Thursday, May 15, 2014

U-TURN TIDAK SALAH, IA TINDAKAN MULIA '3 STOOGES' YANG WAJAR DIHARGAI…


"Hargailah keputusan mereka dan jangan diungkit-ungkit lagi perkara yang sudah! U-Turn yang dilakukan oleh tiga ADUN itu adalah tindakan untuk menyelamat...kesan daripada U-Turn mereka kelmarin dan semalam mahal harganya."

U-Turn tidak salah, asalkan melakukannya di tempat yang dibenarkan dan selamat.

Yang menjadi masalah kepada U-Turn ialah melakukannya tergesa-gesa, tempat yang dilarang dan membahayakan diri dan orang lain.

Melakukan U-Turn tidak wajar dipersoalkan, apalagi jika pemandunya merasakan terlajak kerana pemanduan bukan seperti mengayuh perahu apabila ‘ia boleh diundur’.

Tindakan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO mengisytihar keluar parti dan menyertai Bebas dan kembali semua kepada UMNO tidak wajar dipersoalkan, khususnya kesetiaan mereka.

Lagipun tindakan itu tidak sampai 48 jam. Hargailah keputusan mereka dan jangan diungkit-ungkit lagi perkara yang sudah! U-Turn yang dilakukan oleh tiga ADUN itu adalah tindakan untuk menyelamat dan tidak kiralah ia dilakukan di tempat dibenarkan atau ‘pakai langgar’.

Jika sebelum ini mereka keluar UMNO ‘pakai langgar’ tetapi kesan daripada U-Turn mereka kelmarin dan semalam mahal harganya. Saya ulangi, `mahal harganya’.

UMNO ada pengalaman apabila pemimpin penting serta pengikut keluar parti itu beramai-ramai menyertai Parti Semangat 46 (sebelum itu dikenali dengan Parti Melayu Semangat 46).

Kesemua mereka menjadi pembangkang bertahun-tahun dan menjadi penyebab kepada kejatuhan Kelantan kepada PAS sehingga hari ini.

Inilah dosa paling besar parti berkenaan. Namun kini parti berkenaan sudah berkubur apabila kembalinya pemimpin dan ahli parti berkenaan kepada UMNO namun Kelantan tetap tidak dapat ditawan.

Dosa lain parti berkenaan ialah mereka yang kecewa dengan UMNO dan Parti Semangat 46 ramai yang kemudian menyertai PAS.

Namun tindakan tiga ADUN UMNO dari Kijal, Bukit Besi dan Ajil ‘keluar sekejab’ dan masuk kembali adalah ‘ribut dalam secawan kopi’. Mereka tidak menyebabkan BN runtuh seperti 'tindakan lompat anggota PAS' kepada Perikatan pada 1961.


Tindakan 'Three Stooges' itu  bukan seperti ADUN PAS, Ahmad Azam Napiah serta 2 ADUN PAS yang melompat masuk UMNO serta '3 Tooges' Parti Negara iaitu Wan Daud Mohamad (Ladang), Mohamad Abd Rahman (Bukit Besar) dan Haji Mutalib Salleh (Batu Buruk).yang melompat selepas bertemu Allahyarham Tun Razak di Kuala Lumpur.

Untuk yang tidak mengetahui cerita ini, pada pilihan raya umum Tanah Melayu 1959, DUN Terengganu dimenangi oleh PAS dengan majoriti kecil apabila ia mendapat 13 kerusi, UMNO 7 kerusi dan Parti Negara (PN) 4 kerusi.

PAS berjaya memujuk Adun PN Langkap (Ismail Abbas) menyokong mereka. UMNO pula berusaha mendapat sokongan 3 lagi Adun PN.

