Saturday, October 28, 2017

KENAPA TIDAK DISEBUT RASUAH DAN DADAH PADA BAJET 2018?


Pada pembentangan Bajet 2018 semalam, antara perkara penting yang disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ialah Allah Hu Ta'ala menyukai hamba-hambaNya yang terus berikhtiar dengan gigih, merancang masa depan demi kepentingan negara dan ummah seluruhnya.

Memetik Surah Al-A'raf ayat 96, di mana ‘Tuhan akan melimpahkan rezeki dan keberkatan-Nya dari langit serta bumi, selagi penduduk dan rakyatnya beriman lagi bertaqwa’, Najib merujuk kepada usaha menjayakan PE-TUNJANG KELAPAN: MENGIMBANGI PAR EXCELLENCE DUNIAWI DAN PAR EXCELLENCE UKHRAWI.

Menurutnya, Malaysia kini mensasarkan antaranya untuk menjadi ‘High Income Advanced Economy’ pada tahun 2020; nilaian ekonomi dan dagangan semasa menjadi dua trillion ringgit pada tahun 2025 selain menikmati impak dan manfaat IR 4.0 yang mula menampakkan kematangan signifikan pada tahun 2030.

Selain itu, Malaysia perlu menjadi ‘watan yang lebih kompetitif lagi bersifat hampir zero defects pada tahun 2040’ dan ‘ketamadunan unggul di mana negara ini, bakal tersenarai dalam gelanggang kelompok 20 negara termaju lagi terbaik di persada dunia’.

Anehnya dalam mencapai usaha ini yang perlu mengimbangi duniawi dan ikhrawi, Najib dan kerajaan Barisan Nasional (BN) terlupa kepada dua perkara asas yang menjadi sebutan rakyat Malaysia saban hari hari ini.

Dua perkara itu adalah RASUAH dan DADAH.

Jika didengar dan dibaca isi kandungan yang dibentangkan Najib semalam, dua perkara dan perkataan ini ghaib terus daripada mulut beliau, sama ada ia sebagai isu atau peruntukan untuk memeranginya, sekadar secara am menyebut  gejala sosial.

Isunya, dua perkara ini sangat penting sebagai penghalang untuk mencapai tahap ‘par excellence’ yang dimaksudkan. Apa lagi dua perkara sangat berkait rapat dengan kehidupan rakyat dan pemimpin hari ini.


Apakah Najib takut dan bimbang jika disebut RASUAH, walaupun mungkin hanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)?

Najib dan BN tidak akan ‘membuka jalan’ atau menerima risiko teruk jika menyebut dua perkara ini, malah jeritan KLEPTOKRASI semalam untuk beliau dan Bn sudah membawa erti yang mendalam pada pembentangan Bajet 2018 itu.

Hari ini SPRM menjadi ‘jabatan hebat’ bukan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Pengguna dengan bermain di setiap bibir rakyat, dada akhbar dan tv selain media soaial,  walaupun tekanan hidup dan harga barang yang melambung terpaksa didepani rakyat..

Najib jelas mengelak untuk menyebut atau menyatakan apa-apa peruntukan pun untuk suruhanjaya yang begitu penting dan kini ‘menjadi begitu dekat di hati rakyat’.

Sedangkan banyak suara yang dibuat agar kakitangan SPRM ditambah dan bajet tahunannya ditambah dengan kes yang berlambak untuk disiasat dan sedang disiasat sekarang.

Pertengahan September lalu, Pengerusi Pusat Pengajian Polisi Awam Institut Strategi dan Kepemimpinan Asia, Tan Sri Ramon Navaratnam menegaskan kakitangan SPRM perlu ditambah.


Katanya  cadangan dibuat  atas gesaan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad untuk menambah bilangan kakitangan agensi tersebut yang ketika ini hanya mempunyai sebanyak 2,100 orang.

Dari Perlis ke Johor hingga ke Sabah, kes rasuah diperkatakan setiap hari. Malah, Perdana Menteri dan beberapa menteri Kabinet serta penjawat awam turut dituduh melakukan rasuah.

Tidak kurang juga pemimpin pembangkang turut diseret ke lokap dan mahkamah kerana cuba disabitkan dengan salah laku rasuah.

Sekiranya mahu menjadi negara maju, dihormati dan berintegriti, sepatutnya isu rasuah ini ditangani dengan baik. Untuk melakukannya pastilah memerlukan bajet yang besar.

