Tuesday, February 17, 2009

USAHA BERTERUSAN GAGALKAN NAJIB...

Bahagian 1

Semakin hampir dengan Mac, semakin banyak pula teori politik yang ditabur dan kenyataan pemimpin pembangkang pun semakin terbuka mengkritik pemimpin UMNO, khususnya yang akan berada di puncak kuasa.

Teori-teori mengatakan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan kekal menjadi Perdana Menteri selepas Mac ini masih bersebaran.

Ada juak-juak yang menyebarkannya.
Mereka ini mendapat upah daripada kumpulan yang mahu mempertahankan Abdullah setelah tahu mereka ‘tidak akan diterima’ oleh Datuk Seri Mohd Najib Razak akibat perbuatan mereka yang keterlaluan itu.

Perbuatan mereka itu bukan baru malah sejak beberapa bulan lalu dan siapa kepalanya sudah menjadi “known secret”.

Apapun, untuk tidak menyusah dan mengusutkan politik Malaysia, marilah kita sama-sama menerima dengan tangan terbuka titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Parlimen semalam.

Secara terbuka, Seri Paduka Baginda sudah merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang bakal menyerahkan kepimpinannya kepada Datuk Seri Najib Razak, bulan depan.

Dalam titah ucapan merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-12 di Dewan Rakyat, Seri Paduka Baginda berharap peralihan kuasa itu akan berjalan lancar.

“Beta merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri di atas kepimpinan dan segala sumbangannya terutama dalam isu-isu pendemokrasian, akauntabiliti, integriti, pembanterasan rasuah, pengukuhan institusi kehakiman serta pendekatan Islam Hadhari.

"Beta berharap peralihan kepimpinan ini akan berjalan lancar supaya agenda pembangunan negara dapat diteruskan," titah Seri Paduka Baginda.

Juak-juak yang masih aktif bagaikan tidak reti-reti dengan kehendak Abdullah sendiri apabila pada 8 Oktober tahun lalu, Abdullah mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti Mac ini.
Dengan itu bermakna beliau akan meletak jawatan setelah menjadi Perdana Menteri sejak 31 Oktober 2003.

Bukan juak-juak sahaja yang bekerja untuk menggagalkan Najib.
Lihat apa mainan pembangkang, termasuk PAS apabila Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat minta Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengekalkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Ini bukan kali pertama Nik Aziz berkata sebegini.
Nik Aziz bercakap sebelah petang, sedangkan Seri Paduka Baginda bertitah untuk memberitahu rakyat mengenai kedudukan Abdullah dan Najib pada tengah hari.

Apakah Nik Aziz pun buat-buat tidak faham mengenai kedudukan ini?

Apakah Nik Aziz mahu mempertikaikan peralihan kuasa sedangkan Dewan Rakyat sudah dimaklumkan bahawa Abdullah ‘ akan pergi”?

Nik Aziz minta Abdullah pegang jawatan hingga pilihan raya umum depan.
Seperti kata lawi-ayam.blogspot.com, Apakah Nik Aziz ikhlas atau memasang strategi mudah untuk menggulingkan Barisan Nasional (BN).

Walau apa juga kata Nik Aziz, rasanya beliau melihat kekuatan yang ada pada Datuk Seri Mohd Najib Razak memang sukar untuk PAS rebahkan.

Nik Aziz melihat ‘merebahkan’ Abdullah lebih mudah berbanding Najib dan kerana itu beliau hari ini mengulangi sekali lagi supaya Abdullah diminta kekal jawatan PM sehingga PRU 13.

Walau apa juga alasan diberikan Nik Aziz mengenai Najib tetapi yang jelas Nik Aziz mesti tahu punca kenapa meminta Abdullah jangan berundur selepas perhimpunan agung Umno Mac depan.

Sebab utama menurut Nik Aziz ialah bagi mengelakkan politik negara terus menjadi kalut.

Kata Nik Aziz, ini kerana PAS melihat sudah terpalit dengan banyak isu dan kepemimpinannya semakin tidak dihormati rakyat di negara ini.

Beliau menyeru Abdullah usah mudah menyerah kalah kepada Najib biar pun pada perhimpunan agung Mac depan Presiden Umno sudah beralih kepada anggota parlimen Pekan itu.

"Kejadian penculikan tiga bekas Adun Pakatan Rakyat di Perak merupakan rancangan jahat Umno yang dikatakan turut melibatkan Najib. Ini kerana setelah menghilang diri beberapa hari mereka muncul bersama Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya.

"Bagi saya sahlah Najib punca kekalutan politik di Perak. Menculik wakil rakyat adalah salah dalam Islam. Malangnya perkara itu berlaku ketika Najib bakal menduduki kerusi Perdana Menteri tidak lama lagi," katanya.

Beliau ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur petang semalam.

Baru-baru ini Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu, Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Jelapang, Hee Yit Foong menghilangkan diri dan hanya muncul bersama Najib di Putrajaya bagi mengisytiharkan keluar dari Pakatan Rakyat.