Pada 24 Julai 1961 satu undi tidak percaya terhadap kerajaan PAS dibawa oleh seorang Adun PN Bukit Besar, Mohamad Abd Rahman. Undi tersebut gagal kerana PAS mendapat (12 undi) UMNO + PN (11 undi).  Seorang wakil PAS berkecuali iaitu Ahmad Azam Napiah. Ahmad Azam kecewa kerana tidak diberi jawatan Menteri Besar Terengganu atau pun Speaker (kerana berasal dari Perak bukan anak jati Terengganu. Beliau kemudiannya mengisytihar sebagai Adun Bebas.

Kegawatan DUN Terengganu berlarutan apabila UMNO  berjaya menarik dua Adun PAS - Mohamad Ismail dan Husin Jusoh. Kemudian, Umno juga dapat memujuk 3 Adun PN apabila mereka bertemu Tun Abdul Razak di Kuala Lumpur.

Adun PN yang terbabit adalah Wan Daud Mohamad (Ladang), Mohamad Abd Rahman (Bukit Besar) dan Haji Mutalib Salleh (Batu Buruk). Keadaan tersebut membawa kepada undi tidak percaya kali kedua dibawa dan akhirnya kerajaan PAS tewas.

Sebaliknya tiga ADUN UMNO yang mengisytiharkan bebas tetap menyokong kerajaan BN sebelum mereka kembali ke pangkuan UMNO.

Namun tindakan itu membawa makna dan pengajaran paling penting bagi pihak-pihak yang terlibat atau menyebabkan peristiwa itu berlaku.


1. Elakkan perbuatan yang menggambarkan wujudnya ‘cabaran kepada pemimpin’ atau kepada ahli; 

2. Berfikir secara matang dan tidak melakukan perbuatan tergesa-gesa kerana sedikit sebanyak akan mendapat ‘malu’ kelak; 

3. Tindakan sedikit sebanyak mencemarkan imej kedua-dua pihak akan wujud syak-wasangka yang ‘tidak perlukan’ di kalangan pengikut;

4. Bebaik sangka dan merundingkan ketegangan dan salah faham dengan segara adalah jalan paling selamat dan ubat mujarab mengatasi krisis;

5. Pemimpin berani menolak ‘nasihat’ yang membawa kepada perpecahan dan ketegangan kerana ada pengikut yang suka melihat kepada perpecahan dan krisis; serta

6.Berpeganglah kepada ajaran Islam bahawa tiada masalah tidak boleh diselesaikan dan selesaikan ia dengan ciri-ciri yang disebut sebagai ‘tali Allah’. 

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.”

Berbalik kepada isu U-Turn ini, ia tidak menyebabkan runtuhnya kerajaan BN walaupun seketika berada dalam keadaan terumbang-ambing.

Jadi semua pihak perlu merenung kembali kesilapan dan kelemahan masing-masing dan dengan kesemua mereka dapat menerima kepimpinan baharu, wajarlah semua pihak kembali bertenang dan merapatkan barisan untuk menjamin kemenangan UMNO dan BN pada pilihan raya umum akan datang.





Usah dilayan apa kata pemimpin PAS atau pihak-pihak dalam UMNO yang masih menyuarakan kesalahan tiga ADUN UMNO ini. Perkara yang berlaku sudah berlaku dan perkembangan terbaru mendatangkan kedudukan positif kepada parti dan pentadbiran Terengganu.


Jadi, ambillah kejadian baru-baru ini sebagai rujukan dan renungan. Jangan ulangi kejadian serupa dan elakkan ketegagan kerana orang Melayu sudah meluat dengan pertelingkahan dan permusuhan sesama pemimpin dan pengikut.

UMNO perlu belajar daripada kes di Kelantan (1990), Kedah (2008), Perak (2008), Selangor (2008) dan Terengganu sendiri pada (1999).

Persefahaman, menghormati orang bawahan, perundingan dan pemimpin yang tidak mementingkan kepentingan diri dan UMNO yang meletakkan kepentingan ahli melebihi ketua atau pemimpin akan pasti kekal lama.

Jika wujud cara menerajui parti mengikut selera sendiri, ia akan menjahanamkan UMNO dan payung orang Melayu akan tertutup dengan sendirinya apabila tiba ketikanya nanti.