dengan Datuk Seri Nazri Aziz buat hal lagi.

Selepas cari pasal dengan Nazri semalam cari pasal pula pula dengan Ibrahim.

Jika kelmarin Saifuddin menuduh Nazri bohong, rupa-rupanya kelmarin juga dia bantai Ibrahim.
Aklibatnya di Dewan Rakyat semalam, Saifuddin dan Ibrahim menggunakan platfom Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim Bandar Baharu) - ketika beliau membahaskan Titah DiRaja yang menyentuh persoalan fitnah – untuk bertelagah antara satu sama lain.

Suasana menjadi tegang antara kedua-duanya sehingga Zulkifli meminta mereka menyelesaikan perkara tersebut di luar dewan.

"Saya ingat YB Machang dengan YB Pasir Mas boleh settle di luar (dewan)," katanya.
Segala-galanya berpunca daripada Saifuddin.

Seperti dikatakan di atas, kelmarin selepas tuduh Nazri bohong, Saifuddin melarat pula dengan menuduh Ibrahim.

Dengan maklumat diperolehinya melalui buku tulisan Barry Wain berjudul Malaysian Maverick yang setakat ini masih dalam penilaian oleh kerajaan, kelmarin beliau memohon kerajaan menjelaskan kelulusan lesen judi yang diberikan kepada sebuah syarikat yang dikuasai Tan Sri Vincent Tan.

Dengan nada menyindir, Saifuddin berkata: "Pasir Mas, pejuang tulen pun ada saham juga, itulah wajah sebenar pejuang Melayu. Untuk itu kita minta kementerian kewangan jelaskan perkara berkenaan," dakwanya.

Beliau menamakan syarikat itu sebagai Ascot Sports yang diberikan ruang sehingga 20 tahun untuk menjalankan perniagaan pertaruhan.

Jelasnya, perniagaan itu membabitkan pertaruhan untuk lumba kuda, bola sepak dan sukan-sukan lain.

"Syarikat ini membayar yuran operasi sebanyak 20 juta kepada kerajaan dalam urusniaga sebesar RM1bilion.

Sudah tentulah lesen ini diberikan oleh menteri kewangan, saya difahamkan menteri kewangan dan perdana menteri sebelum Abdullah Badawi mengambil alih kuasa. Menteri kewangan ini adalah Presiden Umno, Umno ialah parti agama bangsa dan negara," katanya lagi.

Berikutan dakwaan kelmarin itu, semalam Ibrahim naik angin.

Ketika Zulkifli berucap membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Ibrahim bangun mencelah dan berkata dakwaan yang ditimbulkan Saifuddin semalam merupakan satu fitnah besar.

"Saya tidak pernah ada saham judi seperti dituduh. "Saya berani bersumpah dan junjung al-Quran," katanya.

Ahli Parlimen itu bukan setakat naik angin dengan Saifuddin – dengan wartawan Malaysiakini pun beliau naik angin.

Pada sidang media selepas itu, Ibrahim berkata beliau akan mengambil tindakan mahkamah ke atas Saifuddin (kiri), dan juga Malaysiakini serta wartawannya, Salhan K Ahmad kerana menerbitkan berita berkenaan.

Katanya, berita yang mengaitkan beliau dengan saham syarikat judi itu merupakan satu fitnah terhadapnya.

Beliau juga mencabar Saifuddin supaya mengulangi dakwaannya itu di luar dewan.

Katanya lagi, beliau juga memanggil wartawan Malaysiakini dengan nama 'dajal' kerana menurutnya, Salhan menulis berita tersebut dengan "tidak bertanggungjawab,"

Usaha Salhan untuk mendapatkan reaksi Ibrahim pagi tadi dibalas dengan SMS yang berbunyi: “Tak payah lah, ...memang Malaysiakini jahat”.

“Sepatutnya terus dapatkan penjelasan dari saya dan (penjelasan saya) masuk serentak dengan dakwaan yang tidak betul,” tulisnya dalam SMS kepada Salhan.