Ekoran tindakan itu Najib mengadap Sultan Perak bagi membolehkan Menteri Besar BN dilantik.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, cara yang dilakukan Timbalan Perdana Menteri tidak kena adat orang Timur dengan merampas kuasa melalui penculikan wakil rakyat.
"Saya tak dapat terima cara Najib memancing tiga Adun terbabit yang menghilangkan diri dan kemudian muncul di televisyen.

"Kalau di Kelantan perkara seperti itu kita katakan pekerjaan hantu raya yang menyembunyikan orang," katanya.

Oleh itu beliau berkata, Abdullah perlu mempertahankan jawatan sebagai Perdana Menteri sehingga menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13 bagi mengekalkan kestabilan negara.

Menurutnya tidak sepatutnya beliau melepaskan jawatan disebabkan faktor kekalahan teruk Umno pada pilihan raya umum lalu.

Nik Aziz menasihatkan Abdullah supaya terus memikul tanggungjawab tanpa mudah menyerah kalah.

"Kalau Dato' Seri Abdullah rasa tak bersalah dalam hal ini, mengapa harus ambil tindakan untuk berundur? Saya tak faham politik Umno sekarang," ujar beliau.

Katanya, tidak menjadi halangan beliau terus kekal sebagai ketua kerajaan di Malaysia biar pun bukan lagi mengetuai UMNO.

Saya tidak faham kenapa Nik Aziz menyatakan demikian, sedangkan sudah jelas Seri Paduka Baginda bertitah bahawa Najib akan mengambil alih teraju pemerintahan.

Persoalannya , saya ulangi, apakah Nik Aziz berkata daripada hatinya yang ikhlas.

Atau mungkin juga mulutnya disumbat dengan perkataan oleh penasihat terdekatnya yang memang menjadi ‘orang suruhan Datuk Seri Anwar Ibrahim’ untuk menyerang Najib.

Ini kerana selagi Najib berada di takhta UMNO, orang itu tidak akan tercapai cita-citanya untuk menjadi Menteri atau pemimpin tinggi negara kerana Anwar tidak menjadi Perdana Menteri.

Hanya dengan menjatuhkan Najib atau Abdullah bersekali, barulah matlamat dan hasrat orang yang menjadi kepercayaan Nik Aziz itu boleh memenuhi cita-citanya.

Bagi saya Nik Aziz ada ‘hantu raya’ di dalam suaranya.

Tidak hairanlah kalau bukan saya sahaja terkejut dengan perubahan nada Nik Aziz ini.

Mohd Sayuti Omar (www.msomelayu.blogspot.com) tertanya-tanya dengan sikap Nik Aziz apabila beliau berkata “Gesaan Abdullah kekal PM- Saya harap Tok Guru Nik Aziz tidak ikhlas”.

SPEAKER PUN TUKARLAH...

Elok sangatlah kalau Speaker DUN Perak diganti.
Kerajaan baru perlu melantik Speaker baru. Lagipun speaker lama itu menyusahkan saja.
Macam-macam cuba dilakukannya dan ada pula tindakannya pelik.

Selain pelik melucukan, kata Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir kelmarin.
Ia berkaitan tindakan pakatan pembangkang mahu merujuk pelantikan Menteri Besar dan enam Exco kerajaan negeri baru kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak esok (Rabu).

Menurut Dr Zambry, ini kerana tindakan itu biasanya hanya diambil ke atas wakil rakyat yang melakukan kesalahan semasa persidangan DUN.

"Setahu kami, ini berlaku apabila seseorang ahli Dewan melakukan salah laku semasa Dewan bersidang.

"Ini sungguh melucukan dan saya pun tak tahu semuanya ini tentang apa," katanya.
Speaker DUN Perak, V. Sivakumar merujuk tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak kerana didakwa telah menghina Dewan.

Tujuh ADUN berkenaan ialah Dr Zambry yang juga ADUN Pangkor , Hamidah Osman (Sungai Rapat), Datuk Ramly Zahari (Manong), Dr. Mah Hang Soon (Chenderiang), Datuk Saarani Mohamad (Kota Tampan), Mohd. Zahir Abdul Khalid (Kamunting) dan Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik).

Kalau dah pelik dan lucu seperti ini, baik juga jika kerajaan negeri Perak yang kini dikuasai Barisan Nasional (BN) akan menukar Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) menerusi pendekatan yang berlandaskan undang-undang negeri itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudahpun menyatakan soal ini kerana penyandang jawatan itu, V. Sivakumar yang dipilih ketika pakatan pembangkang memerintah negeri tersebut, masih menganggap dirinya Speaker yang sah.

Bagaimanapun, jelas beliau, bakal Speaker yang baru dari BN belum lagi ditentukan.
"Kita ada pendekatan-pendekatan yang akan diambil untuk menggantikan Speaker (dengan calon BN) nanti," katanya kelmarin.

Beliau mengulas kenyataan Sivakumar tiga hari lalu bahawa dia masih Speaker DUN Perak yang sah kerana telah dipilih untuk mengetuai DUN melalui pengundian.