Masih terngiang-ngiang di telinga apabila pada tahun lepas, banyak pihak meminta kerajaan mempertimbang semula peruntukan kewangan untuk SPRM dalam usaha memastikan matlamat negara bebas rasuah dapat dijayakan.
    
Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) berpendapat  fokus pencegahan rasuah perlu diberi perhatian penuh walaupun kerajaan mahu merancakkan pertumbuhan, memastikan pengurusan fiskal secara berhemah serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.      


Malah kerajaan digesa mempertimbangkan semula pemotongan dana sebanyak RM35 juta kepada SPRM yang diumumkan  menerusi pembentangan Bajet 2017, tahun lalu,  di mana tiga pihak yang terlibat secara langsung dengan usaha membanteras gejala rasuah di negara ini tampil membuat saranan itu.

Namun, semalam reaksi kepada saranan itu bukan sahaja tidak kedengaran langsung, malah isu sepenting rasuah dibiarkan berlalu begitu sahaja.

Tahun lalu pihak yang membangkitkan perkara itu ialah  Yayasan Pencegahan Rasuah Malaysia (YPRM), Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dan Transparency International Malaysia (TI-M) dan Presiden TI-M, Datuk Akbar Satar berpendapat, usaha memperkukuhkan SPRM perlu disusuli dengan sokongan padu seluruh pihak termasuk kerajaan.

Caranya ialah mempertimbangkan semula peruntukan kewangan SPRM supaya segala perancangan dapat dilaksanakan secara teratur.

Pada Bajet 2017, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan bagi suruhanjaya berkenaan adalah sebanyak RM216 juta, berbanding dana tahun 2016  sebanyak RM251 juta iaitu kurang RM35 juta.

Tahun ini tidak diketahui sama ada jumlah kekal, ditambah atau dikurangkan.

Apakah sikap dingin dan tidak peduli Najib dan BN ini menggambarkan mereka tidak berminat langsung dengan usaha membanteras rasuah?

Atau apakah mereka turut bimbang dengan siasatan SPRM yang begitu rancank sekarang ini?

Yang nyata sudah berbilion ringgit hasil rasuah dirampas SPRM dalam pelbagai kes yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini. Namun apa pulangan  untuk memperkukuhkan suruhanjaya itu?

Mungkin kerana rasuah dilihat begitu berbahaya kepada negara Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) turut mencadangkan kerajaan mengisytiharkan rasuah musuh nombor satu negara sebagai slogan bagi menggantikan dadah.

Hakikatnya rasuah dan isu dadah turut dikaitkan oleh banyak pihak.

Ia apabila dadah boleh dibawa masuk, die­dar dan dijual sewenang-wenangnya kepada orang ramai, khususnya remaja.

Tidakkah ini ada kaitan dengan rasuah dan integriti penguatkuasa?

Kerana itu MCW berpendapat jika mampu meletakkan rasuah sebagai musuh kita yang utama pastinya masalah lain yang berkait seperti dadah yang juga menjadi musuh penting negara akan mudah diatasi.

Memerangi rasuah bukan sekadar penguatkuasaan tetapi juga pendidikan antirasuah. Ini memerlukan perbelanjaan dan pastinya perlu membabitkan sektor awam dan swasta, selain pertubuhan bukan kerajaan.

Kerajaan tidak perlu berangan-angan untuk mencapai tahap PAR EXCELLENCE DUNIAWI dana pa lagi  PAR EXCELLENCE UKHRAWI jika isu rasuah dan dadah tidak ditangani dengan bersungguh-sungguh.

Yang pasti sikap sambil lewa dan TIDAK PEDULI Najib dan kerajaan kepada dua isu penting ini – RASUAH dan DADAH digambarkan melalui pembentangan Bajet 2018 semalam.

Persoalannya apakah kata-kata bahawa kerajaan ‘berikhtiar dengan gigih, merancang masa depan demi kepentingan negara dan ummah seluruhnya’ hanyalah janji palsu dan halwa telinga semata-mata?


Jika demikian, negara ini dalam kedudukan bahaya akibat terdedah dengan dua ancaman besar  dua gejala ini yang turut diperangangi oleh semua agama, apa lagi agama Islam yang menjadi tunjang kepada pemerintahan Malaysia.